Palestin kecil di Eropah : Coretan Dari Vienna

Satu persidangan “Hak untuk Kembali Rakyat Palestin” telah berlangsung di Vienna, Austria pada 7 May 2005 yang lalu. Pelbagai lapisan fahaman manusia berkerumun ke sana dengan satu matlamat iaitu mengembalikan hak rakyat Palestin iaitu tanah mereka yang sekian lama dijajah rejim Zionis yang berselindung di sebalik wajah ‘manis’ Amerika. Sebagai umat Islam isu Palestin juga perlu diberi keutamaan yang sewajarnya kerana di sana jugalah terletaknya kiblat pertama kita iaitu Baitul Muqaddis yang sekarang menjadi sasaran utama puak pelampau Yahudi untuk di jadikan kuil sembahan mereka. Wartawan Palestinkini , Maszlee Malik mempunyai butiran lanjut …

Seseorang yang keluar merantau ke luar negara pasti akan pulang juga ke negara asalnya. Masakan tidak, seperti kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, negeri sendiri juga yang dekat di hati. Itulah fitrah kejadian manusia, cintakan tanah air tempat tumpah darahnya. Itu jugalah yang pernah dialami oleh Rasulullah S.A.W., penghijrahan Baginda ke Madinah tidak pernah sedikit pun meluputkan kecintaannya terhadap bumi Makkah. Pembukaan kota Makkah yang gemilang itu merupakan kemuncak kecintaan Baginda kepada bumi tempat kelahirannya itu. Sayangnya, ada di antara manusia di muka bumi ini, di millenium kedua Masihi ini masih tidak pasti, adakah mereka akan dapat pulang semula ke negara asal kelahiran mereka ataupun tidak. Itulah nasib yang menimpa rakyat sebuah negara yang dulunya dikenali sebagai Palestin. Penjajahan rejim Zionis ke atas negara mereka telah menjadikan mereka buangan dari negara sendiri. Lebih malang lagi, mereka bagaikan dipaksa untuk menerima hakikat tersebut.

Syeikh Taysir ketika ucap tamanya


Selepas lebih daripada setengah abad rakyat Palestin berada di dalam buangan dan tidak lagi menjadi tuan di negara sendiri, kini mereka bagaikan dapat menghimpunkan momentum yang baru. Darah Muhammad al-Durrah yang menitis membasahi bumi Palestin telah menjadi pencetus kepada Intifadah 2000 yang telah mencelikkan mata dunia. Jika suatu dahulu dunia bagaikan alpa mengenai nasib rakyat Palestin, semenjak September 2000, paksi mereka telah berubah, dari sinis kepada simpati. Gambar al-Durra dan juga anak-anak Palestin yang menjadi mangsa mamahan peluru tentera rejim Zionis telah menjadi modal untuk meluluhkan hati manusia dari pelbagai lapisan yang menatapnya. Kini masyarakat dunia mula membicarakan kebali persoalan hak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka. Dari Eropah sehinggalah ke Putrajaya, masyarakat sivil dan juga kerajaan negara-negara yang terlibat tidak terlepas menjadikan isu Palestin sebagai salah satu isu utama di dalam mana-mana persidangan bertaraf antarabangsa dan juga yang melibatkan isu hak asasi manusia. Isu resolusi 194 PBB yang menjamin hak rakyat Palestin untuk pulang ke negara asal mereka mula berkumandang kembali.

Rakyat Palestin sememangnya berhak untuk kembali ke tanah air mereka yang kini telah ditukarkan namanya kepada Israel dan ditukarkan identitinya daripada negara Arab yang terkandung di dalamnya komuniti Islam-Kristian-Armenian, kepada negara Ibrani yang berteraskan ideologi Zionisme yang rasis dan Apartheid. Bagi rakyat Palestin, walau bagaimanapun, itu semua bukanlah alasan untuk tidak membenarkan mereka pulang ke tanah asal mereka. Bumi itu tetap menjadi hak mereka, dulu, kini dan sehinggalah ke hari kiamat nanti. Penjajahan rejim Zionis ke atas tanah tersebut, menurut mereka adalah sebahagian daripada siri terakhir fasa kolonialisme dunia yang sedang menuju kehancurannya. Seperti kegemilangan empayar Soviet, dan mana-mana empayar sebelumnya merentasi dada sejarah, rejim Israel juga akan lenyap dan berkubur dan akhirnya menjadi satu pelajaran di dalam subjek sejarah dunia di sekolah-sekolah di serata dunia. Itulah realiti yang hanya Allah sahaja tahu bila ianya akan berlaku.

Wakil Parti Sosialis Austria

Di atas kesedaran inilah, Palestinian Expatriates Asociation Austria, Palestine Media Association Austria dan juga Palestinian Return Center London telah menginisiatifkan ?Muktamar Haq al-`Audah? (Persidangan Hak untuk Kembali Rakyat Palestin) di Vienna, Austria pada 7 May 2005. Persidangan itu merupakan siri ketiga daripada siri persidangan rakyat Palestin di Eropah yang pernah diadakan di London pada tahun 2003 buat kali pertamanya, dan di Berlin pada tahun lepas. Persidangan yang telah berjaya menghimpunkan hampir 1000 rakyat Palestin yang bermukim di serata negara Eropah ini menjadi ?hub? yang menghubungkan jiwa-jiwa rakyat Palestin dan menyuburkan perasaan cinta mereka terhadap watan asal mereka yang kini masih lagi di dalam jajahan rejim Zionis Israel. Perhimpunan yang menghimpunkan rakyat Palestin dari pelbagai fraksi, pelbagai latar belakang agama dan ideologi telah menyatukan mereka dengan ikrar untuk kembali ke tanah air mereka, dan terus menyuburkan semangat cintakan Palestin kepada generasi muda. Selepas tiga kali dijalankan, ianya membuahkan hasil yang amat memberangsangkan, menurut Majid al-Zeer, pengarah persidangan tersebut kali ini, dan juga merupakan pengarah Palestinian Return Centre di London.

Lebih meriah lagi, persidangan kali ini telah berjaya menarik lebih ramai perwakilan dari kalangan rakyat Palestin dari pelbagai negara Eropah. Perwakilan dari UK, Germany, Itali, Sweden, Perancis, Belanda, Switzeland, Romania, Denmark, Poland, Czech dan pelbagai negara lagi telah berhimpun di Vienna untuk satu tujuan, mengatakan kepada dunia, mereka masih lagi ingin pulang ke Palestin, dan mengatakan kepada rejim Zionis, mereka akan pasti pulang. Tidak kiralah samada yang hadir itu pro-Islamis, pro-Fatah, pro-Sosialis, pro-Nasionalis, pro-Marxis, dan pelbagai fahaman lagi, itu semua tidak menghalang mereka untuk bersatu suara di dalam perhimpunan ini untuk meluluskan beberapa resolusi berkaitan survival rakyat Palestin di luar dan di dalam Palestin sendiri. Persidangan ini juga dilihat sebagai jawapan yang tegas kepada cadangan George W Bush pada tahun 2003 agar rakyat Palestin melupakan hak mereka untuk kembali ke tanah air mereka semula, kerana rejim Zionis Israel telah menjadi negara yang berdaulat yang mesti mereka iktiraf dan hormati. Ianya juga merupakan jawapan tegas kepada tindakan Abu al-Lutf (Farouq Qaddumi) dari gerakan Fath yang telah menginisiatifkan resolusi Geneva yang bersetuju untuk menggadaikan hak rakyat Palestin untuk kembali dengan digantikan dengan bayaran gantirugi oleh rajim Zionis kepada setiap mereka yang telah diambil tanahnya.

Penulis bersama Rashad Abu Shawer

Persidangan ini telah dirasmikan sendiri oleh wakil Presiden Austria dan juga wakil umat Islam Austria di Parlimen Vienna, Ir. Umar Rawi. Ianya juga telah dihadiri oleh perwakilan dari luar lingkungan rakyat Palestin, seperti wakil Parti Sosialis Austria, wakil komuniti Turki Austria, wakil komuniti umat Islam Austria, wakil badan-badan kebajikan Palestin dari Malaysia, Bangladesh, Bosnia dan dari serata dunia. Kesemuanya telah melahirkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan berikrak untuk turut membantu meringankan kesengsaraan rakyat Palestin serta membantu perjuangan mereka untuk mendapatkan kembali hak mereka yang telah dicabuli oleh rejim Zionis. Hak untuk kembali berteraskan resolusi 194 PBB telah dijadikan modal untuk masing-masing mempromosikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke negara mereka berteraskan prinsip kemanusiaan, undang-undang dan juga agama, tidak kiralah apa agama sekali pun. Lebih meriah lagi, Syeikh Taysir al-Tamimi, ketua para Qadi di Baitul Madqis (Jerusalem) yang juga merupakan rakan karib Yasser Arafat telah diberikan penghormatan untuk memberikan ucap tama pada persidangan ini. Wakil dari gereja Ortodoks Baitul Maqdis, Archimandrite Atta Allah Hanna juga telah diberikan penghormatan untuk memberi ucaptama kedua yang dilakukan melalui tele konferens kerana perintah berkurung yang telah dikenakan ke atas beliau di Baitul Maqdis. Syeikh Taysir di dalam ucap tamanya telah menyeru umat Islam agar turut merasakan isu Palestin sebagai isu aqidah dan bukan hanya semata-mata isu rakyat Palestin dan isu rakyat Arab sahaja. Beliau juga menyeru agar masyarakat dunia mencelikkan mata mereka di atas dasar kemanusiaan dan keadilan untuk turut bersama-sama menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin dan memberikan tekanan kepada rejim Israel yang merupakan pengganas nombor wahid di dunia kontemporari ini. Selain daripada itu, beliau juga menyeru umat Islam untuk bangkit mempertahankan Masjid al-Aqsa yang kini sentiasa diancam oleh golongan ektrimiks Yahudi yang bercita-cita hendak merobohkannya. Beliau telah menyeru umat Islam sedunia untuk melakukan sesuatu, kerana golongan ekstrimis tersebut telah bercadang untuk merempuh masuk dan menodai kesucian Masjid al-Aqsa pada hari Isnin, 9 Mei 2005. Dia melahirkan rasa kesal terhadap para pemimpin negara Islam yang hanya membantu terhadap ancaman-ancaman ekstrimis Yahudi tersebut, yang bukan kali pertama ianya dilakukan, malah sudah masuk kali kedua puluh Masjid al-Aqsa menerima ancaman sedemikian semenjak tahun 1928 lagi. Kemuncak kesucian Masjid al-Aqsa dinodai selepas ianya pernah dibakar pada 21 Ogos 1969, ialah pada September 2000, apabila perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon dan ratusan tenteranya telahmemasuki Masjid tersebut dengan berkasut dan lengkap bersenjata. Beliau mengakhiri ucapannya dengan mengatakan, barang siapa yang menafikan dan menggadaikan hak untuk kembali rakyat Palestin, dia telah mengkhianati rakyat Palestin, para syuhada, bumi Palestin dan agamanya sendiri.

Ahmed Jad Allah

Sessi pembentangan kertas kerja pula merupakan acara yang paling ditunggu-tunggu oleh para peserta persidangan. Para pembentang dari pelbagai latar belakang telah hadir untuk bersama-sama membincangkan dua persoalan utama yang menjadi tema persidangan ini, iaitu persoalan hak untuk kembali rakyat Palestin dan juga persoalan tembok pemisah Apartheid yang telah dibina oleh rejim Zionis di Tebing Barat. Antara yang hadir membentangkan kertas kerja ialah, Dr. Hayat al-Mismi, rakyat Palestin yang kini menjadi ahli parlimen di Jordan, beliau telah membawa pandangan majoriti rakyat Palestin di Jordan yang masih setia terhadap bumi Palestin walaupun hampir 1.5 juta dari kalangan mereka telah menjadi warganegara Jordan. Beliau juga menafikan khabar angin yang mengatakan rakyat Palestin di Jordan bersetuju untuk menggadaikan hak mereka untuk pulang seperti yang telah digembar-gemburkan oleh media pro-Zionis. Di sudut yang lain pula, Rashad Abu Syawer, sasterawan dan seniman Palestin yang terkenal dengan hasil-hasil penulisannya berkaitan dengan kehidupan rakyat Palestin telah berjaya menarik hati para perwakilan dengan pengalaman bapanya, pengalamannya dan juga anaknya yang kesemuanya hidup dalam buangan. Beliau telah membentangkan tajuk peranan para penggiat seni terhadap perjuanga rakyat Palestin. Beliau juga tidak lupa untuk menyanjung jasa sasterawan Palestin terkenal, Ghassan al-Kanafani yang telah banyak mengajarnya mengenai sastera dan perjuangan rakyat Palestin. Abdullah al-Horani pula, seorang ahli politik yang juga mantan pimpinan PLO dari tahun 1984 sehingga 1996 juga telah hadir untuk berkongsi dengan para perwakilan pengalaman dan juga analisisnya terhadap isu hak rakyat Palestin untuk kembali. Beliau yang telah dipecat dari PLO kerana bertindak membantah Oslo 1993 telah menegaskan sebarang usaha untuk menggadaikan hak kembali rakyat Palestin ke tanah air mereka seperti yang diinisiatifkan oleh Farouq Qaddumi melalui resolusi Geneva merupakan pengkhiantan terhadap bumi Palestin itu sendiri. Beliau telah menyeru semua fraksi untuk bersatu untuk menjayakan cita-cita mereka dan mengenepikan perselisihan dan khilaf yang wujud di antara mereka.

Pementasan anak-anak Palestin Austria


Dr. Raid al-Nairat, mewakili blok ahli akademik pula telah membentangkan kertas kerja mengenai `Tembok Pemisah dan mentaliti rakyat Israel?. Beliau telah membawa statistik-statistik yang menunjukkan bahawa rakyat Yahudi Israel semakin kecl bilangan demografinya, serta semakin hilang perasaan aman dan tenteram. Penyakit jiwa akibat tekanan juga menjadi satu fenomena biasa di kalangan mereka, di samping phobia mereka terhadap serangan rakyat Palestin yang berterusan. Beliau juga telah membawa statistik mengenai kesan tembok pemisah kepada kehidupan rakyat Palestin dan juga objektif tersembunyi rejim Zionis di sebalik pembinaan tembok tersebut, iaitu ?pembersihan etnik? (ethnic cleansing) secara halus terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat. Dr. Munir Shafiq, pemikir Palestin yang terkenal pula telah berjaya memberikan semangat kepada para perwaklian dengan analisis dan juga cadangan-cadangannya untuk setiap fraksi perjuangan Palestin. Sebagai seorang Kristian yang kemudiannya menjadi seorang sosialis, dan akhirnya memeluk Islam dan menyertai blok Islam, telah menegaskan pendiriannya yang menolak sebarang usaha perletakan senjata terhadap rejim Zioni yang tidak pernah hormat dengan apa-apa perjanjian. Beliau juga menyeru agar Intifadah diteruskan dan menggesa agar gerakan Islam dan gerakan Nasionalis tidak dibuai dengan permainan politik yang hanya akan merugikan waktu mereka. Menurutnya, tekanan Intifadah yang berterusan dengan momentumnya yang tersendiri akan berjaya membuatkan rejim Zionis menemukan penghujung hayat mereka. Agak menarik, walaupun beliau merupakan antara pengasas gerakan Fath dan juga mantan pimpinan PLO untuk sekian lama, beliau tidak bersetuju langsung kini dengan polisi yang diambil oleh gerakan Fath untuk bersikap lunak terhadap rejim Zionis.

Penulis bersama Dr Munir Shafiq (berdiri)


Sessi terakhir pembentangan kertas kerja pula diakhiri dengan perkongsian pengalaman oleh Ahmed Jad Allah (baca: Jadallah), seorang jurugambar dan juga wartawan reuters. Jihad beliau adalah melalui lensa kameranya. Beliau telah memenangi hadiah juru gambar terbaik di Timur Tengah pada tahun 2001 yang dianugerahkan oleh Raja Belanda. Gambar-gambar yang diambilnya kebanyakannya berkisar tentang kesengsaraan kanak-kanak Palestin, dan telah berjaya dipamerkan di kebanyakan negara-negara Eropah. Melalui gambar-gambarnya, pandangan umum rakyat Eropah berjaya dialihkan unutk bersimpati kepada rakyat Palestin. Gambar-gambar yang diambil oleh beliau juga telah dijadikan bahan bukti di Parlimen British dalam usaha membentuk polisi Parlimen tersebut terhadap rejim Zionis. Jihadnya ini telah menjadikan dirinya ditembak sebanyak tiga kali oleh para tentera Zionis. Kemuncaknya, pada tahun 2003, beliau telah terkena serpihan peluru kereta kebal Merkava milik tentera rejim Zionis yang telah membuatkannya lumpuh selama enam bulan dan terpaksa menerima rawatan di London untuk membolehkan beliau berjalan semula.

Di penghujung persidangan ini, para perwakilan telah dihiburkan dengan nasyid-nasyid perjuangan oleh kumpulan nasyid al-I’tisam dari Lubnan dan juga persembahan nasyid oleh anak-anak Palestin di Austria. Para perwakilan juga ada yang mengambil kesempatan untuk melakukan tarian Dabka (tarian tradisi rakyat Palestin) sambil mengikuti alunan irama perjuangan yang rancak dan bertenaga. Di penghujung persidangan ini, beberapa resolusi telah diambil dan juga sebanyak Euro 10,000 telah berjaya dikumpulkan untuk anak-anak yatim Palestin.