Rabu, 26/05/2010 – Helen Pettersson, anggota Demokrasi Sosial di Parlimen Sweeden menghantar tuntutan bertulis kepada Menteri Luarnya, Carl Bildt supaya kerajaan Sweeden melakukan apa sahaja bagi melindungi kapal yang belayar ke Gaza dalam misi keamanan, kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang.
Tuntutan Petterson adalah seperti berikut :
“Sebanyak 1.5 juta penduduk Palestin kini hidup dalam pengasingan di Semenanjug Gaza, dalam kesengsaraan yang maha dahsyat. Mereka kekurangan makanan, ubat-ubatan dan keperluan-keperluan asas yang lain seperti bahan binaan untuk membaiki rumah, sekolah dan bangunan-bangunan lain yang telah musnah akibat dibom semasa perang pada sambutan Krismas 2008. Bagi membaiki keadaan, Pelayaran ke Gaza merancang untuk mengikut jalan laut ke Gaza dengan membawa ubat-ubatan, alat penapis air laut, simen dan sebagainya demi untuk membantu mereka yang begitu memerlukan di sana. Pelayaran ke Gaza ini adalah bebas daripada unsur politik dan agama, serta didokong oleh organisasi-organisasi yang bukan mencari keuntungan yang sentiasa berusaha untuk menegakkan hak-hak kemanusiaan dan undang-undang umum antarabangsa. Kerajaan rejim Zionis kini telah mengancam untuk menghentikan Pelayaran ke Gaza dan akan menggunakan kekerasan jika ‘perlu’. Tidakkah Menteri Luar berhajat untuk melindungi inisiatif kemanusiaan ini?”
sumber : The Palestine Telegraph
penterjemah : salwa