Selasa , 09/02/2010 – Kementerian Dalam Negeri kerajaan Palestin yang sah menegaskan ia tidak akan membenarkan kekacauan melanda semula Semenanjung Gaza sambil menyatakan ia masih menjalankan siasatan bagi mengetahui pihak yang terlibat dalam kebanyakan kejadian pengeboman yang berlaku di Semenanjung Gaza akhir-akhir ini.
Ihad al-Ghasin, jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata dalam satu kenyataan kepada Pusat Media Palestin pada hari Isnin (8/2): “Siasatan masih berjalan. Pihak keselamatan mempunyai banyak maklumat yang membolehkan tangkapan dilakukan beberapa hari lagi terhadap pihak yang terlibat. Mereka akan dihadapkan ke mahkamah agar mereka menerima hukuman setimpal terhadap jenayah yang mereka lakukan terhadap rakyat Palestin.”
Beliau seterusnya menjelaskan kebanyakan kejadian pengeboman tersebut berbentuk individu dan bilangan mereka hanya sedikit. Beliau juga menegaskan tindakan individu tersebut tidak didalangi oleh mana-mana pihak.
Beberapa kejadian pengeboman telah berlaku akhir-akhir ini di semenanjung Gaza. Terakhir pengeboman berlaku kepada sebuah jib yang dimiliki Pertubuhan Palang Merah di selatan Gaza.
sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir