
Rabu, 11/11/2026 – Euro-Med Human Rights Monitor menuduh Israel terus menafikan hak rakyat Palestin di Semenanjung Gaza untuk mendapatkan tempat perlindungan yang selamat bagi tahun keempat berturut-turut.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis, kira-kira dua juta penduduk Gaza memerlukan bantuan tempat perlindungan susulan kemusnahan atau kerosakan yang dialami oleh sebahagian besar kediaman di wilayah itu akibat tindakan Israel.
“Israel terus menghalang penduduk yang kehilangan tempat tinggal daripada kembali ke kawasan di bawah kawalannya, selain menyekat kemasukan bekalan perlindungan dan bahan yang diperlukan untuk membaiki rumah. Akibatnya, ratusan ribu keluarga terpaksa menghadapi satu lagi musim sejuk dengan berlindung di dalam khemah usang dan bangunan yang mengalami keretakan serta berisiko runtuh,” jelas Euro-Med.
“Walaupun kematian terus berlaku dan pelbagai amaran telah dikeluarkan mengenai bahaya cuaca sejuk serta banjir, tindakan berterusan menafikan langkah perlindungan hanya mengekalkan keadaan hidup yang amat buruk yang dikenakan Israel terhadap penduduk, sebagai sebahagian daripada genosid yang masih berterusan,” tegas Euro-Med.
Kumpulan hak asasi itu menjelaskan bahawa Semenanjung Gaza kini memasuki musim sejuk dengan keperluan mendesak terhadap kira-kira 200,000 khemah dan sejuta kanvas penutup (tarpaulin), berdasarkan maklumat Jawatankuasa Kecemasan Musim Sejuk Gaza pada 1 November.
Sekatan Israel menghalang penghantaran bekalan tersebut ke Gaza, sekali gus menjejaskan usaha menyalurkan barangan yang telah disediakan untuk membantu penduduk. Pada 9 Oktober, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) memaklumkan bahawa kira-kira 8,600 kit perlindungan kecemasan telah tersedia di luar Gaza. Namun, pihak berkuasa Israel terus enggan membenarkan bekalan itu dibawa masuk.
Kumpulan hak asasi tersebut turut memetik anggaran Majlis Pelarian Norway pada 5 Oktober yang menunjukkan bahawa kira-kira 950,000 penduduk Gaza berada di kawasan yang mempunyai risiko banjir pada tahap sederhana hingga tinggi.
Euro-Med menegaskan bahawa Israel, sebagai kuasa pendudukan, perlu memastikan keperluan asas penduduk Gaza dipenuhi serta bersetuju untuk membenarkan dan memudahkan operasi bantuan kemanusiaan. Usaha tersebut tidak seharusnya disyaratkan dengan aturan politik atau keselamatan, mahupun sebarang konsesi daripada mana-mana pihak.
“Membenarkan sebilangan khemah dibawa masuk tidak melepaskan Israel daripada tanggungjawabnya menghalang kemasukan jumlah dan jenis bekalan yang diperlukan untuk melindungi penduduk. Pematuhan terhadap kewajipannya perlu dinilai berdasarkan sejauh mana keperluan sebenar penduduk dipenuhi tepat pada masanya, bukannya sekadar berdasarkan jumlah penghantaran yang dibenarkan masuk,” tegas kumpulan itu.
Penterjemah : Ezatul