Khamis, 06/08/2009 – Dr Atif ‘Udwan, ahli Majlis Perundangan Palestin dari blok ‘perubahan dan reformasi’ yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Pelarian berkata bahawa resolusi Knesset yang dikeluarkan kelmarin yang mencadangkan agar tanah Palestin 1948 diswastakan, sebagai satu langkah merbahaya yang menjelaskan lagi hakikat jelek regim Yahudi.
Beliau menegaskan dalam satu kenyataan semalam (Selasa, 5/8) yang diterima oleh Pusat Media Palestin bahawa rancangan tersebut merupakan mesej jelas kepada mereka yang masih menaruh harapan bahawa Zionis mahu mencapai perdamaian yang adil dan menyeluruh. Beliau menjelaskan itu hanyalah anggapan kosong yang tidak berpijak di bumi nyata. Zionis adalah sebuah regim yang mengamalkan penjajahan, peluasan kuasa dan fanatik. Ia juga tidak menghormati mana-mana hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.
Beliau juga berpendapat bahawa resolusi seumpama ini yang diambil oleh Knesset yang dikatakan wakil kepada ‘rakyat’, merupakan suatu tindakan pencerobohan oleh satu bangsa terhadap suatu bangsa yang lain. Beliau sekali lagi menegaskan bahawa bumi tersebut adalah milik rakyat Palestin yang mereka warisi daripada datuk nenek mereka.
sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir