Tentera Israel Menahan 16 Orang Warga Palestin di Qalqiliya

Rabu , 27/4/2005 –Tentera Israel menahan 16 orang warga Palestin di Qalqiliyah, Tebing Barat selepas melancarkan operasi pencerobohan di sana. Tentera rejim turut mengepung beberapa kediaman warga Palestin awal pagi ini.

Wartawan Aljazeera di Palestin melaporkan bahawa mereka yang ditahan merupakan anggota-anggota Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin, Fatah dan Pergerakan Perjuangan Islam, Hamas.

Beberapa jam sebelum penahanan tersebut, seorang tentera Israel terbunuh dan seorang warga Palestin terkorban dalam satu kemalangan yang berlaku di pos tentera di utara Bandar Khalil (Hebron), selatan Tebing Barat.

Tentera Rejim melaporkan sebuah teksi warga Palestin merempuh pos kawalan tersebut dan melanggar seorang tentera menyebabkannya terbunuh. Tentera Israel pula segera melepaskan tembakan mencederakan pemandu teksi terbabit. Beliau meninggal dunia di hospital.

Para pegawai Palestin pula melaporkan bahawa pemandu teksi tersebut tidak menganggotai mana-mana pertubuhan politik dan pos kawalan tentera Israel tersebut bukannya pos kawalan tetap.