Seorang Warga Palestin Terkorban dan Seorang Tentera Israel Mati

Selasa, 26/4/2005 –Seorang penduduk awam Palestin terkorban manakala seorang tentera rejim mati dalam satu kemalangan yang berlaku di pos kawalan tentera di sebatang jalan raya di utara Bandar Khalil (Hebron) pada petang Isnin lepas.

Tentera Rejim melaporkan bahawa sebuah teksi warga Palestin merempuh satu pos kawalan dan melanggar seorang tentera Israel menyebabkannya terbunuh. Tentera Israel membalas dengan melepaskan tembakan kearah teksi terbabit mengakibatkan pemandunya tercedera dan meninggal dunia di hospital.

Di Nablus, utara Tebing Barat pula, tentera rejim Israel mengepung kawasan Kem Pelarian Ballata. Para saksi melaporkan kepada wartawan Aljazeera bahawa bunyi tembakan bertubi-tubi kedengaran di jalan-jalan masuk menuju ke kem pelarian tersebut manakala helikopter-helikopter Rejim Israel berlegar-legar di ruang udara di sana.

Dalam perkembangan lain, Amnesty International mengecam serangan yang dilancarkan oleh para penduduk penempatan haram Yahudi ke atas para penduduk perkampungan Palestin, terutamanya dengan menyembur kawasan ladang penduduk Palestin dengan bahan beracun. Tindakan tidak berperi kemanusiaan tersebut mengakibatkan berlakunya keracunan pada haiwan ternakan penduduk Palestin serta haiwan liar yang lain.

Amnesty International dalam satu laporannya meminta Israel mengambil tindakan ke atas penduduk haram Yahudi terbabit. Pertubuhan tersebut mengesahkan bahawa pihak Israel sehingga kini belum mengambil sebarang tidakan bagi membersihkan ladang-ladang warga Palestin yang tercemar dan membuka siasatan.