Rabu, 04-08-2021 – Rejim Zionis telah menculik beberapa warga Palestin ketika kempen di beberapa kawasan di Tebing Barat pada waktu subuh hari Isnin. Menurut sumber setempat, rejim itu menyerbu bandar Ni’lin, barat Ramallah dan menculik seorang pemuda yang dikenalpasti sebagai Jad Nafi.
Di Nablus, rejim Zionis telah menculik tiga orang warganya selepas menggeledah kediaman mereka di bandar Beita. Mereka dikenalpasti sebagai Jihad as-Safeer, Karam Dawoud dan Sa’eid Dawoud.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Rabu, 04-08-2021 – Seorang warga Palestine mengalami kecederaan selepas peneroka Yahudi mengejarnya di bandar Burin Iraq, selatan Nablus pada Isnin lalu.
Menurut sumber tempatan, sekumpulan peneroka dari penempatan Bracha telah mengejar Mu’min Ahed al-Faqih ketika beliau berada di daerah al-Soma’a. Faqih mengalami kecederaan dan patah tulang setelah beliau terjatuh dan telah dibawa ke Hospital Rafidia untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Peneroka Yahudi ini turut mencuri keldai milik Faqih dan pertempuran turut berlaku di kawasan warga Palestine dan pasukan penjajah Israel.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Shuhada Sayuti
Rabu, 04-08-2021 – Anggota Jawatankuasa pembela kawasan Sheikh Jarrah, Yakub Abu Irfah menegaskan bahawa pergerakan warga yang digagaskan oleh badan nasional dan Hak Asasi Manusia memberi kesan positif kepada kepentingan kawasan Sheikh Jarrah.
Abu Irfah menyebutkan, pergerakan warga dengan segenap bentuknya menjadi tekanan terhadap penjajah Israel. Beliau menegaskan bahawa warga Sheikh Jarrah tetap gigih untuk mempertahankan rumah mereka dan melawan penjajah.
Terdapat 7 rumah yang terancam pengosongan paksa di kawasan Sheikh Jarrah oleh mahkamah Israel.Minggu lalu keputusan pengusiran 3 keluarga telah dibekukan, sementara pihak mahkamah bersidang perkara berkaitan pengosongan rumah 4 keluarga, ungkap Abu Irfah. Disebutkannya bahawa warga berharap supaya keputusan pengusiran keluarga Palestin dibekukan atau ditunda kerana keadaan ketika ini tak memungkinkan bagi penjajah untuk mengeluarkan putusan yang terburu-buru.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman
Rabu, 04-08-2021 – Pergerakan Hamas telah mengumumkan perlantikan semula Ismail Haneyya sebagai ketua Biro Politik dan Saleh al-Aruri sebagai timbalannya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Isnin, Jawatankuasa Pemilihan Pusat Hamas berkata bahawa ia telah selesai menyelia peringkat-peringkat proses pemilihan dalaman pergerakannya di tiga wilayah (Gaza, Tebing Barat dan di luar negara).
Jawatankuasa Pemilihan mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli dan kadernya kerana penglibatan secara aktif di dalam pemilihan dalamannya, yang mana ia dikatakan telah diadakan dalam suasana persaudaraan dan persaingan serta mengikut peraturan dalaman pergerakan itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Rabu, 04-08-2021 – Sekurang-kurangnya 85 peneroka Yahudi diiringi pasukan polis mencemari Masjid Al-Aqsa di Jerusalem pada Isnin. Menurut Jabatan Waqaf Islam, 62 daripadanya melawat perkarangan masjid pada waktu pagi, manakala 23 lagi pada tengah hari.
Dalam lawatan di tempat suci Islam itu, mereka menerima kuliah daripada para rabi berkenaan dugaan pembinaan kuil, manakala sebahagian lagi menunaikan upacara Talmud.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Huzaifah Abd Jamil
Rabu, 04-08-2021 – Pejabat PBB untuk Koordinasi Urusan Kemanusiaan Bagi Wilayah Palestin (United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs, OCHA) mengatakan bahawa otoriti penjajah Israel menghancurkan atau menyita 59 bangunan Palestin di Tebing Barat yang diduduki dalam tempoh dua minggu terakhir. Israel mendakwa warga Palestin yang terbabit tidak memiliki hak keizinan bangunan.
Dalam sebuah laporan, OCHA menyatakan bahawa pembongkaran tersebut melibatkan 96 orang pelarian dan merugikan sekitar 550 warga lainnya.OCHA menambah bahawa sebahagian besar bangunan (49 bangunan) dan pelarian (84 orang) berada di komplek penempatan Badui di Ras al-Tin, Ramallah, Area C.
OCHA menegaskan bahwa tindakan memecahkan tangki air pertanian di Furush Beit Dajan di Nablus telah memberi kesan terhadap lebih dari 500 orang untuk mendapatkan bekalan air pertanian.OCHA menyatakan bahawa selama dua minggu terakhir, pasukan Israel melakukan 91 operasi pencarian dan penangkapan. Israel menangkap 158 warga Palestin di seluruh Tebing Barat.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman
Selasa, 03-08-2021 – Polis rejim zionis pada malam semalam menyerbu timur Baitulmuqaddis di kejiranan Sheikh Jarrah, menyerbu rumah dan menyerang warga serta aktivis Palestin.
Menurut sumber tempatan, polis Israel mengepung kejiranan itu dan memecah masuk serta menyerang penduduk dan aktivis tempatan. Ketika serbuan di Sheikh Jarrah, para pemuda tempatan menghujani polis rejim dengan mercun.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Selasa, 03-08-2021 – Sam Rose, pengarah hal ehwal UNRWA di Gaza, mengatakan bahawa kekurangan bahan mentah akibat penutupan lintasan Israel dengan Semenanjung Gaza menghalang proses pembinaan semula, yang juga memerlukan dana.
Rose menegaskan bahawa rayuan khas telah dilancarkan oleh UNRWA pada akhir bulan Jun untuk mendapatkan dana yang diperlukan untuk membina semula Gaza dan membantu usaha baik pulih akibat kesan perang.
Dia mengatakan bahawa agensi pelarian tersebut telah memulakan penilaian kerosakannya sendiri di Gaza berikutan “penilaian segera kerosakan dan keperluan” antarabangsa yang dilancarkan semasa pertemuan dengan penderma pada waktu itu.
Pegawai PBB tersebut juga menegaskan bahawa agensi itu memerlukan $160 juta untuk membina semula rumah-rumah kediaman bagi keluarga pelarian Gaza.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Selasa, 03-08-2021 – Rejim Zionis telah menahan 12 warga Palestin pada petang hari Sabtu semasa mereka sedang menyertai perarakan anti-penempatan berhampiran pusat pemeriksaan Tayaseer di timur Tubas.
Pertempuran meletus antara orang awam dan tentera rejim setelah perarakan itu menuju pusat pemeriksaan untuk menolak penempatan dan penyitaan tanah. Rejim Zionis melepaskan bom tangan dan tabung gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang menaikkan bendera Palestin dan melemparkan batu ke arah tentera.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Selasa, 03-08-2021 – Pihak berkuasa Israel telah memaksa seorang warganegara Palestine dari Jaljulia di wilayah penduduk 1948 agar merobohkan gudang pertanian di tanahnya dengan alasan beliau telah membina gudang tersebut tanpa izin pihak berkuasa. Arahan ini telah dikeluarkan secara tiba-tiba pada pagi Ahad.
Menurut sumber tempatan, pihak berkuasa Israel mengeluarkan perintah pembongkaran dan denda sebanyak 15,000 shekel terhadap warganegara itu sekiranya beliau enggan merobohkan gudangnya yang terletak di kawasan Basateen di kampung itu.
Warganegara tersebut terpaksa merobohkan gudang itu sendiri bagi mengelakkan perbelanjaan perobohan dan denda yang tinggi yang dikenakan oleh pihak perbandaran Israel.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Shuhada Sayuti
Selasa, 03-08-2021 – Berpuluh penceroboh Yahudi pada hari Ahad mengunjungi masjid suci al-Aqsa dan melaksanakan ritual kitab Talmud di timur halaman masjid itu.
Penceroboh melakukan lawatan berdekatan pintu al-Rahma sebelum keluar melalui pintu al-Silsila di bawah perlindungan polis Israel. Pasukan polis Israel membantu penceroboh tersebut dengan memastikan keselamatan mereka masuk dari pintu Magharabi.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Selasa, 03-08-2021 – Atlet Lubnan, Abdullah Miniato bertindak menarik diri daripada Kejohanan MMA Antarabangsa di Bulgaria kerana menolak kewujudan negara Israel. Jurulatih Mohamed Al-Gharbi berkata, keputusan itu dibuat bersama selepas Miniato mendapat undian menentang Israel.
Pihak media Lubnan menyatakan, atlet itu enggan mengiktiraf Israel dan mengamalkan sebarang tindakan normalisasi sekaligus menarik diri selepas mengetahui siapakah pihak lawannya.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Huzaifah Abd Jamil
Isnin, 02-08-2021 – Hari Selasa lalu merupakan peringatan tahun ke 4 kemenangan warga Al-Quds dalam pertempuran “Mobilisasi Gerbang Ashbat” atau dikenal dengan pertempuran gerbang elektronik, yang berjaya memaksa penjajah Israel menghapuskan gerbang elektronik yang mereka pasang di pintu masuk Masjidil Aqsa Mubarak.
Pada 27 Julai 2017, pihak otoriti Israel menghilangkan gerbang elektronik yang mereka pasang di pintu gerbang Al-Aqsa, setelah kalah menghadapi kegigihan warga Al-Quds, yang berjaya menggagalkan rancangan Israel memonopoli Masjidil Aqsa.
Ketika itu otoriti Israel membuka pintu gerbang Al-Aqsa, kecuali pintu Hutta yang masih ditutup, namun warga Al-Quds tetap gigih tidak mahu masuk kecuali dari pintu tersebut, sehingga penjajah Israel terpaksa tunduk dan warga Al-Quds memasukinya dengan bertakbir penuh kemenangan.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman
Isnin, 02-08-2021 – Kementerian Kesihatan Palestin telah melaporkan 1 kematian baru yang berkaitan dengan Covid-19 (coronavirus), 139 kes positif dan 62 orang pesakit yang diletakan dalam tempoh pemulihan di Tebing Barat dan Jalur Gaza selama 24 jam pada Selasa lalu.
Menurut laporan harian kementerian, mangsa yang meninggal tersebut akibat virus itu berasal daripada Gaza.
Seramai 21 orang pesakit juga telah menerima rawatan perubatan di hospital dan pusat rawatan khas dan 9 orang daripadanya telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Shuhada Sayuti
Isnin, 02-08-2021 – Pihak berkuasa penjara Israel pada hari Isnin lalu telah menyerbu beberapa bilik tahanan di penjara Ofer dan Ramon, mengasari beberapa tahanan Palestin, mengasingkan salah seorang dari mereka dan memindahkan empat yang lain ke tempat penahanan yang berbeza.
Menurut Persatuan Tahanan Palestin (PPS), pihak berkuasa Israel telah menyerbu dengan ganas bilik-bilik tahanan di bahagian 14 penjara Ofer dan mengheret seorang tahanan ke bilik pengasingan.
PPS tidak menyatakan identiti tahanan yang telah diasingkan itu mahupun mendedahkan samada tahanan tersebut sedang menjalani mogok lapar.
Akibatnya, para tahanan di Ofer telah menutup semua bahagian sebagai bantahan atas tindakan Israel yang sewenang-wenangnya itu.
Sementara itu, pasukan Israel telah mengasari empat tahanan yang bermogok lapar di penjara Ramon dan memindahkan mereka ke tempat tahanan lain.
Keempat-empat tahanan, yang telah mengadakan mogok lapar selama 12 hari, adalah Mahmoud al-Fasfous, Guevara an-Nammoura, Ra’fat ad-Darawish, dan Kayed al-Fasfous. Mereka masing-masing dipindahkan ke tahanan pengasingan di penjara Beersheba, Ashkelon, Ohli Kedar, dan Ramla.
10 tahanan Palestin yang lain juga sedang melakukan mogok lapar terbuka selama beberapa hari sebagai bantahan terhadap penahanan pentadbiran mereka, yang dilakukan tanpa dakwaan atau perbicaraan.
Sebilangan besar tahanan pentadbiran yang terdiri daripada hampir 540 orang Palestin, adalah bekas tahanan yang telahpun menghabiskan masa bertahun-tahun di penjara Israel.
Penahanan pentadbiran adalah di mana tahanan dipenjara tanpa perbicaraan atau tuduhan. Ia digunakan secara meluas oleh Israel terhadap rakyat Palestin semata-mata dengan alasan seseorang itu merancang untuk melakukan kesalahan di masa hadapan. Ia tidak mempunyai had masa, dan adalah berdasarkan fail-fail yang kononnya rahsia.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul