Isnin, 09-08-2021 – Delegasi pegawai tinggi pergerakan Hamas pada waktu subuh hari Khamis tiba di ibu negara Iran, Tehran, bagi menghadiri upacara perlantikan presiden yang dipilih, Ibrahim Raisi.
“Dengan jemputan oleh Republik Islam Iran, delegasi tertinggi daripada kepimpinan Pergerakan Penentang Islam, Hamas, diketuai oleh Ismail Haneyya tiba (di Tehran) untuk menyertai upacara perlantikan presiden Iran, Ibrahim Raisi”, dinyatakan Hamas pada laman sesawangnya. Ketua hakim konservatif Ibrahim Raisi dipilih sebagai presiden Iran kelapan pada 19 Jun.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Jumaat, 06-08-2021 – Pihak berkuasa rejim Zionis pada hari Isnin lalu telah memberikan notis kepada seorang penduduk Baitulmaqdis dan memerintahkannya untuk merobohkan rumah tiga tingkatnya sendiri di kejiranan al-Bustan di daerah Silwan, di selatan Masjid Al-Aqsa.
Pemilik rumah berkenaan, Yaqoub Al-Rajabi, diberikan masa hingga 15 Ogos untuk merobohkan rumah tersebut untuk mengelakkan daripada membayar denda dan perbelanjaan meroboh kepada majlis perbandaran Israel.
Rejim Zionis mendakwa rumah itu, yang terdiri daripada dua pangsapuri dan tiga kedai, telah dibina tanpa lesen.
Sebilangan besar warga Baitulmaqdis harus mematuhi perintah perobohan oleh Israel untuk mengelakkan membayar denda yang melampau tingginya kepada Rejim Zionis.
Penduduk Baitulmaqdis tidak mempunyai pilihan selain membina tanpa lesen kerana tidak ada pelan struktur yang selari dengan peningkatan semula jadi dalam jumlah penduduk, maka oleh sebab itu, mereka tidak diberikan permit untuk membina rumah.
Rejim Zionis juga mengenakan sekatan pembangunan bagi penduduk tempatan Palestin di Baitulmaqdis dan menyukarkan mereka untuk mendapatkan lesen pembinaan.
Perobohan kediaman Palestin secara sistematik oleh pihak Israel di Baitulmaqdis Yang Diduduki dipercayai bertujuan untuk menyerang kaum keluarga di Baitulmaqdis secara psikologi dalam usaha untuk memaksa mereka untuk berpindah dari kota suci berkenaan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Jumaat, 06-08-2021 – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengulangi penolakannya ke atas niat Israel untuk mengusir penduduk awam Palestin dari rumah mereka di dalam wilayah yang diduduki.
Dalam satu taklimat akhbar pada hari Isnin, jurucakap setiausaha agung PBB Stephane Dujarric menegaskan bahawa semua aktiviti petempatan termasuk pengusiran dan perobohan adalah haram mengikut undang-undang antarabangsa.
Jurucakap tersebut membuat kenyataannya sebagai respon kepada satu soalan tentang pendirian setiausaha agung itu berkenaan satu sesi mahkamah Israel ke atas keluarga-keluarga di Sheikh Jarrah yang berdepan dengan rancangan Israel untuk mengusir mereka dari rumah mereka.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Jumaat, 06-08-2021 – Puluhan peneroka Yahudi cemari Masjid Aqsa di Jerusalem pada Selasa pagi dengan perlindungan polis. Menurut Jabatan Waqaf Islam, sekurang-kurangnya 78 peneroka memasuki masjid secara berkumpulan melalui Gerbang Maghariba dan melawati kawasan sekitar.
Sebahagian daripada mereka turut mengerjakan ritual Talmud dalam lawatan ke tempat suci umat Islam itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Huzaifah Abd Jamil
Jumaat, 06-08-2021 – Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan Palestine melaporkan pada Selasa, bahawa para tahanan telah menutup bahagian penjara Ofer Israel sebagai tanda protes terhadap kekejaman, serangan serta penganiayaan yang dilakukan oleh pasukan penjara Israel di seksyen N.16 terhadap tahanan.
Pihak berkuasa telah menyatakan dalam satu kenyataan bahawa para pemimpin tahanan dan wakil-wakil mereka di Penjara Ofer akan menutup semua jabatan dan enggan meninggalkan bilik mereka semenjak Isnin lalu. Tambahnya lagi, Langkah-langkah protes ini akan berterusan sehingga serangan terhadap tahanan ini dihentikan.
Ia menunjukkan apabila tahanan kanak-kanak juga turut diserang dan dipukul ketika ketibaan mereka di penjara tersebut. Menurut sumber, seramai 8 orang daripada tahanan kanak-kanak ini telah dipindahkan dari Penjara Megiddo ke Penjara Ofer.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Shuhada Sayuti
Jumaat, 06-08-2021 – Persidangan Diaspora Palestin, Selasa (4/8) menyeru agar Kesatuan Afrika untuk menilai semula keputusan mereka menerima penjajah Israel sebagai anggota pengawas dan menyebut keputusan tersebut sebagai langkah tercela.
Persidangan Diaspora Palestin yang berpusat di Beirut, dalam pernyataannya seperti dikeluarkan Quds Press, berkait perasaan terkejut dan tidak puas atas keputusan Kesatuan Afrika mengizinan entiti Israel penjajah rasis sebagai anggota pengawas Kesatuan Afrika.
Penerimaan terhadap Israel sebagai anggota di Kesatuan Afrika merupakan langkah tercela yang menyinggung Kesatuan Afrika dan negara anggotanya dan sama sekali tidak membawa manfaat terhadap kepentingan Afrika, selain menghina perjuangan benua Afrika dan mengabaikan perjuangan generasinya untuk meraih kemerdekaan dari penjajahan rasis.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman
Jumaat, 06-08-2021 – Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan 181 kes positif baru berkaitan COVID-19 (coronavirus) dan 140 kes pemulihan dari virus itu di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, tanpa kematian baru dalam tempoh 24 jam.
Menurut laporan harian kementerian, 35 pesakit sedang menerima rawatan perubatan di hospital dan pusat rawatan khas, dan 13 daripadanya telah dimasukkan ke unit rawatan intensif.
Berdasarkan data yang dikemas kini oleh kementerian itu 98.5 peratus daripada keseluruhan kes telah pulih dari virus ini, sementara kadar kes aktif telah mencapai 0.4 peratus dan kadar kematian adalah 1.1 peratus.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Jumaat, 06-08-2021 – Gerakan Hamas pada Isnin menyuarakan kesatuan dengan Turki dalam menghadapi kebakaran hutan yang dahsyat di pelbagai kawasan seluruh negara dan mendoakan keselamatan serta kestabilan rakyat Turki.
Ezzet al-Resheq, ahli biro politik Gerakan itu dan juga ketua jabatan hubungan Arab dan Islam, menyampaikan ucapan takziah Hamas kepada presiden Turki, kerajaan dan rakyat serta keluarga mangsa, dan mendoakan kesembuhan segera.
Kebakaran hutan telah melanda kawasan selatan Turki sejak beberapa hari lalu, membunuh enam warga dan mencederakan puluhan yang lainnya. Pihak berkuasa Turki berjaya memadamkan sebahagian besar kebakaran itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Jumaat, 06-08-2021 – Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, menekankan yang rejim Israel tidak akan mendapat satu maklumat pun tentang nasib tentera yang ditahan tanpa membayar harganya.
Dalam kenyataan di laman sesawangnya, Briged al-Qassam menyatakan bahawa tentera rejim itu, dengan kemampuan teknikal dan perisikannya, telah mencuba selama tujuh tahun untuk mendapatkan maklumat tentang nasib tenteranya.
Briged al-Qassam menekankan bahawa maklumat tersebut adalah mustahil diperolegi tanpa membayar harga tertentu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Rabu, 04-08-2021 – Rejim Zionis telah menculik beberapa warga Palestin ketika kempen di beberapa kawasan di Tebing Barat pada waktu subuh hari Isnin. Menurut sumber setempat, rejim itu menyerbu bandar Ni’lin, barat Ramallah dan menculik seorang pemuda yang dikenalpasti sebagai Jad Nafi.
Di Nablus, rejim Zionis telah menculik tiga orang warganya selepas menggeledah kediaman mereka di bandar Beita. Mereka dikenalpasti sebagai Jihad as-Safeer, Karam Dawoud dan Sa’eid Dawoud.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Rabu, 04-08-2021 – Seorang warga Palestine mengalami kecederaan selepas peneroka Yahudi mengejarnya di bandar Burin Iraq, selatan Nablus pada Isnin lalu.
Menurut sumber tempatan, sekumpulan peneroka dari penempatan Bracha telah mengejar Mu’min Ahed al-Faqih ketika beliau berada di daerah al-Soma’a. Faqih mengalami kecederaan dan patah tulang setelah beliau terjatuh dan telah dibawa ke Hospital Rafidia untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Peneroka Yahudi ini turut mencuri keldai milik Faqih dan pertempuran turut berlaku di kawasan warga Palestine dan pasukan penjajah Israel.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Shuhada Sayuti
Rabu, 04-08-2021 – Anggota Jawatankuasa pembela kawasan Sheikh Jarrah, Yakub Abu Irfah menegaskan bahawa pergerakan warga yang digagaskan oleh badan nasional dan Hak Asasi Manusia memberi kesan positif kepada kepentingan kawasan Sheikh Jarrah.
Abu Irfah menyebutkan, pergerakan warga dengan segenap bentuknya menjadi tekanan terhadap penjajah Israel. Beliau menegaskan bahawa warga Sheikh Jarrah tetap gigih untuk mempertahankan rumah mereka dan melawan penjajah.
Terdapat 7 rumah yang terancam pengosongan paksa di kawasan Sheikh Jarrah oleh mahkamah Israel.Minggu lalu keputusan pengusiran 3 keluarga telah dibekukan, sementara pihak mahkamah bersidang perkara berkaitan pengosongan rumah 4 keluarga, ungkap Abu Irfah. Disebutkannya bahawa warga berharap supaya keputusan pengusiran keluarga Palestin dibekukan atau ditunda kerana keadaan ketika ini tak memungkinkan bagi penjajah untuk mengeluarkan putusan yang terburu-buru.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman
Rabu, 04-08-2021 – Pergerakan Hamas telah mengumumkan perlantikan semula Ismail Haneyya sebagai ketua Biro Politik dan Saleh al-Aruri sebagai timbalannya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Isnin, Jawatankuasa Pemilihan Pusat Hamas berkata bahawa ia telah selesai menyelia peringkat-peringkat proses pemilihan dalaman pergerakannya di tiga wilayah (Gaza, Tebing Barat dan di luar negara).
Jawatankuasa Pemilihan mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli dan kadernya kerana penglibatan secara aktif di dalam pemilihan dalamannya, yang mana ia dikatakan telah diadakan dalam suasana persaudaraan dan persaingan serta mengikut peraturan dalaman pergerakan itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Rabu, 04-08-2021 – Sekurang-kurangnya 85 peneroka Yahudi diiringi pasukan polis mencemari Masjid Al-Aqsa di Jerusalem pada Isnin. Menurut Jabatan Waqaf Islam, 62 daripadanya melawat perkarangan masjid pada waktu pagi, manakala 23 lagi pada tengah hari.
Dalam lawatan di tempat suci Islam itu, mereka menerima kuliah daripada para rabi berkenaan dugaan pembinaan kuil, manakala sebahagian lagi menunaikan upacara Talmud.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Huzaifah Abd Jamil
Rabu, 04-08-2021 – Pejabat PBB untuk Koordinasi Urusan Kemanusiaan Bagi Wilayah Palestin (United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs, OCHA) mengatakan bahawa otoriti penjajah Israel menghancurkan atau menyita 59 bangunan Palestin di Tebing Barat yang diduduki dalam tempoh dua minggu terakhir. Israel mendakwa warga Palestin yang terbabit tidak memiliki hak keizinan bangunan.
Dalam sebuah laporan, OCHA menyatakan bahawa pembongkaran tersebut melibatkan 96 orang pelarian dan merugikan sekitar 550 warga lainnya.OCHA menambah bahawa sebahagian besar bangunan (49 bangunan) dan pelarian (84 orang) berada di komplek penempatan Badui di Ras al-Tin, Ramallah, Area C.
OCHA menegaskan bahwa tindakan memecahkan tangki air pertanian di Furush Beit Dajan di Nablus telah memberi kesan terhadap lebih dari 500 orang untuk mendapatkan bekalan air pertanian.OCHA menyatakan bahawa selama dua minggu terakhir, pasukan Israel melakukan 91 operasi pencarian dan penangkapan. Israel menangkap 158 warga Palestin di seluruh Tebing Barat.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman