Categories
Berita Semasa

Hamas: Sekatan Israel Terhadap Bantuan Ke Gaza Satu Jenayah Perang

Jumaat, 07/03/2025 – Pergerakan Hamas menyeru masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta organisasi hak asasi manusia dan kemanusiaan supaya mengambil tindakan segera bagi menghentikan dasar kebuluran Israel terhadap Semenanjung Gaza, yang disifatkan sebagai jenayah perang. 

Dalam kenyataan pada hari Selasa, Hamas memaklumkan bahawa Israel telah menutup pintu masuk ke Gaza untuk hari ketiga berturut-turut, sekali gus menghalang kemasukan makanan, bantuan perubatan dan bantuan lain, yang jelas melanggar perjanjian gencatan senjata. 

“Tindakan menghalang bantuan masuk ke Gaza adalah jenayah perang yang berlaku di hadapan mata dunia, yang seterusnya memburukkan lagi krisis kemanusiaan.” 

“Masyarakat antarabangsa, PBB, serta organisasi hak asasi manusia dan kemanusiaan mesti segera bertindak untuk menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan yang sistematik serta tidak pernah berlaku ini. Pemimpin Israel perlu dibawa ke muka pengadilan sebagai penjenayah perang, dan bantuan kemanusiaan serta bahan perubatan hendaklah dibenarkan masuk dengan segera.” 

Sementara itu, Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, berkata penggantungan penghantaran bantuan oleh Israel mengancam nyawa kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza yang sudah pun keletihan akibat peperangan. 

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Guterres: Tiada masa depan yang mampan untuk Gaza

Jumaat, 07/03/2025 – Setiausaha Agung PBB, António Guterres berkata bahawa Gaza “mesti kekal sebagai sebahagian daripada sebuah Negara Palestin yang merdeka, demokratik dan berdaulat – tanpa pengurangan sedikit pun dalam wilayahnya atau pemindahan secara paksa penduduknya.”

Bercakap pada sidang kemuncak tergempar negara-negara Arab mengenai situasi di Timur Tengah dan pembinaan semula Gaza di Kaherah, Guterres mengalu-alukan usaha yang dipimpin Arab untuk menggerakkan sokongan bagi pemulihan Gaza.

Beliau berkata, “Rakyat Palestin di Gaza telah menderita yang tidak terkira. Dan risiko kemusnahan yang lebih besar muncul. Sidang Kemuncak ini adalah isyarat penting bahawa dunia mempunyai tanggungjawab kolektif untuk menyokong usaha menamatkan perang ini, menghilangkan penderitaan manusia dan mendapatkan keamanan yang mutlak.”

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

Zionis Musnahkan Kilang Kemudahan komersial di Jericho

Jumaat, 07/03/2025 – Tentera Zionis merobohkan pada Ahad sebuah kilang pemprosesan kurma dan sebuah pasar raya di utara Kota Jericho, timur Tebing Barat.

Menurut sumber tempatan, kemudahan yang dirobohkan ini terletak di kawasan antara kampung Marj al-Ghazal dan al-Zubaidat.

Dalam beberapa bulan lalu, tentera Zionis telah merobohkan beberapa rumah dan perniagaan di kawasan yang berbeza di wilayah Jericho.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Pegawai PBB: Penghantaran Bantuan ke Gaza Perlu Disambung Segera

Rabu, 05/03/2025 – Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Türk, menekankan keperluan untuk menyambung semula penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza secepat mungkin.

Dalam laporan globalnya yang dikemukakan kepada Majlis Hak Asasi Manusia pada hari Isnin, Türk menjelaskan bahawa “serangan Israel telah menghancurkan struktur sosial dan fizikal” di Gaza.

Ketua hak asasi manusia PBB itu turut menegaskan bahawa gencatan senjata yang rapuh di Gaza mesti dikekalkan “dan menjadi asas kepada keamanan.”

Türk menerangkan bahawa Gaza telah “musnah” akibat pengeboman berterusan oleh Israel.

“Sebarang penyelesaian terhadap kitaran keganasan mesti berasaskan hak asasi manusia, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri, kedaulatan undang-undang, dan akauntabiliti.”

“Semua tebusan mesti dibebaskan; semua yang ditahan secara sewenang-wenangnya mesti dilepaskan; dan bantuan kemanusiaan ke Gaza mesti disambung semula dengan segera.”

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Remaja Palestin Cedera Akibat Tembakan Israel di Ramallah

Rabu, 05/03/2025 – Seorang remaja Palestin cedera akibat tembakan Israel di bandar Shuqba, barat Ramallah, pada petang Isnin.

Sumber tempatan melaporkan bahawa tentera Israel melepaskan tembakan ke arah Abdul Rahman Thabet yang berusia 17 tahun ketika serbuan mereka ke bandar itu.

Remaja lelaki itu ditembak dan cedera di perut dan dipindahkan ke Hospital Istishari di Ramallah untuk rawatan.

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Hamas: Hentikan Bantuan Adalah Pemerasan Murahan dan Kejahatan Perang

Rabu, 05/03/2025 – Hamas menilai keputusan pemerintah penjajah Israel menutup pintu masuk dan menghalang masuk bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza sebagai “pemerasan murahan dan kejahatan perang total.” Keputusan tersebut dilihat sebagai kudeta terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata.

Dalam sebuah pernyataan pada hari Ahad, Hamas meminta para mediator dan komuniti antarabangsa untuk mengambil tindakan segera bagi menekan penjajah agar menghentikan tindakan hukuman dan tidak bermoral yang mensasarkan lebih dari dua juta orang di Gaza.

Hamas mengatakan bahawa pernyataan pejabat Netanyahu mengenai penerapan proposal Amerika untuk memperpanjang perjanjian tahap pertama, sesuai dengan aturan yang bertentangan dengan perjanjian awal, dengan jelas mengungkapkan usaha terus-menerus Israel untuk mengelak tanggungjawabnya dan menghindar daripada perundingan tahap kedua.

Hamas melihat Netanyahu gagal menerapkan fakta-fakta politik meskipun telah melakukan genosida brutal selama 15 bulan. Sekarang cuba untuk menghindari perjanjian tersebut demi kepentingan perhitungan politik dalaman tanpa menilai kesan kepada tahanan yang ditahan di Gaza dan kehidupan mereka.

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

Hamas seru negara Arab ambil tindakan segera bagi menghentikan sekatan di Gaza

Rabu, 05/03/2025 – Gerakan Hamas menyeru negara-negara Arab dan Muslim, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan segera untuk menghentikan sekatan di Gaza dan jenayah kemanusiaan Israel.

Hamas berkata, perbuatan Israel menyekat kemasukan bantuan dan barangan ke Gaza merupakan “jenayah berkumpulan terhadap orang awam yang tidak berdosa dan pelanggaran jelas ke atas undang-undang kemanusiaan antarabangsa”.

“Menghalang kemasukan makanan, ubat dan keperluan asas merupakan jenayah perang yang jelas dan satu tindakan terdesak untuk menggugat kekuatan rakyat kami,” Gerakan itu menambah.

Penterjemah : Nuridawati

Categories
Berita Semasa

80,000 jemaah menunaikan solat Isya dan Taraweh di Masjid Al-Aqsa

Rabu, 05/03/2025 – 80,000 jemaah menunaikan solat Isya dan Taraweh pada hari ketiga Ramadan, di Masjid Al-Aqsa yang diberkati, manakala tentera penjajah pendudukan menyerbu halaman masjid dan menahan 3 jemaah dari dalamnya, yang identitinya masih belum diketahui.

Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis menganggarkan bahawa “lebih daripada 80,000 jemaah menunaikan solat Isyak dan solat Taraweh di Masjid Al-Aqsa”, kebanyakannya dari Kota Suci dan dari dalam wilayah tahun 1948, memandangkan langkah-langkah ketenteraan ketat yang dikenakan oleh pihak berkuasa penjajah pendudukan ke atas laluan masuk ke Masjid Al-Aqsa, Halangan dibuat gabenor supaya ribuan rakyat Palestin Tebing Barat tidak sampai ke Baitulmaqdis untuk menunaikan solat di sana.

Polis penjajah pendudukan telah mengerahkan pasukan tambahan di bandar Baitulmaqdis yang diduduki dan sekitar Masjid Al-Aqsa bertepatan dengan bulan Ramadan, untuk menghalang dan menyekat akses jemaah ke Al-Aqsa.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Pengeboman Dan Operasi Tembakan Israel Terus Berlaku

Selasa, 04/03/2025 – Sebagai rekod, 4 rakyat didapati mati syahid manakala 6 lagi cedera di Semenanjung Gaza pada Ahad, dalam pelanggaran terbaharu perjanjian gencatan senjata di Gaza. Ia mengambil masa hanya kurang dari 24 jam selepas tamatnya fasa pertama perjanjian gencatan senjata di Gaza.

 Sumber tempatan berkata, seorang pemuda, Mahmoud Medhat Abu Harb, dibunuh oleh penembak tepat Israel di tengah bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza dimana Abu Harb adalah syahid keempat sejak pagi. 4 lagi didapati cedera akibat serangan udara Israel yang menyasarkan perhimpunan rakyat di Beit Hanoun di utara Semenanjung Gaza. 

 Persatuan Bulan Sabit Merah melaporkan bahawa pasukannya telah menguruskan seorang syahid wanita dan dua yang cedera di bandar Al-Faraheen, timur Khan Yunis, serta menyelamatkan dua yang lain dari Rafah tengah. 

Dalam laporan yang lain,   penjajah Israel juga telah mengebom sebuah apartmen di kawasan kejiranan Tal Al-Sultan, barat Rafah. Pertahanan Awam berkata bahawa pasukannya berjaya menyelamatkan dua mangsa dalam siri pengeboman itu.

Peningkatan baharu serangan penjajah Israel berlaku sehari selepas tamatnya fasa pertama perjanjian gencatan senjata. Manakala rundingan untuk fasa kedua yang sepatutnya bermula pada hari ke-16 ketika fasa pertama perjanjian berjalan hanya pada 3 Februari lepas. Netanyahu yang sengaja menggagalkan rundingan tersebut atas niat ingin melanjutkan fasa pertama perjanjian pertukaran untuk membebaskan jumlah terbesar tahanan Israel di Gaza, tanpa menawarkan sebarang pampasan untuk pembebasan itu dimana dia didapati tidak mahu menyempurnakan syarat-syarat yang telah ditetapkan ke atasnya dalam perjanjian pertama tersebut.

Namun cadangan untuk melanjutkan fasa pertama itu telah ditolak oleh Hamas, sekaligus menuntut supaya Israel mematuhi segala apa yang telah ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata fasa kedua, termasuk menyegerakan perundingan dengan Semenanjung Gaza dan memberhentikan sepenuhnya perang ini.

Sejak permulaan gencatan senjata pada 19 Januari, penjajah telah melakukan berpuluh-puluh pelanggaran, mengakibatkan lebih 100 syahid dan ratusan cedera, selain kegagalan untuk melaksanakan protokol kemanusiaan. Dan sejak 7 Oktober 2023, penjajah Israel telah melancarkan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza, mengakibatkan kematian syahid 48,388 rakyat, yang majoritinya kanak-kanak dan wanita, kecederaan 111,803 yang lain, serta jumlah korban yang tidak dapat direkodkan, kerana dipercayai masih berada di bawah runtuhan.

Penterjemah : Halimah

Categories
Berita Semasa

75,000 Jemaah Mengerjakan Solat Malam Di Masjid Al-Aqsa

Selasa, 04/03/2025 – Ribuan umat Islam menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis yang diduduki pada malam kedua bulan suci Ramadan.

Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis menganggarkan seramai 75,000 rakyat Palestin berjaya memasuki Masjid Al-Aqsa meskipun berdepan sekatan ketat yang dikenakan oleh pihak Israel terhadap kemasukan mereka ke Kota Lama Baitulmaqdis dan kawasan masjid tersebut.

Namun begitu, pasukan keselamatan Israel dilaporkan menghalang laluan jemaah di Bab al-Amoud dan Bab al-Asbat, memeriksa kad pengenalan mereka, serta menahan sebilangan daripada mereka.

Pergerakan Hamas turut mengecam cadangan terbaru polis penjajah Israel yang mahu mengehadkan akses jemaah Muslim ke Masjid Al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan. Mereka menyifatkan tindakan tersebut sebagai “satu langkah berbahaya” yang “menjejaskan kebebasan beribadat.”

Hamas menegaskan bahawa segala usaha agresif Israel untuk mengubah identiti dan sejarah Masjid Al-Aqsa tidak akan sesekali berjaya.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Persetujuan Antara Hamas Dan Mesir Dalam Penyelesaian Krisis Penangguhan Pembebasan Kumpulan Terakhir Banduan

Isnin, 03/03/2025 – Kumpulan Pejuang Islam “Hamas” mengumumkan perjanjian dengan pengantara Mesir untuk menyelesaikan masalah penangguhan pembebasan tahanan Palestin yang sepatutnya dibebaskan dalam kumpulan terakhir,  baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dicapai oleh Pusat Informasi Palestin tersebut, kumpulan itu menjelaskan bahawa menurut persetujuan yang telah dicapai, mereka sepatutnya dibebaskan serentak dengan serahan mayat tahanan Israel semasa peringkat pertama, iaitu seiring dengan pembebasan wanita dan kanak-kanak Palestin yang lain.

Delegasi kepimpinan Hamas yang diketuai oleh Khalil Al-Hayya telah mengakhiri lawatannya ke Kaherah, di mana dalam lawatan tersebut, ia bertemu dengan pegawai Mesir, membincangkan perjalanan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata, pertukaran tahanan, dan menjangkakan rundingan untuk fasa kedua.

Delegasi kepimpinan kumpulan itu menegaskan pendiriannya yang jelas mengenai keperluan pematuhan yang lengkap dan tepat kepada segala syarat yang telah dipersetujui. Bagi pihaknya, sumber akhbar telah melaporkan bahawa telah dipersetujui supaya pembebasan tahanan Palestin yang tertangguh itu sepatutnya berlangsung pada hari Sabtu, di mana pertukaran mayat dilakukan secara serentak mengikut tarikh yang ditetapkan.

Penterjemah : Halimah

Categories
Berita Semasa

Serangan udara rejim Zionis, 2 maut di Lubnan.

Isnin, 03/03/2025 – Dua jiwa terkorban dengan dua mangsa cedera dalam satu serangan udara oleh rejim Zionis Israel di Lembah Bekaa, Selatan Lubnan pada Selasa malam.  

“Dron pihak musuh melancarkan serangan udara di bandar Shaara berhampiran dengan pergunungan Timur Lubnan, mengorbankan dua jiwa dan mencederakan dua mangsa “ menurut laporan berita Agensi Berita Kebangsaan.

Sumber media melaporkan rejim Zionis Israel melepaskan api di Alma al-Shaab dan Naquora di barat Lubnan, dimana terjadinya kebakaran.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Hamas Rayu Pengantara Tekan Zionis Laksana Protokol Kemanusiaan

Isnin, 03/03/2025 – Pergerakan Hamas telah menyeru pengantara di Qatar dan Mesir untuk mengambil tindakan segera untuk menekan kerajaan Zionis Israel supaya menunaikan kewajipannya di bawah perjanjian gencatan senjata, terutamanya berkaitan protokol kemanusiaan.

“Kematian enam bayi yang baru lahir dan beberapa kanak-kanak yang sakit dalam keadaan kritikal akibat musim sejuk yang teruk dan kekurangan alat pemanasan di Gaza adalah hasil daripada dasar jenayah kerajaan Zionis fasis,” kata Hamas dalam satu kenyataan pada hari Selasa.

Hamas menuduh kerajaan Israel menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan dan bekalan perlindungan ke Gaza.

Hamas juga menyelar masyarakat antarabangsa kerana tidak mengambil tindakan untuk menangani bencana kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Gaza, yang berpunca daripada pencerobohan dan pengepungan Israel.

Hamas menggesa pengantara untuk memastikan kemasukan rumah mudah alih dan bekalan pemanas serta bantuan perubatan segera ke Gaza untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak.

Kematian kanak-kanak terbaharu berlaku ketika Israel terus menyekat kemasukan rumah mudah alih dan keperluan penting lain ke Gaza, walaupun bersetuju membenarkannya di bawah syarat perjanjian gencatan senjata.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Al-Qanou: Sebarang Rundingan Adalah Berdasarkan Prinsip

Isnin, 03/03/2025 – Jurucakap Hamas, Abdul Latif al-Qanou, menyatakan bahawa “rundingan fasa kedua, lanjutan fasa pertama, atau penggabungan semua fasa adalah berdasarkan tuntutan gerakan pembebasan dan prinsip utama yang telah ditetapkan.” 

Dalam kenyataan kepada media, beliau menegaskan bahawa “hubungan dengan perantara masih berterusan, dan sebarang idea baharu boleh dibincangkan bagi mengatasi halangan penjajah terhadap perjanjian serta memastikan komitmennya terhadap semua syarat.” 

Menurutnya, “pembebasan baki tawanan hanya dapat dijamin dengan menamatkan perang, pengunduran dari Gaza, dan memulakan proses pembinaan semula.” 

Pada Isnin, Al-Qanou turut menyatakan bahawa kegagalan Israel melaksanakan sepenuhnya fasa pertama perjanjian gencatan senjata di Gaza “menghalang kemajuan ke arah pembebasan baki tahanan Israel.” 

“Gerakan pembebasan tidak akan terlibat dalam sebarang rundingan baharu selagi penjajah tidak mematuhi perjanjian dan melaksanakan keperluan fasa pertama,” tambahnya. 

Beliau turut mengecam Netanyahu kerana “menghalang pelaksanaan semua syarat perjanjian,” sambil menyatakan bahawa “kegagalan mematuhi protokol kemanusiaan dan penangguhan pembebasan kumpulan ketujuh tahanan membuktikan niat penjajah untuk menggagalkan perjanjian serta ketidaksungguhannya dalam meneruskannya.”

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Serangan Udara Israel Baharu di Rafah, Selatan Gaza

Rabu, 26/02/2025 – Pesawat perang Israel mengebom sasaran di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada petang Isnin.

“Jet pejuang mengebom dua tapak pelancaran roket di Gaza, termasuk satu yang melepaskan peluru awal hari ini,” dakwa tentera Israel pada hari Isnin.
“Terdahulu hari ini, satu pelancaran peluru yang jatuh ke Semenanjung Gaza telah dikenal pasti. Sebentar tadi, [tentera] telah menyerang tapak pelancaran peluru dilepaskan, serta sebuah lagi tapak pelancaran di kawasan tersebut,” tambahnya.

Penterjemah : Neina