
Rabu , 09-07-2014 – Ketua Perhubungan Antarabangsa HAMAS, Osama Hamdan berkata bahawa pergerakan HAMAS tidak akan bersetuju untuk gencatan senjata selagi mana serangan ke atas Gaza berterusan.
Beliau memberitahu al-Resalah Net dalam satu temu bual yang diterbitkan pada Sabtu bahawa serangan ke atas Gaza ialah satu tindakan agresif yang perlu ditamatkan.
Hamdan juga menyatakan bahawa tidak ada percubaan yang dilakukan oleh pihak setempat untuk mencapai gencatan senjata antara pejuang Palestin dan penjajah Israel, sambil berkata bahawa Mesir setakat ini belum campur tangan untuk mencadangkangkan gencatan senjata yang baru atau menstabilkan perjanjian yang lama.
Beliau berkata bahawa tindakan agresif Israel yang berterusan ke atas tanah Palestin yang dijajah menunjukkan sifat hipokrit banyak pihak yang hanya melihat perjuangan sebagai ‘keganasan’ (terrorisme).Hamdan menyifatkan bahawa sikap Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang sehaluan dengan penjajah ialah satu pembelotan.
Beliau juga menambah bahawa sebahagian pihak PA menyokong cerita pihak Israel yang meletakkan pejuang Palestin bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kejadian yang terbaru yang meningkatkan ketegangan antara kedua belah pihak.Walaubagaimanapun, Hamdan menafikan kebarangkalian Israel akan menyerang Gaza secara besar-besaran.
Pemimpin senior HAMAS itu juga memberi amaran kepada PA bahawa pergerakan HAMAS akan melakukan perkara yang mengejutkan jika perjanjian untuk bergabung (antara Tebing Barat dan Semenanjung Gaza) tidak dilaksanakan secara penuh.
Hamdan menyeru PA untuk berusaha melaksanakan perkara yang telah dipersetujui di Kaherah, antaranya mengangkat pengepungan Gaza sejurus selepas pembentukan kerajaan gabungan Palestin.
sumber : http://www.palestine-info.co.uk/
penterjemah : redz