Categories
Berita Semasa

Hamas: Kesyahidan banduan Al-Rifai mencerminkan dasar pelaksanaan yang perlahan di penjara Israel

Isnin, 21/07/2025 – Gerakan Hamas meratapi pemergian tahanan Palestin, Samir Muhammad Al-Rifai (53 tahun) dari bandar Rummana, barat Jenin, yang meninggal dunia di penjara Israel hanya beberapa hari selepas penahanannya. Hamas menganggap pihak berkuasa Rejim Zionis bertanggungjawab sepenuhnya atas kematiannya.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan Khamis lalu, Gerakan itu berkata bahawa kesyahidan Al-Rifai “mendedahkan sejauh mana jenayah seperti Nazi yang dilakukan ke atas tahanan Palestin di penjara Israel, secara terang-terangan melanggar semua konvensyen antarabangsa dan kemanusiaan.” Ia menegaskan bahawa dasar penyeksaan dan penderaan merupakan “jenayah perang sepenuhnya” yang diamalkan oleh kerajaan pendudukan ekstremis terhadap tahanan.

Kenyataan itu menegaskan bahawa tahanan Palestin tertakluk kepada pengabaian perubatan yang disengajakan dan penyeksaan sistematik, menggambarkan ini sebagai satu bentuk “pelaksanaan perlahan.” Hamas menyeru institusi hak asasi manusia dan kemanusiaan untuk memikul tanggungjawab mereka dan mendesak Israel untuk menghentikan pencabulan ini.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

Warga Kristian Gaza Dibunuh, Zionis Serang Gereja.

Isnin, 21/07/2025 – Dua warga emas Palestin dibunuh dan beberapa lagi cedera—termasuk Paderi Gabriel Romanelli, paderi paroki   Gereja Holy Family, pada Khamis berikutan serangan udara Zionis yang menyasarkan gereja di timur Kota Gaza.

Mouhammad Basal, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, berkata, “Dua orang mati syahid berikutan serangan Zionis ke atas Gereja Holy Family. Mereka berada dalam keadaan kritikal.”

Mangsa dikenali sebagai Saad Salama, berusia sekitar 60 tahun, dan Fumya Ayad, kira-kira 80 tahun, kedua-duanya dibunuh di gereja itu.

Basal menambah, “Hari ini kami mengucapkan selamat tinggal kepada dua saudara Kristian kami yang tidak melakukan kesalahan. Penjajah tidak membezakan, ia menyasarkan orang Kristian dan Muslim, gereja dan masjid.”

Beliau menyatakan bahawa gereja itu telah melindungi kira-kira 400 orang Kristian yang mencari perlindungan di sana selepas rumah mereka musnah semasa perang berterusan yang kini telah berlangsung selama 22 bulan.

Orang yang kehilangan tempat tinggal percaya gereja itu adalah tempat yang selamat, “tetapi malangnya, ia disasarkan oleh tentera Israel untuk kali ketiga sejak perang bermula.”

Basal menggesa masyarakat antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia untuk “mengambil tindakan segera untuk melindungi orang awam,” sambil bertanya dengan marah, “Mengapa orang ini dibunuh? Dunia mesti bertanggungjawab untuk melindungi orang awam.”

Terdahulu, Patriarkat Latin Baitulmaqdis mengesahkan dalam satu kenyataan akhbar bahawa  Gereja Holy Family telah diserang oleh tentera Zionis, mencederakan beberapa rakyat Palestin termasuk Paderi Romanelli.

Serangan udara itu menyebabkan kerosakan pada  Gereja Holy Family, satu-satunya gereja Katolik di Semenanjung Gaza, menurut Patriarkat Latin.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Ansarullah Melakukan Serangan Dron Berganda: Aset Israel Disasarkan

Isnin, 21/07/2025 – Jurucakap tentera bagi kumpulan Ansarullah Yaman, Yahya Saree mengumumkan bahawa pada hari Selasa yang lalu, kumpulan itu telah berjaya melakukan operasi ketenteraan secara serentak sebanyak dua kali menggunakan tiga dron. Dalam operasi tersebut, mereka menyasarkan tapak tentera di dalam wilayah Palestin yang dijajah. 

Dalam kenyataan tersebut, beliau menyatakan bahawa dua dron menyerang sasaran tentera di wilayah Negev, manakala yang ketiga menyasarkan pelabuhan Umm al-Rashrash (Eilat). Oleh itu beliau  mengesahkan bahawa operasi itu berjaya mencapai objektifnya.

Jurucakap tentera tersebut sekali lagi menegaskan bahawa Israel perlu bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai kejam terhadap orang awam di Gaza selama ini. 

Beliau menekankan bahawa pengeboman berterusan, penyasaran kanak-kanak dan wanita, dan penafian akses kepada makanan dan ubat-ubatan merupakan jenayah pembunuhan beramai-ramai.

Saree,dalam kenyataan tersebut, turut mengingatkan bahawa apa yang berlaku di Gaza adalah tanggungjawab seluruh dunia dari segi agama, moral, dan sejarah.

Beliau juga mengkritik tindakan “berdiam diri dan tidak bertindak” hanya akan menggalakkan musuh untuk melaksanakan rancangan penjajahannya.

Sebagai maklumat, sejak 7 Oktober 2023, tentera penjajah, dengan sokongan penuh Amerika, terus melakukan jenayah genosid di Gaza, menyebabkan setakat ini, lebih 197,000 rakyat Palestin terbunuh atau cedera. Lebih menyedihkan kebanyakan mangsa merupakan kanak-kanak dan wanita, manakala lebih 10,000 dilaporkan hilang, selain ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Penterjemah : Halimah

Categories
Berita Semasa

Kementerian Kesihatan: Malapetaka Ancam Ribuan Pesakit

Isnin, 21/07/2025 – Seorang pegawai kanan di Kementerian Kesihatan Gaza telah mengesahkan bahawa bencana kesihatan akan  mengancam nyawa beribu-ribu pesakit di Semenanjung Gaza kerana kekurangan ubat-ubatan yang teruk dan berterusan.

Zakaria Abu Qamar, Pemangku Ketua Pengarah Farmasi di Kementerian Kesihatan di Gaza, menyatakan dalam kenyataan akhbar bahawa 47% daripada ubat-ubatan penting tidak tersedia sepenuhnya, manakala kadar kekurangan bahan guna perubatan telah mencapai 65%. Ini bermakna hampir separuh daripada perkhidmatan farmaseutikal di Gaza telah menjadi tidak beroperasi.

Beliau menegaskan bahawa perkhidmatan onkologi dan hematologi adalah antara yang paling terjejas, dengan 67% ubat untuk pesakit ini tidak tersedia.

Abu Qamar juga menekankan bahawa lebih daripada 51% ubat penjagaan primer untuk keadaan kronik seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantung, dan kegagalan buah pinggang berkurangan, memaksa pesakit untuk menggunakan rawatan alternatif yang kurang berkesan, yang berpotensi mendedahkan mereka kepada komplikasi serius.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Hospital Terima 93 Jenazah, Angka Korban Meningkat Kepada 58,479

Isnin, 21/07/2025 – Dalam tempoh 24 jam lalu, hospital di Semenanjung Gaza menerima sekurang-kurangnya 93 jenazah orang awam serta 278 mangsa yang mengalami pelbagai kecederaan susulan serangan berterusan oleh tentera Israel, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza pada pagi Selasa.

Sejak tentera pendudukan Israel menyambung semula serangan genosid ke atas Gaza pada 18 Mac 2025, seramai 7,656 orang telah terbunuh dan 27,314 lagi cedera.

Dengan pertambahan angka korban ini, jumlah kematian akibat perang genosid Israel ke atas Gaza yang bermula pada 7 Oktober 2023 kini mencecah 58,479 orang, termasuk 844 pencari bantuan yang dibunuh ketika berada di kawasan agihan bantuan yang disokong AS.

Kementerian turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan mangsa cedera meningkat kepada 139,355 orang, termasuk 5,604 pencari bantuan. Usaha masih dijalankan untuk mencari dan mengeluarkan mayat mangsa yang dilaporkan hilang di beberapa kawasan dalam Semenanjung Gaza.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Hamas Ratapi Syahid Jenin, Puji Peningkatan Penentangan di Tebing Barat

Isnin, 21/07/2025 – Gerakan Hamas menegaskan bahawa penentangan di Tebing Barat masih giat berlangsung dan semakin meningkat, meskipun berdepan dengan situasi keselamatan yang rumit serta tindakan pengejaran berterusan terhadap para pejuang penentangan.

Dalam satu kenyataan, Hamas meratapi pemergian syahid Yusuf Walid Sheikh Ibrahim, yang terkorban pada petang Isnin selepas melancarkan serangan tembakan berhampiran penempatan haram “Mevo Dotan” di barat daya Jenin.

Gerakan itu turut menyatakan bahawa serangan tembakan tersebut membuktikan bahawa jenayah pendudukan yang semakin berleluasa, khususnya di Jenin dan Tulkarem, “tidak akan melemahkan semangat rakyat Palestin dan tidak akan memadamkan api penentangan di Tebing Barat.”.

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Peneroka Haram Yahudi Bakar Ladang

Rabu, 16/07/2025 – Sekumpulan peneroka haram Yahudi ekstremis membakar bangunan ladang di bandar Deir Dibwan, timur Ramallah di Tebing Barat yang dijajah, pada subuh Ahad.

Menurut sumber tempatan, peneroka haram menyerbu kawasan al-Marj dan Wad al-Qatn di bandar itu dan melemparkan bahan pembakar ke arah struktur pertanian milik petani tempatan, memusnahkannya sepenuhnya.

Serangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas serbuan serupa oleh peneroka haram di bandar itu, di mana mereka mencuri sejumlah biri-biri milik seorang penduduk tempatan.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

7 Agensi PBB: Kekurangan bahan api meletakkan Gaza diambang krisis kesihatan yang kritikal

Rabu, 16/07/2025 – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran pada hari Sabtu bahawa situasi di Jalur Gaza telah mencapai tahap kritikal apabila bekalan bahan api semakin kurang dan mengancam untuk menambahkan lagi penderitaan penduduk.

Dalam satu kenyataan bersama, tujuh agensi PBB menekankan bahawa selepas hampir dua tahun perang, penduduk Gaza menghadapi kesukaran yang melampau, terutamanya masalah bekalan makanan yang terganggu. “Apabila bahan api habis, ia akan menambah beban yang amat berat  kepada orang ramai yang sudah berada di ambang kebuluran,” kata agensi-agensi tersebut.

Mereka menekankan keperluan bahan api untuk mengendalikan hospital, sistem air, rangkaian pembetungan, ambulans, dan semua aspek operasi kemanusiaan, dan tidak ketinggalan kedai roti juga memerlukan bahan api untuk beroperasi

Jalur Gaza yang dikepung telah menghadapi kekurangan bahan api yang parah sejak permulaan perang yang menghancurkan, dicetuskan oleh serangan yang dilancarkan oleh Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Agensi-agensi termasuk Pejabat PBB untuk Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan Program Makanan Sedunia memberi amaran bahawa “kekurangan bahan api di Gaza telah mencapai tahap kritikal.” Mereka menegaskan semula bahawa “selepas hampir dua tahun peperangan, penduduk Gaza menderita dengan teruk, terutamanya disebabkan oleh keadaan ketidakamanan makanan yang meluas.” Kekurangan bahan bakar meletakkan beban yang terlalu berat kepada orang-orang yang sudah berada di ambang kebuluran.

Mereka berkata agensi-agensi yang bertindak terhadap krisis kemanusiaan secara besar-besaran di kawasan yang musnah akibat pengeboman Israel dan terancam dengan kebuluran mungkin terpaksa menghentikan operasi mereka sepenuhnya jika tidak menerima bekalan bahan api yang mencukupi.

“Ini bermakna tiada penjagaan kesihatan, tiada air bersih, dan tiada kemampuan untuk memberikan bantuan,” kenyataan itu diteruskan. “Tanpa bahan bakar yang mencukupi, usaha bantuan kemanusiaan di Gaza berisiko untuk runtuh.” Agensi-agensi memberi amaran: “Tanpa bahan api, kedai roti dan dapur komuniti juga tidak dapat beroperasi.” Sistem air dan sanitasi akan terhenti, menghalang keluarga daripada mendapatkan air minum yang selamat, sementara sisa pepejal dan najis terkumpul di jalanan.

Agensi-agensi tersebut berkata bahawa “keadaan ini mendedahkan keluarga kepada wabak penyakit yang merbahaya dan orang-orang yang paling terdedah di Gaza semakin hampir di ambang maut.”

Amaran itu datang hanya beberapa hari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berjaya membawa bahan api ke Gaza buat kali pertama dalam 130 hari. Walaupun agensi-agensi menyambut baik perkembangan ini, mereka menekankan bahawa 75,000 liter bahan api yang dihantar hanyalah “sebahagian kecil daripada apa yang diperlukan setiap hari untuk mengekalkan kehidupan asas dan memastikan penghantaran bantuan kritikal.”

Mereka menekankan bahawa “agensi kemanusiaan PBB dan rakan-rakan tidak melampau memberikan penekanan  saat ini.” Mereka menambah, “Bahan api mesti dibenarkan masuk ke Gaza dalam kuantiti yang mencukupi dan secara berkala untuk menyokong operasi menyelamatkan nyawa.”

Pada hari Jumaat, Kementerian Kesihatan memberi amaran bahawa kegagalan untuk menyediakan kuantiti bahan api yang diperlukan kepada jabatan hospital telah memaksa mereka  melaksanakan dasar penjimatan, termasuk memadamkan kuasa letrik kepada beberapa jabatan dan menangguhkan atau menghentikan perkhidmatan tertentu seperti dialisis.

Kementerian menjelaskan bahawa dasar penjimatan ini mengurangkan keupayaan untuk mengendalikan jumlah ambulans yang mencukupi, memaksa orang awam untuk mengangkut yang cedera dan sakit menggunakan kereta kuda. Ia menambah bahawa pesakit,terutamanya mereka yang nyawanya bergantung pada peralatan sokongan hayat di unit rawatan rapi dan unit lain sekarang sentiasa berada di ambang kematian.

Penterjemah : Hj Fariz

Categories
Berita Semasa

Institusi Gaza: Kenyataan EU tentang pembukaan sempadan adalah tidak tepat

Rabu, 16/07/2025 – Masyarakat awam dan organisasi di Semenanjung Gaza menolak dakwaan dibuat oleh wakil Kesatuan Eropah (EU) di Palestin, Alexander Stutzmann, bahawa sempadan kononnya dibuka oleh rejim zionis bagi kemasukan bantuan dan barang-barang ke Gaza, dan mengesahkan dakwaan itu tidak berasas.

Dalam satu kenyataan akhbar, organisasi-organisasi itu menyeru wakil Eropah agar membetulkan kenyataannya dan mengesahkan melalui lawatan tapak untuk menyaksikan skala bencana kemanusiaan yang dihadapi rakyat Gaza akibat sekatan berterusan rejim zionis.

Kenyataan itu menekankan yang rejim zionis terus menipu, dan hanya membenarkan jumlah trak yang sangat sedikit untuk masuk, membiarkan kebuluran berleluasa, terutamanya di kalangan mereka yang berisiko, termasuk yang sakit, kanak-kanak, serta wanita hamil dan menyusu.

Penterjemah : Nuridawati

Categories
Berita Semasa

Doktor Tanpa Sempadan: Sistem pemindahan perubatan yang jelas mesti diwujudkan di Gaza

Rabu, 16/07/2025 – Pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan telah memberi amaran bahawa terdapat keperluan mendesak untuk memindahkan 12,000 orang dari Semenanjung Gaza bagi mendapatkan rawatan perubatan penting.

Dalam kenyataan media pada hari Isnin, pertubuhan itu menyeru agar satu sistem pemindahan perubatan yang jelas diwujudkan, yang menjamin hak rakyat Palestin untuk kembali ke Gaza selepas menerima rawatan.

Sejak 7 Oktober 2023, rejim penjajahan Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, termasuk pembunuhan, kelaparan, kemusnahan, dan pengusiran, sambil mengabaikan rayuan antarabangsa dan arahan dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa supaya serangan dihentikan.

Pembunuhan beramai-ramai yang berterusan ini telah mengakibatkan lebih 195,000 orang terbunuh dan cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak; lebih 11,000 orang hilang; ratusan ribu penduduk menjadi pelarian; kebuluran yang telah meragut banyak nyawa termasuk kanak-kanak; serta kemusnahan besar-besaran di seluruh Gaza.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

 Syarikat Amerika GHF sedia perlindungan keselamatan Rejim Zionis.

Rabu, 16/07/2025 – Pihak keselamatan Gaza mendedahkan pada hari Isnin bahawa mereka telah memantau pergerakan yang mencurigakan oleh syarikat Amerika “GHF,” yang mereka katakan sedang dijalankan melalui tokoh dan persatuan tempatan dan puak, dalam usaha untuk menyusup ke Semenanjung dengan berselindung dalam kerja bantuan.

Pasukan keselamatan penentangan menjelaskan bahawa pergerakan ini diselaraskan dengan “Geng Abu Shabab,” dengan tujuan untuk menghalalkan aktiviti mereka di Semenanjung Gaza.

Beliau menegaskan bahawa pendudukan “Israel” menggunakan syarikat itu sebagai perlindungan keselamatan dan ketenteraan, di mana penangkapan dan pembunuhan dilakukan, di samping siasatan lapangan yang dijalankan oleh pegawai dan kakitangan bersama rakyat semasa penghantaran bantuan.

Pihak berkuasa keselamatan mengesahkan mereka mempunyai maklumat yang boleh dipercayai membuktikan syarikat itu mengeksploitasi aktiviti bantuannya untuk mengumpulkan risikan keselamatan dengan berkomunikasi dengan organisasi dan aktivis di Gaza.

Pasukan keselamatan penentangan menegaskan bahawa perkhidmatan keselamatan di Semenanjung Gaza telah memutuskan untuk melarang syarikat itu beroperasi sepenuhnya.

Beliau menegaskan bahawa sebarang urusan dengannya merupakan pelanggaran keselamatan dan akan menyebabkan pelakunya dikenakan liabiliti undang-undang, tanpa mengira motif atau justifikasi.

Sejak 7 Oktober 2023, tentera penjajah, dengan sokongan penuh Amerika, terus melakukan jenayah genosida di Gaza, menyebabkan lebih 197,000 rakyat Palestin terbunuh atau cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, dan lebih 10,000 hilang, selain ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

11 rakyat Palestin Terbunuh, 70 Cedera Dalam Pembunuhan Beramai-ramai oleh Israel di Kem Nuseirat

Isnin, 14/07/2025 – Sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 70 lagi cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selepas serangan udara Israel menyasarkan sekumpulan orang awam di bulatan Gurab di kem pelarian Nuseirat, Gaza.

Menurut sumber perubatan di Hospital Al-Awda di Nuseirat, kesemua mangsa adalah orang awam yang berkumpul di kawasan padat penduduk ketika serangan pesawat pejuang Israel. Hospital mengesahkan menerima 11 mayat dan lebih 70 cedera dan mengalami kecederaan kritikal.

Pembunuhan beramai-ramai terbaharu ini berlaku sebagai sebahagian daripada kempen Israel yang berterusan yang telah memusnahkan Gaza sejak 7 Oktober 2023. Serangan itu terus meragut nyawa orang awam setiap hari, dan kebuluran yang berlaku akibat sekatan dan pemindahan besar-besaran penduduk secara paksa menjadikan krisis kemanusiaan semakin teruk.

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Seorang lelaki warga Lubnan dibunuh dalam serangan udara Israel di Selatan Lubnan

Isnin, 14/07/2025 – Sumber perubatan Lubnan mengesahkan pembunuhan seorang rakyatnya akibat serangan udara menyasarkan kenderaannya di satu jalan di Selatan Lubnan.

Menurut Agensi Berita Kebangsaan Lubnan, pesawat perang zionis melancarkan dua serangan udara ke atas bandar Beit Lif di Selatan Lubnan pada petang Isnin, menyebabkan seorang terbunuh dan seorang lagi cedera.

Dalam tempoh 12 jam lepas sahaja, tentera rejim telah melakukan 18 pelanggaran baru ke atas “gencatan senjata Lubnan”, termasuk serangan udara dan darat serta pencerobohan ke atas wilayah Lubnan, menyebabkan 10 orang awam Lubnan cedera.

Penterjemah : Nuridawati

Categories
Berita Semasa

Hospital Al-Aqsa: Bahan api akan kehabisan dalam beberapa jam.

Isnin, 14/07/2025 – Hospital Syahid Al-Aqsa mengumumkan pada petang Isnin bahawa penjana utama hospital itu terganggu, dan alat ganti tidak tersedia untuk penyelenggaraannya.

Hospital itu mengesahkan dalam satu kenyataan akhbar kepada Pusat Maklumat Palestin bahawa bahan api akan kehabisan dalam beberapa jam akan datang, dan nyawa beratus-ratus pesakit diancam dengan kematian di dalam wad hospital.

Beliau menegaskan bahawa penggantungan hospital itu boleh mengancam perkhidmatan kesihatan untuk setengah juta orang di wilayah tengah.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk campur tangan segera untuk menyelamatkan hospital.

Sejak 2 Mac, pendudukan telah menutup lintasan Semenanjung Gaza kepada kemasukan makanan, bantuan perubatan, barangan dan bahan api.
Dengan sokongan Amerika, sejak 7 Oktober 2023, tentera pendudukan Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang telah menyebabkan lebih daripada 189,000 syahid dan cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, dan lebih daripada 11,000 hilang.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Tentera Zionis Israel (IOF) mula merobohkan 400 rumah di kem pelarian Tulkarem

Isnin, 14/07/2025 – Tentera Zionis Israel (IOF) telah memulakan kerja-kerja merobohkan 400 buah rumah kediaman di kem pelarian Tulkarem, sebagai sebahagian daripada serangan berterusan mereka ke atas bandar dan kem tersebut, yang kini memasuki hari ke-162 berturut-turut.

Sumber tempatan melaporkan bahawa jentolak berat Israel telah mula merobohkan bangunan-bangunan di kawasan kejiranan “Al-Marbou’a” dalam kem tersebut, sebagai sebahagian daripada rancangan baru untuk meratakan 104 bangunan yang menempatkan kira-kira 400 buah rumah. Ini adalah kesinambungan daripada siri pencerobohan baru-baru ini yang telah dijalankan di beberapa kawasan lain dalam kem tersebut.

Pihak IOF telah mengumumkan pada hari Ahad tentang niat mereka untuk menjalankan operasi perobohan berskala besar di kem pelarian Tulkarem bermula hari Isnin, tanpa menghiraukan keputusan Mahkamah Agung Israel sebelum ini yang telah membekukan sementara arahan perobohan tersebut.

Penterjemah : Norshuhada Samudin