Selasa, 06-07-2021 – Sebuah akhbar Hebrew pada hari Ahad mendedahkan bahawa pemerintah Israel telah bersetuju untuk mengekalkan dan meningkatkan pembinaan penempatan di Tebing Barat dan Jerusalem dalam satu pertemuan dengan para pemimpin penempatan Yahudi baru-baru ini.
Menurut Israel Hayom, Menteri Dalam Negeri Ayelet Shaked telah bertemu dengan anggota dewan Yesha, organisasi yang memayungi penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Jerusalem pada minggu lalu, dan menyampaikan janji pemerintahnya untuk mempertahankan status quo pada pembinaan dan perluasan penempatan itu kerana ia berada di bawah pemerintahan sebelumnya.
Shaked juga menegaskan bahawa kerajaan akan mengadakan sidang jawatankuasa zon yang lebih tinggi dari pentadbiran awam tentera Israel pada setiap tiga bulan untuk meluluskan projek pembinaan yang baru.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Selasa, 06-07-2021 – Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mengatakan bahawa pihak berkuasa Israel telah merobohkan atau merampas 24 buah binaan Palestin, kebanyakannya kediaman, dalam tempoh dua minggu di wilayah yang dijajah di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Dalam laporan yang dikeluarkan setiap dua minggu pada hari Jumaat mengenai pencabulan Israel, OCHA menjelaskan bahawa tindakan meroboh telah dilakukan dalam tempoh masa 15 – 28 Mac 2021 dengan alasan pemilik tidak mempunyai permit membina bangunan yang dikeluarkan oleh Israel.
Perobohan itu menyebabkan 23 orang terpaksa berpindah, termasuk 11 kanak-kanak, dan turut menjejaskan lebih dari 1,200 orang, menurut laporan tersebut.
Sebahagian besar dari mereka yang terjejas oleh perobohan itu berada di kawasan Masafer Yatta al-Khalil, di mana pada 23 Jun lalu pihak rejim Zionis telah memusnahkan untuk kali kedua tiga jalan raya dan saluran paip air utama yang memberi kemudahan kepada beberapa komuniti Palestin. Kempen meroboh sebelumnya adalah pada 9 Jun, tetapi jalan dan saluran paip terlibat telah diperbaiki oleh penduduk tempatan.
Secara keseluruhan, 16 buah binaan yang musnah dan 20 orang yang terpaksa berpindah berada di Kawasan C di Tebing Barat, dan selebihnya berada di Baitulmaqdis timur, OCHA melaporkan.
Dalam konteks lain, OCHA menyatakan dalam laporan yang sama bahawa pasukan Israel pada 16 Jun telah membunuh dua orang rakyat Palestin, seorang lelaki dan seorang wanita, dalam kejadian berasingan di Tebing Barat.
Semasa tunjuk perasaan Palestin pada hari tersebut yang menentang penubuhan pos penempatan Yahudi berhampiran bandar Beita di Nablus, pasukan Israel menembak dan membunuh seorang budak lelaki Palestin berusia 16 tahun. Sejak pos ini didirikan pada awal Mei, pasukan Israel telah menembak dan membunuh lima orang Palestin dengan peluru hidup semasa tunjuk perasaan di Beita.
Pada hari yang sama, seorang wanita Palestin berusia 29 tahun, yang menurut Israel cuba melanggar sekumpulan askar dengan sebuah kenderaan dan kemudiannya mengacukan pisau, ditembak dan dibunuh berhampiran bandar Hizma di timur Baitulmaqdis.
Pasukan Israel juga mencederakan sekurang-kurangnya 1.075 penduduk Palestin, termasuk 238 kanak-kanak, di seluruh Tebing Barat. 790 daripadanya, termasuk 237 kanak-kanak, cedera semasa tunjuk perasaan harian di Beita, 78 di Baitulmaqdis timur, 77 di Kafr Qaddum (Qalqilya), 74 di al Mughayyir (Ramallah) dan selebihnya di lokasi-lokasi lain. Enam dari mereka yang cedera terkena peluru hidup dan 245, termasuk 47 kanak-kanak, terkena peluru getah, menurut laporan itu.
Dalam tempoh pelaporan, pasukan Israel melakukan 144 operasi mencari dan menangkap, serta telah menahan 180 penduduk Palestin, termasuk tujuh kanak-kanak, di seluruh Tebing Barat. 49 operasi dilakukan di Nablus, 29 di al-Khalil, 20 di Baitulmaqdis dan selebihnya di lain-lain wilayah. 45 dari mereka yang ditangkap berada di al-Khalil dan selebihnya di kawasan lain di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Melaporkan mengenai jenayah yang dilakukan oleh para peneroka, laporan tersebut memberitahu bahawa peneroka Yahudi telah mencederakan sekurang-kurangnya sembilan orang penduduk Palestin, termasuk empat gadis yang disembur lada di kejiranan Sheikh Jarrah di timur Baitulmaqdis – di mana seorang wanita lain juga telah diserang dengan semburan lada dalam kejadian yang berasingan.
Di at-Tuwani (al-Khalil), para peneroka telah mencederakan dua wanita dengan menggunakan batu, termasuk seorang wanita kurang upaya berusia 73 tahun. Dua orang penduduk Palestin lain diserang dan cedera dalam insiden berasingan di al-Khalil. Dalam dua kejadian lain, para peneroka menyerang penduduk Palestin di al-Mughayyir, Ramallah. Dalam kedua-dua insiden tersebut, pasukan Israel telah campur tangan, lantas mencederakan 74 orang Palestin (yang termasuk dalam maklumat di atas mengenai kecederaan yang disebabkan oleh pasukan Israel).
Dalam beberapa insiden lain di Tebing Barat, pelaku yang dipercayai adalah peneroka Yahudi telah merosakkan kenderaan milik penduduk Palestin, lebih dua ratus pokok, sistem air, struktur pertanian, bengkel, peralatan elektrik, bahan binaan dan harta benda lain.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Selasa, 06-07-2021 – Rejim Zionis (IOF) menyusup masuk ke kawasan tenggara Semenanjung Gaza yang terkepung.
Sumber tempatan mengatakan bahawa sebilangan besar jentolak IOF menembus ke timur kota al-Fakhari, di sebelah timur Khan Yunis, dan melakukan penerokaan sejumlah besar tanah di kawasan itu.
Pada petang Sabtu, pesawat perang Israel mengebom beberapa lokasi milik Palestin di Semenanjung Gaza.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Dr Nurul
Selasa, 06-07-2021 – Gerakan Hamas menyifatkan tindakan Israel membunuh Muhammad Hassan di kediamannya di bandar Nablus, sebagai sebuah keganasan.
“Tindakan ini menyemarakkan lagi revolusi rakyat, mereka tidak akan berhenti sehingga penjajah itu meninggalkan bumi Palestin,” ujar jurucakap Hamas, Hazem Qassem dalam satu kenyataan.
Hassan meninggal pada Sabtu petang selepas ditembak pasukan rejim Zionis di pinggir bandar Qusra, selatan Nablus
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Huzaifah Abd Jamil
Selasa, 06-07-2021 – Rejim Zionis pada malam semalam dan waktu Subuh hari Ahad telah menyerbu rumah-rumah dan menculik beberapa orang rakyat Palestin di Tebing Barat.
Menurut sumber tempatan, rejim Zionis menculik peguam Fareed al-Attrash, ketua Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia, selepas memintas keretanya di pusat pemeriksaan Kontena di timur laur Baitullaham sebaik dia pulang dari perarakan yang diadakan di Ramallah untuk membantah pembunuhan aktivis rakyat Palestin, Nizar Banat.
Pejabat Media Asra berkata rejim Zionis memindahkan Attrash ke Hospital Hadassah selepas dia mengalami masalah kesihatan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Isnin, 05-07-2021 – Kru perbandaran rejim Israel di Baitulmuqaddis memusnahkan sebuah pangsapuri pada Selasa di kejiranan bandar Silwan, selatan Masjid Al-Aqsa.
Sumber Baitulmuqaddis menyatakan polis rejim dan pekerja perbandaran menyerbu kejiranan, bangunan milik keluarga al-Abbasi family dan menyerang penghuninya.
Polis rejim memecah masuk pangsapuri Fadel al-Abbasi, di tingkat tiga dan memaksa keluarga itu keluar bagi melaksanakan perintah pemusnahan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Isnin, 05-07-2021 – Pertembungan bersenjata berlaku pada waktu subuh pada hari Rabu lalu di antara pejuang pihak penentang Palestin dan pasukan rejim Zionis apabila rejim Zionis menyerbu kem pelarian Jenin dan menculik seorang rakyat Palestin.
Sumber tempatan memberitahu wartawan Pusat Maklumat Palestin (PIC) bahawa pertempuran bersenjata itu bermula setelah sebuah unit penyamar Israel menyusup masuk ke rumah Ashraf al-Qaisi dan menculiknya.
Mereka menambah bahawa pertembungan meluas dengan pemuda tempatan juga berlaku setelah pasukan tentera menyerang kem tersebut untuk memberikan perlindungan kepada unit samaran berkenaan.
Seorang lagi belia dilaporkan mengalami kecederaan disebabkan peluru dan seorang wanita cedera setelah bom tangan jatuh ke rumahnya semasa pertempuran dengan rejim Zionis.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Isnin, 05-07-2021 – Puluhan peneroka Yahudi telah mencemari Masjid Al-Aqsa di Jerusalem di bawah kawalan polis pada pagi Rabu.
122 peneroka, termasuk pemimpin agama Yehuda Glick dan 60 pelajar institusi agama, memasuki masjid secara berkumpulan melalui Pintu Maghariba dan mengelilingi halamannya, menurut sumber setempat.
Sebilangan peneroka juga dilaporkan melakukan sembahyang Yahudi semasa mereka berada di laman suci Islam itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Isnin, 05-07-2021 – Rejim Israel mencederakan seorang pemuda Palestin dan menahan lima lagi dari kem perlarian al-Deheisha, Bethlehem serta perkampungan Husan dan Artas dalam pertempuran yang berlaku pada awal pagi hari Rabu, semalam.
Menurut sumber tempatan, seorang pemuda cedera terkena peluru di kaki ketika berlakunya pertempuran sengit di kem tersebut.
Dua remaja yang ditangkap rejim di rumahnya di kem itu dikenali sebagai Maher al-Walji, 18 tahun dan Mohamed Manna, 17 tahun.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Zainudin
Isnin, 05-07-2021 – Tentera rejim Zionis pada pagi hari Rabu telah merobohkan sebuah rumah yang sedang dibina milik rakyat Palestin di bandar Bruqin, barat Salfit.
Menurut sumber tempatan, tentera Israel menyerbu kawasan barat daya Bruqin dan menggunakan sebuah jentolak untuk merobohkan sebuah rumah yang belum siap dibina milik seorang penduduk tempatan. Tentera Zionis memberi alasan atas tindakan mereka dengan mendakwa rumah tersebut tidak berlesen.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Isnin, 05-07-2021 – Kementerian Luar Jordan hari ini mengutuk pencerobohan rejim Zionis Israel dan pemusnahan kediaman warga Palestin dan bangunan komersial di timur Jerusalem, dalam daerah Silwan.
“Tindakan pemusnahan dan kempen pengusiran tidak dapat diterima dan dibantah sekeras kerasnya, melampaui batasan undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan dan tanggungjawab rejim Zionis Israel sebagai pihak penceroboh dan menghalang usaha antarabangsa dan serantau dalam mengukuhkan keamanan “ kata Menteri Luar dalam satu kenyataan akhbar pada hari Selasa lepas.Kementerian telah menggesa Israel untuk menghentikan perancangan haram, amalan provokatif dan serangan di Silwan dan Sheikh Jarrah serta menghormati taraf yang sah dan hak sejarah di kawasan penaklukan di bandar tanah suci itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Hairul Ahmad
Khamis, 01-07-2021 – Hari Ahad (27/6) lalu menjadi hari terakhir ditentukan penjajah Israel untuk merobohkan rumah-rumah warga Al-Quds di kampung Al Bustan, baldah Silwan, kota Al-Quds Terjajah.
Sebelumnya, penjajah Israel memberikan tangguh waktu kepada keluarga-keluarga di kampung Al Bustan selama 21 hari untuk merobohkan rumah-rumah mereka sendiri atau dirobohkan Israel dan mereka dikenakan denda untuk membayar kos merobohkan rumah tersebut. Kampung Al Bustan memiliki luas 70 acre (28 hektar) yang dihuni 1550 warga. Sejak 2005, penjajah Israel berusaha merobohkan rumah-rumah di sana dengan alasan akan dibangun taman nasional di situ. Namun keluarga-keluarga Palestin yang tinggal di sana dan warga Al-Quds secara umum menghalang usaha tersebut.
Pada November 2004, pemerintah penjajah Israel di Al-Quds memutuskan untuk merobohkan rumah-rumah warga Al-Quds di kampung Al Bustan dengan alasan tidak memiliki keizinan untuk tinggal di situ. Di awal tahun berikutnya, surat dokumen perobohan rumah mula diserahkan kepada warga kampung.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman
Khamis, 01-07-2021 – Puluhan warga Palestin cedera ketika pertelingkahan tercetus pada Jumaat di antara warga Palestin dan tentera rejim zionis (IOF) di pelbagai kawasan Tebing Barat.
Ahmed Jibril, pengarah Pusat Kecemasan Bulan Sabit Merah di Nablus, menyatakan yang IOF melepaskan tembakan peluru hidup, peluru besi bersalut getah, gas pemedih mata dan bom ke arah para pemuda di Bukit Sobeih di Beita, selatan Nablus.
Seorang warga cedera akibat tembakan peluru hidup di mulutnya dan keadaan kesihatannya dilaporkan sebagai sederhana. 17 lagi cedera akibat tembakan peluru besi bersalut getah manakal yang lain mengalami kesukaran bernafas.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Khamis, 01-07-2021 – Tempoh 21 hari yang ditetapkan oleh pihak berkuasa rejim Zionis untuk 13 keluarga yang menerima perintah untuk merobohkan kediaman mereka sendiri di kejiranan Bustan di bandar Silwan di Baitulmaqdis Yang Diduduki, akan berakhir pada hari Ahad, berdasarkan undang-undang Kaminitz Israel.
Awal bulan ini, perbandaran Israel di Baitulmaqdis telah menyerahkan pemberitahuan pelanjutan notis pembongkaran rumah milik 13 keluarga Baitulmaqdis. Perbandaran Israel mengancam akan merobohkan rumah-rumah berkenaan setelah tamat tempoh akhir dan akan mendenda pemiliknya dengan kos meroboh.
Rumah-rumah berkenaan adalah di antara 100 rumah yang telah diberikan arahan meroboh oleh mahkamah Rejim Zionis tanpa menetapkan tarikh pelaksanaannya.
Ini adalah sebahagian daripada polisi pembersihan etnik dan menghapuskan kehadiran orang Arab di kawasan kejiranan berhampiran Masjid Al-Aqsa yang bertujuan untuk mengubah struktur demografi di sana dan meningkatkan jumlah peneroka haram di Baitulmaqdis.
Kawasan tanah bandar Silwan adalah 5,640 dunum, termasuk 12 kawasan kejiranan di mana tinggalnya hampir 58,500 orang Baitulmaqdis. Sebaliknya, terdapat 78 pusat penempatan di mana tinggalnya 2,800 peneroka Yahudi.
Pada 25 Oktober 2017, Undang-Undang Kaminitz dikeluarkan yang menjatuhkan hukuman berat ke atas penduduk Baitulmaqdis atas pelbagai kesalahan membina, seperti mengenakan denda tinggi yang mencecah ratusan ribu atau berjuta-juta shekel, menghalang penggunaan bangunan ataupun menutupnya, meminta penduduk untuk mengosongkan rumah atau kedai mereka, serta mengeluarkan perintah meroboh terhadap mereka.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Isnin, 28-06-2021 – Pada hari Selasa lepas, Gerakan Hamas telah mengeluarkan kenyataan yang tegas mengenai sekatan Israel yang sedang berlangsung di Semenanjung Gaza dan kedudukan PBB dalam hal ini berikutan pertemuan yang diadakan dengan pemimpin puak-puak penentang Palestin.
Dalam pernyataannya, kepemimpinan Hamas yang dipimpin oleh Yehya as-Sinwar memberi amaran kepada negara pendudukan Israel dan sekutunya tentang sebarang kelewatan dalam mengakhiri sekatan di Gaza dan menghormati apa yang telah dipersetujui dalam hal ini atau sebarang usaha untuk menghalang proses pembinaan semula.
“Rakyat kami dan perjuangan kami sama sekali tidak akan berdiam diri dan para musuh akan nampak bahawa kami sudah bersedia menghadapai sebarang kemungkinan dan akan memberi tentangan dengan apa sahaja cara yang kami miliki,” tegas Hamas.
“Pihak musuh tidak akan berjaya dalam polisi mereka yang menggunakan peras ugut dan paksaan, dan kami tidak akan membenarkan percubaan untuk menekan rakyat kami atau mencampurkan fail,” kata Hamas, sambil menambah bahawa “tahanan berkenaan ditukar dengan tahanan.”
Kenyataannya juga mengecam keras PBB kerana bersekutu dengan penjajahan Israel dengan mengecualikannya daripada senarai hitam dan mengkritik pendirian perutusan keamanan PBB yang memberikan sokongan kepada Israel.
“PBB adalah organisasi politik dan kemanusiaan antarabangsa yang bertanggungjawab untuk mencapai perdamaian dan menolong mereka yang berada di bawah penjajahan dan tidak bersekongkol dan menyokong kuasa penjajah terhadap orang-orang yang tidak berdaya yang mengalami berbagai bentuk pemerasan dan pengepungan.” Hamas menjelaskan.
Kenyataan itu meminta Setiausaha Agung PBB untuk berdiri bersama rakyat Palestin, menguatkuasakan berpuluh-puluh resolusi antarabangsa yang menyebelahi mereka, dan berusaha untuk mewajibkan Israel, sebagai kuasa penjajah, untuk mematuhi undang-undang antarabangsa.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul