
oleh : Maszlee Malik
Semenjak bulan Mac 2006 yang lalu, HAMAS yang memenangi pilihanraya Majlis Legaslatif kerajaan tempatan Palestin (PA) telah mengemukan ide kerajaan nasional bersekutu (Hukumah Wehdah Wataniyyah). Malangnya cadangn untuk penubuhan kerajaan campuran pelbagai parti itu telah ditolak oleh semua fraksi yang terlibat. Fatah yang merupakan parti kedua terbesar di Palestin itu pun turut menolak untuk menyertai kerajaan campuran tersebut. Alasan yang pernah diberikan oleh Saeb Erekat, pemimpin senior Fatah, mereka inign menjadi pembangkang yang setia. Walau bagaimanapun, akhirnya diketahui umum bahawa penolakan mereka berkait rapat dengan tekanan yang dikenakan oleh pihak “Israel” dan AS. Kedua-dua kuasa tersebut ingin HAMAS dibiarkan bersendirian untuk “dihukum” di atas kepercayaan yang telah rakyat Palestin berikan kepada mereka. “Hukuman” yang dikenakan itu malangnya bukan hanya kepada HAMAS, malah ianya lebih bertujuan untuk menghukum rakyat Palestin sendiri. Sekatan ekonomi selama lebih 8 bulan yang dikenakan ke atas rakyat Palestin telah menyebabkan kehidupan mereka begitu sengsara. Malangnya, rakyat masih lagi bersama HAMAS dan masih lagi mengharapkan agar HAMAS terus memimpin mereka.












