Categories
Berita Semasa

Israel musnahkan rumah milik OKU Palestin

Khamis, 06-02-2020 – Jentolak milik majlis perbandaran Israel yang dikawal oleh pasukan polis pada pagi Selasa lalu telah memusnahkan asas-asas rumah yang sedang dibina di kawasan kejiranan Jabel Mukaber di tenggara Baitulmaqdis yang terjajah.

Struktur berkenaan milik seorang warganegara berkeperluan istimewa yang dikenali sebagai Ismail Qara’ein.

Majlis Perbandaran rejim Zionis itu juga telah memusnahkan pagar yang mengelilingi sebidang tanah di kawasan kejiranan yang sama.

Sementara itu, pekerja majlis perbandaran Israel telah mula meninjau kawasan yang luas di kawasan Wadi al-Rababa di daerah Silwan, selatan Masjid Aqsa, sebagai sebahagian daripada kerja-kerja pembangunan infrastruktur untuk pembinaan landasan kereta api ringan di bandar suci tersebut.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul

Categories
Berita Semasa

Berlin dan Barcelona protes ‘Deal of the Century’ oleh AS.

Rabu, 05-02-2020 – Sebilangan aktivis dari Jerman bersama penduduk dari negara Arab dan Islam telah menyertai protes di Berlin bagi membantah ‘Perjanjian Abad Ini’ oleh Amerika Syarikat.

Peserta protes tersebut membawa bendera dan plakat Palestin bagi mengutuk perjanjian tersebut.

Para penunjuk perasaan menyeru parti politik Jerman dan Eropah bagi menyatakan kedudukan yang jelas terhadap rencana perdamaian presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan menyokong hak rakyat Palestin untuk menubuhkan negara merdeka mereka sendiri dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara. 


Bantahan serupa terhadap rancangan Amerika Syarikat itu juga diadakan di Barcelona. Aktivis keamanan dan rakyat negara Arab, ahli kesatuan dan tokoh politik juga terlibat didalam demonstrasi tersebut. 

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : hanafi

Categories
Berita Semasa

Penjara Ofer pindahkan 30 tahanan Palestin ke penjara lain.

Rabu, 05-02-2020 – Pentadbiran penjara Ofer memutuskan akan memindahkan 30 tahanan warga Palestin yang ditahan di penjara itu ke penjara lain.

Menurut Persatuan Tahanan Palestin, sembilan tahanan akan di hantar ke penjara Ramon sementara 21 lagi ke penjara Negev.

Pihak rejim mengambil keputusan sebagai satu langkah berjaga-jaga selepas seorang tahanan bertindak menyerang dengan menikam seorang warden penjara tersebut.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : zainudin

Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis akan musnahkan 3 kediaman Palestin di Lod, Kafr Qasim

Rabu, 05-02-2020 – Tentera rejim Israel (IOA) telah mengarahkan pemusnahan tiga rumah warga Palestin di bandar Kafr Qasim dan Los.

Majlis Perancangan dan Pembinaan Kebangsaan Israel pada minggu lepas mengeluarkan arahan untuk memusnahkan dua kediaman Palestin dan satu tembok di bandar Kafr Qasim atas alasan yang ia dibina tanpa lesen.

Satu keluarga Palestin yang lain pula menerima arahan pemusnahan rumah tiga tingkat mereka di bandar Lod atas alasan sama. 

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : nor idawati

Categories
Berita Semasa

OIC Tolak Deal of Century

Rabu, 05-02-2020 – Organisasi Kerjasama Islam (OIC) Isnin 3/2/20 secara sepakat menolak rancangan perdamaian Amerika di Timur Tengah yang dikenali dengan Deal of Century (Kesepakatan Abad Ini). OIC tetap menyokong Palestin sejak awal dalam memperjuangkan keadilan demi mendirikan negara mereka dengan ibukota Al-Quds Timur.

Hal itu disampaikan dalam kenyataan akhir yang dikeluarkan dalam pertemuan terbuka Kumpulan Eksekutif Khusus di tahap Menteri-menteri Luar Negeri, negara anggota OIC yang membahas kesan dan implikasi rancangan Amerika tersebut.

Kumpulan Eskekutif menyeru negara Anggota OIC agar tidak bekerjasama dengan Amerika untuk menjalankan rancangan terebut dalam sebarang bentuk.

OIC menolak tegas rancangan,kesepakatan atau inisiatif yang diajukan oleh mana-mana pihak seperti penyelesaian damai yang tidak selari dengan hak-hak legal undang-undang bangsa Palestin yang tidak sewenangnya dibuat tawar-menawar. Hak tersebut sudah diakui oleh PBB dan Undang-undang antarabangsa serta tidak selari dengan referensi yang diakui dunia internasional dalam proses perdamaian terutama Undang-undang antarabangsa,resolusi-resolusi PBB dan Inisiatif Perdamaian Arab.

Organisasi negara-negara Islam tersebut menekankan bahawa Palestin dan Al-Quds adalah isu sentral bagi umat Islam seluruhnya dan menjadi identiti Arab.

sumber : https://melayu.palinfo.com/
penterjemah : osman

Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis cederakan warga Palestin ketika demonstrasi di Tebing Barat.

Rabu, 05-02-2020 – Rejim Zionis pada hari Isnin lalu telah mencederakan dua pemuda Palestin, salah seorang daripada mereka di mata, ketika menyuraikan penunjuk perasaan di bandar al-Khalil di Tebing Barat.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata dalam satu kenyataan ringkas bahawa seorang pemuda Palestin dikejarkan ke hospital selepas ditembak di mata dengan peluru logam bersalut getah oleh rejim Zionis ketika bertempur dengan penunjuk perasaan.

Seorang lagi warga Palestin cedera dalam tunjuk perasaan yang sama tetapi tiada maklumat lanjut mengenai keadaannya.

Pertempuran ganas meletus pada hari Isnin di antara belia Palestin dan tentera Zionis di kawasan Bab al-Zawiya di al-Khalil atas “rancangan damai”, yang juga dikenali sebagai “perjanjian abad ini”, yang telah diumumkan baru-baru ini oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul

Categories
Berita Semasa

Keluarga Palestin di Al Khalil diserang pelampau Yahudi bersenjata.

Rabu, 05-02-2020 – Sekumpulan pelampau yahudi telah menyerang sekeluarga dengan kejam di Tebing barat pada malam Sabtu yang lalu. Keluarga tersebut tinggal di Jabel al-Rahma di kawasan pertengahan al-Khalil.

Menurut saksi, kumpulan yahudi bersenjata tersebut yang berasal dari sebuah kem haram di Ramat Yishai telah menyerang sekeluarga rakyat Palestin berhampiran dengan pos pemeriksaan ketenteraan di jalanraya yang menghala ke kejiranan Jabel al-Rahma.

Mohamed, 55, mengalami kecederaan manakala keretanya terdapat kerosakan di bahagian luar. Keganasan tersebut telah menyebabkan situasi yang panik diantara ahli keluarga tersebut yang berada didalam kereta.

Semasa kejadian, keluarga tersebut sedang dalam perjalanan ke hospital dimana kumpulan pelampau tersebut telah memintas kenderaan mereka dan menembak mereka menggunakan senjatapi.

Saksi berkata, askar yang berhampiran hanya menyaksikan kejadian tersebut tanpa berbuat apa-apa.

Sebelumnya, pelampau bersenjata tersebut telah menyerang kejiranan Jabel al-Rahma dan Tel Rumeida di bandar al-Khalil pada petang Sabtu yang lalu dan telah mengugut keluarga Palestin untuk memisahkan mereka dari rumah yang mereka tinggal. 

Meraka juga berlaku kejam kepada penduduk tempatan di kejiranan ini dan memaksa mereka membuat sesuatu yang diluar jangkaan dengan bantuan tentera negara haram Israel.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : hanafi

Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis robohkan 3 rumah Palestin di Lod, Kafr Qasim.

Rabu, 05-02-2020 – Pihak berkuasa rejim Zionis telah mengeluarkan perintah roboh ke atas tiga rumah Palestin di Kafr Qasim dan bandar-bandar Los di wilayah Palestin yang diduduki sejak tahun 1948.

Majlis Kebangsaan Israel untuk Perancangan dan Bangunan minggu lepas telah mengeluarkan perintah untuk merobohkan dua rumah Palestin serta sebuah tembok di Bandar Kafr Qasim dengan alasan bahawa ianya telah dibina tanpa lesen Israel.

Pada pagi Ahad lalu, satu lagi keluarga Palestin telah menerima perintah roboh untuk rumah tiga tingkat mereka di Lod City atas alasan yang sama.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul

Categories
Berita Semasa

Rejim Israel menangguhkan kemasukan simen ke Gaza

Selasa, 04-02-2020 – Menteri perang Israel mengambil keputusan malam semalam untuk menangguhkan kemasukan penghantaran simen ke Semenanjung Gaza sebagai reaksi ke atas kononnya serangan warga Palestin setiap hari di kawasan Israel.

Menurut akhbar Maariv, tentera Israel memberikan arahan di atas kebenaran Bennett untuk menangguhkan eksport simen ke Gaza dan membatalkan permit untuk 500 peniaga simen.

Tindakan itu yang berkuatkuasa pada pagi Ahad, dilaporkan sebagai reaksi kepada serangan di Gaza yang berterusan baru-baru ini setelah rejim Israel dengan sengaja membuka empangan seterusnya membanjiri kawasan pertanian dan jalan raya di timur Gaza lalu mengakibatkan kerugian besar.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : nor idawati

Categories
Berita Semasa

Tentera Zionis Cederakan Wartawan, Tahan Seorang di al-Khalil

Selasa, 04-02-2020 – Seorang wartawan Palestin telah cedera dan seorang lagi ditangkap oleh tentera zionis ketika protes di bandar al-Khalil terhadap “Deal of the Century”.

Sumber-sumber tempatan mengatakan bahawa berpuluh-puluh pelajar universiti berarak menuju pintu masuk utara ke bandar al-Khalil untuk membantah rancangan perdamaian AS untuk Timur Tengah, yang dikenali sebagai “Deal of the Century”.

Tentera Zionis menembak para demonstran yang aman dengan peluru logam bersalut getah dan gas pemedih mata.

Puluhan pelajar Palestin sesak nafas denga gas pemedih mata dan seorang wartawan yang dikenal pasti sebagai Abed al-Mohsen Shalaldeh, 27, cedera di kepala terkena kelonsong gas air mata.

Seorang wartawan lain, yang dikenal pasti sebagai Mohammed Melhem, ditangkap oleh tentera zionis ketika menentang protes.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah :
ameen

Categories
Berita Semasa

Tentera Israel Tembak Pemuda Palestin Kerana Dituduh Cuba Melanggar

Selasa, 04-02-2020 – Pasukan Israel menembak seorang warga Palestin yang memandu kereta dengan tuduhan cuba melanggar sejumlah tentera Zionis di Jenin, Tebing Barat utara.Sebuah laman sesawang Israel melaporkan, seorang pemandu Palestin cuba melanggar sejumlah tentara Israel di persimpangan kota Arabah, Jenin selatan, kemudian pasukan Israel menembak dan mencederakannya tanpa ada yang tercedera dalam kalangan tentera Israel.

Canel 20 Israel menyebutkan, percubaan melanggar berlaku di kota Jenin, Tebing Barat. Pasukan Israel melancarkan tembakan dan mencederakannya. Kemudian sejumlah media menlaporkan kereta tertuduh melanggar pembahu jalan di hadapan tentera Israel. Tertuduh mengalami luka ringan dan kemudiannya ditangkap.

Biro media tawanan menyatakan, pemuda yang ditangkap adalah Nur Lahluh dari kota Arabah, Jenin. Selepas kejadian tersebut berlaku konfrantasi antara para pemuda dan pasukan Israel di tempat kejadian.

Sehari sebelumnya, pasukan Israel menangkap seorang pemuda yang didakwa hendak menikam tentera Israel di kawasan Betlehem.

sumber : https://melayu.palinfo.com/
penterjemah : osman

Categories
Berita Semasa

Tentera rejim, pelajar bertempur di pagar sempadan Gaza

Isnin, 03-02-2020 – Tentera rejim Israel bertempur dengan pelajar sekolah Palestin yang sedang berarak berdekatan pagar sempadan,  selatan Semenanjung Gaza.

Menurut sumber tempatan, tentera rejim menembak peluru hidup dan gas pemedih ke arah mereka bagi menyuraikan perarakan pelajar itu yang membakar tayar berhampiran pagar keselamatan di timur bandar Khuza’ah di Khan Yunis, selatan Gaza.

Bagaimana pun, tiada pelajar yang cedera ketika mereka cuba lari menyelamatkan diri.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : zainudin

Categories
Berita Semasa

Serangan udara pada waktu malam menyasarkan Gaza

Isnin, 03-02-2020 – Tentera rejim Israel pada Rabu malam melancarkan serangan udara ke atas kawasan pertanian dan kawasan pejuang di Semenanjung Gaza.

Seorang wartawan dari Pusat Maklumat Palestin (PIC) berkata yang pesawat perang Israel melepaskan sekurang-kurangnya tiga roket ke arah kawasan pertanian di barat bandar Deir al-Balah pertengahan Gaza.

Kemudiannya, satu serangan udara menyasarkan pos pejuang yang dimiliki Briged al-Qassam Hamas di Khan Yunis, selatan Gaza.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : nor idawati

Categories
Berita Semasa

Pendatang haram Yahudi bakar sekolah di Tebing Barat.

Jumaat, 31-01-2020 – Sekumpulan pendatang haram Yahudi bertindak menyusup masuk ke perkampungan Einabus, selatan Nablus di Tebing Barat pada waktu subuh dan membakar bilik darjah sekolah menyebabkan berlaku kerosakkan.

Menurut kata saksi, beberapa pendatang Yahudi didapati telah mencucuh api pada bangunan sekolah di kampung itu dan menyembur cat tulisan Yahudi di dinding luarnya.

Jumaat lepas, pendatang Yahudi bertindak membakar Masjid Badriyin di perkampungan Sharafat, timur Baitulmaqdis dan menyembur cat di dinding masjid tersebut.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah :
zainudin

Categories
Berita Semasa

18 rakyat Palestin diculik oleh rejim Zionis di Tebing Barat dan Baitul Maqdis

Jumaat, 31-01-2020 – Rejim Zionis telah menculik sekurang-kurangnya 18 orang rakyat Palestin pada malam tadi dan pada hari Selasa yang lepas termasuk kanak-kanak dan wanita. Mereka juga turut menyerang beberapa buah rumah semalaman di Tebing Barat dan Baitulmaqdis. 

Menurut Pertubuhan Banduan Palestin, 6 wanita Palestin telah ditangkap oleh Polis Israel pagi tadi ketika kehadiran mereka dikawasan kawasan solat Bab al-Rahma di Masjid al-Aqsa.

Wanita tersebut dikenali sebagai Nahida Shaqra, Islam Manasera, Samah Mahameed, Ma’ali Eid, Nafisa Khuwais dan Aya Abu Nab.

Manakala di Jenin, seorang wanita dikenali sebagai Amira Darubi yang juga isteri kepada bandual Nidhal Anfi’aat juga telah di tangkap oleh Rejim Zionis ketika kempen semalaman di bandar Ya’bad.

Seorang penduduk bandar Burqin yang bergelar Sakher Ateiq telah diculi oleh tentera Israel di Pusat Pemeriksaan Ketenteraan di bandar Ya’bad di Jenin.

Rejim Zionis juga telah menyerang bandar Tubas di timur laut Nablus dan telah menculik 2 orang remaja belasan tahun yang dikenali sebagai Jaqdat Daraghmeh,17, dan Qassam Siyajat, 17.

Di Bethlehem pula, dua orang penduduk setempat termasuk seorang kanak-kanak telah diculik pada waktu subuh oleh Rejim Zionis dari rumah mereka ni bandar Tuqua.

Manakala di Baitulmaqdis, polis Israel telah melancarkan serangan pada waktu malam di beberapa buah rumah di kejiranan yang berlainan dan menculik 2 kanak-kanak dan seorang remaja dari rumah mereka. Mereka dikenali sebagai Mohamed Sarhan, Khattab ash-Shirbati dan Yousef Hazina.

Rejim Zionis juga telah menyerbu 2 buah bandar di Baitulmaqdis iaitu Biddu dan Qatanna dan telah menculik 2 orang penduduk yang dikenali sebagai Saleh Kassab dan Jawdeh Hawshiya.

Seorang lagi penduduk setempat telah ditahan sebagai banduan ketika kempen serangan Rejim Zionis dan Baqa ash-Sharqiyya di Tebing Barat. 

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : hanafi