Gaza, Isnin, 13/12/2004 – Beriged al-Qassam yang merupakan sayap ketenteraan HAMAS dan juga Sbriged Suqur al-Fatah, dari gerakan Fatah mengaku bertanggung jawab hari ini dalam laporan rasmi mereka di atas serangan ke atas pos kawalan tentera rejim Zionis di Gaza semalam.
Serangan yang telah meragut banyak nyawa tentera rejim dan mencederakan ramai yang lain itu telah mendapat perhatian dunia di kala dunia sibuk menantikan pilihanraya pemilihan presiden PA yang dijadualkan akan berlangsung pada Januari tahun hadapan. Laporan rasmi tentera rejim hanya menyebutkan 5 nyawa terkorban dan yang selebihnya cedera ringan tanpa menyatakan bilangan sebenar mereka yang tercedera.
Serangan bersama itu merupakan taktik terkini para pejuang Palestin yang semakin digeruni oleh tentera rejim Zionis. Menurut sumber al-Qassam, mereka telah meletakkan bahan letupan yang banyak di bawah pos kawalan tentera rejim melalui terowong yang mereka gali di bawah pos kawalan tersebut. Letupan yang kuat itu telah menyebabkan ramai tentera rejim terkorban dan selebihnya cedera parah. Al-Qassam juga menyatakan serangan tersebut telah berjaya mereka rakamkan dan akan dikeluarkan melalui internet tidak lama lagi.
al-Qassam dan Suqur berjanji bahawa itu adalah satu permulaan kepada serangan-serangan yang lebih hebat lagi dalam usaha memerdekakan bumi Palestin.