HAMAS dan PA bersetuju menamatkan perbalahan di Gaza

Khamis , 21/07/2005 – Setelah proses perundingan yang memakan masa berjam-jam lamanya, Gerakan Pejuang Islam, HAMAS dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) telah bersetuju untuk menamatkan isu tembak-menembak dan pertelingkahan yang berlaku di antara kedua-dua kumpulan berkenaan.

Di persidangan media yang diadakan di Gaza, Ketua bagi Kumpulan HAMAS, Nizar Rayyan dan Menteri yang mewakili PA, Sufyan Abu Zaydeh telah mengumumkan bahawa semua pejuang-pejuang mereka yang terlibat telah pun diarah pulang ke rumah masing-masing.

“Tiada yang lebih baik untuk kami selain daripada bersatu menentang musuh,” tambah Rayyan. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneruskan rundingan dan untuk tidak menggunakan
keganasan di dalam menangani sesuatu isu.

Di dalam insiden Selasa lepas, pertempuran di antara pejuang-pejuang FATAH dan HAMAS di
kem pelarian Jabalya dan di Beit Lahya, Utara Semenanjung Gaza telah mengakibatkan lebih
daripada 20 orang cedera.

Perjanjian yang dibuat ini juga menggariskan larangan berkenaan pengeluaran kenyataan-kenyataan provokatif oleh kedua-dua belah pihak. Perbalahan yang berlaku di antara Kumpulan HAMAS dan FATAH menggemparkan
masyarakat Palestin dan telah memaksa para ulama dan badan-badan NGO untuk
campurtangan di dalam urusan kedua-dua belah pihak bagi meredakan keadaan.

Beberapa siri rundingan yang diadakan sebelum ini di antara Timbalan-Ketua Perisikan Mesir,
Mustafa al Beheiri dengan PA dan juga kumpulan-kumpulan pejuang lain telah menghasilkan perjanjian bertulis bagi menghentikan pertempuran dengan Israel buat sementara waktu.

Al Beheiri mengharapkan agar dapat memulihkan keadaan di Palestin bagi memastikan proses pengunduran tentera dan penduduk Israel dari Semenanjung Gaza berjalan lancar tanpa
sebarang insiden.