
Isnin , 25/01/2010 – Pejabat Speaker Dewan Perundangan Palestin mengutuk tangkapan yang dilakukan oleh militia Abbas terhadap 6 pegawai yang bertugas di pejabat wakil-wakil rakyat al-Harakah al-Islamiyyah di bandar Ramallah, sambil menegaskan tindakan tersebut menjadi isyarat jelas bahawa perdamaian nasional tidak ingin dicapai oleh pihak-pihak tertentu. Ia juga menjadi bukti terhadap langkah keselamatan buruk yang digunakan di Tebing Barat sekarang yang juga turut disifatkan sebagai tindakan ‘lanun yang jijik’.
Dr Ahmad Bahr, Timbalan Speaker I berkata dalam satu kenyataan pada hari Ahad (24/1) kepada Pusat Media Palestin: “Langkah ini bertujuan menghapuskan sebarang kemungkinan untuk merealisasikan perdamaian dan melebarkan lagi jurang perpecahan politik dan geografi. Ia juga bertujuan meneruskan penindasan terhadap rakyat Palestin dan mengekalkan kepungan terhadap mereka bagi tujuan-tujuan dan matlamat yang keji dan tidak patriotik.”
Beliau juga menganggap tindakan tersebut sebagai bukti kejelekan yang sedang berlaku di Tebing Barat kini, yang membenarkan kebebasan dicabuli, institusi-institusi kerajaan ditutup dan kemanusiaan rakyat Palestin dihina. Beliau juga memberi amaran tindakan jenayah yang berlaku pada hari ini mungkin akan menjadi mukadimah kepada siri baru jenayah dan pencerobohan pada masa akan datang.
sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir