Selasa, 26/4/2005 –Jurucakap tentera Israel melaporkan bahawa pihaknya telah mula mengundurkan kelengkapan ketenteraan dari Gaza bermula hari ini. ini merupakan sebahagian daripada pelan untuk memindahkan para penduduk penempatan haram Yahudi dari Gaza pada tahun ini.
Jurucakap tersebut berkata, 30 kontena yang membawa perabot, komputer dan pakaian tentera telah dipindahkan dari pangkalan tentera Gush Qatif ke kawasan luar Gaza. Beliau menambah bahawa pihaknya telah mula memindahkan beberapa kontena yang membawa kelengkapan lojistik dan infrastruktur.
Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon merancang untuk melaksanakan pengunduran sepenuhnya menjelang musim panas ini termasuk melibatkan pengosongan 21 buah penempatan haram Yahudi di Gaza dan 4 lagi di Tebing Barat.
Di jangkakan bahawa pihak Israel akan memutuskan dalam minggu ini samada mereka akan menangguhkan pelan pengunduran ini kepada 3 minggu akan datang ataupun tidak. Ini adalah bagi menghormati tempoh ‘berkabung’ mengikut ajaran Yahudi. Namun ini secara tidak langsung membuktikan pihak kerajaan kini tidak mampu berhadapan dengan bantahan daripada para penduduk penempatan haram yahudi.
Jawatankuasa Kabinet Israel yang dipengerusikan oleh Ariel Sharon bagaimanapun telah menangguhkan perbincangan tentang perkara tersebut sebagai menghormati hari Berkabung Yahudi. Anggata-anggota jawatankuasa tersebut menjelaskan bahawa keputusan hanya akan di buat selepas pihak mereka mendapatkan nasihat daripada kepimpinan keselamatan Israel.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar Israel dari parti Buruh, Shalom Samhon pula memberi amaran kemungkinan penangguhan bakal berlarutan memandangkan selepas ini terdapat lagi beberapa perayaan agama Yahudi yang lain. Menteri Dalam Negeri , Ovier Bines Baz pula berkata, penangguhan tersebut merupakan satu percubaan untuk menggagalkan proses pengunduran.
Dalam perkembangan yang sama, pihak Palestin dan Israel memulakan kembali rundingan peringkat tertinggi bagi membincangkan soal kerjasama dua hala dalam pengunduran tentera Israel dari Gaza dan utara Tebing Barat.
Pilihanraya Palestin
Perkembangan tersebut berlaku ketika mana Majlis Perundangan Palestin (Parlimen) sedang bersiap sedia untuk membincangkan soal pindaan baru ke atas undang-undang pilihanraya yang dijangka diadakan pada 17 Julai. Sebelum ini, anggota-anggota parlimen dari pergerakan Fatah bersetuju untuk menerima sistem pengundian bagi memilih anggota parlimen.
Anggota-anggota parlimen daripada pergerakan Fatah sebelum ini bersetuju untuk menerima pencalonan pilihanraya parlimen berdasarkan pecahan dua pertiga mengikut kawasan dan satu pertiga lagi berdasarkan jumlah sokongan pengundi untuk satu-satu parti yang bertanding. Mereka juga bersepakat untuk menyokong supaya pilihanraya diadakan seperti yang dijadualkan.
Berdasarkan kepada cadangan tersebut, maka 88 daripada 132 anggota parlimen akan dipilih melalui pilihanraya manakala 44 lagi dilantik berdasarkan jumlah sokongan ke atas parti. Namun terdapat sebahagian daripada anggota parlimen Fatah yang menentang cadangan tersebut.
Timbalan Spaker Parlimen Palestin, Hasan Khereisha berkata, persetujuan yang di capai oleh anggota-anggota parlimen Fatah berhubung cadangan pindaan undang-undang pilihanraya tersebut akan mempercepatkan lagi kelulusannya sekaligus membolehkan pilihanraya diadakan pada tarikh yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, pihak berkuasa Palestin telah melaksanakan tanggungjawab keselamatan seperti yang tetapkan dengan menghalang berpuluh-puluh percubaan serangan ke atas Israel dan mengumpulkan senjata-senjata yang dimiliki oleh para aktivis Palestin di al-Khalil (Hebron) dan Tulkarem.
Dalam kenyataan kepada para wartawan Israel di Ramallah, Abbas berkata pihak berkuasa Palestin berjaya merampas pelbagai senjata termasuk peluru mortar, bom, dan tali pinggang berisi bom yang disasarkan ke atas Israel.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Israel, Shimon Peres menggesa Israel supaya memperkukuhkan kedudukan Mahmoud Abbas dalam arena politik Palestin bagi menghalang pergerakan Hamas daripada memenangi pilihanraya parlimen yang akan datang.
Laporan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin pula menyebut bahawa nama-nama pegawai kanan keselamatan yang baru akan diumumkan pada Ahad depan.