Selasa,08-06-2021 – Puluhan peserta perarakan diusir secara paksa oleh Polis Israel ketika mereka hampir tiba di kejiranan Syeikh Jarrah Dalam masa yang sama, seorang wartawan koresponden TV Al-Jazeera, Givara Budairi, ditahan ketika membuat liputan berkenaan.
Sabtu lalu, satu perarakan dilancarkan sebagai solidariti bersama kejiranan Syeikh Jarrah sempena ulangtahun ke-54 Naksa di mana Israel menduduki Tebing Barat termasuklah Timur Jerusalem, Jalur Gaza, Dataran Tinggi Golan dan Semenanjung Sinai.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Huzaifah Abd Jamil
Selasa,08-06-2021 – Rejim Zionis menahan seorang rakyat Palestin di al-Khalil pada waktu Subuh hari Ahad, kata pusat media tahanan.
Ia menambah bahawa tentera rejim menyerbu rumah Wajdi Jaradat di bandar Sa’eer di timur laut al-Khalil dan menyebabkan kekecohan sebelum membawa dia pergi.
Tebing Barat dan Baitulmuqaddis menyaksikan gerakan penahanan rakyat Palestin pada setiap hari oleh tentera rejim Zionis selepas memecah masuk rumah mereka dan mencederakan penghuni terutamanya wanita dan kanak-kanak.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Selasa,08-06-2021 – Berpuluh-puluh petani Palestin di bandar Husan, di sebelah barat Bethlehem, telah menyertai tunjuk perasaan pada Sabtu petang lalu sebagai bantahan terhadap tindakan tentera rejim Zionis yang menghalang mereka untuk memasuki kawasan di mana terletaknya tanah pertanian mereka.
Pada awal pagi, pasukan rejim Zionis telah menghalang petani-petani Husan dari memasuki dan mengusahakan tanah mereka, yang terpisah dari kawasan bandar oleh kawasan penempatan haram.
Petani Mohamed Hamamera mengatakan bahawa tanah pertanian miliknya dan milik yang lain-lain terletak di kawasan di dalam penempatan Beitar Illit, yang telah dibina secara haram di atas sebidang tanah yang telah diilhak.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Isnin,07-06-2021 – Berpuluh-puluh ribu warga Palestin pada hari Isnin lalu telah menyertai perarakan yang dianjurkan oleh oleh kesatuan pekerja UNRW di Kota Gaza untuk menuntut pengarah operasi UNRWA Matthias Schmale untuk meletak jawatan.
Para penunjuk perasaan membawa papan sepanduk yang menuntut Schmale untuk meninggalkan Gaza dan meletak jawatan, sebagai bantahan atas komen yang dibuatnya baru-baru ini kepada TV Israel di mana dia menyokong penyasaran orang awam dan kediaman mereka di Gaza, meremehkan angka kehilangan nyawa serta jumlah kemusnahan, serta memuji kemampuan tentera rejim Zionis untuk mengebom sasaran dengan tepat.
Para penunjuk perasaan telah berkumpul di hadapan ibu pejabat UNRWA di Kota Gaza sebelum berarak ke Ansar di sebelah barat kota.
“Kami tidak akan bertenang sehinggalah pengarah operasi UNRWA dan timbalannya mengundur diri kerana kegagalan besar mereka,” kata ketua kesatuan pekerja UNRWA Amir al-Mes’hal semasa tunjuk perasaan tersebut.
Mes’hal menekankan bahawa perarakan itu diadakan untuk menyatakan kemarahan rakyat Palestin terhadap apa yang dikatakan oleh Schmale.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Isnin,07-06-2021 – Rejim Zionis Israel melancarkan kempen besar-besaran tangkapan di beberapa kawasan di Tebing Barat dan Jerusalem pada malam Isnin dan waktu subuh Selasa lepas. Di Ramallah, Rejim Zionis menyerbu bandar Beit Rima di barat Ramallah dan menahan Jadallah Al-Barghouti dan Ali Al-Barghouti. Mereka dibawa ke lokasi penahanan yang tidak diketahui umum. Youssef Allan juga turut ditahan di bandar Beit Ur di barat Ramallah. Rejim Zionis Israel turut menyerbu perkampungan Beit Sira dan menahan lima orang pemuda Palestin.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Hairul Ahmad
Isnin,07-06-2021 – Tentera rejim Israel mengugut akan merobohkan 10 buah rumah milik penduduk Palestin di bandar Ni’lin dan Deir Qaddis, barat Ramallah.
Datuk Bandar Ni’lin, Emad al-Khawaja berkata bahawa pihak rejim Israel telah menceroboh masuk ke dalam bandar Deir Qaddis dan kawasan berhampiran untuk menyerahkan surat arahan roboh ke atas 10 buah rumah.
Tambah beliau lagi, sebenarnya pemilik rumah di situ sudah memiliki permit membina yang dikeluarkan pihak berkuasa Palestin tetapi pihak rejim mendakwa bangunan itu terletak terlalu hampir dengan pagar sempadan yang memisahkan bandar itu dan petempatan haram pendatang Yahudi.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Zainudin
Isnin,07-06-2021 – Ahli biro politik Hamas menyatakan bahawa pejuang Palestin tidak akan berdiam diri jika rejim zionis terus menutup sempadan dan menghalang usaha pembinaan semula.
“Kami masih memegang senjata dan roket kami masih bersedia untuk dilancarkan,” Hammad berkata ketika perayaan yang diadakan pada petang Ahad untuk menghormati para syuhada Palestin yang terbunuh ketika Perang Sword of Jerusalem.
“Pejuang Gaza sentiasa memantau pergerakan musuh iaitu zionis dan para pendatang. Kami sentiasa bersedia,” beliau menambah.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Isnin,07-06-2021 – Pasukan penjara Israel telah masuk dan menggeledah sel di penjara Negev, yang menimbulkan ketegangan dengan tahanan Palestin.
Menurut Persatuan Tawanan Palestin (PPS), keadaan yang sangat tegang dengan para tahanan berlaku di penjara Negev setelah pasukan dari unit Masada menyerbu sel-sel di bahagian 22. Ketegangan dilaporkan meningkat di semua bahagian penjara dan semua banduan diberi perhatian yang tinggi.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Dr Nurul
Isnin,07-06-2021 – Peneroka Yahudi telah menyerbu halaman Masjid Al-Aqsa dan melakukan ritual Talmud di bawah perlindungan polis Israel pada pagi Selasa.
Sumber Jerusalem melaporkan 52 orang peneroka telah mencemari Masjid Al-Aqsa secara berkumpulan dari Gerbang Magharabi dan membuat kunjungan provokatif di halamannya sebelum keluar melalui Bab Al-Silsila.
Sumber-sumber tersebut menjelaskan bahawa polis Israel mengawal serangan peneroka terbabit, ketika mereka dikerah untuk berada di halaman masjid, pintu gerbang dan jalan masuk.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Isnin,07-06-2021 – “Sekat Kapal”, satu gabungan NGO, kesatuan dan aktivis Amerika, telah melancarkan kempen satu minggu bermula Rabu, 2 Jun, menyeru semua kesatuan pekerja pelabuhan di seluruh dunia untuk menolak daripada mengendalikan semua kargo dari Israel yang tiba di pelabuhan mereka.
Dalam satu kenyataan, Sekata Kapal berkata minggu pro-Palestin ini bertujuan untuk menghantar mesej jelas kepada Israel bahawa mereka perlu membayar harga yang sangat mahal di atas tindakan penjajahan dan pendudukan berterusan; dan amalan kekejaman dan keganasan berterusan ke atas rakyat Palestin.
Penganjur kempen ini akan bekerjasama dalam melarang kapal milik syarikat perkapalan Israel daripada menurun atau menaikkan kargo di pelabuhan-pelabuhan di Amerika Syarikat dan negara lain di seluruh dunia.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Rabu,02-06-2021 – Seorang penduduk Palestin cedera manakala sebuah kereta rosak teruk selepas sekumpulan pendatang Yahudi menyerang perkampungan Deir Jarir, utara Ramallah.
Menurut sumber tempatan, pelampau Yahudi membaling batu ke arah petani Palestin yang sedang berkerja menyebabkan seorang cedera. Serangan itu turut merosakkan sebuah kereta.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Zainudin
Rabu,02-06-2021 – Satu dokumen fakta dikeluarkan oleh Suruhanjaya Bebas untuk Hak Asasi Manusia (ICHR) menyatakan bahawa “pembunuhan seluruh keluarga Palestin adalah satu tindakan sistematik dan terancang oleh rejim zionis”.
“Ketika keganasan terbaru dalam tempoh 11 hari berturu-turut, tentera rejim telah mengebom puluhan rumah dan unit kediaman secara bersasar dan disengajakan serta memusnahkan kesemuanya, mengakibatkan kematian seluruh keluarga yang terlibat,” ICHR menjelaskan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Rabu,02-06-2021 – Anggota biro politik Hamas, Fathi Hammad telah menegaskan bahawa Palestin tidak akan berdiam diri sekiranya Israel berterusan dalam menutup perbatasan dan menghalangi usaha pembinaan semula.
“Jari-jari kita masih pada pencetus dan roket kita siap sedia untuk dilancarkan,” kata Hammad dalam festival yang diadakan Ahad lalu untuk menghormati para syuhada Palestin yang terbunuh dalam pertempuran Pedang Baitulmaqdis.
“Penentangan di Gaza telah menunjukkan dengan teliti tingkah laku musuh dan peneroka Zionis dan kami siap sedia untuk memulai semula,” tambahnya.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Dr Nurul
Rabu,02-06-2021 – Rejim Zionis Israel pada hari Isnin telah merobohkan dan merampas 4 khemah di selatan al-Khalil dimana 15 orang dalam satu keluarga dihalau keluar. Ratib al-Jabour, penyelaras Jawatankuasa Penentang Peneroka Tembok dan Penempatan berkata dalam kenyataan media, Rejim Zionis telah menyerbu perkampungan al-Buwaib, timur laut Yatta dan merampas empat buah khemah.
Jabour menjelaskan dua khemah tersebut dihuni oleh keluarga Ibrahim Jibrin dengan 15 orang ahli keluarganya dan sekarang mereka terbiar di tempat terbuka tanpa sebarang perlindungan. Dua khemah lagi telah digunakan sebagai kandang untuk menempatkan 100 ekor kambing ternakan mereka.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Hairul Ahmad
Rabu,02-06-2021 – Pada malam Ahad dan subuh Isnin lalu rejim Zionis telah menahan beberapa rakyat tempatan, termasuk tahanan yang telah dibebaskan, di pelbagai kawasan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Di Al-Khalil, rejim Zionis menahan bekas tahanan, Baha Zahdeh, 41, setelah menyerbu kediamannya di kawasan Al-Haraiq dan menggeledah banyak rumah kediaman keluarga Zahida dan Dais.
Rejim Zionis juga telah menahan tahanan yang telah dibebaskan, Ismail Al-Nattah, setelah menyerbu kediamannya di bandar Idna, di sebelah barat al-Khalil. Nattah dibebaskan dari penjara Israel hanya dua bulan yang lalu.
Tentera Zionis juga menyerbu beberapa kawasan di Al-Khalil dan mendirikan pusat pemeriksaan tentera di pintu masuk ke kota Sa`ir dan Halhul dan di pintu masuk utara bandar. Kenderaan warga awam digeledah dan kad pengenalan mereka diperiksa.
Di Bethlehem, rejim Zionis telah menahan seorang remaja lelaki Hamza Al-Harimi, 17, setelah menyerbu, menggeledah dan mengacau kandungan rumah keluarganya di daerah Wadi Maali.
Di Ramallah, rejim Zionis menangkap Muhammad Atta dan bekas tahanan, Mahmoud Safi, ketika serbuan di kampung Deir Abu Mishaal, di sebelah barat Ramallah.
Tentera Zionis menangkap Omar Abu Ruwais dan Muhammad Abu Ghazaleh setelah menyerbu kem pelarian Al-Amari berhampiran bandar Al-Bireh.
Di Nablus, rejim Zionis menahan Abdel Rahman Dashon setelah menyerbu dan menggeledah rumahnya.
Sejumlah besar tentera Zionis telah masuk ke perkampungan Burin, di selatan Nablus, dan bandar Aqraba, tenggara kota, dan menggeledah kediaman Riad Lafi.
Sementara itu, Yusef Khatatbeh, 40, dari Khirbet Tana di bandar Beit Furik, timur Nablus, cedera setelah diserang oleh para peneroka haram.
Di Baitulmaqdis Yang Diduduki dan sekitarnya, polis Israel menangkap Abdullah al-Sayyad dari kampung al-Tur dan Jamal Abu Khdeir dari Shu’fat, di utara kota tersebut.
Kamera keselamatan di kampung Ar’ara, di Palestin (Israel) 1948, merakamkan serangan ganas oleh polis Israel terhadap warga tempatan.
Polis juga melakukan kempen penangkapan besar-besaran di kampung Kafr Kanna.
Sumber tempatan mengatakan bahawa polis Israel telah menangkap enam pemuda, termasuk yang cedera, Wajdi Hamdan, ketika kempen penangkapan yang sedang berlangsung di kampung itu.
Jawatankuasa Darurat Arab di Wilayah Terjajah 1948 mengatakan bahawa pihaknya telah memantau lebih dari 2,200 penangkapan dan 300 kes serangan terhadap penduduk Arab atau harta benda mereka semasa kejadian baru-baru ini.
Jawatankuasa berkenaan juga memberitahu bahwa sejak awal kempen yang kononnya dipanggil “Law and Order” atau “Undang-undang dan Ketenteraman”, hampir 100 orang warga Arab ditahan setiap hari.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul