Jumaat , 15/07/2005 –
Pertubuhan Pro-Tahanan Palestin menganjurkan kursus psikologi dan juga kursus-kursus akademik bagi membantu anak-anak lelaki yang mungkin menghadapi tekanan kesan daripada penahanan bapa-bapa mereka di penjara-penjara Israel.
Koordinator pertubuhan tersebut, Ghadir Gharib berkata bahawa langkah untuk menangani masalah yang dihadapi oleh anak-anak tahanan ini difokuskan kepada aspek psikologi berikutan anak-anak lelaki ini dinafikan peranan kasih sayang seorang bapa.
Kursus-kursus yang dijalankan ini melibatkan kanak-kanak lelaki berumur 4-6 tahun yang
memperlihatkan simtom masalah psikologi termasuk pelakuan agresif, ketakutan, neurosis,
masalah pertuturan, kurang tumpuan dan sebagainya.
Permasalahan ini akan dirawat melalui beberapa kaedah yang dapat menarik minat kanak-kanak yang terlibat melalui lukisan dan permainan di mana kanak-kanak ini akan dapat mengekspresi diri mereka dengan lebih berkesan seterusnya menghilangkan tekanan yang dipendam.
Ghadir juga menerangkan bahawa kebanyakan ibu-ibu tidak menyedari bahawa anak-anak
lelaki mereka berkemungkinan menghadapi masalah-masalah psikologi dan sosial. Dan
golongan ibu juga memerlukan sokongan bagi membesarkan anak-anak mereka
yang bermasalah.
Berkaitan dengan kursus akademik yang dijalankan pula, Ghadir menerangkan bahawa subjek-subjek yang akan diterapkan adalah seperti pelajaran Bahasa Arab, Matematik dan Inggeris supaya dapat meningkatkan lagi daya pembelajaran kanak-kanak, khususnya bagi
kanak-kanak di peringkat menengah dan rendah.
Selaku koordinator Pertubuhan Pro-Tahanan Palestin, Ghadir mengaku bahawa keadaan
psikologi yang dihadapi oleh kanak-kanak ini adalah kesan langsung tindakan Israel yang menangkap serta memenjarakan bapa-bapa mereka tanpa perikemanusiaan. Kezaliman ini disengajakan agar dapat ditanamkan ketakutan di dalam jiwa-jiwa anak-anak ini.