Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis Israel arah roboh bangunan kediaman di Baitulmaqdis yang menempatkan 17 keluarga

Isnin, 28/07/2025 – Pihak Berkuasa Regim Zionis Israel (IOA) telah mengeluarkan arahan muktamad untuk merobohkan sebuah bangunan kediaman di kejiranan Al-Sawwana, Baitulmaqdis, yang menempatkan 17 keluarga Palestin. Keluarga-keluarga tersebut diberi tempoh hanya tiga hari untuk mengosongkan premis.

Menurut Pejabat Gabenor Baitulmaqdis, pasukan tentera Regim Israel telah menyerbu kawasan sekitar bangunan berkenaan dan menyerahkan arahan akhir perobohan kepada penduduk, dengan tempoh akhir pengosongan ditetapkan pada hari Sabtu ini, 26 Julai. Perobohan tersebut akan menyebabkan kira-kira 100 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal.

Bangunan itu dibina pada tahun 1998, dan arahan perobohan pertama dikeluarkan pada tahun 2003 atas alasan ia dibina tanpa permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Israel. Sejak itu, penduduk telah membayar denda yang tinggi kepada pihak perbandaran Israel sepanjang bertahun-tahun.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Briged al Qasam rakaman sasaran tentera dan kenderaan Israel di Dar Al-balah

Isnin, 28/07/2025 – Al- Qassam, sayap tentera Gerakan Penentangan Islam (Hamas), menyiarkan rakaman video anggotanya menyasarkan askar dan kenderaan Israel yang mara ke tenggara Deir al-Balah, di tengah Semenanjung Gaza.

Menurut rakaman yang disiarkan oleh Briged Qassam, operasi itu, sebahagian daripada siri “Stones of David”, telah dijalankan pada hari Selasa. Rakaman itu menunjukkan Briged menyasarkan askar
dan kenderaan Israel di kawasan Abu Holi dan Al-Jafrawi, tenggara Deir al-Balah, dengan peluru berpandu Al-Yassin 105 mm.

Rakaman itu menunjukkan batalion memantau pergerakan askar Israel, dan menyasarkan sebuah kapal pengangkut kakitangan berperisai dan dua kereta kebal Merkava dengan peluru berpandu Al-Yassin 105 mm. Klip video itu juga menunjukkan tentera Israel menarik balik kenderaan yang
disasarkan selepas memusnahkannya.

Briged Qassam juga mengumumkan pada hari Rabu bahawa 25 tentera Israel telah terbunuh dan cedera dalam beberapa siri operasi di timur Rafah, di selatan Semenanjung Gaza. Briged juga menyiarkan rakaman yang mendokumentasikan pejuangnya meletupkan kenderaan Israel di kem
Jabalia di utara.

Briged Al-Qassam berkata bahawa pejuangnya menyasarkan tujuh anggota tentera Israel pada hari Selasa dengan bom “TV” anti-kakitangan, membunuh dan mencederakan mereka. Dia menjelaskan bahawa operasi itu berlaku di kawasan Persimpangan Al-Mashrou’ di timur Rafah,
mengesahkan bahawa helikopter Israel dikesan memindahkan mangsa yang terkorban dan cedera.

Briged Al-Qassam juga berkata bahawa pejuangnya pada hari Isnin berjaya meletupkan sebuah rumah pra-rigged yang menyasarkan pasukan Israel seramai 10 askar, mengesahkan bahawa mereka telah membunuh dan mencederakan mereka. Para pejuangnya juga melaporkan melihat
helikopter Israel mendarat untuk memindahkan mangsa yang mati dan cedera.

Menurut sayap tentera Hamas, bangunan itu runtuh sepenuhnya terhadap tentera Israel di kawasan Al-Mashrou’ di timur Rafah. Sejak 7 Oktober 2023, Israel telah melancarkan perang pembunuhan beramai-ramai di Gaza, termasuk pembunuhan, kebuluran, kemusnahan, dan pemindahan paksa, mengabaikan semua seruan dan perintah antarabangsa dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menghentikannya.

Pembunuhan beramai-ramai menyebabkan lebih 200,000 rakyat Palestin mati dan cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, dan lebih 9,000 hilang, selain ratusan ribu orang yang kehilangan tempat tinggal, dan kebuluran yang meragut nyawa ramai.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Hamas: Pembunuhan wartawan dan keluarganya oleh Israel adalah jenayah kemanusiaan

Isnin, 28/07/2025 – Gerakan Hamas mengutuk pembunuhan seorang wartawan Walaa Al-Jaabari dan lima orang anak-anaknya, termasuk seorang yang belum lahir, pada Rabu sebagai sebahagian polisi terancang untuk menyasarkan para wartawan di Gaza, menakutkan mereka dan menghalang mereka dari melaksanakan tanggungjawab profesional mereka.

“Pembunuhan wartawan Walaa Al-Jaabari bersama seluruh keluarganya dalam serangan udara merupakan jenayah yang melanggar semua nilai kemanusiaan. Ia satu rancangan tersusun untuk mendiamkan dan menakutkan para wartawan di Gaza,” kenyataan itu menyebut.Hamas menyeru semua institusi kewartawanan antarabansa untuk melaksanakan tanggungjawab profesional dan moral dengan mendedahkan keganasan ke atas wartawan yang semakin berleluasa.

Penterjemah : Nuridawati

Categories
Berita Semasa

Serangan Peneroka Hentikan Bekalan Air Ke Bandar Tebing Barat

Khamis, 24/07/2025 – Pihak Berkuasa Air Jerusalem mengumumkan pada hari Isnin bahawa pengepaman air dari kawasan telaga Ain Samia di tengah Tebing Barat telah terhenti untuk puluhan bandar Palestin akibat serangan oleh peneroka Israel di kawasan yang terletak di timur bandar Kafr Malik itu.

Dalam satu kenyataan media, pihak berkuasa melaporkan bahawa pengepaman dari telaga dan stesen air telah terhenti sepenuhnya akibat peningkatan serangan oleh peneroka terhadap kemudahan dan infrastruktur penting di kawasan tersebut.

Pihak berkuasa juga menyatakan bahawa pasukan mereka telah kehilangan kawalan teknikal dan pentadbiran sepenuhnya ke atas sistem bekalan air di Ain Samia akibat siri serangan oleh peneroka yang menyasarkan rangkaian elektrik, peralatan pengepaman, sistem komunikasi dan kamera pemantauan.

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Majlis Perbandaran Gaza: Nyawa rakyat Gaza terancam

Khamis, 24/07/2025 – Majlis Perbandaran Gaza memberi amaran tentang malapetaka kemanusiaan yang mengancam lebih 1.2 juta orang penduduk dan mereka yang terpaksa berpindah kerana sistem pam air Mekorot telah berhenti berfungsi sejak Ahad dan kekurangan bahan api untuk mengendalikan telaga-telaga yang tinggal.

Dalam satu kenyataan, majlis perbandaran menyatakan, telaga-telaga yang masih beroperasi cuma menampung 12% keperluan minima harian, mengurangkan bekalan air kepada kurang daripada 5 liter sehari, dan di sesetengah pusat pemindahan kurang daripada 2 liter.

Kenyataan itu menjelaskan yang tentera rejim zionis telah memusnahkan 6 telaga, 4 takungan utama, dan lebih daripada 115,000 meter saluran air. Pengeboman itu menghentikan terus operasi loji desalinasi di utara Gaza.

Penterjemah : Nuridawati

Categories
Berita Semasa

Guterres: Talian hayat terakhir yang memastikan orang hidup, runtuh di Gaza.

Khamis, 24/07/2025 – Setiausaha Agung PBB António Guterres mengecam penembakan pada hari Isnin ke atas orang awam Palestin yang cuba mendapatkan makanan untuk keluarga mereka di Semenanjung Gaza, yang mengakibatkan kematian dan kecederaan.

Dalam satu kenyataan, Guterres menyatakan “penggeranya terhadap keadaan kemanusiaan yang semakin merosot,” sambil menekankan bahawa “talian hayat terakhir yang mengekalkan orang hidup semakin runtuh.”

Beliau merujuk kepada peningkatan laporan yang membimbangkan tentang kekurangan zat makanan yang menjejaskan kanak-kanak dan orang dewasa.
Beliau menekankan keperluan untuk melindungi orang awam dan tidak menyasarkan mereka dalam apa jua keadaan, menekankan bahawa penduduk Gaza terus mengalami kekurangan makanan, ubat-ubatan dan air yang teruk.

Sejak 7 Oktober 2023, Israel, dengan sokongan Amerika, telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza, termasuk pembunuhan, kebuluran, kemusnahan, dan pemindahan, mengabaikan seruan dan perintah antarabangsa daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menghentikannya.

Pembunuhan beramai-ramai menyebabkan lebih 200,000 rakyat Palestin mati atau cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, dan lebih 11,000 hilang. Beratus-ratus ribu orang kehilangan tempat tinggal, dan kebuluran meragut nyawa ramai, termasuk kanak-kanak, serta kemusnahan yang meluas.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Setiausaha Hal Ehwal Luar Britain: Perang ke atas Gaza mesti dihentikan sekarang

Khamis, 24/07/2025 – Setiausaha Luar Britain David Lammy menyeru pada hari Isnin untuk menamatkan segera perang di Semenanjung Gaza, menekankan bahawa tiada penyelesaian ketenteraan untuk konflik yang berterusan selama berbulan-bulan itu.

Lammy mengkritik keras kerajaan Israel, dengan menyatakan bahawa terdapat persoalan serius mengenai justifikasi tentera bagi serangan yang telah mengorbankan nyawa kanak-kanak yang kelaparan di Gaza.

Beliau menambah bahawa tindakan kerajaan pendudukan “menyebabkan kerosakan yang tidak dapat digambarkan keatas kedudukan Israel di dunia.”

Beliau turut menyeru Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu supaya mendengar hasrat 82% rakyat Israel yang mendesak gencatan senjata.

Mengulas mengenai rancangan pemindahan paksa yang dicadangkan oleh Menteri Luar Israel Eli Katz, Lammy menyifatkan rancangan itu sebagai “kejam”, sambil menekankan bahawa ia “tidak boleh berlaku,” dan negaranya mengutuknya dengan tegas.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis Berusaha Meyahudikan Identiti Baitulmaqdis 

Khamis, 24/07/2025 – Wilayah Pentadbiran Baitulmaqdis menegaskan bahawa pihak berkuasa penjajah Israel sedang berusaha untuk mengenakan identiti Yahudi ke atas bandar Baitulmaqdis dan menghapuskan identiti Palestin.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Isnin, wilayah tersebut menjelaskan bahawa penjajah menggunakan apa yang dikenali sebagai “Festival Makanan” yang berlangsung sehingga 24 bulan ini bagi mengenakan satu realiti budaya tiruan yang menyokong projek peyahudian Israel.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa festival tersebut, yang diadakan buat tahun ketujuh berturut-turut, berlangsung di kawasan “Istana Pesuruhjaya Tinggi” di tenggara tembok Kota Lama bersejarah Baitulmaqdis, dengan penyertaan lebih 30 buah restoran serta pertunjukan cahaya yang dipancarkan ke langit bandar tersebut.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

GMO: Sejuta Kanak-kanak di Ambang Maut

Khamis, 24/07/2025 – Pejabat Media Kerajaan (GMO) Gaza telah memberi amaran bahawa lebih daripada satu juta kanak-kanak di Semenanjung Gaza berada di ambang maut selepas lebih 140 hari penutupan sempadan Israel.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, GMO menuduh rejim Zionis dengan sengaja mengamalkan dasar kebuluran terhadap kira-kira 2.4 juta rakyat Palestin di Gaza sebagai sebahagian daripada perang genosid habis-habisan.

GMO menegaskan bahawa rejim Zionis melarang kemasukan bantuan kemanusiaan dan bantuan, susu formula bayi, bekalan bahan api dan keperluan penting lain, mengenakan sekatan ketat ke atas penduduk.

“Semenanjung Gaza berada di ambang malapetaka kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di tengah-tengah pembunuhan besar-besaran yang berterusan dan kebuluran yang meluas yang menjejaskan lebih 2.4 juta orang, termasuk 1.1 juta kanak-kanak,” GMO memberi amaran.

GMO juga menuduh dunia “melihat penyembelihan sistematik Gaza – melalui kebuluran dan pemusnahan – sementara gagal mengambil tindakan,” menekankan bahawa wilayah Palestin “menghadapi pembunuhan beramai-ramai terbesar pada zaman moden.”

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Puluhan rakyat Gaza terbunuh termasuk 73 orang pencari bantuan makanan akibat serangan Israel

Selasa, 22/07/2025 – Tentera pendudukan Israel meneruskan pada malam tadi dan hari Ahad untuk melakukan serangan maut di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza yang telah membunuh dan mencederakan berpuluh-puluh orang awam.

Menurut sumber media tempatan, tentera Israel juga terus meletupkan dan mengebom lebih banyak rumah serta memindahkan keluarga di Semenanjung Gaza hari ini, seterusnya memparahkan lagi krisis kemanusiaan  ketika penduduk bergelut dengan kebuluran yang semakin teruk.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan bahawa pasukan pendudukan Israel telah membunuh dan mencederakan berpuluh-puluh pencari bantuan di kawasan pengagihan yang disokong AS sejak awal pagi.

73 daripada mereka yang terbunuh adalah pencari bantuan dan lebih 150 lagi mengalami kecederaan, ramai dalam keadaan kritikal, tiba hari ini di hospital yang berbeza, kata kementerian kesihatan.

Tentera Israel juga mengebom khemah yang menempatkan keluarga yang dipindahkan di kawasan al-Mawasi di Khan Yunis di selatan Gaza, membunuh tujuh orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan, dan mencederakan yang lain.

Pekerja pertahanan awam mengalami kecederaan apabila pasukan Israel menyerang mereka di kawasan al-Qarara di utara Khan Yunis.

Dua kanak-kanak juga meninggal dunia akibat kecederaan yang mereka alami pada petang Sabtu dalam serangan Israel ke atas khemah di kawasan al-Mawasi di Khan Yunis.

Kereta kebal Israel juga melepaskan tembakan langsung dan peluru ke arah sekumpulan rakyat di kawasan al-Tina di selatan Khan Yunis, membunuh dua daripada mereka dan mencederakan 20 yang lain.

Terdapat juga laporan korban, termasuk syuhada, selepas dron Israel menggugurkan bom ke atas orang awam berhampiran kolam Sheikh Radwan di Bandar Gaza.

Razan Abu Zaher yang berusia 4 tahun disahkan meninggal dunia hari ini di Hospital Shuhada al-Aqsa akibat mengalami malnutrisi dan kebuluran yang teruk.

Berpuluh-puluh orang juga syahid atau cedera dalam serangan Israel ke atas pencari bantuan berhampiran pusat pengedaran yang disokong AS di selatan dan tengah Gaza.

Tentera Israel juga melancarkan serangan ke kawasan lain di Semenanjung Gaza malam tadi dan hari ini, membunuh dan mencederakan lebih ramai orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita.

Sementara itu, beberapa penduduk Gaza disahkan meninggal dunia selepas menghembuskan nafas terakhir akibat kecederaan yang dialami dalam serangan baru-baru ini.

Penterjemah : Hj Fariz

Categories
Berita Semasa

Gaza: Hospital menerima 130 syahid, angka kematian meningkat kepada 58,895.

Selasa, 22/07/2025 – Dalam tempoh 24 jam yang lalu, hospital di Semenanjung Gaza menerima mayat sekurang-kurangnya 130 orang awam, serta 495 orang yang mengalami kecederaan berbeza berikutan serangan Israel, menurut kementerian kesihatan Gaza pada pagi Ahad.

Sehubungan itu, seramai 8,066 orang telah terbunuh dan 28,939 yang lain telah cedera sejak tentera pendudukan Israel menyambung semula perang pembunuhan beramai-ramai ke atas Gaza pada 18 Mac 2025.

Angka kematian terbaharu itu meningkatkan jumlah kematian akibat perang genosid rejim Zionis  Israel ke atas Gaza, yang bermula pada 7 Oktober 2023, kepada 58,895 syahid, termasuk 922 pencari bantuan yang terbunuh di atau berhampiran tempat pengedaran yang disokong AS, menurut laporan kementerian kesihatan.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Doctors Without Borders (MSF): Sistem pemindahan perubatan yang jelas mesti diwujudkan di Gaza

Selasa, 22/07/2025 – Pertubuhan perubatan antarabangsa Doctors Without Borders (MSF) berkata bahawa 12,000 orang perlu dipindahkan ke luar Semenanjung Gaza untuk menerima rawatan perubatan.

Dalam kenyataan akhbar pada hari Isnin, pertubuhan itu menggesa penubuhan sistem pemindahan perubatan yang jelas yang menjamin hak rakyat Palestin untuk kembali ke Gaza selepas rawatan.

Sejak 7 Oktober 2023, pendudukan Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza, termasuk pembunuhan, kebuluran, kemusnahan, dan perpindahan, mengabaikan seruan dan arahan antarabangsa daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menghentikannya.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

5 askar Israel terbunuh dan sekurang-kurangnya 14 yang lain cedera dalam operasi besar di utara Gaza

Selasa, 22/07/2025 – Lima askar Israel terbunuh dan sekurang-kurangnya 14 lagi cedera dalam operasi besar yang dilakukan oleh penentangan di Beit Hanoun, utara Semenanjung Gaza, menurut apa yang disampaikan oleh media Israel.

Insiden itu berlaku apabila pejuang penentang meletupkan bahan letupan dalam kenderaan berperisai yang membawa askar dan kemudian menyasarkan robot yang sarat dengan peluru berpandu anti-kereta kebal semasa ia sedang disediakan.

Penentangan menyasarkan pasukan penyelamat Israel yang bergegas ke tempat kejadian. Penduduk Asqalan mendengar bunyi “letupan besar,” menurut laman web Israel, yang melaporkan bahawa salah seorang yang cedera adalah seorang pegawai kanan.

Askar yang disasarkan adalah milik unit kejuruteraan Yahalom, yang berfungsi untuk meletupkan bahan letupan dan mengebom rumah penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, menurut wartawan Al Jazeera di Palestin, Najwan Samri.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Hamas: Kesyahidan banduan Al-Rifai mencerminkan dasar pelaksanaan yang perlahan di penjara Israel

Isnin, 21/07/2025 – Gerakan Hamas meratapi pemergian tahanan Palestin, Samir Muhammad Al-Rifai (53 tahun) dari bandar Rummana, barat Jenin, yang meninggal dunia di penjara Israel hanya beberapa hari selepas penahanannya. Hamas menganggap pihak berkuasa Rejim Zionis bertanggungjawab sepenuhnya atas kematiannya.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan Khamis lalu, Gerakan itu berkata bahawa kesyahidan Al-Rifai “mendedahkan sejauh mana jenayah seperti Nazi yang dilakukan ke atas tahanan Palestin di penjara Israel, secara terang-terangan melanggar semua konvensyen antarabangsa dan kemanusiaan.” Ia menegaskan bahawa dasar penyeksaan dan penderaan merupakan “jenayah perang sepenuhnya” yang diamalkan oleh kerajaan pendudukan ekstremis terhadap tahanan.

Kenyataan itu menegaskan bahawa tahanan Palestin tertakluk kepada pengabaian perubatan yang disengajakan dan penyeksaan sistematik, menggambarkan ini sebagai satu bentuk “pelaksanaan perlahan.” Hamas menyeru institusi hak asasi manusia dan kemanusiaan untuk memikul tanggungjawab mereka dan mendesak Israel untuk menghentikan pencabulan ini.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

Warga Kristian Gaza Dibunuh, Zionis Serang Gereja.

Isnin, 21/07/2025 – Dua warga emas Palestin dibunuh dan beberapa lagi cedera—termasuk Paderi Gabriel Romanelli, paderi paroki   Gereja Holy Family, pada Khamis berikutan serangan udara Zionis yang menyasarkan gereja di timur Kota Gaza.

Mouhammad Basal, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, berkata, “Dua orang mati syahid berikutan serangan Zionis ke atas Gereja Holy Family. Mereka berada dalam keadaan kritikal.”

Mangsa dikenali sebagai Saad Salama, berusia sekitar 60 tahun, dan Fumya Ayad, kira-kira 80 tahun, kedua-duanya dibunuh di gereja itu.

Basal menambah, “Hari ini kami mengucapkan selamat tinggal kepada dua saudara Kristian kami yang tidak melakukan kesalahan. Penjajah tidak membezakan, ia menyasarkan orang Kristian dan Muslim, gereja dan masjid.”

Beliau menyatakan bahawa gereja itu telah melindungi kira-kira 400 orang Kristian yang mencari perlindungan di sana selepas rumah mereka musnah semasa perang berterusan yang kini telah berlangsung selama 22 bulan.

Orang yang kehilangan tempat tinggal percaya gereja itu adalah tempat yang selamat, “tetapi malangnya, ia disasarkan oleh tentera Israel untuk kali ketiga sejak perang bermula.”

Basal menggesa masyarakat antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia untuk “mengambil tindakan segera untuk melindungi orang awam,” sambil bertanya dengan marah, “Mengapa orang ini dibunuh? Dunia mesti bertanggungjawab untuk melindungi orang awam.”

Terdahulu, Patriarkat Latin Baitulmaqdis mengesahkan dalam satu kenyataan akhbar bahawa  Gereja Holy Family telah diserang oleh tentera Zionis, mencederakan beberapa rakyat Palestin termasuk Paderi Romanelli.

Serangan udara itu menyebabkan kerosakan pada  Gereja Holy Family, satu-satunya gereja Katolik di Semenanjung Gaza, menurut Patriarkat Latin.

Penterjemah : Ameen