Rabu, 17-07-2024 – Kementerian kesihatan di Gaza berkata pada hari Khamis bahawa tentera penjajah Israel melakukan dua pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam yang lalu, membunuh sekurang-kurangnya 50 orang awam dan mencederakan 54 yang lain.
Kementerian menambah bahawa angka kematian akibat pencerobohan Israel yang berterusan, yang bermula pada 7 Oktober tahun lalu, meningkat kepada 38,345 syahid dan jumlah yang cedera meningkat kepada 88,295 orang.
“Sebilangan mangsa masih berada di bawah runtuhan dan di jalan raya kerana ambulans dan kru pertahanan awam telah dihalang oleh tentera penjajah daripada mendekati mereka,” tambahnya.
Sejak 7 Oktober 2023, tentera penjajah Israel telah melancarkan perang yang dahsyat di Semenanjung Gaza yang mengakibatkan puluhan ribu orang mati syahid, cedera dan hilang, di samping pemindahan dua juta orang dan kemusnahan besar-besaran rumah dan infrastruktur, yang menjejaskan lebih daripada 70% bangunan, di tengah-tengah sekatan yang ketat, krisis kemanusiaan yang menyesakkan, dan kebuluran yang tidak pernah berlaku sebelum ini, terutamanya di utara Gaza.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norliza Baharom
Khamis, 11-07-2024 – Puak-puak Palestin telah memberi amaran terhadap pemindahan paksa Israel yang dikenakan ke atas penduduk Kota Gaza, menegaskan bahawa rejim Israel (IOF) melakukan pembunuhan beramai-ramai mengerikan yang mendedahkan Netanyahu dan kedudukan sebenar kerajaannya terhadap usaha pengantara di Qatar dan Mesir bagi mencapai gencatan senjata perjanjian untuk menamatkan genosid.
Dalam satu kenyataan pada hari Selasa, Jawatankuasa Susulan Pasukan Kebangsaan dan Islam menekankan kepentingan menyedari bahaya peningkatan genosid terutamanya di kawasan kejiranan Kota Gaza seperti Al-Shujaiyya, Al-Tufah, Al -Daraj, dan Bandar Lama.
Kenyataan itu menegaskan bahawa rejim pendudukan Israel berhasrat untuk mengosongkan kawasan kejiranan dan menempatkan mereka di selatan sebagai persediaan untuk mengusir secara paksa mereka di luar Semenanjung Gaza dalam kempen pembersihan etnik terbesar dalam sejarah.
Bagi pihaknya, Pergerakan Hamas mengesahkan bahawa peningkatan jenayah Israel tidak akan berjaya menundukkan rakyat Palestin, dengan menyatakan bahawa penentangan akan terus berhadapan dengan IOF sehingga pencerobohan itu ditamatkan.
Banyak kenyataan berasingan telah dikeluarkan oleh puak-puak tersebut sebagai menolak jenayah pendudukan Israel dan usahanya untuk mengeluarkan penduduk Gaza termasuk barisan pembebasan dan demokratik bagi pembebasan Palestin, Inisiatif Kebangsaan Palestin dan Barisan Pembebasan Palestin, serta Perintah Am.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Ezatul
Khamis, 11-07-2024 – Pasukan polis Israel menahan dua gadis di Baitulmaqdis berhampiran pintu Bab Hatta Masjid Aqsa pada petang Selasa lalu.
Saksi berkata, pasukan polis menahan seorang gadis berusia dalam lingkungan dua puluhan sebaik tiba di pintu Bab Hatta kerana memakai perhiasan emas yang menggambarkan peta Palestin.
Tahanan wanita itu kemudiannya dibawa ke balai polis berhampiran. Juga pada hari yang sama, tentera Zionis menangkap seorang pelajar universiti perempuan di Kota Lama Baitulmaqdis.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Dr Nurul
Rabu, 10-07-2024 – Pegawai Rasmi Kanan Hamas, Abdul-Hakim Hanini berkata operasi yang telah membunuh seorang askar rejim Zionis dan mencederakan beberapa askar yang lain malam tadi menunjukkan bahawa rakyat Palestin akan berpegang kuat dengan pilihan perjuangan kemerdekaan ke atas penjajahan.
Dalam satu kenyataan Khamis lepas, Hanani memuji keberanian para pejuang dari Briged al-Qassam, Bridged al-Quds dan juga kumpulan bersenjata di Jenin yang memberi kekalahan teruk ke atas rejim Zionis dalam pertempuran sengit malam tadi.
Hanin menyatakan perjuangan di Jenin memberi gambaran kepada tentera rejim Zionis di mana serangan di dalam daerah Jenin bukanlah tindakan bersahaja dan pasukan rejim Zionis akan menerima balasan yang hebat.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Hairul Ahmad
Rabu, 10-07-2024 – Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) telah memberi amaran tentang kekurangan kritikal keperluan penjagaan kesihatan dan rawatan bagi rakyat Palestin di Gaza, menekankan bahawa hanya beberapa pusat kesihatannya yang masih beroperasi di rantau itu.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam akaun Xnya pada Khamis, UNRWA menekankan masalah kekurangan bekalan ubat-ubatan serta bahan api yang menghalang operasi menyelamatkan nyawa di Gaza. Ia juga menekankan bahawa mempunyai akses yang selamat dan mampan untuk menerima bekalan dan bantuan adalah perkara terpenting, dan tidak boleh ditangguhkan lagi.
Pada masa yang sama, agensi PBB itu menyatakan bahawa kekacauan yang berterusan akibat serangan tentera Israel ke atas orang awam di selatan Gaza terus menjadi halangan yang paling utama kepada usaha kemanusiaan.
Minggu lalu, beberapa serangan udara Israel menyasarkan persekitaran kawasan Mawasi, menyebabkan ramai pelarian terpaksa berpindah, katanya.
UNRWA memberi amaran bahawa pemotongan elektrik akibat kekurangan bahan api akan membahayakan nyawa pesakit kritikal, termasuk bayi baru lahir, pesakit dialisis buah pinggang, dan mereka yang berada di unit rawatan rapi di hospital.
Menurut agensi itu, rakan agensi yang terlibat dalam usaha tindak balas melaporkan bahawa hasil pengepaman air bawah tanah, sumber air utama di Gaza, telah menurun lebih 50%, daripada 35,000 meter padu sehari kepada hanya 15,000 meter padu sehari.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norliza Baharom
Jumaat , 28-06-2024 – Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza merayu kepada PBB dan organisasi antarabangsa untuk segera campur tangan dalam menyediakan hospital di wilayah pantai yang dilanda perang dengan keperluan dan bekalan perubatan untuk menyelamatkan nyawa orang awam dan pesakit yang cedera.
Dalam satu kenyataan pada hari Selasa, Kementerian Kesihatan berkata bahawa hospital dan pusat kesihatan mengalami kekurangan akut ubat-ubatan dan bekalan perubatan bagi menyelamatkan nyawa di tengah-tengah pencerobohan dan pengepungan Israel yang berterusan.
Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa mereka mengalami hampir kehabisan atau kehabisan stok bagi ubat-ubatan yang digunakan untuk kecemasan, anestesia, rawatan rapi dan pembedahan.
Kementerian Kesihatan merujuk kepada penderitaan pesakit tumor yang perlu mendapatkan rawatan ke luar negara dan mengatakan mereka hanya diberikan rawatan paliatif.
Kekurangan perubatan di Gaza juga mengancam nyawa lebih 1,000 pesakit dialisis, terutama kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan.
Kementerian Kesihatan juga menekankan keperluan untuk ubat-ubatan yang digunakan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan utama untuk ibu, kanak-kanak, dan orang yang mempunyai penyakit kronik dan masalah kesihatan lain.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Ezatul
Rabu, 26-06-2024 – Seorang kanak-kanak Palestin telah ditembak dan cedera akibat tembakan Israel, manakala seorang lagi cedera dan lebam-lebam setelah tentera rejim zionis (IOF) menyerbu Nablus, di utara Tebing Barat pada petang Ahad.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan yang seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun menderita cedera akibat tembakan apabila pertelingkahan tercetus ketika serbuan di Nablus.Seorang lagi pemuda menderita akibat cedera dan lebam seluruh badan ketika beliau dikejar oleh IOF.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Nur Idawati Md Enzai
Rabu, 26-06-2024 – Kumpulan Permerhati hak Asasi Manusia Euro-Med melaporkan tentera rejim Zionis Israel telah memusnahkan lebih 75% tanah pertanian di Semenanjung Gaza dengan pemusnahan besar-besaran atau dengan memunggah dengan jentolak.
Dalam laporan Ahad lepas, Euro-Med menuduh tentera rejim Zionis Israel memusnahkan sumber makanan sama ada sayur-sayuran, buah-buahan atau daging, serta memusnahkan bahagian berkaitan dengan pengeluaran tanaman.
Euro-Med juga menuduh tentera rejim Zionis menghalang kemasukan bekalan makanan dan bantuan kemanusiaan sebagai memastikan kebuluran berterusan di semenanjung Gaza di samping menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Hairul Ahmad
Rabu, 26-06-2024 – Sejumlah rakyat Palestin dilaporkan cedera pada hari Rabu dalam konfrontasi dengan pasukan rejim Israel (IOF) di seluruh Tebing Barat.
Di wilayah Nablus, sumber tempatan melaporkan bahawa dua warga cedera oleh peluru hidup rejim itu dan yang lain mengalami sesak nafas dalam pertempuran yang meletus di bandar Beit Furik.
Manakala seorang kanak-kanak dari bandar Nablus ditangkap oleh pihak rejim, sumber itu turut menambah.
Di wilayah Jenin, seorang kanak-kanak cedera terkena serpihan di tangannya, dan seorang lelaki muda telah dikepung oleh rejim yang menyerbu rumahnya di bandar Yamoun. Tentera Israel turut masuk ke bandar Ya’bad, tanpa sebarang tangkapan dilaporkan.
Sementara itu, rejim turut menyerang Baitullaham dan menutup pintu masuk ke rumah warga di Bandar Al-Manshiya, selain jalan yang menuju ke Khallet Al-Haddad, di selatan bandar.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Suwaibah
Khamis , 20-06-2024 – Empat pemuda dilaporkan syahid pada petang Isnin, ketika tentera penjajah melepaskan tembakan ke arah kenderaan mereka berhampiran bandar Kafr Ni’mah, barat Ramallah.
Pihak Berkuasa Am bagi Hal Ehwal Awam memaklumkan Kementerian Kesihatan Palestin bahawa 4 rakyatnya terbunuh oleh serangan penjajah di bandar Kafr Ni’mah, di mana tentera penjajah turut cuba menahan mayat mereka.
Suruhanjaya menyenaraikan nama 3 syuhada antaranya: Muhammad Raslan Abdo, Muhammad Jaber Abdo, dan Rushdi Samih Ataya, manakala identiti syuhada keempat masih tidak diketahui.
Menurut sumber tempatan, memetik dari saksi kejadian berkata bahawa pasukan khas dari tentera penjajah melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan berhampiran bandar Kafr Ni’mah, mencederakan dan membunuh sejumlah warga di dalamnya.
Tambah sumber itu lagi, pasukan penjajah telah menghalang kru ambulans daripada mendekati mangsa yang cedera parah selepas terkena tembakan yang dilepaskan ke arah mereka.
Dalam kenyataan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pula, mereka melaporkan telah menerima panggilan kecemasan mengenai tiga kecederaan akibat serangan tentera penjajah yang menembak sebuah kenderaan berhampiran Kafr Ni’mah.
Pasukan penjajah kemudiannya menyerbu bandar Kafr Ni’mah selepas menembak kenderaan itu, yang membawa kepada tercetusnya konfrontasi, sekaligus mengakibatkan sejumlah mangsa terpaksa dipindahkan ke Kompleks Perubatan Palestin di Ramallah. Dalam serangan yang lain, pasukan penjajah juga meletupkan sebuah kenderaan di bandar.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan ringkas, melaporkan, ketibaan 8 mangsa, terdiri daripada kecederaan ringan hingga sederhana akibat terkena peluru ke Kompleks Perubatan Palestin dari bandar Kafr Ni’mah.
Dalam perkembangan lain, pasukan kebangsaan dan Islam di Ramallah dan Al-Bireh mengumumkan mogok umum dan menyeluruh untuk semua aspek kehidupan esok, Selasa, sebagai protes terhadap jenayah dan pembunuhan empat syuhada, serta kecederaan yang dialami warga bandar Kafr Ni’mah.
Dalam satu kenyataan yang dicapai oleh Pusat Informasi Palestin, tentera menyeru Pusat Informasi Palestin untuk mengambil bahagian dalam acara awam yang akan bermula esok, Selasa, jam 11 pagi di halaman Pusat Kebudayaan Al-Bireh, sebagai protes terhadap pembunuhan itu sekaligus menyokong para tawanan serta msyarakat di Gaza.
sumber : https://palinfo.com/ diterjemah oleh Ahmed Al-Marsogi
Khamis , 20-06-2024 – Pejabat Media Kerajaan (GMO) telah mengesahkan bahawa jeti terapung yang dibina oleh Amerika Syarikat, yang berlabuh di pantai di Gaza, tidak berkesan dalam mengurangkan situasi bencana kemanusiaan di wilayah pantai yang dilanda perang itu, dan menyifatkannya sebagai “tidak berguna”.
“Berikutan pengumuman Program Makanan Sedunia untuk menghentikan kemasukan bantuan ke Gaza melalui jeti terapung Amerika kerana ancaman keselamatan, kami sekali lagi mengesahkan platform ini adalah sia-sia,” kata ketua GMO Salama Maarouf dalam satu kenyataan pada Isnin lalu.
“Sejak dirasmikan satu setengah bulan lalu, kami dapati jeti itu tidak memberi sumbangan serius untuk mengurangkan situasi bencana kemanusiaan di Semenanjung Gaza. Bilangan trak yang sangat terhad, hanya 130 trak telah menggunakannya sejak ia dirasmikan,” tambah Maarouf.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Dr Nurul
Khamis , 20-06-2024 – Sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin cedera dalam serangan peneroka haram Yahudi di bandar Urif di Selatan Nablus, pada petang Ahad. Sumber tempatan melaporkan sekumpulan peneroka haram Yahudi melepaskan tembakan ke arah sebuah rumah milik warga Palestin Issam Safadi berhampiran sekolah menengah Uriff, mencederakan seorang kanak-kanak dan seorang pemuda sebelum membakar sebuah kereta. Beberapa rakyat Palestin turut cedera ketika menghadapi tentera zionis Israel yang datang melindungi peneroka haram.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Hairul Ahmad
Selasa, 11-06-2024 – Sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam, berkata bahawa tiga tawanan Israel meninggal dunia semasa pembunuhan beramai-ramai oleh Israel pada hari Sabtu, di kem Nuseirat di pusat Semenanjung Gaza.
Briged itu mengeluarkan video yang menunjukkan tiga mayat dengan bar sensur di wajah mereka. “Tawanan anda tidak akan dibebaskan melainkan tawanan kami dibebaskan,” katanya.
Jurucakap Briged al-Qassam Abu Obaida menulis di saluran Telegram: “Dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan, musuh berjaya membebaskan beberapa tawanan mereka. Tetapi pada masa yang sama, ia membunuh beberapa daripada mereka. Operasi ini akan menimbulkan bahaya besar bagi tawanan musuh dan akan memberi kesan negatif kepada keadaan mereka.”
Abu Obaida menyifatkan serangan Israel itu sebagai “jenayah perang yang kompleks”.
Pembunuhan beramai-ramai pada hari Sabtu itu membunuh lebih daripada 274 rakyat Palestin dan mencederakan ratusan di kem pelarian Nuseirat, termasuk lebih daripada 140 wanita, kanak-kanak, dan warga tua.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norshuhada Samudin
Selasa, 11-06-2024 – Amnesty International menyeru Israel agar mengarahkan pembebasan segera pakar bedah Palestin Khaled Al Serr dari Semenanjung Gaza, yang telah ditahan oleh rejim zionis hingga tidak dapat dikesan sejak 24 Mac 2024.
Rejim Israel mesti mendedahkan keberadaan dan status semua pekerja Kesihatan Palestin dari Gaza yang hilang secara paksa dan membebaskan mereka melainkan mereka didakwa dengan kesalahan jenayah antarabangsa dan dibicarakan mengikut piawai antarabangsa, organisasi hak asasi itu menyatakan.
Menanti pembebasan Dr. Khaled Al Serr, pihak berkuasa mesti mendedahkan kepada keluarga Dr. Khaled Al Serr tentang nasib, keberadaan dan alasan penahanan serta memastikan beliau boleh mendapatkan peguam, rawatan perubatan juga menemui ahli keluarganya.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Nur Idawati Md Enzai
Selasa, 11-06-2024 – Jurucakap PBB untuk Hak Asasi Manusia di Palestin, Francesca Albanese mengatakan bahawa Israel menggunakan alasan menyelamatkan rakyat mereka yang ditawan bagi melegitimasikan pembunuhan dan kelaparan warga Palestin di Gaza, sekaligus meningkatkan kekerasan terhadap warga Palestin di wilayah penjajah Israel lainnya.
Albanese menambah dalam hantaran tweet di akaunnya tentang Israel dan tentera asing, serta penggunaan trak bantuan yang berbahaya sebagai perlindungan sepanjang operasi, menggambarkannya sebagai penyamaran kemanusiaan di tingkat lain.
Pegawai PBB tersebut menekankan bahawa ada kemungkinan bagi Israel untuk mengambil kembali semua tawanan mereka dalam keadaan hidup dan tidak tercedera 8 bulan yang lalu ketika gencatan senjata pertama dan pertukaran tahanan disepakati. Namun Israel menolak dan terus menghancurkan Gaza dan rakyat Palestin. Hal ini sebagai niat yang jelas untuk melakukan genosid.
Sementara itu, Wakil Setiasusaha Agung PBB untuk Urusan Kemanusiaan, Martin Griffiths, mengatakan bahawa kem Nuseirat menjadi pusat gempa tragedi yang dialami Semenanjung Gaza. Adegan pembunuhan di Nuseirat membuktikan bahawa perang sedang terjadi dan lebih mengerikan.
Seramai 210 warga Palestin syahid dan lebih dari 400 orang tercedera pada hari Sabtu, dalam serangan yang dilakukan oleh pasukan Israel setelah serangan artileri dan pengeboman udara yang mensasarkan kem pelarian Nuseirat.
sumber : https://melayu.palinfo.com diterjemah oleh osman rasip