Jumaat, 19/05/2006 –
Gerakan al Ikhwan al Muslimun Jordan mengatakan bahawa mereka yang didakwa berkaitan penyeludupan senjata yang disiarkan di televisyen yang disebut-sebut
kerajaan Jordan sebagai pejuang Hamas, sebenarnya tidak memiliki sebarang hubungan dengan Hamas bahkan sebahagian dari mereka didapati mempunyai kaitan rapat dengan gerakan Fatah.
Timbalan Muraqib Am gerakan Ikhwan Jordan, Jamil Abu Bakar menegaskan, berdasarkan
daftar risalah yang dibahagikan kepada para wartawan, Selasa (16/05), yang memuatkan
maklumat lengkap empat orang tertuduh, tiga antaranya membuat pengakuan bahawa
mereka dilatih oleh gerakan Hamas untuk melakukan penyeludupan senjata dan merancang
serangan untuk kepentingan gerakan Hamas di Jordan, demikian menurut kerajaan
Jordan. Namun dalam risalah itu, tertuduh pertama bernama Aiman Naji Daragema, yang
berasal dari daerah Hasyimiah, tidak menunjukkan komitmen agama sama sekali. Bahkan
di badannya terdapat beberapa tatoo, yang sebahagian besarnya menunjukkan kaitan
dengan gerakan Fatah.
Abu Bakar menegaskan, pihaknya telah mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai dari
penduduk Hasyimiah di mana didapati ketiga-tiga yang didakwa menunjukkan tidak
mempunyai apa-apa kaitan dengan gerakan Hamas sama ada dari segi pemikiran maupun
keperibadian. Terdapat banyak penjelasan detail yang menunjukkan bahawa mereka tidak
mempunyai sebarang kaitan dan hubungan dengan gerakan Hamas.
Dalam risalah itu juga disebutkan nama Taufiq Abushi yang disebut oleh Aiman Naji
Daragema sebagai orang yang telah melatihnya dalam gerakan Hamas. Dalam risalah
tersebut menyatakan bahawa Abushi sebelumnya tinggal di Hasyimiah dan kini menetap
di Emiriyah Arab Bersatu sejak sebulan lalu, namun dia sebenarnya tidak mempunyai
sebarang hubungan dengan mana-mana organisasi Islam.