
Khamis, 01-07-2021 – Tempoh 21 hari yang ditetapkan oleh pihak berkuasa rejim Zionis untuk 13 keluarga yang menerima perintah untuk merobohkan kediaman mereka sendiri di kejiranan Bustan di bandar Silwan di Baitulmaqdis Yang Diduduki, akan berakhir pada hari Ahad, berdasarkan undang-undang Kaminitz Israel.
Awal bulan ini, perbandaran Israel di Baitulmaqdis telah menyerahkan pemberitahuan pelanjutan notis pembongkaran rumah milik 13 keluarga Baitulmaqdis. Perbandaran Israel mengancam akan merobohkan rumah-rumah berkenaan setelah tamat tempoh akhir dan akan mendenda pemiliknya dengan kos meroboh.
Rumah-rumah berkenaan adalah di antara 100 rumah yang telah diberikan arahan meroboh oleh mahkamah Rejim Zionis tanpa menetapkan tarikh pelaksanaannya.
Ini adalah sebahagian daripada polisi pembersihan etnik dan menghapuskan kehadiran orang Arab di kawasan kejiranan berhampiran Masjid Al-Aqsa yang bertujuan untuk mengubah struktur demografi di sana dan meningkatkan jumlah peneroka haram di Baitulmaqdis.
Kawasan tanah bandar Silwan adalah 5,640 dunum, termasuk 12 kawasan kejiranan di mana tinggalnya hampir 58,500 orang Baitulmaqdis. Sebaliknya, terdapat 78 pusat penempatan di mana tinggalnya 2,800 peneroka Yahudi.
Pada 25 Oktober 2017, Undang-Undang Kaminitz dikeluarkan yang menjatuhkan hukuman berat ke atas penduduk Baitulmaqdis atas pelbagai kesalahan membina, seperti mengenakan denda tinggi yang mencecah ratusan ribu atau berjuta-juta shekel, menghalang penggunaan bangunan ataupun menutupnya, meminta penduduk untuk mengosongkan rumah atau kedai mereka, serta mengeluarkan perintah meroboh terhadap mereka.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul











