Isnin, 06-04-2020 – Tentera rejim zionis (IOF) pada pagi Khamis menjalankan serbuan terhad di timur laut sempadan Semenanjung Gaza.
Sumber tempatan menyatakan yang beberapa jentolak berperisai yang diiringi oleh 13 kenderaan tentera memasuki beberapa meter kawasan sempadan di timur bandar Beit Hanoun utara Gaza meratakan tanah di kawasan itu.
Kawasan timur sempadan Gaza sentiasa terdedah kepada pencerobohan Israel dan serangan tembakan yang menghalang ratusan para petani daripada bekerja di tanah mereka berdekatan pagar keselamatan.
Jumaat, 03-04-2020 – Tentera Zionis pada pagi Selasa menghancurkan rumah seorang Palestin yang sedang dibina di pintu masuk utama ke kampung Jabara, selatan Tulkarem di Tebing Barat.
Pegawai tempatan Ihsan Tahseen mengatakan bahawa dua jentolak yang dikawal oleh sebilangan besar tentera Zionis menyerbu kampung pada waktu pagi dan menutup pintu masuk timur dan barat sebelum mengelilingi rumah dan memulakan perobohan.
Rumah satu tingkat itu milik warga Palestin Khaled Rasheed dari kampung Kafr Abbush yang berdekatan.
Pemilik rumah telah menerima notis daripada tentera Zionis yang memerintahkannya untuk berhenti membina rumah dengan alasan pembinaan tidak mempunuyai kebenaran berlesen.
Tentera Israel memusnahkan tiga rumah Palestin di kawasan yang sama tahun lalu sebagai sebahagian daripada kempen perobohan yang mensasarkan kampung Jabara.
Jumaat, 03-04-2020 – Pemantau Hak Asasi Euro-Mediterranean telah mengutuk sekeras-kerasnya rejim zionis kerana terus menyerbu kota-kota Palestin, melakukan keganasan terhadap orang awam tanpa mengambil langkah-langkah pencegahan dan mengabaikan mudharat yang mungkin timbul.
Menurut Pemantau Hak Asasi Euro-Mediterranean, 207 serbuan ke atas kota-kota Palestin di Tebing Barat dan timur Baitulmuqaddis telah dilakukan sejak kerajaan Palestin mengumumkan darurat pada 6 Mac 2020 sebagai langkah pencegahan untuk mengawal wabak coronavirus.
Serbuan tersebut merangkumi penahanan 191 warga Palestin, serangan ke atas puluhan yang lain dan pemusnahan kediaman warga Palestin. Kebanyakan operasi ini dilakukan tanpa tindakan pencegahan dan tanpa memakai topeng muka untuk menghalang penyebaran virus.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nor idawati
Jumaat, 03-04-2020 – Rejim Zionis (IOF) telah menyerbu beberapa kawasan berbeza di Tebing Barat dan Baitulmaqdis diwaktu subuh dan menculik beberapa rakyat Palestin termasuk pegawai kanan Hamas, Omar al-Barghouthi.
Menurut sumber tempatan, IOF menculik pegawai Hamas, Omar al-Barghouthi dan anaknya, Mohamed di rumah mereka di kampung Kobar.
Barghouthi, tokoh negarawan yang terkenal, telah menghabiskan masa selama 35 tahun di penjara Israel. Beliau adalah bapa kepada Saleh al-Barghouthi dan tahanan penjara, Asem al-Barghouthi.
Jumaat, 03-04-2020 – Rejim Israel menyerbu kem penempatan Shu’afat di timur Baitulmaqdis. Bagaimanapun, tiada laporan rumah yang digeledah dan tangkapan dibuat.
Menurut sumber tempatan, anggota tentera sentiasa berada di dalam kenderaan dan bergerak berdekatan jalan Anata di kawasan kem tersebut.
Tiada maklumat diperolehi samada terdapat warga yang ditahan atau rumah yang digeledah semasa operasi itu dijalankan.
Jumaat, 03-04-2020 – Seorang pemuda Palestin telah disahkan positif untuk penyakit Coronavirus (COVID-19) hanya satu hari selepas pembebasannya dari penjara Israel, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin pada hari Rabu.
Suruhanjaya itu berkata keputusan ujian perubatan terhadap tahanan baru Nour ed-Din Sarsour, dari bandar Beitunia di barat Ramallah, menunjukkan dia menghidap COVID-19.
Sarsour ditangkap pada 18 Mac lepas dan dibebaskan pada petang Selasa selepas menghabiskan tempoh tahanan di Penjara Ofer dan Pusat Penyiasatan Benjamin.
Suruhanjaya itu mempertanggungjawabkan pemerintahan Israel dan Perkhidmatan Penjara Israel ke atas apa yang disifatkan mereka sebagai suatu “jenayah”, dan menyatakan bahawa pihak berkuasa Israel tidak mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melindungi tahanan Palestin dari pandemik tersebut.
Pertubuhan Banduan Palestin mengatakan bahawa Sarsour berkongsi bilik penjara yang sama dengan 36 tahanan Palestin selama 12 hari.
Israel kini sedang menahan 5,000 orang warga Palestin, termasuk 43 wanita, 180 kanak-kanak, dan 700 pesakit di penjara mereka. Beberapa puak dan kumpulan hak asasi Palestin berulang kali menyeru Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah untuk campur tangan bagi memastikan keselamatan tahanan Palestin di kala wabak Coronavirus sedang melanda.
Jumaat, 03-04-2020 – Ketua Persatuan Kontraktor Gaza, Osama Kahil, mengumumkan pelancaran inisiatif penting untuk membuat produk ventilator buatan tempatan di Semenanjug Gaza, sesuai dengan spesifikasi Kementerian Kesihatan. Untuk tahap awal akan akan dilakukan pembuatan 100 ventilator untuk menyokong usaha menghadapi virus corona. Meskipun para kontraktor telah mengalami banyak kerugian akibat sekatan panjang yang berlangsung di Semenanjung Gaza.
Dalam sebuah pernyataan akhbar, Rabu (1/4/2020), Kahil mengatakan bahawa para kontraktor “Pembangun Bangsa” telah memutuskan untuk menyumbang pembuatan ventilator untuk menyokong Kementerian Kesihatan dalam kesiapsiagaan menghadapi krisis kesihatan global dan sebagai kelanjutan dari usaha persatuan yang terus dilakukan sejak awal pengumuman pandemik corona.
Persatuan Kontraktor menegaskan bahawa pihaknya bekerjasama dengan empat perusahaan tempatan untuk pembuatan ventilator yang sangat diperlukan oleh sektor kesihatan demi membuat alat yang sesuai dengan standard Kementerian Kesihatan.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : osman
Khamis, 02-04-2020 – Tentera rejim zionis (IOF) pada Isnin menyerahkan arahan pemusnahan kediaman kepada satu keluarga seorang tahanan Palestin di penjara Israel Qassam al-Barghouti di kampung Kobar di Ramallah.
Keluarga Al-Barghouti’s diberi tempoh hingga 8 April untuk mengosongkan rumah dua tingkat tersebut sebagai persediaan untuk pemusnahan.
Al-Barghouti telah ditahan pada September 2019 atas tuduhan terlibat dengan serangan di mana seorang pendatang Israel telah dibunuh dan dua lagi cedera di kampung Deir Ibzi di Ramallah pada Ogos 2019.
Khamis, 02-04-2020 – Rejim zionis Israel bertindak menyerbu dua kawasan berbeza di Tebing Barat dan Baitulmaqdis pada waktu malam dan awal pagi dalam satu operasi menangkap sejumlah warga Palestin termasuk seorang pegawai kanan Hamas, Omar al-Barghouthi.
Menurut sumber tempatan, tentera rejim menahan pegawai Hamas dan anak lelakinya, Mohamed di rumah mereka di perkampungan Kobar.
Pegawai Hamas itu merupakan individu terkenal dan pernah meringkuk di pejara selama 35 tahun. Beliau adalah bapa kepada pejuang yang syahid iaitu Saleh al-Barghouthi dan Asem al-Barghouthi yang masih berada di penjara.
Khamis, 02-04-2020 – Pihak berkuasa penjajah Israel (IOA) Zionis pada hari Selasa memutuskan untuk menahan Sheikh Omar al-Barghouti dalam tahanan pentadbiran.
Pejabat Media Banduan berkata, memetik keluarga al-Barghouti, bahawa Zionis memutuskan untuk menahan tanpa perbicaraan tiada tempoh masa.
Al-Barghouti dan anaknya Muhammad diculik dari rumah mereka pada Subuh Selasa ketika serbuan di kampung Kobar di Ramallah.
Al-Barghouti adalah ikon perjuangan dan keteguhan Palestin. Dia adalah seorang bapa kepada anak yang syahid dan seorang bekas tahanan politik selama 25 tahun di penjara Israel.
Khamis, 02-04-2020 – Tahap kesihatan seorang tahanan yang sedang menghidapi barah otak, Eyad Jerjawi, 34, semakin merosot disebabkan pengabaian perubatan secara sengaja oleh Perkhidmatan Penjara Israel di penjara Gilboa Israel, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin dalam satu kenyataan pada Selasa lalu.
Suruhanjaya itu berkata bahawa Jerjawi, seorang penduduk Khan Yunis di Semenanjung Gaza, telah disahkan menghidap barah otak baru-baru ini dan perlu menjalani pembedahan segera.
Suruhanjaya itu juga menuduh Perkhidmatan Penjara Israel sengaja melengah-lengahkan kebenaran untuk Jerjawi menerima rawatan perubatan yang sewajarnya.
Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa Jerjawi, yang berisiko akan kehilangan daya penglihatan dan keupayaan untuk menggerakkan sebelah tubuh badannya, mesti dipindahkan ke hospital secepat mungkin.
Suruhanjaya itu meletakkan tanggung jawab sepenuhnya nyawa Jerjawi ke atas Perkhidmatan Penjara Israel, serta nyawa semua warga Palestin yang sedang ditahan di penjara Israel dan sedang menghidapi penyakit barah, yang kini berhadapan dengan risiko lebih besar disebabkan wabak coronavirus serta ketiadaan kemudahan penjagaan kesihatan yang penting.
Jerjawi telah ditahan pada Jun 2011 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.
Rabu, 01-04-2020 – Pejabat Hal Ehwal Pelarian, Pergerakan Hamas di Lubnan meminta UNRWA supaya menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka kepada pelarian Palestin tanpa berat sebelah terutamanya ketika penularan pandemik wabak coronavirus.
“Jika dilihat pada kemampuan dan kenyataan rasmi pegawainya yang semakin mengecewakan, adalah jelas bahawa keupayaan mereka sangat terbatas, hanya pada beberapa langkah yang tiada peningkatan berbanding tahap krisis yang ada,” demikian kata pejabat pertubuhan itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Tambah pejabat itu lagi, “Juga diketahui umum bahawa agensi PBB itu akan hanya mengedarkan bantuan kepada golongan tertentu, dalam jumlah yang tidak mencukupi dan tidak memenuhi keperluan mereka yang terjejas yang merupakan kelompok terbesar masyarakat kami.”
Rabu, 01-04-2020 – Forum EuroPal London menyeru kerajaan-kerajaan dan parlimen Eropah agar menekan rejim zionis untuk mengambil langkah sewajarnya di penjara mereka bagi membendung penyakit coronavirus.
Dalam kenyataan akhbarnya, forum itu menyuarakan kebimbangan tentang tindakan Israel ke atas tahanan Palestin, termasuk mengeluarkan produk kebersihan daripada kantin penjara.
Forum itu turut menyatakan yang para pengawal penjara menyerbu penjara secara kerap tanpa memakai sarung tangan dan topeng muka, menyebabkan nyawa tahanan Palestin terancam dengan wabak coronavirus.
Rabu, 01-04-2020 – Pergerakan Hamas telah mengulangi berkali-kali akan kepentingan pertahanan sebagai satu-satunya cara untuk membebaskan rakyat Palestin dan tanah mereka dari dirampas.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada ulang tahun ke 44 Hari Tanah, Hamas menyatakan kepercayaan mereka bahawa tidak akan ada masa depan dan tidak ada kemenangan untuk penceroboh.
“Ulangtahun Hari Tanah ini memperbaharui kesedaran kita untuk menghadapi pencerobohan walaupun perlbagai penganiayaan, penindasan, keganasan, diskriminasi kaum, rampasan tanah dan kampung terpaksa dihadapi,” kata Hamas.
Rabu, 01-04-2020 – Rejim Zionis pada hari Isnin telah mengumumkan bahawa tiga tahanan penjara Israel telah disahkan menghidapi penyakit coronavirus, yang mencetuskan kebimbangan tentang potensi wabak di kalangan warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin dalam satu kenyataan berkata bahawa tiga tahanan penjara Israel yang bekerja di penjara Ofer dan Nitzan telah disahkan positif untuk coronavirus.
Suruhanjaya itu memberi amaran mengenai “potensi bencana” yang mungkin mengancam nyawa lebih 5,000 warga Palestin yang ditahan di 23 penjara dan pusat tahanan Israel, termasuk 180 kanak-kanak, 41 wanita dan 700 tahanan yang sedang mengalami masalah kesihatan.
Suruhanjaya berkenaan bimbang bahawa sebilangan besar tahanan Palestin di penjara Israel boleh dijangkiti dengan coronavirus jika penjagaan kesihatan dan langkah pencegahan yang sewajarnya tidak dilakukan.
Ia menyeru pertubuhan antarabangsa yang berkaitan, terutamanya Palang Merah, untuk menggesa pihak berkuasa Israel untuk mengambil langkah-langkah perlindungan yang sewajarnya dan menjalankan ujian saringan untuk tahanan Palestin bagi memastikan keselamatan mereka.
Ia juga menggesa supaya tahanan-tahanan yang paling lemah dibebaskan dengan kadar segera, terutamanya kanak-kanak, wanita, dan tahanan yang sakit dan tua.