Selasa,
09/05/2006 –
Beratus ribu rakyat Indonesia memenuhi jalan raya di sekitar bandaraya Jakarta sebagai tanda protes besar-besaran diatas ketidakadilan sekatan ekonomi oleh AS dan Eropah kepada rakyat Palestin dan kerajaan pimpinan Hamas yang dipilih secara demokratik.
Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang berpengaruh itu telah menganjurkan himpunan tersebut yang memenuhi jalan-jalan di Jakarta dengan bendera-bendera Palestin dan kain rentang parti tersebut. Para peserta menaikkan poster yang tertulis frasa seperti ?Satu dollar daripada setiap warga Indonesia kepada rakyat Palestin?.
Ketua parti PKS, Ir. Tifatul Sembiring, bersama para ahli parlimen serta ahli politik menghadiri perhimpunan tersebut mengutuk pentadbiran AS kerana membiarkan rakyat Palestin yang memilih Hamas untuk memimpin mereka dalam keadaan kebuluran.
Mereka selanjutnya menggesa kerajaan Indonesia untuk menunaikan janji bantuan kewangan dan moral yang dibuat oleh Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, sebagai sokongan kepada rakyat Palestin serta kerajaan yang mereka pilih.
Semasa di Kuwait beberapa hari lepas, Susilo Bambang Yudhoyono mengisytiharkan dunia Islam perlu memberi sokongan kewangan dan politik kepada rakyat Palestin.
PKS berjaya mengumpul sebanyak 80 000 dollar daripada perhimpunan tersebut, dan berjanji akan meneruskan kempen tersebut sehingga mencapai sekurang-kurangnya 10 juta dollar.
Indonesia yang kaya dengan hasil minyak dan negara umat Islam terbesar dari segi populasi itu terkenal dengan pendirian yang menyokong persoalan di Palestin di semua peringkat pentadbiran dan rakyatnya.