Isnin , 17-08-2020 – Pesawat perang Israel pada subuh Khamis melancarkan serangan udara terbaru di Semenanjung Gaza, mengakibatkan kerosakan harta benda di sebuah sekolah dan rumah-rumah.
Menurut sumber tempatan, serangan udara menyasarkan kawasan pejuang di kota Gaza dan tanah yang disediakan untuk pertanian di Beit Hanoun, utara Semenanjung.
Satu pesawat perang turut mengebom tanah di kawasan Sufa, timur laut Gaza.
Isnin , 17-08-2020 – Pasukan penjajah Zionis (IOF) pada hari Khamis menyerahkan perintah berhenti kerja dan perobohan rumah Palestin yang sedang dibina di kampung Nabi Ilyas, di timur Qalqilya.
Pegawai tempatan Mohamed Abul-Sheikh mengatakan bahawa dua warganegara menerima ultimatum perobohan terhadap kediaman yang sedang dibina milik mereka di kampung itu, tanpa menyatakan jumlah rumah yang belum selesai ini.
Abul-Sheikh menuduh pihak penjajah Israel di Tebing Barat menggunakan segala cara untuk merampas hak Palestin untuk membangun dan tinggal di tanah mereka.
Dalam kejadian berasingan, IOF pada hari yang sama meratakan tanah Palestin di timur Tulkarem untuk membina jalan bagi peneroka Yahudi.
Datuk Bandar Kafr al-Labad, Ihab Ghazalah, mengatakan bahawa IOF meratakan tanah di kawasan Ras al-Maseed berhampiran bandar dan kawasan-kawasan lain yang berdekatan dan membina jalan sepanjang 10 kilometer yang merangkumi penempatan haram Avnei Hefetz.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ameen
Isnin , 17-08-2020 – Pesawat dan kereta kebal Israel melancarkan serangan pada Jumaat pagi ke beberapa lokasi berbeza di Semenanjung Gaza.Wartawan Pusat Informasi Palestin menyatakan, pesawat tempur Israel menggempur sebuah lokasi milik pejuang Palestin di kawasan timur Absan, Khanyunis timur dan sebuah lokasi di Gaza timur, menggunakan beberapa roket.
Serangan dilancarkan pesawat tempur Israel ke sebuah lokasi para pejuang menjaga perbatasan di Rafah timur, Gaza selatan.
Sementara itu kereta kebal tempur Israel menyerang kawasan latihan milik pejuang Palestin di kota Fakhori timur, daerah Khanyunis.
Sejak tahun 2006 penjajah Israel terus menyekat Gaza sama ada di darat, laut dan udara dan hanya membuka sebahagian pintu masuk untuk urusan keluar masuk barang.
Sejak itu penjajah Israel berulangkali melancarkan serangan ketenteraan ke Gaza, yang menyebabkan kematian ribuan orang dan puluhan ribu cedera serta hancurnya ribuan rumah dan infrastruktur lainnya.
Serangan Israel mendapat respon sengit dari para pejuang perlawanan Palestin di Gaza, Brigade Al-Qassam bersama kekuatan militan faksi-faksi Palestin lainnya bahu-membahu melawan serangan Israel.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : osman
Isnin , 17-08-2020 – Sekumpulan peneroka haram Yahudi pelampau pada subuh hari Khamis telah menoreh tayar tiga kereta milik warga Palestin di perkampungan Yasuf, timur Salfit di Tebing Barat yang diduduki.
Menurut sumber tempatan, para peneroka haram telah menyusup masuk ke Yasuf pada waktu subuh dan mengelar tayar kereta milik tiga penduduk tempatan.
Seperti kawasan Tebing Barat yang lain, kampung-kampung Palestin di Salfit terdedah kepada serangan berulang oleh peneroka haram Yahudi dan tentera Israel, terutama pada musim penuaian zaitun.
Isnin , 17-08-2020 – Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan satu kematian baru yang berkaitan dengan COVID-19 (coronavirus), 432 ujian positif baru, dan 1022 dalam proses pemulihan di kawasan Palestin dalam tempoh 24 jam.
Dalam satu siaran akhbar, menteri kesihatan, Mai Al-Kaila mengatakan mangsa baru, yang meninggal dunia akibat coronavirus pada hari Rabu malam, adalah seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dari bandar Idhna di wilayah al-Khalil.
22 pesakit yang sedang kritikal juga telah dimasukkan ke unit rawatan intensif, dan empat daripadanya telah ditempatkan di ventilator, menurut menteri itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nurul
Jumaat , 14-08-2020 – Pertubuhan Pergerakan Islam Hamas meminta penduduk Baitulmaqdis dan Tebing Barat bangkit mempertahankan Masjidil Aqsa dan meningkatkan lagi perjuangan menentang rancangan rejim penjajah Israel yang mahu menguasai tanah air mereka.
Melalui satu kenyataan medianya, jurucakap Hamas, Abdul Latif al-Qanu menyebut bahawa rejim Israel sedang menceroboh Baitulmaqdis dengan ganas di mana pendatang haram Yahudi setiap hari memasuki masjid Aqsa dan baru-baru ini mereka merancang membina 1,000 unit rumah di kota itu “yang sebenarnya menjadi satu bentuk ancaman kepada masjid Aqsa dan penduduk Baitulmaqdis.”
Jurucakap itu lagi memberi amaran wujudnya kempen terancang pihak rejim bertujuan untuk menghapuskan kedudukan warga Baitulmaqdis dan menafikan hak ke atas tanah serta tempat tinggal dengan menjadikan kota itu sebagai kota suci orang Yahudi dan secara paksa mahu menguasai sepenuhnya Masjidil Aqsa.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Jumaat , 14-08-2020 – Tentera rejim Israel (IOF) pada Selasa merampas khemah dan peralatan pembinaan, serta mengeluarkan arahan memberhentikan pembinaan sebuah rumah di Susya, selatan bandar Yatta di wilayah al-Khalil.
Pegawai tempatan, Rateb al-Jabour berkata yang IOF menyerbu Susya dan menimbulkan kekecohan di khemah milik Ahmed al-Nawa’ja sebelum merampasnya.
IOF turut merampas dua khemah dan peralatan pembinaan milik seorang warga lain dan mengarahkan beliau memberhentikan pembinaan sebuah rumah.
Jumaat , 14-08-2020 – Tentera Zionis (IOF) pada waktu subuh hari Selasa melancarkan serbuan besar-besaran di rumah dan menangkap sejumlah warga Palestin di kawasan Tebing Barat yang berlainan.
Sumber tempatan mengatakan bahawa IOF menculik sekurang-kurangnya 10 warga Palestin, termasuk seorang lelaki, isterinya, serta dua anaknya dari kediaman mereka di daerah Tebing Barat Ramallah, Bethlehem, Qalqilya, dan al-Khalil.
Di Ramallah, IOF menyerbu kota Beitunia, memecah masuk rumah pemimpin Hamas, Hasan Yousef, dan menyerahkan kepadanya perintah untuk hadir di hadapan Badan Perisikan Israel untuk disoal siasat.
Yousef dibebaskan dari penjara Israel pada 23 Julai setelah 15 bulan penahanan pentadbiran (tanpa tuduhan atau perbicaraan).
Terdapat kira-kira 4,700 orang Palestin yang dipenjarakan di Israel, termasuk 41 tahanan wanita, 160 kanak-kanak, dan 365 tahanan yang ditahan tanpa tuduhan atau perbicaraan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ameen
Jumaat , 14-08-2020 – Sekumpulan peneroka haram Yahudi, dengan dikawal oleh pasukan polis yang besar, telah mencemari Masjid al-Aqsa pada pagi Selasa lalu.
Sumber tempatan mengatakan bahawa kira-kira 90 peneroka haram Israel mencemarkan Masjid al-Aqsa pada awal pagi dan merayau-rayau di halamannya.
Pegawai polis bersenjata berat telah mengiringi para peneroka berkenaan ketika mereka melakukan lawatan ke lokasi dan melakukan upacara Talmud.
Peneroka haram Yahudi memasuki Masjid al-Aqsa hampir setiap hari, dan biasanya akan diikuti dengan larangan masuk yang ketat ke atas jemaah Palestin.
Rabu , 12-08-2020 – Khadija Khuwais yang merupaka seorang guru dan aktivis berasal dari Baitulmaqdis telah memberi amaran berkenaan pelampau Yahudi yang mula menjadikan kawasan timur al-Aqsa sebagai tempat sembahyang yahudi yang hampir serupa dengan sembahyang yang mereka lakukan di tembok meratap sedekad yang lalu.
“Apa yang berlaku di kawasan timur (masjid al-Aqsa) adalah sama dengan apa yang mereka lakukan di tembok meratap (tembok Buraq) 100 tahun yang lalu ketika mereka duduk dan menangis sambil membawa buku dan tisu tandar berdekatan dengan tembok tersebut,” ulas Khuwais kepada media.
Beliau juga berkata, tindakan pelampau Yahudi ini selari dengan tujuan Israel untuk mengawal kawasan masjid di bahagian timur dan mereka akan menuntut tempat tersebut sebagai kepunyaan Yahudi.
Rabu , 12-08-2020 – Satu kapal terbang perang Israel pada Ahad malam mengebom satu kawasan pejuang di utara Semenanjung Gaza, tiada kematian dilaporkan.
Seorang wartawan dari Pusat Maklumat Palestin (PIC) berkata, serangan udara itu menyasarkan kawasan di Beit Hanoun, utara Gaza.
Seorang jurucakap tentera rejim Israel berkata serangan udara itu menyasarkan pusat pemerhatian yang dimiliki Hamas di utara Gaza sebagai tindak balas ke atas kononnya serangan api menggunakan belon di kawasan Israel.
Rabu , 12-08-2020 – Berpuluh-puluh pendatang haram Yahudi dengan diiringi anggota polis rejim Israel dilihat memasuki Masjidil al-Aqsa dan berkeliaran di sekitar perkarangannya.
Rabi pelampau, Yehuda Glick didapati turut serta bersama kumpulan pendatang mencemar kesucian masjid dengan mengadakan upacara sembahyang mengikut ajaran Yahudi di halaman sebelah timur.
Sejak akhir-akhir ini, Rabi Glick semakin kerap menceroboh masuk masjid tersebut dan giat memberi syarahan mendakwa di situlah tapak kuil Yahudi berada.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Rabu , 12-08-2020 – Regim Zionis Israel (IOF) malam tadi dan pada waktu subuh Isnin menculik beberapa warga Palestin, termasuk seorang lelaki tua, kebanyakannya semasa serbuan di kediaman di Tebing Barat.
Menurut sumber tempatan, IOF menyerbu selepas tengah malam di kampung Badui Umm al-Khair dekat bandar Yatta di selatan al-Khalil dan menculik seorang warganegara berusia 70-an yang bernama Suleiman al-Haddaleen dari rumahnya.
Tentera Israel juga menyerang Haddaleen semasa penahanannya di penempatan haram Carmel sebelum membebaskannya pada waktu subuh.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nor syuhada
Rabu , 12-08-2020 – Ketua Badan Urusan Tahanan dan Bekas Tahanan, Komandan Qadri Abu Bakr mengutuk serangan undang-undang dan paparan di peringkat antarabangsa yang dilakukan penjajah Israel terhadap hak tahanan dalam perjuangan, kemanusiaan dan nasional. Juga terhadap badan induk yang menaungi semua urusan mereka dan keluarga mereka; Iaitu Badan Urusan Tahanan dan Bekas Tahanan.
Menjawab laporan yang dikeluarkan harian Israel Hayom, Isnin (10/8) dalam kenyataannya, Abu Bakr menjelaskan bahawa anggota parlimen Israel Knesset dan sejumlah organisasi parlimen meminta Menteri Keamanan Beny Gants agar mengumumkan bahawa Badan Urusan Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin adalah organisasi teroris.
Abu Bakr menambah, penjajah Israel hari ini menyerang tahanan Palestin dengan segala bentuk kedengkian dan ekstrimisme, kejahatan dan terror. Tidak cukup dengan menggunakan cara represif dan penyiksaan serta melanggar hak-hak mereka dan harga diri mereka, selanjutnya Israel berusaha mempelbagaikan dimensi politik dan undang-undang terhadap tahanan sebagai isu pembebasan nasional.
Israel berusaha menelanjangi mereka dari status perjuangan melawan penjajahan dalam sejarah manusia moden.
Abu Bakr menekankan bahawa melanggar hak tahanan dan badan yang melayani mereka adalah tindakan terkutuk. “Kita tidak akan menerima pelanggaran ini dengan apa-apa alasan. Kita akan menjalankan tanggungjawab kita terhadap para pejuang dari tawanan dan keluarga mereka.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : osman
Selasa , 11-08-2020 – Satu laporan Palestin pada Sabtu memberi amaran tentang rancangan Israel untuk membina 1,000 unit penempatan pendatang di atas tanah yang dirampas dari perkampungan at-Tur, Anata, Eizariya dan Abu Dis di kawasan yang dikenali sebagai “E1” di timur Baitulmuqaddis.
Rancangan itu bertujuan meluaskan sempadan Baitulmuqaddis yang dijajah sebagai sebahagian projek Israel yang digelar “greater Jerusalem” serta ingin merampas sebahagian besar tanah Palestin.
Laporan itu yang dikeluarkan oleh Biro Perlindungan Tanah Kebangsaan (sekutu Pertubuhan Pembebasan Palestin, PLO) berkata, jika projek itu dilaksanakan, ia akan memenuhi sepenuhnya kawasan timur Baitulmuqaddis, sekitar Anata, at-Tur dan Hizma dengan unit pendatang dan menghalang kemungkinan sebarang peluasan bandar di Palestin pada masa akan datang.