Rabu,16-06-2021 – Kementerian Kesihatan Palestin pada Isnin melaporkan enam kematian baru berkait COVID-19 (coronavirus), 156 kes positif baru dan 325 kesembuhan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Menurut laporan harian kementerian, lima mangsa meninggal akibat virus itu adalah dari Gaza dan seorang dari Tebing Barat.13 pesakit yang kritikal turut menerima rawatan intensif di hospital dan dua lagi bergantung pada alat bantu pernafasan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Rabu,16-06-2021 – Pergerakan Hamas menyeru penduduk Baitulmaqdis supaya menyertai perhimpunan besar-besaran pada hari Selasa di perkarangan Masjidil Aqsa dan di sepanjang jalan di Kota Suci Baitulmaqdis bagi tujuan menghalang pihak pelampau Yahudi dari mengadakan perarakan mengibar bendera Israel yang disifatkan sebagai provokatif dan berniat jahat.
“Mari kita jadikan hari Selasa ini sebagai hari perhimpunan dan perarakan menuju Masjidil Aqsa dan juga hari untuk menyatakan rasa marah serta penentangan terhadap penjajah rejim zionis Israel,” demikian kata jurucakap Hamas, Mohamed Hamada dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada hari Ahad.
Pihak penganjur perarakan kibar bendera Palestin itu menyatakan telah mencapai kata sepakat dengan pihak polis Israel pada hari Jumaat lalu yang membenarkan mereka mengadakan perarakan itu pada hari Selasa ini.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Zainudin
Rabu,16-06-2021 – Beberapa warganegara Palestin dari kejiranan al-Bustan di daerah timur Baitulmaqdis, Silwan menerima saman dari perbandaran Israel di Baitulmaqdis Yang Diduduki supaya hadir untuk disoal siasat pada hari Selasa pagi.
Saman berkenaan disampaikan oleh kakitangan perbandaran yang dikawal oleh pasukan polis kepada pemilik rumah yang enggan mematuhi perintah mahkamah Israel untuk meruntuhkan rumah kediaman mereka yang dikeluarkan bertahun-tahun yang lalu.
Rumah-rumah kediaman berkenaan, yang diancam akan dirobohkan di al-Bustan, telah dibina beberapa dekad yang lalu dan beratus-ratus penduduk Palestin tinggal di dalamnya.
Fakhri Abu Diyab, anggota Jawatankuasa Pertahanan Tanah Silwan, memberi amaran bahawa pihak berkuasa rejim Zionis menginginkan kejiranan al-Bustan yang seluas 70 dunum, yang merupakan harta milik umat Islam sejak zaman Khalifah Othman, memberitahu bahawa kawasan kejiranan tersebut terletak kira-kira 300 meter dari tembok selatan Masjidil Aqsa.
Abu Diyab menuduh rejim ZIonis terus-menerus berusaha untuk mengusir penduduk tempatan Palestin dan menghalau mereka dari kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa untuk meluaskan penguasaan mereka ke atas seluruh kawasan di sekitar kawasan suci itu sebagai langkah awal untuk membangun taman alkitabiah.
Dia menegaskan bahawa terdapat 100 rumah yang diancam pengusiran di kawasan berkenaan atas alasan mereka dibina tanpa izin, walaupun sebilangan besar dari mereka telah dibina sebelum penjajahan Israel di Baitulmaqdis.
“Pihak penjajah cuba menggambarkan serangan [di al-Bustan] sebagai isu undang-undang, tetapi yang sebenarnya ia adalah serangan ideologi politik yang bertujuan mengusir orang-orang Baitulmaqdis dari daerah sekitar Masjid Al-Aqsa, mematahkan semangat mereka dan melemahkan mereka, sebagai sebahagian daripada dasar pembersihan etnik dan rencananya untuk mewujudkan kesesuaian baru dan ketidakseimbangan demografi yang memihak kepada penjajah,” kata pegawai tempatan itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Rabu,16-06-2021 – Rejim Zionis telah menyerbu beberapa kawasan di Tebing Barat pada malam Ahad dan subuh Isnin dan mencetuskan konfrontasi. Beberapa warga Palestin ditangkap, termasuk tahanan yang telah dibebaskan.
Di Jenin, sumber setempat melaporkan bahawa Rejim Zionis menyerang bandar Jabaa dan berlaku pertempuran antara pemuda Palestin dan rejim itu. Pemuda Palestin melemparkan batu ke kenderaan Rejim Zionis.
Rejim berkenaan juga telah menahan Issam Alawneh dan Malik Hammour setelah menyerbu dan menggeledah rumah mereka.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Rabu,16-06-2021 – Penceroboh Yahudi pada hari Isnin menyerbu halaman masjid suci al-Aqsa di bawah perlindungan polis Israel.
Jabatan Wakaf Islam di bahagian Baitulmuqaddis yang diduduki melaporkan 80 orang penceroboh menyerbu ke dalam masjid al-Aqsa melalui Pintu Magharabi di dalam kumpulan dan melakukan lawatan yang provokatif. Saksi berkata kumpulan penceroboh itu mendapat penerangan berkenaan tempat sembahyang mereka.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Rabu,16-06-2021 – Tentera Israel merobohkan sejumlah struktur kawasan pertanian dan pusat komersial di bandar Deir Sharaf yang terletak di sebelah barat Nablus di Tebing Barat, dengan alasan pembinaan tidak berlesen pada pagi Isnin yang lalu.
Pegawai tempatan, Mohamed Azem mengatakan bahawa pemilik struktur tersebut telah menerima notis pembongkaran dari pentadbiran awam tentera Israel bulan lalu.
Menurutnya lagi, struktur itu adalah kedai yang digunakan untuk tujuan pertanian dan komersial, ianya terletak di antara jalan Nablus dan Tulkarem.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Shuhada Sayuti
Rabu,16-06-2021 – Rejim Zionis telah menangkap sejumlah warga Palestine di beberapa wilayah di Tebing Barat dan Jerusalem pada Sabtu malam hingga subuh Ahad lalu.
Di Ramallah, rejim Zionis menahan Khaled Al-Masry seteleh menyerbu dan menggeledah rumahnya yang terletak di kampung Deir Abu Mishaal.
Tentera Zionis juga turut menangkap kembali tahanan yang telah dibebaskan, Islam Danon setelah menyerbu, menggeledah dan menimbulkan kekacauan di kediamannya yang berada di kampung Rantis, sebelah barat Ramallah.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Shuhada Sayut
Selasa,15-06-2021 – Tentera rejim Israel bertindak kasar ketika cuba menahan tiga pekerja dari Tebing Barat dalam satu kejadian yang berlaku di pos pemeriksaan tentera di selatan Jenin.
Menurut pihak keselamatan Palestin, anggota tentera rejim menangkap dengan ganas dengan memukul tiga pekerja dari perkampungan Beit, Nablus yang dikenali sebagai Muaad bani- Shamsi, Adem Adili dan Islam Khadir.
Ketiga-tiga mereka telah diperlakukan secara ganas semasa cuba merentas sempadan melalui pagar pemisah yang terbuka di Barta’ah untuk ke wilayah yang dikuasai Israel.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Zainudin
Selasa,15-06-2021 – Gerakan Hamas berkata, kenyataan terbaru Ilhan Omar, seorang perwakilan Dewan Rakyat AS sebagai mengejutkan. Omar menyamakan perjuangan Palestin dengan jenayah rejim zionis dan pencerobohan Amerika di Afghanistan.
Dr. Basem Naim, ahli Pejabat Hubungan Antarabangsa Gerakan Hamas dalam kenyataan bertulis pada Jumaat menyatakan penghargaan terhadap pendirian Omar dalam mempertahankan keadilan dan hak golongan yang tertindas serata dunia, termasuklah hak asasi warga Palestin.
“Namun, tuduhan tersebut tidak adil dan bertentangan dengan kenyataan undang-undangan antarabangsa serta tidak boleh diterima,” tambah beliau.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Selasa,15-06-2021 – Ejen Zionis menyamar sebagai rakyat Palestin menculik tiga pemuda Jerusalem dari kejiranan at-Tur di Gunung Zeitoun berhampiran Kota Lama pada Sabtu malam.
Menurut sumber tempatan, pegawai berpakaian biasa mengepung tiga pemuda, yang merupakan penduduk di-Tur, semasa mereka berada di Hospital al-Makassed.
Pegawai itu tiba-tiba menyerang pemuda di jalan di luar hospital sambil mengacukan senjata ke arah mereka dan orang yang lalu disitu menundukkan mereka, dan mengancam akan menggunakan kekuatan bersenjata terhadap mereka jika mereka menentang penahanan mereka.
Pemuda tersebut dikenali sebagai Rami Salahuddin, 21, Louay al-Kaswani, 22, dan Abdullah al-Hadra, 25.
Tidak lama kemudian, pasukan polis menyerbu kawasan kejiranan-Tur dan melepaskan bom tangan ke arah penduduk tempatan untuk mendapatkan mengeluarkan pegawai mereka.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ameen
Selasa,15-06-2021 – Askar rejim Zionis Israel pada pagi Ahad telah menyerang petani Palestin yang sedang mengerjakan ladang mereka di tenggara Semenanjung Gaza. Seorang wartawan dari Pusat Maklumat Palestin melaporkan askar berada di belakang tembok sempadan di timur Khan Yunis melepaskan tembakan ke arah petani di al-Fakhari.Tiada kecederaan dilaporkan namun serangan yang semakin meningkat memaksa petani untuk berhenti dan meninggalkan ladang-ladang mereka.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Hairul Ahmad
Selasa,15-06-2021 – Gerakan Hamas mengecam Menteri Luar Emiriah Abdullah Al Nahyan atas kenyataan hasutan terhadap gerakan itu baru-baru ini, dan menggambarkan kedudukan beliau sebagai “menentang nilai-nilai Arab.”
Dalam kenyataan di Twitter, jurucakap Hamas Hazem Qasem berkata bahawa “Hasutan Al Nahyan kepada negara-negara Barat untuk mengklasifikasikan Hamas sebagai kumpulan pengganas adalah bertentangan dengan nilai-nilai Arab dan bercanggah dengan konsep nasionalis.
Qasem juga menambah bahawa kenyataan Al Nahyan adalah konsisten dengan propaganda Zionis yang sia-sia dan bertentangan dengan sokongan besar-besaran Arab untuk perjuangan Palestin.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Selasa,15-06-2021 – Berpuluh penceroboh Yahudi pada pagi Ahad mencemari masjid al-Aqsa di bahagian Baitulmuqaddis yang diduduki.
Sekurang-kurangnya 58 orang penceroboh, termasuk pelajar institusi keagamaan, memasuki masjid itu dalam kumpulan melalui Pintu Maghariba dan melawat halamannya di bawah perlindungan polis, menurut sumber tempatan. Masjid al-Aqsa terdedah pada setiap hari kepada pencemaran oleh penceroboh Yahudi dan pasukan polis pada waktu pagi dan tengah hari kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Miz
Selasa,15-06-2021 – Ribuan orang telah menghadiri perarakan solidariti pro-Palestin di London, untuk menggesa para pemimpin negara G7 yang kini bermesyuarat di barat daya England untuk menyokong hak-hak rakyat Palestin dan membatalkan perjanjian senjata dengan Israel.
Sebagai sebahagian daripada tunjuk perasaan “Tolak G7: Hari Bertindak Untuk Keadilan Antarabangsa”, para penunjuk perasaan pada hari Sabtu lalu telah menuju ke kediaman rasmi perdana menteri Borris Johnson di Downing Street, serta melaungkan slogan dan membawa papan sepanduk sebagai bantahan terhadap tindakan agresif Israel ke atas rakyat Palestin di wilayah yang dijajah.
Menurut laman web al-Jazeera, para penunjuk perasaan menuntut agar dihentikan apa yang mereka sifatkan sebagai keterlibatan dalam jenayah perang Israel terhadap Palestin oleh Britain dan negara-negara G7 yang lain.
Bekas pemimpin parti Buruh Jeremy Corbyn menghadiri perarakan tersebut dan memberi ucapan kepada orang ramai.
“Hadir di tunjuk perasaan Keadilan Untuk Palestin di London hari ini, juga menggesa hentikan jualan senjata,” ciap Corbyn di Twitter.
“Senjata buatan Inggeris membunuh orang awam – termasuk kanak-kanak – dalam konflik di luar negara. Ini mesti dihentikan,” katanya.
Semasa tunjuk perasaan tersebut, Raghad al-Takriti, ketua Persatuan Muslim Britain, mengatakan bahawa pesanan kepada para pemimpin G7 adalah “jelas.”
“Ini untuk menegakkan undang-undang antarabangsa. Ini adalah kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa,” kata al-Takriti kepada al Jazeera.
“Sudah tiba masanya para pemimpin ini berbincang mengenai penguatkuasaan, untuk mengakhiri kepungan di Gaza … dan untuk menghentikan keterlibatan mereka, perjanjian senjata mereka dengan Israel,” katanya.
Antara kumpulan yang mengambil bahagian adalah Sahabat Al-Aqsa dan Kempen Solidariti Palestin (PSC), yang menganggarkan kira-kira 8,000 orang hadir di luar Downing Street untuk menuntut keadilan bagi rakyat Palestin.
Dalam satu pernyataan, PSC mengatakan: “Semua pemerintah memiliki kewajiban untuk mengakhiri keterlibatan mereka dan membantu menghancurkan apartheid. Daripada membantu dan bersubahat dengan peraturan perkauman Israel terhadap rakyat Palestin, G7 harus mengakhiri semua kerjasama keselamatan ketenteraan dengan Israel, dan mengenakan sekatan bersasar sehinggalah Israel mematuhi undang-undang antarabangsa.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Isnin,14-06-2021 – Berpuluh-puluh penduduk Palestin alami sesak nafas selepas pasukan tentera rejim menghujani mereka dengan gas pemedih mata semasa mereka bertembung di selatan Nablus, Selasa kelmarin.
Menurut sumber tempatan, anggota tentera rejim menembak gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin yang berkumpul di perkampungan Beita bagi membantah tindakan pencerobohan lot-lot tanah di kampung itu dan Huwara yang dirampas pihak rejim untuk membina jalan bagi penempatan haram Yahudi.
Tambah sumber itu lagi, ramai di kalangan penduduk sesak nafas sementara ambulan yang datang membantu turut terkena tembakan gas pemedih mata hingga cerminnya hancur berkecai.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Zainudin