Categories
Berita Semasa

Pasukan IOF musnahkan 6 telaga air di Lembah Jordan

Jumaat, 15/07/2011 – Tentera rejim Zionis (IOF) pada pagi Selasa lalu telah memusnahkan 6 telaga air milik para petani Palestin di Kampung Nasariya yang terletak di Lembah Jordan dengan alasan kononnya telaga-telaga itu dibina di Kawasan C yang termasuk dalam wilayah Tebing Barat, yang mana menurut perjanjian Oslo, ia termasuk di bawah kawasan pentadbiran kerajaan haram rejim Zionis.

Sumber-sumber tempatan berkata bahawa dengan memusnahkan telaga-telaga air tersebut bermakna memusnahkan ladang-ladang pertanian di kawasan itu sedangkan kampung terbabit merupakan “bakul makanan” bagi seluruh wilayah itu.

Mohammed Obaid, seorang aktivis social yang tinggal di kampung terbabit memaklumkan wartawan Pusat Informasi Palestin bahawa sejak pendudukan haram rejim Zionis ke atas Tebing Barat pada tahun 1967, rejim itu sentiasa mensasarkan sumber air di bahagian timur dan 133 telaga air yang terdapat di
wilayah tersebut.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : salwa

Categories
Berita Semasa

Ashqar: Rejim Zionis sengaja menghidangkan makanan busuk kepada banduan

Khamis, 14/07/2011 – Kementerian di Gaza yang diwujudkan oleh pihak berkuasa pendudukan Israel (IOA) serta perkhidmatan penjara bertanggungjawab sepenuhnya ke atas 1500 tahanan Palestin di penjara padang pasir Negev selepas 25 orang daripada mereka menjadi mangsa keracunan makanan.

Riyadh Al-Ashqar, jurucakap kementerian itu, berkata dalam satu kenyataan pada hari Selasa bahawa hampir keseluruhan banduan bergantung kepada kantin penjara untuk keperluan makanan mereka serta keperluan lain.

Beliau berkata bahawa pentadbiran penjara mengeksploitasi pergantungan banduan di kantin dengan meletak dua kali ganda harga dan menghidangkan makanan yang tidak elok dan kadang-kadang busuk kepada mereka.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : syuhada

Categories
Berita Semasa

Hamas bantah Abbas sambut kedatangan Presiden Greek

Khamis, 14/07/2011 – Hamas membantah tindakan Presiden Mahmoud Abbas yang mengalu-alukan kedatangan President Greek Karolos Papoulias sedangkan Karolos Papoulias telah melarang kapal rombongan Flotilla berlabuh di pelabuhannya.

Kapal-kapal tersebut bertujuan untuk bertahan daripada serangan Israel di Semenanjung Gaza dan sedang membawa bantuan yang sangat diperlukan. Pegawai kanan Hamas Salah Al-Bardawil berkata dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa, “Ketika rakyat Palestin marah dengan tindakbalas Greece terhadap tekanan Israel, Abbas pula mengejutkan kami dengan menerima Karalos Papoulias di Ramallah.”

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : idawati

Categories
Berita Semasa

Mahasiswa Palestin Meninggal Dunia Ditembak Israel

Khamis, 14/07/2011 – Seorang mahasiswa Palestin di Universiti Nasional an Najah, Nablus, Ibrahim Serhan (19), Rabu (13/7) pagi, meninggal dunia ditembak pasukan zionis Israel dalam penyerbuan kem pelarian Alfaria di utara kota Nablus di samping mengeledah dan merosakkan peralatan rumah.

Para saksi mengatakan lebih dari 11 kenderaan militan zionis Israel menyerbu kem pelarian pada pukul 2 pagi tadi. Salah seorang anggota pasukan melepaskan tembakan secara tepat ke arah Ibrahim Serhan ketika mangsa berjalan untuk solat subuh. Tembakan tersebut mengenai pehanya.

Para saksi juga menambah bahawa mangsa berusaha untuk berlindung di salah satu rumah, namun pasukan penjajah zionis Israel terus memburunya kemudian menyeret dan meninggalkannya tergeletak di tanah hingga kehabisan darah. Militan Israel juga mencegah pasukan perubatan dari Bulan Sabit Merah untuk mendekati mangsa hingga menghembuskan nafas yang terakhir.

sumber : COMES
penterjemah : osman

Categories
Berita Semasa

al-Ikhwan al-Muslimin terima deligasi kerajaan Palestin

Khamis, 14/07/2011 – Mursyidul ‘Am Jamaah Ikhwanul Muslimin Mesir, Dr. Muhammad Badi, telah menerima delegasi kerajaan Palestin pimpinan perdana menteri Ismail Haniyah. Delegasi Palestin diwakili oleh Dr. Muhammad Askul (setiausaha dewan menteri) dan Dr. Yusuf Rizqa (penasihat politik PM Ismail Haniyah).

Syaikh Badi menegaskan urgensi isu Palestin bagi Mesir secara umum dan bagi Ikhwanul Muslimin secara khusus. Dia menegaskan perlunya kedua gerakan Hamas dan Fatah segera menyelesaikan pakatan antara mereka demi untuk merealisasikan kemaslahatan rakyat Palestin. Delegasi Palestin turut mengucapkan tahniah kepada Ikhwan kerana berjaya menubuhkan parti politik yang diharapkan akan memperjuangkan rakyat Mesir.

sumber : COMES
penterjemah : Abu ‘Umair

Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis mencabut 450 pokok zaitun

Khamis, 14/07/2011 – Pendudukan tentera Israel (IOF) telah mencabut 450 pokok zaitun di wilayah barat Salfit pada hari Isnin, lapor sumber-sumber tempatan.

Seorang pegawai Palestin di daerah itu berkata bahawa askar IOF menyekat petani dari menuju ke tanah mereka di kawasan itu selepas mengisytiharkan zon tentera telah ditutup.

Beliau berkata bahawa dia cuba untuk mengiringi petani kepada tanah mereka, tetapi askar-askar menafikan mereka masuk.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : syuhada

Categories
Berita Semasa

Haneyya bertemu delegasi berprofil tinggi dari Fatah

Khamis, 14/07/2011 – Perdana Menteri Gaza, Ismail Haneyya pada Isnin lepas telah bertemu dengan satu delegasi pergerakan Fatah yang diketuai oleh wakil peribadi Presiden PA, Mahmoud Abbas.

Wakil kami melaporkan bahawa pertemuan itu berlangsung di ibu pejabat Perdana Menteri tersebut di Gaza, dan dihadiri oleh wakil peribadi Mahmoud Abbas iaitu Rouhi Fattouh serta dua anggota Parlimen, Ashraf Jum’ah and Diab al-Lauh.

Mereka membincangkan isu-isu berkaitan perpaduan dalaman Palestin dan masalah yang mereka hadapi sehingga kini. Perdana Menteri, Haneyya turut bertemu dengan Gabungan Pertubuhan Antarabangsa untuk Akhiri Kepungan ke atas Gaza.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : salwa

Categories
Berita Semasa

Nassar anggap Abbas lambatkan proses kerajaan bersepakat

Khamis, 14/07/2011 – Anggota Biro Politik Hamas, Muhmaad Nassar menganggap Presiden Fatah, Mahmoud Abbas
melambatkan proses pembentukan Kerajaan Bersatu Palestin, di samping memberitahu bahawa Hamas menolak sekutu Abbas, Salam Fayyad, untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri sepanjang waktu pertukaran kerajaan ini.

Nassar berkata dalam kenyataan sebuah akhbar London Life, pada hari Isnin (11 Julai) bahawa Hamas mencalonkan banyak nama sewaktu perbincangan bersama dengan pihak Fatah di Kaherah, dan tidak cenderung menyokong nama tertentu termasuk ahli ekonomi, Munib Al-Masri yang dianggap oleh Hamas sebagai calon yang adil dan diterima oleh masyarakat antarabangsa selain mempunyai hubungan yang baik dengan pelbagai pertubuhan lain.

Nassar juga mengkritik pencalonan Abbas terhadap Fayyad, meskipun terdapat ramai lagi calon-calon Palestin yang lebih layak untuk dinaikkan, satu keputusan yang mengejutkan, terutamanya apabila Fatah sendiri menolak Fayyad, dan menyifatkan tindakan ini sebagai, “itulah yang apa kami hadapi dan pegang sepanjang perbincangan dengan Fatah.”

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : Azleen

Categories
Berita Semasa

2500 Yahudi Amerika Hijrah Isi Wilayah Utara yang Dijajah

Khamis, 14/07/2011 – Sebuah organisasi Israel telah mengumumkan rancangan untuk membawa lebih daripada 2,500 orang-orang Yahudi dari Amerika Utara ke wilayah Palestin yang dijajah pada musim panas ini, kerana ia bertujuan untuk menempatkan kumpulan tersebut di kawasan dengan penduduk Palestin yang tinggi.

Organisasi, Nefesh B’nefesh, yang menggalakkan penghijrahan orang-orang Yahudi dari Amerika Utara dan United Kingdom ke wilayah Palestin, berkata ia akan bekerjasama dengan Agensi Yahudi untuk Israel dan kementerian penghijrahan Israel untuk membawa 2500 orang Yahudi dari Amerika Syarikat dan Kanada semasa musim panas, menurut laman web organisasi.

Kumpulan pertama 245 pendatang akan tiba pada hari Selasa 12 Julai di Lapangan Terbang Ben-Gurion, organisasi tersebut.

Nefesh B’nefesh baru-baru ini melancarkan satu projek yang menggalakkan penempatan semula pendatang di wilayah utara wilayah yang diduduki pada tahun 1948, di mana terdapat kepadatan penduduk Palestin yang tinggi, satu percubaan untuk mengubah ciri-ciri demografi kawasan tersebut kata seorang pemerhati.

Projek, yang digelar “Hijrah ke Utara”, dianggarkan kos sebanyak 10 juta dolar Amerika bertujuan untuk menempatkan 1500 orang Yahudi di kawasan-kawasan perumahan di Segitiga, Galilea, Marj Ben Amir, serta Tabariya dan Golan. Bandar yang dahulunya Arab Haifa dan sekitarnya, yang mempunyai majoriti Yahudi, telah dikecualikan daripada projek itu.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : ameen

Categories
Berita Semasa

Pegawai kanan Israel berkata, belum terlambat untuk menyelamatkan Shalit menerusi langkah ketenteraan

Khamis, 14/07/2011 – Bekas ketua gerak khas polis Israel, David Ben Shimol berkata belum terlambat untuk menggunakan tindakan ketenteraan bagi menyelamatkan Gilad Shalit yang ditangkap pejuang Gaza.

Bekas pegawai kanan itu menggesa tekanan dikenakan ke atas tahanan dan pegawai Palestin serta keluarga mereka untuk memastikan pembebasan Shalit. “Saya merasakan tidak perlu mengorbankan apa-apa untuk membebaskan Gilad Shalit. Para pengganas yang patut menerima padahnya,” dia berkata dalam satu temuramah dengan Berita Kebangsaan Israel yang disiarkan secara langsung di televisyen.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : idawati

Categories
Berita Semasa

OIC menuntut pembebasan Sheikh Salah dengan menghubungi pegawai British

Khamis, 14/07/2011 – Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-negara Islam, Ekmeleddin Ihsanoglu telah berhubung dengan beberapa pegawai kerajaan British bagi meminta pembebasan Sheikh Raed Salah, pemimpin gerakan Islam Palestin yang diduduki pada tahun 1948.

Satu kenyataan akhbar OIC pada Isnin lalu berkata Ihsanoglu telah berhubung dengan para pegawai untuk membolehkan Sheikh Salah menyempurnakan lawatannya ke UK, yang telah diganggu dengan penahanannya oleh pihak berkuasa British.

Kenyataan itu berkata OIC akan terus lakukan yang terbaik dalam hal ini dalam mesyuarat bersama pegawai British yang lain tidak lama lagi.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : hijjaz

Categories
Berita Semasa

Giliran Liga Arab Kecam Penahanan Syeikh Shalah di Britain

Khamis, 14/07/2011 – Liga Arab, Isnin (11/7) mengecam keras penahanan Syeikh Raed Shalah, ketua gerakan Islam di Palestin ’48 oleh pemerintah setempat.

Dalam sidang akhbar yang dikeluarkan oleh Bahagian Palestin dan Wilayah Arab Terjajah di organisasi tersebut, Liga Arab meminta agar Syeikh Raed Shalah segera dibebaskan dan diperlakukan sebagaimana layaknya tokoh agama yang terkenal oleh dunia antarabangsa.

Keterangan akhbar Liga Arab itu menegaskan, banyak pihak terkejut ketika mendengar berita penangkapan dan penahanan Syeikh Raed Shalah, ketua Gerakan Islam di Palestin ’48 oleh pemerintah Britain pada Selasa, 29 Jun lalu di sebuah hotel di sana. Penangkapan itu berdasarkan keputusan Menteri Dalam Negeri Britain yang menghalang Syeikh Shalah dari berada negara tersebut. Syeikh Shalah kemudiannya dihantar ke tahanan dekat bandar Heathrow.

Liga Arab menambah, penahanan Syeikh Raed Shalah membawa kepada kecaman dan tentangan hebat kerana tokoh utama Palestin yang memperjuangkan Masjid Al-Aqsa itu masuk ke Britain tanpa membawa senjata atau melanggar peraturan. Ia masuk dengan pengetahuan pemerintah Britain dengan dokumen rasmi. Bahkan agenda kedatangan ke Britain sudah diketahui oleh pemerintah setempat yang disiarkan oleh media massa.

sumber : COMES
penterjemah : osman

Categories
Berita Semasa

Tentera IOF merobohkan rumah-rumah dan kedai-kedai serta menebang pokok

Khamis, 14/07/2011 – Tentera Israel (IOF) mengiringi jentolak dalam aktiviti perobohan di kampung Jib, barat laut Baitulmuqaddis Isnin lalu, kata sumber-sumber tempatan.

Mereka berkata bahawa jentolak tersebut telah memusnahkan rumah dan bengkel pertukangan salah satu warga disitu, pasar mini, pagar dan peralatan lain di pinggir bandar Khalaila sebelum menuju ke kawasan lain.

Sumber-sumber menyatakan bahawa pihak berkuasa Israel telah memberikan notis perobohan kepada 30 keluarga Palestin di pinggir bandar dengan alasan rumah mereka dibina tanpa permit.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : nurul

Categories
Berita Semasa

El-Khoudary: Perpaduan tidak boleh berpatah-balik

Khamis, 14/07/2011 –  Penggubal undang-undang Palestin yang bebas, Jamal El-Khoudary berkata bahawa tiada jalan untuk berpatah-balik bagi perpaduan Palestin dan menyeru agar perjanjian perpaduan yang telah ditandatangani ditunaikan.

“Pencapaian ini adalah milik rakyat Palestin dan mereka tidak akan berpatah-balik. Apa yang telah dipersetujui mesti diusahakan untuk direalisasikan supaya rakyat berasa terjamin,” kata El-Khoudary dalam ucapannya yang ke udara secara ekslusif di saluran Al-Kitab yang dimiliki oleh Universiti Islam, Gaza.

Berucap ketika Majlis Graduasi ke-13 Universiti Islam, yang mana Lembaga Pengarahnya diketuai oleh El-Khoudary, katanya lagi bahawa pihak university sentiasa menyeru ke arah perpaduan dengan mengetepikan perbalahan serta berpadu kekuatan pada fasa perjanjian perpaduan Palestin ini.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : ameen

Categories
Berita Semasa

Hasil Kajian: Imigran Rusia Paling Ekstrim di Israel

Khamis, 14/07/2011 – Satu kajian akademik sepanjang dua dekad lalu berkenaan orientasi perkauman dan ekstimisme di kalangan imigran berasal dari Rusia secara khusus di dalam entiti Zionis Israel terhadap orang-orang Palestin. Kajian ini menyebutkan jumlah mereka mencapai sekitar sejuta orang.

Kajian yang diketuai oleh pensyarah ilmu sosial di Universiti Haifa Prof. Majed al Haj menunjukkan bahawa para imigran Rusia adalah Zionis paling ekstrim dan paling kuat mendokong idea-idea fasis. Disebutkan bahawa 2/3 imigran yang datang pada tahun 1990 dan selepasnya adalah dari bekas Soviet Union. Mereka berpendapat bahawa orang Palestin adalah ancaman bagi keamanan entiti Zionis.Separuh dari imigran tersebut mendokong pemimpin yang kuat dan karismatik meskipun melepaskan diri dari prinsip-prinsip demokrasi.

Penelitian para akademis ini menjelaskan bahawa para imigran berasal dari Rusia masih menjaga tradisi Rusia mereka dan bersedia untuk meninggalkan Israel. Sebanyak 62% dari mereka menyatakan akan menetap di Israel, yang artinya mereka masih menjadi masyarakat imigran yang menolak berbaur dalam wadah Zionis dan lebih memilih menjaga budaya asal mereka.

Kajian ini juga menunjukkan bahawa para imigran Rusia mengidap penyakit “Islamophobia” dan 55% mendukung pengurangan jumlah orang Palestin di dalam wilayah pendudukkan yang ketika ini berjumlah sekitar 17% dari jumlah penduduk di wilayah entiti Zionis Israel (sekitar 7 juta orang). Kajian ini menjelaskan bahawa kata-kata “pengurangan” adalah bahasa berlapik dari maksud sebenar “pengusiran”.

Majed al Haj menjelaskan bahawa setelah lebih 20 tahun imigran Rusia tinggal di entiti Israel, jatidiri mereka masih tetap Rusia secara pemikiran mahupun perilaku. Buktinya adalah bahawa bahasa Rusia adalah bahasa komunikasi utama mereka dan surat khabar Rusia adalah bahan komunikasi umum mereka, 77% dari mereka menggunakan bahasa Rusia sebagai bahasa komunikasi dengan orang Rusia lainnya dan hanya 1% saja yang menggunakan bahasa Ibrani.

sumber : COMES
penterjemah : osman