Tahanan Saudi mohon dibebaskan, kemah tahanan kanak-kanak palestin dijilat api

Isnin, 22/05/2006


Tahanan Saudi, Abdul Rahman Al-Atteiwi, yang ditahan di penjara Israeli, Rabu lalu memohon kepada semua institusi guaman dan hak asasi manusia untuk menamatkan penahanannya dan menghantarnya ke mana-mana negara di dunia ini

Permohonan Atteiwi itu dibuat dihadapan Buthaina Dakmak, wakil Yayasan Mandela yang menguruskan hal ehwal tahanan semasa lawatan beliau di wad pusat tahanan Al-Ramle.

Ramai tahanan Palestin yang ditahan di penjara itu dan keadaannya sangat teruk semenjak beberapa tahun lalu, malah sekarang ini ada lebih kurang 37 daripada tahanan tersebut sedang menghidapi penyakit kronik dan keadaan bertambah teruk lagi dengan pengabaian terhadap bantuan perubatan oleh pihak berkuasa penjara Israel.

Sumber Israel mendakwa rakyat Saudi itu ditahan semenjak setahun lalu ketika beliau mencuba menyeberangi sempadan Jordan melalui Tebing Barat, kesnya masih belum disiasat.

Sementara itu kebakaran berlaku di kemah tahanan kanak-kanak Palestine di penjara Israel di mana 10 orang tahanan di tempatkan. Tiada kecederaan yang berlaku dan punca kebakaran masih tidak diketahui.