Categories
Berita Semasa

Pasukan Israel Serang Jemaah Solat di Pintu Gerbang Asbat Di al-Quds

Jumaat,07-05-2021 – Pada Isnin (3/5/2021) malam, pasukan penjajah Israel menyerang sejumlah jamaah yang ingin menunaikan solat berdekatan pintu Asbat di al-Quds yang diduduki penjajah Israel.

Para saksi melaporkan bahawa pasukan penjajah Israel menahan sejumlah jamaah dan diperiksa ketika mereka masuk untuk melaksanakan solat melalui pintu Asbat menuju Masjid al-Aqsha yang menyebabkan pertembungan antara jamaah dengan pasukan penjajah Israel.

Keadaaan ini terjadi dalam suasana serangan Zionis yang sedang berlangsung terhadap warga Palestin di al-Quds yang meningkat frekuensinya sejak awal bulan Ramadhan.

Perhimpunan “Eropah untuk al-Quds” (Europeans for al-Quds) sebelumnya melaporkan bahawa otoriti penjajah Israel telah meningkatkan serangan mereka di kota al-Quds sepanjang bulan April 2021, ketika mereka berusaha untuk memaksakan fakta baru di daerah Gerbang al-Amud yang mengarah ke Kota Tua dan Masjid Al-Aqsha.

Laporan ini menunjukkan bahawa pasukan penjajah Israel melakukan 1080 pelanggaran yang mencakupi 14 jenis pelanggaran hak asasi manusia. Pelanggaran yang paling tinggi adalah penangkapan (23,1%) disusuli serangan yang mengakibatkan kecerderaan (18,2%), pemukulan (16,7%) serta penyerbuan dan pelanggaran (15,6%).

Laporan ini memantau ada 71 kes tembakan dan serangan terus oleh tentera Israel di perkampungan al-Quds.

sumber : https://melayu.palinfo.com/
penterjemah : Osman

Categories
Berita Semasa

Warga Palestin Cedera Dalam Serangan Peneroka di Tebing Barat

Jumaat,07-05-2021 – Segerombolan peneroka ekstremis Yahudi telah menyerang warga Palestin dan harta tanah di kawasan berlainan di Tebing Barat.

Menurut sumber setempat, sekumpulan peneroka telah melempar batu ke arah kereta seorang warga Palestin yang dalam perjalanan berhampiran Kampung Burin di selatan Nablus.

Mohamed Najjar berkata dia bersama keluarganya menaiki kereta berkenaan ketika peneroka menyerang, sambil menambah bahawa mereka telah meletakkan paku di atas jalan dalam usaha untuk menterbalikkan keretanya.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Neina Mukhtar

Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis Rampas Tanah, Roboh Bangunan Di Bethlehem

Jumaat,07-05-2021 – Bethlehem: Rejim Zionis merampas sebahagian besar tanah selain merobohkan sebuah bengkel kereta di Bethlehem pada Selasa.

Pengarah Pejabat Pihak Berkuasa Penentangan Tembok dan Penempatan, Hassan Brijieh memberitahu, tanah rampasan seluas 1000 meter persegi itu bertempat di daerah Baqa’a Basin 1, berhampiran kem tentera di utara pintu masuk bandar Tuqu.

Rampasan tersebut dikatakan berlaku untuk meluaskan kem tentera Israel.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Huzaifah Abd Jamil

Categories
Berita Semasa

Ramai penduduk Jerusalem cedera, selebihnya ditahan polis di Sheikh Jarrah

Jumaat,07-05-2021 – Sekurang-kurangnya 20 orang penduduk Palestin mengalami kecederaan pada malam hari Isnin apabila pasukan polis Israel menyerang rumah-rumah dan peserta demonstrasi aman yang diadakan di timur Jerusalem di kejiranan Sheikh Jarrah.

Pihak Bulan Sabit Merah berkata krew ambulan menyediakan bantuan perubatan untuk 20 orang penduduk dan memindahkan sebahagian mereka ke hospital setelah pasukan polis menyerang penunjuk perasaan dan secara kasar menggeledah rumah-rumah di Sheikh Jarrah.

Menurut sumber tempatan, pasukan polis turut menyembur air busuk ke arah penunjuk perasaan dan rumah-rumah di Sheikh Jarrah dan menghujani mereka dengan gas pemedih mata dan bom pegun.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Amrul Azmi Mizan

Categories
Berita Semasa

Lebih 100 orang pendatang mencemarkan dataran Masjid Al-Aqsa

Jumaat,07-05-2021 – Puluhan pendatang Yahudi menceroboh dataran Masjid Al-Aqsa pada Ahad. Jabatan Waqaf Islam di Baitulmuqaddis melaporkan bahawa 103 orang pendatang menyerbu Masjid Al-Aqsa ketika melakukan pencerobohan yang menjadi rutin harian mereka itu.

Ia menyatakan bahawa para pendatang tersebut menceroboh bermula dari pintu Magharabeh dalam kumpulan dengan perlindungan polis rejim.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Nor idawati

Categories
Berita Semasa

Warga Emas Palestin Yang Ditembak Di Bethlehem Meninggal Dunia Akibat Kecederaan.

Rabu,05-05-2021 – Seorang wanita warga emas Palestin diisytiharkan meninggal dunia pada petang Ahad lalu akibat kecederaan parah yang dialaminya disebabkan tembakan peluru pada awal hari yang sama ketika askar dengan zalimnya melepaskan tembakan ke arahnya di selatan Bethlehem.

Menurut media Ibrani, Rihab Zaoul, 60, dari kota Nahalin di Bethlehem, Tebing Barat, dikatakan meninggal dunia setelah dipindahkan ke Hospital Shaare Zedek di Baitulmaqdis.

Pada awal pagi yang sama, tentera Israel telah melepaskan tembakan ke arah wanita itu di jalan berhampiran persimpangan blok penempatan Gush Etzion di selatan Bethlehem atas tuduhan percubaan untuk melakukan serangan menikam.

Media Ibrani berkenaan mendakwa wanita itu memegang pisau ketika tentera menembaknya.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis bertempur dengan pemuda tempatan di bandar Qusra

Rabu,05-05-2021 – Keganasan tercetus pada malam semalam dan berterusan sehingga awal pagi hari Isnin selepas rejim Zionis menyerbu bandar Qusra di selatan Nablus untuk menyediakan perlindungan kepada puak pelampau penceroboh Yahudi.

Menurut sumber tempatan, pertempuran berlaku di selatan Qusra di mana penceroboh menyerang rumah-rumah sebelum penduduk tempatan masuk campur dan berdepan dengan mereka.

Tidak lama kemudian, tentera Israel menyerbu bandar tersebut dan menjamin keselamatan penarikan diri penceroboh selepas menyerang pemuda tempatan dengan peluru hidup dan gas pemedih mata.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Amrul Azmi Mizan

Categories
Berita Semasa

Bot Pembedil Israel Serang Nelayan Gazan

Rabu,05-05-2021 – Bot pembedil Israel telah melepaskan tembakan ke arah nelayan Palestin dan cuba menenggelamkan kapal mereka dengan menggunakan meriam air semasa mereka berada di luar pantai Kota Gaza pada pagi Isnin.

Menurut sumber setempat, bot pembedil itu menyerang nelayan ketika mereka berada dalam jarak hanya tiga batu nautika di luar kawasan pantai as-Sudaniya di utara Kota Gaza.

Pasukan tentera laut telah menembak peluru hidup dan meriam air ke arah kapal nelayan dan memaksa mereka kembali ke darat.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Neina Mukhtar

Categories
Berita Semasa

Perkarangan Al-Aqsa Terus Dicemari

Rabu,05-05-2021 – Masjid Al-Aqsa terus-terusan diserbu puluhan peneroka haram Yahudi dari arah Gerbang Magharabi dengan perlindungan polis Israel pada Isnin.

Jabatan Wakaf Al-Aqsa melaporkan, 79 peserta termasuk 20 penuntut institusi ekstrimis agama, melakukan upacara Talmud selain lawatan provokasi sekitar Al-Aqsa sebelum meninggalkan kawasan berkenaan melalui Gerbang Al-Silsila.

Sementara itu, sebuah kumpulan dikenali sebagai Kumpulan Kuil mengulangi seruan mereka untuk menyerbu Masjid Al-Aqsa pada 28 Ramadan, sebagai memperingati Hari Penyatuan Jerusalem selain membalas dendam atas insiden di Bab Al-Amud.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Huzaifah Abd Jamil

Categories
Berita Semasa

Sudan menyelar serangan polis rejim ke atas warga Baitulmuqaddis

Selasa,04-05-2021 – Pada Sabtu, Kementerian Hal Ehwal Luar Sudan menyelar serangan berulang oleh Israel ke atas kaum Muslimin yang beribadah di Baitulmuqadddis sejak hari pertama bulan Ramadan.

Kementerian menyeru rejim zionis agar menghentikan segala keganasan terutamanya ke atas identity Arab, keagamaan, Islam dan Kristian serta status sejarah serta undang-undang sedia ada di timur Baitulmuqaddis.

Kenyataan itu berikutan kebimbangan terhadap perkembangan terkini di wilayah Palestin, serangan berterusan polis rejim dan pendatang Yahudi ke atas warga Palestin yang tidak berdaya di timur Baitulmuqaddis serta kawasan lain di Tebing Barat.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Nor idawati

Categories
Berita Semasa

Hamas Beri Amaran Jika Cederakan Penduduk di Kejiranan Sheikh Jarrah

Selasa,04-05-2021 – Gerakan Hamas telah memberi amaran kepada Rejim Zionis mengenai sebarang tindakan yang akan membahayakan penduduk di kejiranan Sheikh Jarrah di Jerusalem dan akan bertanggungjawab terhadap kesan tindakan ini.

Fawzi Barhoum, jurucakap Hamas, dalam satu kenyataan bertulis pada hari Ahad berkata, “Pemindahan penduduk di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah dan penyitaan kediaman mereka adalah sasaran yang jelas terhadap identiti Palestin dan kehadiran warga Palestin di kota itu.”

Barhoum mempertikaikan ketiadaan keputusan dan jawatan bertanggungjawab oleh Pihak Berkuasa Palestin terhadap pencerobohan Zionis ini dan normalisasi Arab mendorong kepada peningkatan pelanggaran pendudukan Israel dan telah memberikan perlindungan rasmi untuk jenayah yang dilakukan.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Neina Mukhtar

Categories
Berita Semasa

Polis Israel Tahan Tiga Pemuda di Akka

Selasa,04-05-2021 – Pada hari Ahad lalu, anggota polis Israel telah menahan tiga pemuda Palestin di sebuah kampung berhampiran Akka (Acre), di utara Palestin Yang Diduduki 1948, ketika mereka sedang mengambil bahagian dalam demonstrasi tunjuk perasaan.

Polis Israel telah menutup jalan masuk ke perkampungan al-Makar dan menyekat perarakan penunjuk perasaan Palestin ke jalan utama Akka-Safed 85.

Para penunjuk perasaan membantah keputusan Israel untuk merampas ratusan dunum tanah kampung bagi tujuan menjalankan projek di jalan raya 6.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Warga emas Palestin cedera teruk ditembak rejim Zionis

Selasa,04-05-2021 – Rejim Zionis menembak dan menyebabkan kecederaan teruk seorang wanita Palestin berusia 60 tahun di selatan Baitullaham pada pagi Ahad selepas mendakwa wanita berkenaan cuba menikam kumpulan tentera tersebut.

Akhbar Yahudi, Yediot Ahronot mendakwa wanita berkenaan cuba menyerang tentera dengan sebilah pisau di persimpangan Gush Etzion di selatan Baitullaham.

Akhbar tersebut menyatakan wanita tersebut yang berasal dari perkampungan Beit Husan, dibawa ke hospital Shaare Zedek di bahagian Jerusalem yang diduduki dengan kecederaan serius.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Amrul Azmi Mizan

Categories
Berita Semasa

Mahkamah Tinggi Israel Tangguh Keputusan Penosongan Rumah di Perkampungan Syeikh Jarrah Al Quds

Selasa,04-05-2021 – Mahkamah Tinggi Israel hari ini menunda keputusan mengosongkan rumah di kampung Syeikh jarrah al Quds kepada keluarga Palestin iaitu Iskafi, Al-Kurd, Al-Jauni dan Al-Qasim untuk kepentingan penduduk Yahudi yang mendakwa tanah yang diduduki keluarga Palestin tersebut sebagai milik mereka .

Pada September 2020, Israel mengeluarkan keputusan pengosongan rumah kepada empat keluarga Palestin tersebut dari kampung Syekh Jarrah; Iskafi, Al-Kurd, Al-Jauni Al-Qasim dan diikuti keputusan pada bulan berikutnya dengan pengosongan tiga keluarga lainnya; Hamad, Danaji dan Dawudi.

Keluarga-keluarga di kampung Syekh Jarrah tersebut telah mengajukan tuntutan semak semula. Pihak mahkamah Israel mengeluarkan keputusan pada Februari 2021 agar kumpulan pertama dari keluarga Palestin tersebut mengosongkan rumah mereka pada 2 Mei 2021 dan kumpulan kedua pada 1 Ogos 2021.

Malam semalam, pasukan Israel menyerang para pemuda Palestin yang menunjuk perasan di kampung Syekh Jarrah di Al-Quds. Pasukan Israel memukul dan memaksa mereka untuk meninggalkan tempat tersebut.

sumber : https://melayu.palinfo.com/
penterjemah : Osman

Categories
Berita Semasa

Delegasi Hamas Bertemu Menteri Luar Qatar di Doha

Isnin,03-05-2021 – Rombongan peringkat tertinggi Gerakan Hamas yang diketuai oleh ketua biro politiknya Ismail Haneyya bertemu dengan Menteru Luar Qatar,, Mohamed Al Thani di Doha pada hari Khamis.

Pertemuan itu dihadiri oleh timbalan Ketua Biro Politik Luar Hamas, Mousa Abu Marzouq dan anggota biro berkenaan Ezzat al-Resheq dan Husam Badran. Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Hamas, delegasi dan Menteri Luar Qatar itu telah mengadakan perbincangan mendalam mengenai beberapa isu kepentingan bersama dan
perkembangan terbaru berkaitan Palestin.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Neina Mukhtar