Artikel Dr Azzam Tamimi dari Islamic Political Thought bertempat di UK terhadap isu Palestin amat kritis bagaimana ibu persoalan umat Islam iaitu penjajahan tanah Palestin berjaya dikaburi dan dipisahkan atau ditutup serapat-rapatnya jalan penyelasaian yang mana amat jelas digariskan oleh beliau di dalam artikel ini.
Tidak dapat dinafikan lagi dan juga tidak keterlaluan jika dikatakan isu Palestin merupakan ?pokok kepada segala konflik dunia? dewasa ini. Ianya merupakan salah satu daripada isu yang paling kronik pernah disaksikan manusia di dalam sejarah semenjak kurun ke-19 lagi. Ketikamana masyarakat dunia merasa terpanggil untuk peduli terhadap isu tersebut di atas apa yang telah dipersembahkan oleh media, mereka sayangnya hanya disibukkan dengan simptom kepada pergolakan yang berlaku dan tidak langsung memahami punca permasalahan tersebut. Antara persepsi dunia yang silap (hatta di dalam perbincangan politik antarabnagsa sekalipun) terhadap isu ini ialah, ianya dilihat sebagai pergolakan dalaman di antara dua kelompok masyarakat yang bertelingkah. Yahudi dan Arab (muslim dan kristian) dilihat sebagai dua pihak yang berebut kepada satu tanah yang mana kedua-duanya mempunyai hak dan kekuatan yang sama berat. Menurut persepsi ramai daripada masyarakat dunia, isu Palestin adalah isu yang melibatkan penganut dua agama besar, iaitu Islam dan Yahudi di dalam menetukan siapakah yang lebih berhak terhadap bumi Palestin. Konsepsi yang silap ini sebenarnya telah membawa kepada pemahaman dan juga penyelesaian yang silap terhadap isu yang amat hebat ini.
Darah rakyat Palestin mengalir saban hari kerana ideologi Zionis yang menggila ini
Sejarah telah menyaksikan bagaimana semenjak 13 kurun, dan sehinggalah di awal kurun ke-20, penganut agama Islam, penganut agama Yahudi dan penganut agama Kristian hidup aman damai di bumi Palestin dengan penuh harmoni dan menghormati di antara satu sama lain. Kehamronian ini mula tergugat apabila pihak Eropah yang menghadapi masalah dengan golongan Yahudi dan ingin membersihkan bumi Eropah dari kewujudan bangsa Yahudi telah meletakkan bebannya kepada kaum Arab di Timur Tengah dengan mengemukakan satu projek untuk mereka meninggalkan Eropah dan menimbulkan masalah di bumi baru tersebut. Oleh kerana tekanan dari masyarakat Eropah yang begitu membenci kepada bangsa Yahudi kerana sebab-sebab yang tertentu, akhirnya bangsa Yahudi telah menyahut projek Zionisme yang bertujuan membawa keluar bangsa Yahudi dari bumi Eropah yang tida k lagi selamat kepada mereka. Di waktu itu, apa sahaja bumi dan di mana sahaja ditawarkan kepada mereka, pasti mereka akan menerimanya untuk menyelamatkan nyawa mereka dan meneruskan kehidupan di bumi ini. Kemenangan British dan Peranchis di dalam Perang Dunia yang pertamalah yang telah memberikan sinar harapan kepada projek Zionis untuk membawa bangsa Yahudi yang diusir itu ke bumi Palestin dan bukan ke tempat lain.
Bagi kebanyakan bangsa Yahudi, terutamanya golongan Ortodoks pada waktu itu bukan sekadar tidak melihat kerelevanan projek Zionis tersebut, malah telah menentang projek berkenaan. Ini , menurut mereka adalah bertentangan dengan ajran Talmud yang mengatakan bahawa bangsa Yahudi hanya boleh pulang ke bumi Palestin setelah mereka diusir dari sana semenjak tahun 70 Masihi jika munculnya Messiah yang ditungu-tunggu. Jika tidak kerana Holocaust yang berlaku dicetuskan oleh gerakan Nazisme, tidaklah bangsa Yahudi memilih untuk menjayakan projek Zionisme tersebut. Sejarah telah menyaksikan bagaimana negara-negara Eropah dan negara-negara yang berjiran dengan eropah telah menutup sempadan mereka dari menerima kehadiran bangsa Yahudi. Hanya Palestin sahaja, oleh kerana ianya berada di bawah pemerintahan Mandat British, telah dibukakan seluas-luasnya kepada orang-orang yahudi untuk berhijrah, tanpa mengira perasaan dan juga hak penduduk asal bumi tersebut, iaitu bangsa Arab. Ternyata dasar Kolonialisasi British;ah yang banyak menjayakan projek Zionisme semenjak awalnya lagi.
Ternyata apabila peluang untuk berhijrah ke Palestin dibukakan seluas-luasnya kepada bangsa Yahudi, Yahudi dari Eropahlah yang berbondong-bondong telah mengambil peluang tersebut. Bagi Yahudi di tempat-tempat lain pula, mereka hanya berhijrah ke Palestin setelah melihat kejayaan Yahudi Eropah membentuk komuniti di bumi tersebut dan juga sokongan yang telah diberikan oleh dunia kepada mereka. Bumi yang dicanangkan sebagai bumi dan rumah yang selamat kepada bangsa Yahudi di seluruh dunia ini sebenarnya tidak dapat bertahan lebih lama. Ianya, selepas beberapa tempoh dan sehingga kini telah menjadi neraka dan juga bumi yang paling tidak selamat kepada bangsa Yahudi pada bila-bila masa. Sehingga saat ini, hanya lebih kurang satu pertiga (1/3) daripada jumlah keseluruhan Yahudi dari serata dunia yang mendiami bumi Palestin. Bagi go longan majoriti, keamanan dan kesenangan hidup mereka di Eropah, AS, dan lain-lain tempat di dunia adalah lebih utama daripada mereka memperjudikan nasib mereka di bumi yang bukan milik mereka semenjak dari awal lagi.
Palestin bukanlah negara yang tidak mempunyai penduduk sepertimana yang sering dilaungkan oleh propaganda Zionis. Palestin merupakan bumi bagi kaum Kan?an dan kemudiannya menjadi bangsa Arab setelah zaman Islam, semenjak beribu tahun yang lalu. Mereka semua telah mendiami bumi ini tanpa diragukan lagi hak mereka terhadap bumi tersebut sehinggalah tahun 1948, apabila sebuah entiti haram yang diberikan nama sebagai negara Israel ditubuhkan. Negara yang teretegak di atas dasar perkauman dan juga kezaliman ini telah menyebabkan lebih enam juta rakyat Palestin terpaksa hidup di dalam kem-kem pelarian dan di luar negara mereka sehingga hari ini.
Pelbagai inisiatif dan juga resolusi yang telah diusahakan oleh PBB untuk menyelesaikan isu ini telah menemui kegagalan dan langsung tidak menyelesaikan perkara ini. Ini semua adalah kerana kuasa yang berpengaruh di dunia, dan juga pemain utama politik dunia tidak menyebelahi pihak yang tertindas, sebaliknya menyebelahi pihak yang berlaku zalim dan menindas.
Saya meyakini usaha bersepadu sepetimana yang pernah dimainkan oleh masyarakat dunia untuk membantu rakyat Palestin mengakhiri derita mereka ini sepertimana yang pernah mereka lakukan untuk membantu rakyat Afrika Selatan lewat isu Apartheid dahulu. Jika rejim Apartheid boleh dihapuskan dan juga diakhirkan hayatnya, begitu juga dengan projek Zionis ini. Hanya dengan berakhirnya rejim Zionis sahajalah keamanan yang sebenar di bumi Palestin dan di rantau Timur Tengah akan menjadi kenyataan. Di waktu itu, bumi tersebut akan menjadi bumi yang selamat bagi sesiapa sahaja, tidak kira agama dan bangsa apakah mereka. Hanya dengan penyelesaian seumpama itu sahaja, barulah penganut agama Islam, penganut agama Kristian dan juga penganut agama Yahudi akan hidup bersama secara aman damai dan juga dengan penuh harmoni. Mimpi ini akan menjad i kenyataan jika konsep keadilan dapat dilaksanakan dan dijadikan sebagai asas utama kepada realiti yang baru ini.