Apakah kaitan Star Wars dengan Palestin ? Kenapa tergamak Maszlee Malik mengaitkan filem ‘berhantu’ ini dengan isu Palestin ? apakah beliau sudah kekeringan idea ?? Sama? kita saksikan …
Star Wars muncul lagi!, kali ini kemunculannya merupakan penamat bagi saga enam siri filem arahan George Lucas tersebut. Seperti kata-kata yang terdapat di dalam majalah TIME yang menjadikan cerita Star Wars sebagai isu utamanya, ?Penghujung Star Wars?. Kedatangan semula siri ketiga (walaupun menurut turutan penerbitan, ianya adalah siri yang keenam) ini bagaikan hujan yang turun membasahi kegersangan di hati para peminat saga enam siri tersebut yang menanti-nantikan jawapan muktamad apakah yang menyebabkan munculnya Darth Vader (watak paling jahat dalam saga ini).
Beliau yang pada asalnya seorang Padawan (pelatih) Jedi bernama Anakin Skywalker (menurut periwayatan NST, STAR dan lain-lain akhabr hiburan) telah bertukar menjadi pembunuh para pahlawan Jedi yang lain. Yang utamanya, kedatangan semula Star Wars ini telah menyaksikan demam Star Wars merebak ke seluruh dunia, malah negara kita, Malaysia juga tidak terlepas dari diserang wabak demam Star Wars ini.
Kedatangan Star Wars ini telah mengingatkan penulis kepada kenangan silam lebih 20 tahun yang lalu. Sebagai anak JB, kebanyakan budaya yang kami amalkan agak lebih kurang dengan budaya orang Melayu Singapura. Malah, jika ditanyakan saluran TV manakah yang kerap ditonton oleh masyarakat JB, nescaya lebih ramai menonton SBC (sekarang TCS) berbanding RTM 1 dan RTM 2 pada waktu itu. Tidak hairanlah di waktu itu, ramai anak-anak JB yang akan ke Singapura semata-mata untuk membeli figurin-figurin Star Wars yang tidak mereka temukan di Malaysia pada ketika itu. Penulis sendiri tidak ketinggalan, tahun-tahun 1983 menyaksikan koleksi figurin-figurin Darth Vader, Boba Fet, Chew Bacca, Luke Skywalker dan lain-lain watak menghiasi kotak permainan di rumah penulis.
Salah satu watak dalam Star War yang digilai peminat
Kini demam Star Wars menyerang kembali dunia, dan penulis mengalaminya dengan keadaan yang berbeza. Jika dulu, diri sendiri telah menjadi mangsa demam tersebut, kini penulis hanya menjadi penyaksi kepada kegilaan demam itu sahaja.
Agama Jedi
Demam yang melanda dunia sewaktu pelancaran filem Star Wars di pawagam-pawagam di seluruh Malaysia menyaksikan bagaimana anak-anak muda Malaysia meniru bulat-bulat gelagat peminat-peminat fanatik saga enam siri ini di barat. Ada yang pergi menontonnya dengan memakai sut lengkap Darth Vader, ada yang berpakaian ala pahlawan Jedi, ada yang mengendung patung Yoda di belakangnya, malah ada yang menyaksikan filem tersebut lebih daripada enam kali semata-mata ingin mengecap kepuasan menonton filem yang dianggap sebagai keramat itu.
Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia agak bernasib baik kerana tidak terpengaruh dengan kemunculan agama “Jedi” yang diilhamkan dari filem Star Wars, dan kini sedang menular aktif di UK dan juga Australia. Agama “Jedi” berinspirasikan ide “The Force” yang mengawal kehidupan ciptaan George Lucas ini telah menarik ramai anak-anak muda untuk beriman kononnya merekalah pahlawan-pahlawan Jedi yang bertanggung jawab menjaga keamanan dunia. Di Australia sahaja, menurut kajian yang dijalankan oleh BBC pada tahun 2002 telah menunjukkan bahawa 70,000 daripada rakyat Australia mempercayai agama tersebut, manakala 5,000 yang lain pula beriman bahawa mereka adalah pahlawan Jedi yang dikuasai oleh “The Force”.
Fenomena agama Jedi, walaupun tidak melanda Malaysia dan juga negara-negara majoriti umat Islam yang lain, namun demam Star Wars tetap dirasai. Lihat sahajalah makanan-makanan ringan, syarikat-syarikat telefon mudah alih, syrakiat telekomunikasi dan juga syarikat-syarikat perniagaan yang mengambil peluang meraih pelanggan mereka melalui iklan-iklan yang menampilkan ikon-ikon Star Wars.
Banyak gergasi koprat mengaut keuntungan dengan filem ini
Pendekata, filem futuristik yang menampilkan hero-hero khayalan ini telah mendapat tempat yang amat istimewa di hati sebilangan besar penduduk dunia di milenneum ini. Malangnya, nasib bertuah dan sambutan yang istimewa ini tidak dapat dikecapi oleh drama dua belas (12) siri mengenai pahlawan dunia sebenar yang memperjuangkan kemerdekaan negaranya.
Drama mengenai Yahya Ayyash hasil produser yang baru naik di dunia perfileman di Timur Tengah, Basil al-Khalid ini bukan hanya tidak berjaya menmbuatkan penonton di serta dunia demam, malah di kalangan negara-negara Arab dan umat Islam pun, drama dua belas siri yang memaparkan perjuangan umat Islam di Palestin membebaskan negara mereka ini tidak langsung dikenali. Siapakah Yahya Ayyash hero drama 12 siri arahan Basil ini?
Yahya Ayyash
Beliau merupakan salah seorang daripada pemimpin muda briged komando al-Qassam, sayap ketenteraan gerakan HAMAS di Paelstin. Beliau telah lulus dengan cemerlang dari Universiti Beir Zeit, pada tahun 1988 di dalam bidang “Kejuruteraan eletrik”. Menjadi pakar membuat bom dan pakar strategi serangan-serangan ke atas konvoi-konvoi tentera rejim Zionis. Beliau telah melatih 200 orang komando di bawahnya untuk membuat bom, hatta daripada ubat batuk yang boleh didapati dari farmasi-farmasi. Digelar sebagai “al-Muhandis” yang bermaksud “Jurutera”(The engineer).
Yahya Ayyash- Pahlawan Jedi di alam nyata
Selepas peristiwa masjid al-Khalil yang mengorbankan 50 orang awam Palestin di tangan pengganas Zionis Baruch Goldstein pada tahun 1994, banyak serangan-serangan ke atas tentera rejim telah diaturkan dan dirancang oleh beliau. Semenjak dari tarikh itu beliau telah menjadi buruan Shin Bet, badan perisikan rejim Zionis yang bertanggung jawab membunuh pemimpin-pemimpin Palestin. Beliau pernah hidup selama dua tahun menyamar sebagai rabbi Yahudi ortodoks sehingga tidak dapat ditangkap oleh pihak perisikan rejim. Di bawah perancangannya sahaja, ratusan tentera rejim telah terkorban di tangan para komando al-Qassam.
Bukan sekadar itu sahaja, beliau juga telah menjadi sifu bagi para komando lain untuk mencipta bahan letupan dari bahan-bahan mudah seperti gula, ubat batuk dan bahan-bahan kimia yang boleh didapati dari farmasi. Di bawah pimpinannya sahaja, lebih 200 komando terlatih al-Qassam telah dilatih untuk menghadapi tentera-tentera Zionis yang lengkap dengan persenjataan moden. Kewujudan beliau jelas merupakan mimpi buruk kepada para tentera rejim Zionis.
Kejayaan-kejayaan operasi yang dirancang oleh Ayyash juga telah memberikan inspirasi kepada para pemuda Palestin bahawa mereka sebenarnya masih mempunyai harapan untuk menentang rejim Zionis yang menjajah bumi tercinta mereka. Bagaikan peperangan di antara Daud yang kecil dengan Jalut si gergasi, rakyat Palestin, terutamanya kaum muda mereka mula kembali ke lapangan perjuangan untuk menentang pihak tentera Zionis demi kemerdekaan negara mereka. Semuanya adalah hasil tiupan semangat dan keberanian pelajar terbaik fakulti kejuruteraan Universiti Beir Zeit yang bernama Yahya Ayyash.
Beliau telah mendapat jolokan “The Engineer” kerana kepakarannya di dalam mencipta bom dan juga kepakarannya merancang strategi untuk menyerang pihak tentera-tentera rejim. Pendekata beliau telah menjadi ikon perjuangan rakyat Palestin samada di dalam mahupun di luar Palestin.
Pengkhianatan
Pada 5 Januari tahun 1996, melalui kerjasama tali barut mereka dari kalangan rakyat Palestin, pihak Shin Bet telah berjaya membunuh Ayyash di rumah rakannya di Beit Lahia, Gaza. Beliau telah menjadi mangsa letupan bom yang telah dipasang di telefon bimbitnya oleh tali barut tersebut. Menurut sumber Palestin, tali barut yang bertanggung jawab menyebabkan kematian Ayyash itu telah diberikan ganjaran USD 4 juta dan diterbangkan serta merta sebaik sahaja kematian Ayyash.
Yang menariknya, pihak rejim langsung tidak memberikan respon samada mengaku bertanggung jawab ataupun menafikan keterlibatan mereka di dalam peristiwa pembunuhan tersebut. Walau bagaimanapun, tiga hari selepas peristiwa tersebut, ketua Shin Bet pada waktu itu, Carmi Gillion telah meletakkan jawatannya tanpa sebarang sebab.
Kepahlawanan, keberanian dan juga kepandaian Ayyash ini telah memikat hati penerbit filem dari negara Arab yang baru menyinar, Basil al-Khalid, anak kepada sasterawan Syria yang terkenal Yusuf al-Khalid. Jika sebelum ini, beliau telah menghasilkan filem-filem dokumnetari dan juga juga cerita filem kanak-kanak mengenai Palestin, percubaan beliau kali ini amat berani. Basil telah menghasilkan drama 12 siri mengenai riwayat hidup Yahya Ayyash “The Engineer”. Dengan melakukan kajian terhadap riwayat hidup Ayyash dan juga gerakan HAMAS, beliau telah melakukan tindakan nekad dengan pergi ke Palestin untuk menemuramah keluarga Ayyash untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai Ayyash. Setelah selesai pengkajiannya selama bertahun-tahun mengenai Ayyash, beliau telah melakukan tindakan nekad kedua dengan menukarkan ide-idenya ke layar Televisyen.
Pelaburan yang merugikan!
Bila ditanyakan kepada Basil mengapakah beliau sanggup menghasilkan drama bersiri yang tidak akan memberikan keuntungan kepadanya, beliau menjawab: “Ayyash merupakan seorang yang unik, menarik dan layak dijadikan satu ikon sepanjang zaman kepada perjuangan membebaskan Palestin dari jajahan rejim Zionis”. Beliau juga meluahkan hasrat hatinya untuk memberitahu dunia melalui drama bersirinya itu tentang jihad sebenar rakyat Palestin dan apakah yang telah membuatkan para pemuda Palestin begitu bersemangat untuk mengorbankan waktu muda mereka semata-mata untuk kemerdekaan bumi Palestin.
Kisah as-syahid ini telah difilemkan, malangnya negara Arab tidak mempedulikan
Baginya juga, dunia wajib mengetahui keadaan sebenar di Paelstin dan psikologi para pejuang Palestin sebelum menghukum mereka secara membuta tuli. Mengenai kerugian yang ditanggungnya pula, padanya ia berbaloi sebagai usaha kemasyarakatan dan perjuangannya untuk bumi Palestin. Beliau juga menerangkan perihal kepayahan menghasilkan filem yang mana sebahagian besar penggambaran drama tersebut dilakukan di dalam bumi Palestin yang dijajah itu. Drama 12 siri itu telah ditulis skripnya oleh isteri Basil sendiri, Diana Jbour, pengkritik filem dan juga pengarah urusan saluran TV Syria.
Sayangnya, usaha beliau ini langsung tidak mendapat perhaitan saluran-saluran televisyen di negara-negara Arab, mahupun di negara-negara Islam. Hanya saluran televisyen satelit al-Manar milik Hizbullah di Lubnan sahaja yang berminat membeli drama tersebut dan menayangkannya kepada penonton di seluruh tanah Arab.
Sayangnya saluran al-Manar tidak dapat dipancarkan lebih jauh daripada itu. Mungkin TV3, NTV 7, Astro Ria ataupun mana-mana saluran televisyen di Malaysia ini boleh mempelopori usaha memperkenalkan umat Islam di tanah air ini kepada hero mereka di alam realiti melalui drama 12 siri Yahya Ayyash. Jikalau drama Yahya Ayyash tidak dapat menyebabkan keseluruhan rakyat Malaysia demam seperti demam “Star Wars iii” pun, sekurang-kurangnya, mereka dapat dididik untuk hidup di alam realiti!