Jumaat, 10/03/2006 –
Dengan tema ‘Memukul Kepentingan Israel’, televisyen saluran 10 Israel menyebut bahawa keputusan Gerakan Hamas menutup kasino di Jericho telah menimbulkan kerugian besar kepada pemerintah penjajah Israel.
Berita televisyen Israel ini menegaskan bahawa keputusan Hamas tersebut bersifat muktamad dan tiada kompromi lagi kerana pihak Hamas mengatakan ia bertentangan dengan syariat Islam.
Ini kerana tempat perjudian tersebut menjadi tumpuan orang-orang Zionis Yahudi dari seluruh Israel dan para pelawat asing ketika berkunjung ke kota Jericho. Kasino di Jericho ini pernah ditutup setelah meletusnya intifadhah al-Aqsa pada awal tahun 2001. Namun menurut televisyen Israel tersebut, penutupan kali ini tidak ada harapan untuk dibuka kembali kerana ia dilakukan oleh Hamas yang ingin menerapkan pelaksanaan syariat Islam dalam masyarakat Palestin.
Berkait dengan penutupan kasino tersebut, Televisyen Israel itu mengutip penyataan Martin Shilav, seorang pengusaha kasino rakyat Australia yang beragama Yahudi, bahawa kerugian Israel akibat keputusan Hamas menutup kasino di Jericho ini mencapai satu juta Shekal pertahun.
Kasino ini dibina hasil dari Perjanjian Oslo antara pihak Palestin dengan Israel pada tahun 1993, dengan alasan kerjasama kedua-dua belah pihak dalam bidang pelaburan. Perlu disebutkan pula bahawa kesepakatan itu sendiri tidak memuatkan sama sekali kerjasama kedua-dua belah pihak dalam hal-hal berkaitan keperluan dan kepentingan majoriti masyarakat Palestin seperti masalah kesihatan dan pendidikan.