Categories
Berita Semasa

15 serangan tentera dan pendatang Israel dalam 12 jam di Tebing Barat

Rabu, 04/11/2026 – Suruhanjaya Penentang Tembok dan Penempatan Palestin merekodkan 15 serangan oleh tentera penjajah Israel dan pendatang haram terhadap petani Palestin dan tanah pertanian di seluruh Tebing Barat yang diduduki secara haram dalam tempoh hanya 12 jam pada Isnin, termasuk membakar dan mencabut pokok zaitun, meratakan tanah dengan jentolak, memusnahkan sumber air, mencuri tanaman, menangkap petani dan merampas kenderaan.

Suruhanjaya itu berkata serangan berlaku antara jam 6 pagi hingga 6 petang, melibatkan wilayah Salfit, Nablus, Ramallah dan al-Bireh, Bethlehem, Qalqilya, dan al-Khalil.

Peningkatan serangan itu berlaku serentak dengan pihak berkuasa Israel memulakan pembinaan tembok konkrit baharu di sepanjang tanah pertanian milik kampung Marda, di utara Salfit.Pokok zaitun dibakar dan tanah pertanian diratakan

Di wilayah Salfit, pendatang Yahudi membakar tanah pertanian dan pokok zaitun berusia ratusan tahun di kawasan al-Badoun, kampung Iskaka, timur Salfit.Serangan itu adalah sebahagian daripada siri serangan di kawasan Wadi al-Shaer, antara Salfit dan pekan al-Lubban al-Sharqiya, selepas tentera Israel merobohkan pos penempatan haram yang berulang kali cuba didirikan oleh pendatang di atas tanah Palestin.

Pendatang juga membakar tayar di jalan raya, menyekat lebuh raya utama, dan membaling batu ke arah kenderaan Palestin, mengganggu lalu lintas dan membahayakan pemandu.

Di Marda, pihak berkuasa Israel mula membina tembok konkrit di sepanjang lebuh raya penempatan Trans-Samaria, sambil pada masa yang sama meratakan tanah pertanian dengan jentolak dan mencabut ratusan pokok zaitun matang yang berbuah.

Suruhanjaya itu memberi amaran bahawa tembok tersebut mengancam untuk memencilkan lebih banyak kawasan pertanian dan menghalang pemilik tanah Palestin daripada mengakses hartanah mereka.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Yasmin Shaaban Dibebaskan Selepas 18 Bulan Dalam Penjara Israel

Rabu, 04/11/2026 – Pihak berkuasa Israel telah membebaskan tahanan Palestin, Yasmin Taysir Shaaban, pada hari Isnin selepas hampir 18 bulan ditahan di penjara Israel. Pembebasan tersebut menamatkan tempoh penahanan terbaharunya, ketika puluhan wanita Palestin lain masih terus dipenjarakan.

Shaaban, yang berasal dari Kampung al-Jalama, timur laut Jenin di Tebing Barat telah beberapa kali ditahan oleh tentera Israel sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin memaklumkan bahawa jumlah wanita Palestin yang kini ditahan di penjara Israel telah meningkat kepada 88 orang. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 24 peratus ditahan di bawah perintah tahanan pentadbiran, termasuk perintah baharu yang dikeluarkan serta pembaharuan perintah tahanan sedia ada

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Empat orang terbunuh, yang lain cedera dalam serangan Israel di Gaza

Selasa, 03/11/2026 – Empat orang awam Palestin syahid dan beberapa yang lain cedera dalam serangan terbaru Israel di Semenanjung Gaza pada Rabu.

Menurut sumber media, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 15 yang lain cedera, termasuk kanak-kanak, apabila dron Israel mengebom perhimpunan orang awam di utara al-Mawasi, berhampiran Khan Yunis di selatan Gaza.

Sumber perubatan melaporkan bahawa lima daripada yang cedera masih dalam keadaan kritikal.Satu lagi serangan di Khan Yunis membunuh seorang warga dan mencederakan lima yang lain.

Serangan dron juga mencederakan lima orang di bandar al-Qarara, utara Khan Yunis, dan tiga yang lain di kem pelarian an-Nuseirat, tengah Gaza.Selain itu, lima orang mengalami kecederaan dalam serangan Israel yang berasingan di pelbagai kawasan di Gaza, termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun dan seorang bapa bersama anak perempuan kecilnya.

Sementara itu, aktiviti ketenteraan yang meluas, termasuk insiden tembakan, bedilan artileri, penerbangan dron, dan kerja-kerja perobohan, dilaporkan di pelbagai kawasan di Gaza.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Amnesty International menyeru agar penyertaan Israel dalam Eurovision 2027 digantung

Selasa, 03/11/2026 – Amnesty International menggesa Kesatuan Penyiaran Eropah untuk menggantung penyertaan Israel dalam Pertandingan Lagu Eurovision 2027, dengan alasan bahawa keputusan penyiar awam Belanda itu untuk menarik diri daripada pertandingan itu disebabkan penyertaan berterusan Israel harus menjadi insentif untuk mengambil langkah yang sama.

Steve Cockburn, pengarah Amnesty International di Eropah, mengulas keputusan Belanda itu, berkata langkah ini “mengirim mesej yang jelas bahawa tiada platform yang harus disediakan untuk menutup jenayah genosid, pembersihan etnik dan apartheid yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.”

Cockburn menambah bahawa pendirian Belanda itu mengetengahkan apa yang beliau sifatkan sebagai keengganan Kesatuan Penyiaran Eropah untuk menggantung penyertaan Israel dalam pertandingan itu, meskipun jenayah dan pelanggaran berterusan terhadap rakyat Palestin. Beliau menjelaskan bahawa penyertaan Israel dalam Eurovision memberikannya platform untuk mengalihkan perhatian daripada pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Semenanjung Gaza dan normalisasinya, serta untuk menutup langkah-langkah pengilhakan dan pembersihan etnik yang semakin pantas di Tebing Barat.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Israel terus menyasarkan petani dan tanah mereka di Tebing Barat

Selasa, 03/11/2026 – Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Palestin merekodkan tujuh serangan yang dilakukan oleh tentera pendudukan Israel dan peneroka haram di empat wilayah di Tebing Barat hari ini, dengan menyasarkan petani, tanah serta harta benda pertanian mereka, serta terus meningkat sepanjang musim memetik buah zaitun.

Menurut laporan suruhanjaya itu, serangan berkenaan berlaku antara pukul 6 pagi hingga 6 petang, melibatkan pelbagai bentuk tindakan, termasuk meratakan tanah pertanian, mencabut pokok buah-buahan, merobohkan struktur pertanian dan memusnahkan tangki air. Serangan itu turut melibatkan penahanan petani ketika memetik buah zaitun, tindakan menghalang petani lain daripada memasuki tanah pertanian mereka serta melepaskan ternakan milik peneroka ke kawasan kebun zaitun.

Di wilayah Jenin, tentera Israel memulakan kerja-kerja meratakan tanah pertanian di bahagian timur laut Kampung Tura, berhampiran tembok pemisah di barat daya wilayah berkenaan. Tanah yang menjadi sasaran itu dimiliki oleh Khader Faris Qabha, Faisal Abadi, Ayman Abadi dan Mansour Abadi. Kawasan tersebut mempunyai pokok zaitun berusia ratusan tahun serta kawasan pertanian yang luas. Pemilik tanah berkenaan mengesahkan bahawa mereka tidak menerima sebarang notis awal berhubung tindakan meratakan tanah tersebut.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Siapa yang Akan Memerintah? Senario Politik Israel Terkini yang Rumit dan Tidak Menentu

Selasa, 03/11/2026 – Hasil pilihan raya umum Knesset Israel memaparkan situasi politik yang rumit. Hingga kini, belum ada kepastian mengenai siapa yang akan memimpin pemerintahan berikutnya, meskipun Parti Likud unggul dalam hasil sampel pilihan raya umum. Ketika sengitnya persaingan antara dua kubu Zionis, perhitungan pembentukan koalisi, serta sikap parti-parti terhadap Benjamin Netanyahu, perhatian kini tertuju pada pelbagai senario yang mungkin menentukan perebutan kuasa. Senario tersebut mencakupi pembentukan pemerintahan perpaduan, pemerintahan transisi atau mengadakan pilihan raya baharu.

Hasil sementara menunjukkan Netanyahu dan para pesaingnya pada dilema politik yang sama, iaitu bagaimana membentuk pemerintahan yang mempunyai majoriti di parlimen tanpa mengingkari janji-janji yang telah disampaikan para pemimpin parti sepanjang kempen pilihan raya.

Analisis politik terhadap hasil sampel pilihan raya, termasuk setelah mendapat data terkini pada malam hari, menunjukkan dua jalur utama. Pertama, Netanyahu berupaya menarik parti atau anggota parlimen dari kubu yang menentangnya. Kedua, para pesaingnya berusaha mencapai kesepakatan yang memungkinkan mereka menggantikan Netanyahu, meskipun hanya melalui pemerintahan transisi dengan kuasa terbatas.

Jika kedua jalur tersebut tidak berhasil, Israel mungkin perlu menghadapi pilihan raya baharu, sementara Netanyahu tetap menjalankan pemerintahan transisi.

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

Gaza Mengalami Neraka di Bumi, Pesakit Perlukan Bantuan Perubatan Segera

Khamis, 29/10/2026 – Ketua Pengarah Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, Pierre Krähenbühl, memperingatkan bahawa bencana kemanusiaan di Semenanjung Gaza terus berlangsung ketika memburuknya keadaan kehidupan dan kesihatan masyarakat.

Beliau menyeru masyarakat antarabangsa agar menjalankan tanggungjawab terhadap penduduk Gaza serta memastikan pesakit yang memerlukan rawatan di luar wilayah tersebut dapat diusahakan untuk mendapat rawatan.

Dalam wawancara dengan Al Jazeera di Forum Keamanan Global di Doha, Krähenbühl menggambarkan keadaan yang dialami warga Palestin di Gaza sebagai “neraka di bumi”.

Beliau menyoroti penderitaan warga yang tinggal di khemah-khemah yang serba kekurangan dengan keterbatasan layanan kesihatan dan air bersih, serta kekhawatiran yang terus membayangi kehidupan dan masa depan mereka.

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

Penahanan seorang wanita Palestin dan anak perempuannya kembali ke Gaza dikecam.

Khamis, 29/10/2026 – Pusat Palestin bagi Pembelaan Tahanan mengecam penahanan tentera Israel terhadap seorang wanita Palestin, Amal Ghazi Muhammad Al-Rifi, 60, dan anak perempuannya, Yasmin Rifat Muhammad Al-Rifi, 33, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Semenanjung Gaza melalui pintu sempadan Rafah selepas menjalani rawatan di Mesir.

Mereka menyifatkan tindakan berkenaan sebagai pencabulan hak kedua-dua wanita tersebut untuk pulang dengan selamat ke rumah dan bertemu keluarga mereka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, pihak berkuasa Israel memutuskan untuk melanjutkan tempoh penahanan kedua-duanya sehingga 3 Disember 2026. Mereka juga dilaporkan tidak dibenarkan bertemu peguam masing-masing.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan penahanan serta keselamatan fizikal dan psikologi kedua-dua wanita berkenaan, khususnya selepas mereka pulang daripada menjalani rawatan dan dinafikan akses kepada bantuan guaman yang diperlukan bagi memastikan keadaan serta kebajikan mereka terpelihara.

Pusat itu menegaskan bahawa penahanan seorang wanita berusia 60 tahun bersama anak perempuannya ketika mereka pulang daripada mendapatkan rawatan telah menjadikan perjalanan kembali ke tanah air sebagai pengalaman yang menimbulkan ketakutan dan penderitaan. Menurutnya, perjalanan pulang sepatutnya menjadi laluan yang selamat bagi pesakit dan rakyat yang ingin kembali menjalani kehidupan bersama ahli keluarga masing-masing.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Hamas Alu Pendirian Eropah

Rabu, 21/10/2026 – Pergerakan Hamas mengalu-alukan pendirian Majlis Eropah terhadap perluasan penempatan di Tebing Barat yang dijajah, dan menyeru agar pendirian itu diterjemahkan kepada langkah-langkah konkrit yang akan menekan kerajaan Israel untuk menghentikan pelanggarannya di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Dalam satu kenyataan pada hari Ahad, Hamas memuji Majlis Eropah kerana memberi amaran kepada syarikat dan institusi kewangan agar tidak menyokong atau menyertai projek penempatan haram.

Hamas juga memuji seruan majlis itu untuk memastikan bantuan kemanusiaan dan bantuan ke Gaza sampai.

Hamas menggesa majlis itu untuk mengenakan lebih banyak tekanan bagi menamatkan pendudukan dan serangan peneroka yang disokong kerajaan.

Gerakan itu menekankan bahawa keganasan peneroka kini kerap menyasarkan kakitangan diplomatik asing, wartawan dan aktivis.

Ia berkata kritikan AS dan Eropah terhadap serangan ini harus diikuti dengan langkah praktikal untuk membendungnya, meminta mereka yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan, dan memastikan akauntabiliti kerajaan Zionis atas sokongannya terhadap keganasan peneroka.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Ancaman Terhadap Masjid Al-aqsa Semakin Meningkat.

Rabu, 21/10/2026 – Penyelidik hal ehwal Baitulmaqdis, Ziad Ibhais, memberi amaran bahawa ancaman terhadap Masjid Al-Aqsa semakin meningkat berikutan usaha pertubuhan-pertubuhan Temple Mount untuk membolehkan puak Israel menceroboh masuk ke kompleks masjid itu pada setiap hari Sabtu. Menurut beliau, kelewatan kerajaan Israel mengemukakan maklum balas terhadap permohonan tersebut menimbulkan kebimbangan bahawa cadangan berkenaan masih dalam pertimbangan.

Ibhais menjelaskan bahawa Asaf Fried, jurucakap Union of Temple Mount Organizations dan pengerusi Jawatankuasa Membuka Temple Mount pada Hari Sabtu, memaklumkan bahawa Pejabat Peguam Negara Israel telah memohon lanjutan masa daripada Mahkamah Agung untuk mengemukakan jawapan kerajaan terhadap petisyen yang menuntut agar peneroka Israel dibenarkan menceroboh masuk ke kompleks Masjid Al-Aqsa pada hari Sabtu.

Beliau berkata, kes berkenaan telah ditangguhkan buat kali kedua, dengan lanjutan terbaharu dijangka diberikan selama 30 hari.

Menurut Ibhais, pertubuhan-pertubuhan Temple Mount menggunakan prosiding mahkamah itu untuk mempromosikan tuntutan mereka kepada masyarakat Israel, selain melancarkan kempen tekanan secara berperingkat bagi mencapai matlamat tersebut, meskipun cadangan itu belum tentu dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau turut menjelaskan bahawa tuntutan seumpama itu sebelum ini pernah ditolak dengan segera atas alasan keselamatan. Sebagai contoh, permohonan untuk mengadakan upacara korban haiwan di Masjid Al-Aqsa pada tahun 2012 telah ditolak.

Bagaimanapun, kelewatan kerajaan memberikan maklum balas kali ini menimbulkan kebimbangan bahawa pihak berkuasa Israel mungkin sedang mempertimbangkan untuk meluluskan permohonan tersebut.

Ibhais turut menyatakan bahawa Menteri Kehakiman Israel merangkap Timbalan Perdana Menteri, Yariv Levin, sebelum ini pernah membayangkan sokongannya terhadap langkah berkenaan ketika menghadiri sambutan Hanukkah di luar Pintu Mughrabi pada 21 Disember 2025.

Beliau menambah bahawa Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, secara terbuka berjanji untuk membenarkan peneroka Israel menceroboh masuk ke kompleks Masjid Al-Aqsa pada hari Sabtu. Kenyataan itu dibuat ketika beliau sendiri menceroboh masuk ke kawasan masjid berkenaan pada 31 Ogos 2026.

Ibhais seterusnya berpandangan bahawa keputusan Mahkamah Agung Israel untuk mendengar kes tersebut mencerminkan peluasan campur tangan badan kehakiman Israel dalam hal ehwal Masjid Al-Aqsa. Perkembangan ini berpotensi menjejaskan status quo sejarah yang sekian lama dipertahankan di tapak suci berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa mahkamah itu telah mendengar kes-kes berkaitan Masjid Al-Aqsa sejak tahun 1993, dan jumlah kes sedemikian semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Ibhais menegaskan bahawa usaha untuk memperluas pembahagian waktu akses di Masjid Al-Aqsa serta membenarkan pencerobohan peneroka Israel pada hari Sabtu merupakan perkembangan serius yang memerlukan tindakan segera dan bersepadu.

Beliau memberi amaran bahawa sekiranya cadangan tersebut diluluskan, langkah itu boleh membuka jalan untuk menjadikan hari Sabtu sebagai hari tetap bagi pencerobohan peneroka ke kompleks Masjid Al-Aqsa setiap minggu, dengan berselindung di sebalik alasan keagamaan.

Sehubungan itu, Ibhais menyeru agar kehadiran umat Islam di Masjid Al-Aqsa dipertingkatkan, khususnya pada pagi hari Sabtu. Menurut beliau, peningkatan jumlah jemaah serta kehadiran umat Islam secara berterusan di kompleks masjid itu amat penting bagi mengekang usaha pihak tertentu untuk mengubah keadaan sedia ada dan memaksakan realiti baharu di tapak suci tersebut.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Seorang pakar penyelidik dalam hal ehwal Baitulmaqdis memberi amaran tentang bahaya yang mengancam Masjid Al-Aqsa

Isnin, 19/10/2026 – Pakar hal ehwal Masjid Al-Aqsa, Ziad Abuhays, memberi amaran mengenai usaha Israel untuk membuka Masjid Al-Aqsa bagi membolehkan pencerobohan peneroka Yahudi pada setiap hari Sabtu. Beliau menyifatkan langkah itu sebagai ancaman terhadap Masjid Al-Aqsa yang berpotensi menjadikan hari Sabtu sebagai hari keagamaan mingguan bagi peneroka Yahudi di dalam masjid berkenaan, seumpama hari Jumaat bagi umat Islam. Menurutnya, tindakan itu boleh membuka ruang kepada usaha mengubah status quo di masjid berkenaan serta mengehadkan kebebasan umat Islam untuk mengunjunginya bagi menunaikan ibadah.

Abuhays berkata, tempoh yang ditetapkan Mahkamah Agung Israel kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, untuk memberikan maklum balas terhadap tuntutan pertubuhan-pertubuhan Kuil agar Masjid Al-Aqsa dibuka bagi pencerobohan pada hari Sabtu, berakhir pada Khamis, 15 Oktober 2026. Beliau berkata, perkara itu susulan sesi pendengaran yang diadakan mahkamah pada 17 September lalu bagi meneliti petisyen yang dikemukakan berhubung tuntutan berkenaan.

Menurut Abuhays, mahkamah kini menunggu pendirian Netanyahu selepas Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, menyokong tuntutan pertubuhan-pertubuhan Kuil itu. Ben-Gvir dilaporkan telah mengemukakan maklum balas pada 14 September lalu yang menggesa supaya Masjid Al-Aqsa dibuka untuk pencerobohan Yahudi pada setiap hari Sabtu, bermula dengan musim perayaan semasa.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Navi Pillay: Apa yang Berlaku di Gaza Merupakan Genosid

Isnin, 19/10/2026 – Penerima Hadiah Novel Perdamaian Navi Pillay menegaskan bahawa pelanggaran Israel di wilayah Palestin yang diduduki merupakan pelanggaran serius yang menunjukkan genosid.

Beliau menekankan perlunya meminta pertanggungjawaban pihak penjajah atas pelanggaran yang dilakukan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat serta mengakhiri impunitas (kebal daripada hukuman) yang dinikmati para pemimpinnya.

Dalam wawancara dengan Al-Araby Television, Pillay mengatakan bahawa apa yang terjadi di Semenanjung Gaza merupakan genosid, sebagaimana kesimpulan Jawatankuasa Bebas Penyelidikan Antarabangsa mengenai wilayah Palestin yang diduduki dan Israel, yang sebelumnya pernah dipimpinnya.

Beliau menegaskan bahawa dia tidak meninggalkan perjuangan untuk Palestin setelah menamatkan jawatannya.Pillay menekankan pentingnya meneruskan penyelidikan, mendokumentasikan pelanggaran dan menyampaikan hasilnya kepada masyarakat antarabangsa.

Beliau secara khusus menyoroti pentingnya menyampaikan informasi tersebut kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan yang mempunyai kemampuan mengambil tindakan untuk menghentikan pelanggaran dan melindungi rakyat Palestin, terutama di Tebing Barat yang diduduki.

Pillay mengatakan, “Kami tidak memiliki kekuatan politik, tetapi kami memiliki hak moral untuk menjalankan peranan ini dan memberi tahu dunia, khususnya kepada PBB serta semua badan yang memiliki wewenang untuk menuntut penghentian pelanggaran dan perlindungan bagi rakyat Palestin di Tebing Barat.”

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

4 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak terbunuh dikala gencatan senjata baru di Gaza.

Isnin, 19/10/2026 – Pasukan penceroboh rejim Zionis Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza pada hari Ahad, melakukan serangan dron, tembakan artileri, dan tembakan yang mengorbankan empat rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun, sejak subuh hari ini.

Sumber laporan pihak perubatan di Hospital Nasser mengesahkan bahawa tiga rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila sebuah dron Israel menyasarkan sebuah khemah di barat Khan Yunis di selatan Gaza.

Serangan itu menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh oleh pasukan Israel di Khan Yunis dan Jabalia sejak awal Ahad kepada empat orang, termasuk seorang kanak-kanak.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

UNESCO Sebulat Suara Menerima Dua Resolusi Mengenai Perlindungan Warisan Dan Institusi Pendidikan Palestin

Khamis, 15/10/2026 – Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebulat suara meluluskan dua resolusi berkaitan Palestin yang menegaskan keperluan melindungi warisan budaya serta memelihara institusi pendidikan dan kebudayaan Palestin, ketika tapak bersejarah dan kemudahan pendidikan di wilayah Palestin terus berdepan serangan oleh Israel.

Kelulusan itu dibuat semasa sesi ke-225 Lembaga Eksekutif UNESCO. Resolusi pertama membincangkan keadaan di wilayah Palestin, manakala resolusi kedua berkaitan pelaksanaan keputusan UNESCO mengenai institusi pendidikan dan kebudayaan.

Kedua-dua resolusi itu menekankan kepentingan melindungi warisan budaya Palestin, termasuk tapak bersejarah di Baitulmaqdis, Hebron dan Bethlehem. Selain itu, resolusi berkenaan turut menegaskan keperluan memelihara institusi pendidikan dan kebudayaan serta memantau pelaksanaan keputusan UNESCO yang berkaitan. Langkah itu bertujuan memastikan warisan tamadun Palestin terus terpelihara, di samping menjamin kesinambungan proses pendidikan dan kegiatan kebudayaan dalam kalangan rakyat Palestin.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Bassem Naim: Hamas Tanggapi Secara Serius Ancaman Bunuh Pemimpin oleh Katz, Propaganda Pilihan Raya Umum

Khamis, 15/10/2026 – Anggota Biro Politik Gerakan Pejuang Islam Hamas, Bassem Naim, mengatakan bahawa Hamas menanggapi secara serius ancaman Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, untuk membunuh pemimpin gerakan tersebut.Walaupun demikian, Hamas memahami bahawa ancaman tersebut muncul dalam konteks kempen pilihan raya umum Israel.

Dalam hantaran ucapannya, Naim menjelaskan bahawa kelompok sayap kanan ekstrem Israel saling berlumba untuk memperoleh suara dalam pilihan raua umum dengan cara menggambarkan “penyebaran kematian di mana-mana”.Pernyataan itu merujuk kepada meningkatnya ancaman Israel untuk mensasarkan para pemimpin kelompok perlawanan Palestin.

Naim menyampaikan pesan terus kepada Katz dengan mengatakan, “Apakah engkau mengancam kami dengan sesuatu yang kami doakan siang dan malam? Kesyahidan? Sia-sialah usahamu.” Beliau menegaskan bahawa Hamas akan terus menempuh jalannya hingga mencapai kemenangan dan pembebasan.

Penterjemah : Dr Osman