Isnin, 04-10-2021 – Ketua biro politik Hamas, Ismail Haneyya mengatakan bahawa presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Perdana Menteri Israel Naftali Bennett tidak menerima penyelesaian politik untuk persoalan Palestin termasuk yang menetapkan penubuhan negara Palestin di sempadan 1967.
Haneyya menjelaskan, dalam wawancara TV di saluran Turki A HABAR pada hari Rabu, bahawa Hamas percaya perubahan kuasa di Washington dan Tel Aviv tidak lebih dari perubahan nama semata-mata.
Dia berpendapat bahawa pemerintah Israel akan meneruskan usaha penjajahan dan perampasan tanah serta pelanggaran hak-hak Palestin.
Haneyya berpendapat bahawa tidak ada yang akan berubah dalam dasar Amerika Syarikat terhadap Israel kerana kepentingan bersama mereka.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Isnin, 04-10-2021 – Seorang warga Palestin terbunuh pada hari Khamis petang ketika Rejim Zionis melepaskan tembakan ke arahnya di timur kem pelarian al-Bureij di tengah Semenanjung Gaza.
Seorang wartawan Pusat Maklumat Palestin (PIC) berkata Mohamed Ammar yang berusia 41 tahun telah ditembak mati oleh rejim itu ketika dia sedang memburu burung di daerah Wadi Abu Qatron di sebelah timur kem al-Bureij.
Beliau menambah pemuda itu meninggal dunia serta-merta dan dipindahkan ke Hospital Syahid al-Aqsa di Bandar Deir al-Balah.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Isnin, 04-10-2021 – Rejim Israel telah melaksanakan pencerobohan berskala kecil ke atas sempadan di kawasan timur Sheijaya di bandar Gaza pada hari Khamis, menurut jurucakap PIC di kawasan tersebut.
Rejim Israel melepaskan tembakan ke arah petani warga Palestin di timur al-Fukhari di Khan Yunus, memaksa mereka untuk beredar. Tiada kecederaan dilaporkan.
Sempadan timur semenanjung Gaza terdedah kepada pencerobohan separuh hari dan petani di kawasan berdekatan sempadan pula terdedah kepada ancaman dan tembakan senjata api pada setiap hari oleh tentera rejim Israel di bawah alasan keselamatan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Jumaat, 01-10-2021 – Pendatang Yahudi serang penggembala Palestin di dusun Lasifer, timur Masafer Yatta di al-Khalil dan memaksa mereka meninggalkan tanah mereka, kata Fuad al-Amour, penyelaras suruhanjaya perlindungan Yatta.
Beliau berkata, para pendatang itu menghina penggembala dan memaksa mereka untuk meninggalkan tanah milik mereka menggunakan senjata.
Rejim zionis mengasingkan dusun Lasifir melalui Tembok Apartheid dan menghalang pergerakan penduduk ke tanah mereka.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Jumaat, 01-10-2021 – Tokoh Hamas Fazi Shawafita menegaskan aksi pencerobohan kelompok Yahudi ke Masjidil Aqsa memberi kesan berbahaya dan bangsa Palestin tidak akan membiarkan pencerobohan dan penodaan terhadap tempat Isra Nabinya.
Dalam satu siaran akhbar, tokoh Hamas ini mengingatkan penjajah tentang dampak buruk pencerobohan mereka terhadap Masjidil Aqsa. Beliau menyeru kepada segenap bangsa dan faksi-faksinya untuk menghadapi pencerobohan terhadap Masjid al Aqsa dan segenap wilayah Tebing Barat lainnya.
Shawafita menegaskan bahawa kejahatan yang dilakukan penjajah tidak akan mengubah realiti Palestin dan hakikat kota Al-Quds dan Masjidil Aqsa. Semua usaha penjajah untuk mengusai Al-Aqsa dan serangan terhadap persoalan Palestin tidak akan berjaya.
Pencerobohan ke Al-Aqsa dilakukan kelompok Zionis didokong militan Israel, untuk mengambilalih urusan Al-Aqsa, selain itu pihak penjajah terus berusaha merampas wilayah Palestin di Tebing Barat.
Dalam memperingati meletusnya Intifadah Al-Aqsa ke 21, Shawafita menegaskan bahawa mereka akan meneruskan usaha melawan semua tindakan Yahudinisasi terhadap Al-Aqsa. Bangsa Palestin telah mempersembahkan ratusan para syuhada, ribuan yang tercedera dan tawanan dalam Intifadah Al-Aqsa. “Kami bersedia mengorbankan semua yang dimiliki untuk membela negeri dan tempat suci umat Islam ini” katanya.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman
Jumaat, 01-10-2021 – Tujuh tahanan Palestin melakukan mogok lapar secara terbuka selama beberapa minggu sebagai protes terhadap penahanan tidak sah mereka tanpa dakwaan atau perbicaraan.
Tahanan yang melakukan mogok lapar ini adalah Kayed al-Fasfous, Miqdad al-Qawasmeh, Alaa al-Araj, Hisham Abu Hawash, Rayek Bisharat, Shadi Abu Aker dan Hasan Shouka. Mereka masing-masing melakukan mogok selama 76, 69, 51, 43, 38, 35 dan 9 hari.
Tahanan-tahanan ini mengalami penurunan berat badan, kekurangan garam dan mineral dan keletihan yang melampau, 5 daripadanya dipindahkan ke hospital.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Jumaat, 01-10-2021 – Dua orang pemuda Palestin cedera terkena peluru hidup semasa pertempuran bersenjata dengan pasukan rejim Zionis di bandar Qabatiya, selatan Jenin.
Sumber tempatan mengatakan bahawa tentera Israel dengan 20 kenderaan tentera menyerbu kota Qabatiya sebelum berlakunya pertempuran bersenjata dengan pejuang penentang.
Saksi mengatakan bahawa dua pemuda tempatan mengalami kecederaan disebabkan terkena peluru di kaki mereka dan dikejarkan ke Hospital Jenin.
Sementara itu, rejim Zionis menyerbu beberapa rumah di Gunung Zakarnah di sebelah timur Qabatiya.
Sumber lain memberitahu wartawan Pusat Maklumat Palestin (PIC) bahawa pejuang penentang menyerang tentera yang menyerang di Qabatiya di waktu subuh serta bandar Muthalat ash-Shuhada yang berdekatan.
Mereka mengatakan bahawa seorang pemuda yang dikenali sebagai Ahmed Dirweesh dari Muthalat ash-Shuhada cedera akibat tembakan oleh rejim Zionis di kakinya semasa pertempuran antara pihak penentang dan tentera.
Mereka menambah bahawa rejim Zionis masuk dan menggeledah sebuah bangunan pangsapuri di Qabatiya dan menghujani para pemuda tempatan dengan gas pemedih mata.
Pertembungan juga berlaku semalam dengan rejim Zionis di pelbagai kawasan di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis.
Di Ramallah, rejim Zionis menculik tiga pemuda dari rumah mereka dan bertembung dengan yang lain semasa serangan di bandar Deir Nidham.
Di Bandar al-Khalil, pertempuran malam berlaku antara puluhan pemuda tempatan dan rejim Zionis di daerah Bab az-Zawiya.
Saksi di al-Khalil mengatakan bahawa pasukan Israel menghujani para pemuda itu dengan gas pemedih mata, mengejar beberapa orang lain dalam usaha untuk menahan mereka dan memaksa kedai-kedai untuk menutup pintu, sambil menambah bahawa beberapa pemuda cedera akibat terdedah kepada gas pemedih mata.
Di Baitulmaqdis, pemuda tempatan di daerah Issawiya bertempur dengan pasukan polis dan melancarkan mercun ke arah mereka.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Jumaat, 01-10-2021 – Polis Israel menghalang kemasukan pengunjung Muslim dari Palestin yang diduduki 1948 ke masjid al-Aqsa pada waktu subuh hari Selasa dengan alasan “menyebarkan hasutan dan menganggu ketenangan”.
Menurut sumber tempatan, polis Israel menghentikan bas dari Umm al-Fahm yang sedang menuju ke masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat Subuh. Polis memeriksa setiap pengunjung dan menghalang mereka daripada meneruskan perjalanan ke masjid tersebut.
Polis Israel turut menahan Muhammed Jabbareen dan Muhammad Istiti dari Akka dan Umm al-Fahm semasa mereka sedang menuju ke masjid al-Aqsa.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Rabu, 29-09-2021 – Rejim Zionis menahan beberapa warga Palestin di beberapa lokasi di Tebing Barat dan kawasan taklukan Jerusalem pada hari Rabu lepas. Di Ramallah, rejim Zionis menyerbu kawasan pelarian al-Jalazon dan menahan Subhi Zaid selepas menyerbu rumah beliau. Di Jericho, rejim Zionis menyerbu Bahaa Grouf dan lantas menahan beliau.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Hairul Ahmad
Rabu, 29-09-2021 – Gerakan Jihad Islami di Palestin menegaskan kembali penolakan menyertai pilihan raya umum jika tiada kesepakatan berkait agenda politik yang jelas dan terancang dalam menghadapi penjajah dan menghentikan perluasan terhadap wilayah dan tempat suci Palestin.
Dalam keterangannya, Rabu (22/9), Jihad Islami berpendapat bahawa pilihan raya yang dibayangi penjajah, hanya akan menjadi boomerang baru. Ia adalah lari dari tugas utama dan penting iaitu membangun projek nasional dengan strategi baru dan menyeluruh. Mengelola konflik melawan musuh di satu pihak dan membentuk referensi nasional untuk mengelola urusan dalaman.
Mereka menegaskan bahawa pilihan raya tidak akan mampu merealisasikan tujuan ini, meskipun para pendokong pilihan raya berusaha menjelaskan kepentingannya. Pihak Jihad Islami menegaskan, prioriti bangsa Palestin dan keperluan utama bangsa adalah meraih kemerdekaan dan bebas dari penjajahan. Hal ini tak mungkin tercapai kecuali dengan perlawanan dan penentangan serta meningkatkan Intifadah dan mengembangkannya, bukan dengan berunding dan kerjasama keamanan dan politik dan mengukuhkan kerjasama ekonomi dengan musuh.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman
Rabu, 29-09-2021 – Pusat Kajian Tahanan Palestin memberi amaran pada Selasa yang nyawa tahanan Palestin yang mogok lapar adalah dalam bahaya kerana Perkhidmatan Penjara Israel masih tidak menunaikan tuntutan mereka.
Pusat itu menyatakan IPS bertanggungjawab ke atas nyawa para tahanan. Pengurus Pusat, Riyad al-Ashqar, menyeru organisasi hak asasi manusia dan institusi antarabangsa agar masuk campur menyelamatkan nyawa para tahanan itu.Enam tahanan Palestin itu telah mogok lapar berminggu-minggu bagi membantah penahanan tanpa bicara mereka. Empat daripada mereka mengalami masalah kesihatan yang serius dan terdedah kepada kematian bila-bila masa di klinik penjara Ramle.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Rabu, 29-09-2021 – Ketika berucap pada sesi ke-76 Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 76) pada hari Rabu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyeru penamatan pendudukan Israel dan rampasan tanah Palestin serta pembangunan penempatan di wilayah Palestin yang diduduki.
Erdogan mengaitkan konflik Palestin-Israel sebagai “salah satu masalah terpenting yang mendorong ketidakstabilan dan mengancam keamanan dan keselamatan di wilayah kita.” Beliau memperjuangkan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka pada 1967 tanah yang diduduki dengan Jerusalem sebagai ibu kotanya.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Rabu, 29-09-2021 – Sheikh Ekrima Sabri, ketua Majlis Tertinggi Islam di Baitulmuqaddis yang diduduki, berkata bahawa tindakan pihak Israel yang membenarkan penceroboh Yahudi memasuki masjid al-Aqsa dalam jumlah yang besar mencerminkan niat sebenar untuk membenarkan kemasukan ajaran baru di tapak suci itu.
Dalam satu kenyataan akhbar, Sheikh Sabri menegaskan bahawa “kumpulan penceroboh tidak berani untuk masuk ke masjid al-Aqsa tanpa perlindungan ketat pihak polis, yang mana mengesahkan ketakutan mereka untuk menimbulkan kemarahan penduduk asal Baitulmuqaddis, yang merupakan pemilik sebenar tapak suci tersebut”.
Sabri mendesak penduduk Baitulmuqaddis dan semua pengunjung Muslim yang boleh memasuki masjid al-Aqsa supaya kerap berkunjung ke masjid itu serta memperhebatkan kehadiran mereka di halamannya untuk berhadapan dengan kemasukan oleh puak penceroboh.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Khamis, 23-09-2021 – Puluhan penduduk Yahudi menyerbu masuk perkarangan Masjidil Aqsha dan melakukan ritual Talmud. Mereka dikawal ketat oleh pasukan penjajah Israel. Sejumlah sumber di Al-Quds melaporkan, 104 penduduk Yahudi menceroboh masuk perkarangan Al-Aqsa melalui pintu gerbang Maghoribah. Mereka berjalan di perkarangan Al Aqsa sambil memprovokasi warga Al-Quds yang berada di kawasan Al-Aqsa. Mereka turut melakukan ritual Talmud.
Menurut sumber, para penduduk Yahudi melakukan ritual Talmud dan tindakan provokaif, serta berusaha merayakan Hari Tahta Yahudi, dengan memasukan daun kurma yang dikhususkan dalam ritual tersebut yang diletakan di bawah pakaian mereka. Di samping itu, seorang penduduk Yahudi melakukan “Sujud Prahara” di kawasan timur Masjidil Aqsa, yang sempat dirakam oleh seorang aktivis di Masjidil Aqsha.
Sementara itu Jawatankuasa Al-Quds dan Al-Aqsa kembali menyeru kepada segenap warga Palestin di Al-Quds, Tebing Barat dan wilayah 48 untuk mengintensifkan kesiapsiagaan di perkarangan Al-Aqsh, untuk menggagalkan rancangan Zionis dan kelompok Yahudi menjelang peringatan hari kebesaran mereka.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : osman
Khamis, 23-09-2021 – Tor Wennesland, koordinator khas UN untuk proses perdamaian Timur Tengah, tiba bersama rombongannya di Semenanjung Gaza pada hari Selasa melalui persimpangan Beit Hanun (Erez).
Lawatan berkenaan tidak dijadual dan tidak diketahui tujuannya sama ada untuk menyelaras projek UN di Gaza atau pertemuan Wennesland bersama pemimpin Hamas.
Dua juta penduduk Palestin di Gaza mengalami kesukaran hidup berikutan pengepungan berterusan oleh Israel sejak Hamas memenangi pilihan raya pada tahun 2006.