Khamis, 04/08/2005 – Rakyat Palestin di beberapa bandar, termasuk di Jerusalem, menunaikan solat jenazah ghaib ke atas rohnya, Raja Fahad (gambar) yang meninggal dunia pada Isnin lepas.
Sheikh Mohammed Juma’a, Imam dan khatib di Masjid Al-Aqsa , telah mengimamkan solat berkenaan di Masjid Al-Aqsa sebelum memberikan khutbah bagi memperingati jasa-jasa Raja Fahad terhadap Masjid tersebut dan juga kepada rakyat Palestin. “Rakyat Palestin akan sentiasa memperingati Raja Fahad dan pendiriannya di dalam menyokong Perjuangan Palestin dengan menghulurkan bantuan-bantuan kewangan kepada institusi kebajikan dan juga di universiti-universiti bagi meringankan bebanan rakyat”, ujar Sheikh tersebut.
Puak Kristian Palestin juga turut memberi penghormatan terakhir kepada raja tersebut dengan membunyikan loceng-loceng di gereja mereka. Jurucakap bagi pihak Kristian Ortodoks, Archimandrite Atallah Hanna, turut memuji pendirian Raja Fahad di dalam usahanya bagi menegakkan keadilan di bumi Palestin.