Jumaat , 05/08/2005 – Sheikh Ra’ed Salah, ketua Pergerakan Islam di Palestin, mengajak seluruh rakyat Palestin menyertai Pesta Kanak-kanak Aqsa yang bakal diadakan pada Hari Sabtu. Pesta tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Aqsa dan Jabatan Wakaf Islam di Palestin.
“Dalam keadaan Rakyat Palestin terbelenggu dengan masalah yang dihadapi setiap hari, saya yakin sekiranya setiap ketulan batu di Masjid Aqsa boleh berkata-kata, nescaya ia akan menangis melihat kami… “, ujar Sheikh Salah.
“Oleh itu, saya menyeru kepada saudara-saudara kami di Palestin untuk menjayakan majlis ini yang akan diadakan bagi mengukuhkan hubungan kita dengan Masjid Al-Aqsa di dalam kehidupan seharian dan juga di dalam jiwa kita. Adalah melalui pemahaman ini, kita seharusnya melindungi Masjid yang suci ini,” tambah beliau.
Sementara itu, Pertubuhan Aqsa menjelaskan bahawa pihak mereka sudahpun membuat persiapan bagi mengadakan majlis berkenaan yang mungkin dihadiri oleh berpuluh ribu orang rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita. Sebanyak 300 buah kenderaan telah disewa khas bagi tujuan pangangkutan orang ramai ke Masjid Al-Aqsa pada hari tersebut. Institusi Muslimah Al-Aqsa telah ditanggungjawabkan untuk menjaga kaum wanita yang hadir di perayaan itu.
Dalam beberapa hari yang lepas, Pertubuhan Aqsa telah menjalankan kempen di dalam media tempatan bagi menyeru lebih ramai rakyat Palestin untuk melibatkan diri di dalam pesta tersebut.