Categories
Berita Semasa

Pasukan pendudukan Israel menembusi selatan Lubnan.

Selasa, 03/06/2025 – Pasukan pendudukan Israel menembusi wilayah selatan Lubnan pada petang Rabu, berhampiran bandar sempadan timur Blida.

Media Lubnan memetik sumber keselamatan sebagai berkata, “Pasukan Israel, diperkuatkan oleh peronda infantri dan jentolak, mara kira-kira 200 meter bertentangan dengan kedudukan Tentera Lubnan, di sekitar Bir Shuaib, di Blida.”

Sumber itu menambah, “Pasukan UNIFIL telah tiba di tapak, di mana tentera Lubnan digerakkan menentang pasukan pendudukan Israel, dan hubungan telah bermula mengenai pengunduran Israel.”

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

UNICEF: Pembunuhan beramai-ramai di Gaza menyebabkan 50,000 kanak-kanak terkorban atau cedera sejak Oktober 2023

Selasa, 03/06/2025 – Lebih daripada 50,000 kanak-kanak Palestin telah terbunuh atau cedera di Gaza sejak 7 Oktober 2023, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), yang menyifatkan situasi ini sebagai sebahagian daripada pembunuhan beramai-ramai yang berterusan oleh tentera penjajah Israel.

Angka yang mengejutkan ini hadir seiring dengan data terbaru dari Kementerian Kesihatan Gaza, yang mendedahkan hampir keseluruhan sistem kesihatan di wilayah itu telah lumpuh selepas 600 hari peperangan.

Pengarah Serantau UNICEF bagi Timur Tengah dan Afrika Utara, Edouard Beigbeder, dalam satu kenyataan pada hari Rabu berkata bahawa serangan terkini di Gaza menyerlahkan “kos yang sangat tinggi” yang terus ditanggung oleh kanak-kanak.

“Minggu lalu, video menunjukkan mayat kanak-kanak dari keluarga al-Najjar yang terbakar dan terputus anggota badan ditarik keluar dari runtuhan rumah mereka di Khan Yunis. Daripada sepuluh adik-beradik di bawah usia 12 tahun, hanya seorang dilaporkan terselamat—dalam keadaan cedera parah,” kata Beigbeder.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Suku juta tan sampah sarap di Gaza menimbulkan kegusaran mengenai masalah persekitaran dan kesihatan.

Selasa, 03/06/2025 – Majlis Perbandaran Gaza telah mengeluarkan amaran mengenai sampah yang terkumpul melampaui suku juta tan, menimbulkan masalah alam sekitar dan kesihatan yang serius di mana krisis kemanusian memasuki bulan ke 19.

Dalam satu kenyataan di media sosial X pada hari Selasa, Majlis Perbandaran melaporkan sampah sarap yang semakin bertimbun di kawasan kediaman dengan tiada sumber untuk perlupusan kerana sekaran dan kekurangan sumber, pekerja perbandaran telah dihalang dari menghampiri kawasan perlupusan.

Majlis perbandaran mengeluarkan kenyataan mereka sedang mengambil tindakan sementara untuk membendung pencemaran dengan mengutip dan membersihkan jalan jalan utama.  Namun, usaha ini tidak dapat menyaingi masalah kesihatan dan alam sekitaran yang bertambah teruk.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

FAO: 95% tanah pertanian Gaza sudah tidak boleh digunakan

Khamis, 29/05/2025 – Satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan yang kurang daripada tanah pertanian Gaza sesuai untuk tanaman, berbanding sebelum perang bermula pada 2023.

Diterbitkan pada Isnin, laporan itu memperincikan kemusnahan teruk yang menimpa kawasan pertanian akibat serangan zionis, memburukkan keterjaminan makanan dan risiko kebuluran di kawasan itu.

Beth Bechdol, Timbalan Ketua Pengarah Organisasi Pertanian dan (FAO), penulis bersama laporan dengan kerjasama Pusat Satelit PBB, menyatakan yang skala kemusnahan lebih daripada infrastruktur dan menuju keruntuhan sistem makanan-pertanian Gaza.

Penterjemah : Nuridawati

Categories
Berita Semasa

Sweden memanggil duta Israel untuk teguran kerana menyekat bantuan

Khamis, 29/05/2025 – Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson mengumumkan pada hari Isnin bahawa kerajaannya akan memanggil duta Israel untuk membantah keengganan Israel membenarkan bantuan ke Semenanjung Gaza.

Kesatuan Eropah mesti mengenakan sekatan dan memberikan tekanan diplomatik ke atas Israel untuk membenarkan bantuan kemanusiaan ke Gaza,” kata Kristersson dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita Sweden TT.

Beliau menambah, “Kami telah sangat jelas mengenai perkara ini, secara peribadi dan kerjasama dengan banyak negara Eropah yang lain.”
Dia menegaskan bahawa dia “menyokong mengkaji semula perjanjian perkongsian antara Kesatuan Eropah dan Israel.”
Menteri Luar Sweden Maria Stenergård mengumumkan pada 20 Mei bahawa negaranya akan bergerak dalam Kesatuan Eropah untuk mendesak “sekatan terhadap menteri Israel tertentu kerana layanan Israel terhadap orang awam Palestin di Gaza.”

Selagi kita tidak melihat peningkatan yang jelas dalam keadaan orang awam di Gaza, kita perlu meningkatkan retorik kita,” tambah Stenergaard.

“Oleh itu, kami kini juga akan mendesak Kesatuan Eropah untuk mengenakan sekatan ke atas menteri Israel tertentu,” jelasnya.
Menteri Luar Sweden mengesahkan bahawa “sekatan itu akan menyasarkan menteri yang mempromosikan dasar penyelesaian haram dan secara aktif menentang penyelesaian dua negara pada masa hadapan.”

Sejak 2 Mac, pendudukan telah menutup lintasan Semenanjung Gaza kepada kemasukan makanan, bantuan, bantuan perubatan, dan barangan, menyebabkan kemerosotan ketara dalam keadaan kemanusiaan.
Dengan sokongan Amerika, tentera pendudukan Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza sejak 7 Oktober 2023, menyebabkan kira-kira 177,000 maut dan cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, dan lebih 14,000 hilang.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Peneroka haram Yahudi menculik warga Palestin di Masafer Yatta.

Khamis, 29/05/2025 – Segerombolan peneroka haram Yahudi menculik seorang lelaki Palestin pada petang Ahad setelah menyerangnya di daerah Masafer Yatta, tenggara al-Khalil di Selatan kawasan yang dijajah di Tebing Barat.

Saksi dan sumber tempatan mengesahkan peneroka yang memakai seragam tentera menyerang Ibrahim al-Nawajaa sebelum menculik beliau dari kawasan Wadi Jehish di kawasan Masafer Yatta.

Aktivis tempatan Osama Makhamrah melaporkan peneroka haram turut mendirikan tiang elektrik di kawasan persendirian di Umm al-Shaq bersempadanan dengan Tel Ma’in di Masafer Yatta , yang melanjutkan sempadan tanah peneroka haram AVigail yang dibina secara haram atas tanah Palestin.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Ikrar Balas Dendam Terhadap Tentera Upahan Yang Bekerjasama Dengan Musuh

Khamis, 29/05/2025 – Berikutan penyertaan beberapa “askar upahan” dalam mengatur pergerakan trak bantuan di kawasan yang dikuasai tentera penjajah Israel, pasukan keselamatan di Semenanjung Gaza melaporkan akan membalas dendam atas pengkhianatan mereka.

Kumpulan Keselamatan (Al-Haris) berkata dalam satu kenyataan, “Sepanjang sejarah, kuasa kolonial telah gagal untuk menubuhkan entiti yang setia. Setiap kuasa kolonial yang dikalahkan, baik Timur dan Barat, setelah mereka berundur pasti akan meninggalkan ejen upahan bagi mengatur keperluan mereka.”

Beliau menambah, “Kehadiran askar upahan dalam proses pengagihan bantuan mendedahkan bahawa bantuan ini tidak pernah menjadi visi keselamatan negara, sebaliknya kaedah baharu yang digunakan oleh musuh untuk mencapai matlamat perisikan, ketenteraan dan politik.”

Jelasnya lagi bahawa askar upahan yang berselindung di belakang kuasa musuh sehingga membunuh dan merompak, tidak akan terlepas daripada hukuman diatas pengkhianatan yang dilakukan, walaupun ia akan mengambil sedikit masa. Pasukan itu juga menyeru agar rakyat Palestin di Semenanjung Gaza untuk terus menunjukkan solidariti dan sokongan kepada pasukan keselamatan dalam mendapatkan bantuan dan melindungi barisan hadapan.

Gerakan Pertahanan Islam (Hamas) berkata pada awal pagi hari ini bahawa halangan kerajaan penjajah Israel terhadap kemasukan bantuan ke Semenanjung Gaza adalah dasar yang jelas dan sistematik untuk meneruskan rancangan kebuluran yang dikenakan kepada orang awam yang tidak bersalah.

Tambah mereka lagi bahawa rancangan penjajah ini bertujuan untuk dijadikan sebagai alat untuk mewujudkan kelangsungan politik dan ketenteraan, sedangkan projek bantuan yang mengelirukan ini telah pun ditolak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan antarabangsa, kerana jelas tidak mencapai standard bantuan kemanusiaan walaupun pada paras minima.

Sekali lagi Hamas turut mengesahkan komitmennya mengutamakan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan institusi kemanusiaannya dalam mengagihkan dan menyelia bantuan sekaligus menganggap sebarang percubaan untuk memintas atau meminggirkan peranan ini sebagai “tindakan berbahaya, meragukan, dan melanggar undang-undang antarabangsa”

Sebagai info, sejak 2 Mac, tiada sebarang bantuan kemanusiaan berjaya memasuki Gaza.

Penterjemah : Halimah

Categories
Berita Semasa

Puluhan Kes Sesak Nafas Akibat Gas Pemedih Mata Di Nablus

Selasa, 27/05/2025 – Beberapa penduduk Palestin mengalami sesak nafas akibat terhidu gas pemedih mata dalam satu pertempuran yang tercetus pada malam Ahad di pekan Qaryut, selatan Nablus, di wilayah Tebing Barat yang diduduki.

Menurut koresponden Palestine Information Center (PIC), pertempuran berlaku selepas tentera Israel menyerbu masuk ke kampung tersebut dan melepaskan tembakan peluru hidup, peluru bersalut getah serta gas pemedih mata ke arah orang awam, menyebabkan ramai penduduk mengalami kesukaran bernafas.

Dalam kekecohan itu, sekumpulan anak muda bertindak balas dengan membaling batu ke arah tentera penjajah, manakala beberapa kenderaan tentera Israel dilihat mengejar mereka dalam usaha menyuraikan orang ramai.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

GMO: Israel mengambil alih 77% Kawasan Gaza melalui pembersihan etnik dan pembunuhan genosid

Selasa, 27/05/2025 – Pejabat Media Kerajaan (GMO) menyatakan bahawa tentera pendudukan Israel telah mengenakan kawalan kuatkuasa ke atas 77 peratus Semenanjung Gaza melalui pembersihan etnik, pemindahan paksa, dan pembunuhan genosid yang sistematik.

Dalam satu kenyataan pada hari Ahad, GMO berkata tentera Israel sudah mengawal 77 peratus daripada Semenanjung Gaza, sama ada melalui kawalan ketenteraan, arahan pemindahan, serangan tembakan secara intensif dan pengeboman yang menjauhkan penduduk dari rumah mereka.

“Corak kawalan paksaan ini, yang berdasarkan penggunaan kekerasan untuk mengosongkan tanah penduduk assalnya secara paksa, merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya empat Konvensyen Geneva tahun 1949. Ia mewakili pelanggaran sistematik prinsip undang-undang antarabangsa awam dan keadilan antarabangsa, termasuk Perkara 49 Konvensyen Geneva Keempat, yang melarang pemindahan paksa atau pemindahan besar-besaran penduduk awam di wilayah yang diduduki, serta Perkara 7 Statut Rom,  pemindahan paksa sebagai jenayah terhadap kemanusiaan dan Konvensyen Hague 1907 menghukum sebagai satu kesalahan jenayah mengubah demografi kawasan yang diduduki tanpa justifikasi ketenteraan yang jelas, jelas GMO.

GMO mengutuk sekeras-kerasnya pasukan pendudukan rejim Israel kerana terus melaksanakan rancangan pemindahan besar-besaran, pembersihan etnik, pembunuhan beramai-ramai sistematik, dan penjajahan kolonialisasi secara paksa, kononnya di atas alasan pengepungan dan peperangan terbuka yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur di Semenanjung Gaza.

GMO meletakkan rejim pendudukan Israel dan negara-negara yang membantunya dalam pembunuhan beramai-ramai, terutamanya AS, Britain, Jerman dan Perancis, bertanggungjawab secara sah mengikut undang-undang untuk semua jenayah perang yang berlaku di Gaza.

GMO memberi amaran tentang “implikasi kawalan Israel yang berterusan ke atas sebahagian besar wilayah Semenanjung Gaza, yang merupakan percubaan untuk mengenakan fait accompli kolonial di lapangan dan membentuk semula landskap demografi secara paksa.” Gmo menyeru PBB, Majlis Keselamatan, Mahkamah Jenayah Antarabangsa, dan pelapor khas untuk segera memenuhi kewajipan undang-undang dan kemanusiaan mereka dengan mengambil tindakan tegas untuk menghentikan jenayah perang Israel di Gaza, melancarkan siasatan antarabangsa yang bebas dan segera, dan memastikan pendakwaan terhadap Penjenayah perang Israel di mahkamah antarabangsa.

Penterjemah : Hj Fariz

Categories
Berita Semasa

WFP: Tiada bukti yang menyokong dakwaan Israel mengenai Hamas mencuri bantuan

Selasa, 27/05/2025 – Cindy Hensley McCain, Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), menyatakan bahawa tidak ada bukti untuk menyokong dakwaan Israel bahawa Hamas mencuri bantuan kemanusiaan.

Bercakap kepada CBS News, McCain berkata, “Orang ramai bergegas untuk menghantar trak bantuan, dan ini tiada kaitan dengan Hamas atau jenayah terancang.”

Beliau menegaskan bahawa setengah juta orang di Gaza kini menghadapi masalah kekurangan makanan yang teruk.

McCain mengesahkan komitmen WFP untuk terus menghantar makanan dan bekalan untuk menyokong operasi di Gaza, terutamanya untuk kedai roti yang cuba untuk terus beroperasi di tengah-tengah krisis.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

6 warga Palestin cedera dalam kejadian tembakan di barat Ramallah.

Isnin, 26/05/2025 – Beberapa penduduk awam Palestin cedera pada petang Selasa selepas peneroka haram Yahudi melepaskan tembakan dalam satu serangan di Beitillu, barat Ramallah di kawasan dijajah Tebing Barat.

Sumber tempatan melaporkan sekumpulan peneroka haram di penempatan Halamish melancarkan serangan ke atas kawasan al-Dhahr, di pinggir Beltillu, dengan perlindungan oleh pasukan tentera rejim Zionis Israel.

Peneroka haram melepaskan tembakan ke atass rumah, mengakibatkan enam cedera dimana dua adalah kes kecederaan kritikal.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Dakwaan Lintasan Terbuka di Gaza Adalah Palsu

Isnin, 26/05/2025 – Bilik Gerakan Kerajaan di wilayah selatan telah menafikan dakwaan Israel bahawa lintasan sempadan telah dibuka semula dan bantuan kemanusiaan sedang memasuki Gaza, menyifatkannya sebagai tidak benar sama sekali.

Kenyataan itu mengesahkan bahawa lintasan itu kekal ditutup untuk hari ke-83 berturut-turut, di tengah-tengah tindakan pembunuhan beramai-ramai yang semakin meningkat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Rabu, Bilik Gerakan itu mengutuk penutupan berterusan lintasan itu, walaupun Israel beberapa hari lalu menegaskan kebenaran aliran bantuan kemanusiaan dan perubatan. Ia menjelaskan bahawa semua trak bantuan masih tersekat dan tidak dibenarkan masuk.

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Majlis Perbandaran Deir al-Balah Beri Amaran Krisis Air 

Jumaat, 23/05/2025 – Majlis Perbandaran Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza mengumumkan pada hari Selasa bahawa telaga air Sahel 6 tidak berfungsi sepenuhnya, selepas ia dibom Zionis, yang membawa kepada kemusnahan sepenuhnya penjana dan bahagian penting telaga.

Dalam kenyataan akhbar, Majlis Perbandaran Deir al-Balah menjelaskan bahawa perigi ini, yang terletak di kawasan Al-Baraka, adalah sumber air utama terakhir yang masih beroperasi untuk mengisi tangki Al-Baraka, yang merupakan kemudahan penting dalam sistem air yang memberi minum kepada rakyat di kawasan besar bandar.

Ia menjelaskan bahawa kemusnahan kemudahan itu bermakna Deir al-Balah telah memasuki tahap kekurangan air yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang bertepatan dengan perpindahan rakyat yang kerap ke arah bandar.

Kenyataan itu menambah bahawa kawasan padat penduduk yang besar akan terputus bekalan air, termasuk: Al-Baraka, Al-Mashaela, Al-Bee’ah, Al-Hakar dan Al-Mu’asker, manakala semua sumber air utama lain terputus.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Seorang syahid di selatan Lubnan akibat serangan dron.

Jumaat, 23/05/2025 – Seorang mati syahid dan yang lain cedera pada pagi Selasa. Tembakan Israel menyasarkan sebuah motosikal di daerah Tyre di selatan Lubnan, dalam episod terkini pengkhianatan perjanjian gencatan senjata.

Agensi Berita Lubnan rasmi melaporkan bahawa dron Israel menyasarkan sebuah motosikal di jalan Mansouri-Majdal Zoun di daerah Tyre, dan kecederaan telah dilaporkan tanpa butiran lanjut dikeluarkan.

Media Lubnan melaporkan bahawa tembakan berlaku berhampiran sebuah sekolah, menyebabkan panik dan ketakutan dikalangan pelajar.

Pada 8 Oktober 2023, Israel melancarkan pencerobohan terhadap Lubnan, yang bertukar menjadi perang besar-besaran pada 23 September 2024, mengakibatkan lebih 4,000 syahid dan kira-kira 17,000 cedera, di samping pemindahan kira-kira 1.4 juta orang.

Sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 27 November, Israel telah melakukan sekurang-kurangnya 2,780 pengkhianatan perjanjian yang menyebabkan sekurang-kurangnya 200 syahid dan 491 cedera, menurut data rasmi.

Ketika tentera Lubnan terus ditempatkan di selatan sewaktu pelaksanaan perjanjian itu, pasukan pendudukan telah mengingkari untuk menyelesaikan pengunduran mereka dari selatan Lubnan menjelang 18 Februari.

Tentera pendudukan sebahagiannya telah berundur dari Lubnan, walaupun begitu tenteranya terus menduduki lima kawasan bukit utama Lubnan, dalam lokasi yang didudukinya sejak perang yang lalu.

Penterjemah : Hj Fariz

Categories
Berita Semasa

Eropah marah setelah tentera rejim Israel menyasarkan para diplomat di Jenin

Jumaat, 23/05/2025 – Itali, Perancis, Sepanyol, dan Belgium telah menyeru semua diplomat Israel dalam bantahan setelah rejim zionis melepaskan tembakan ke arah perwakilan diplomat Eropah dan Arab yang melawat dekat kem pelarian Jenin. Tiada kecederaan dilaporkan, tetapi kejadian itu mengundang kemarahan.

Menteri Luar Itali Antonio Tajani mengumumkan pada Rabu yang beliau mengarahkan Setiausaha Agung kepada Menteri Luar untuk memanggil duta Israel ke Rom untuk penjelasan rasmi. Tajani menyifatkan tembakan oleh tentera rejim sebagai ancaman yang tidak boleh diterima.

Beliau mengesahkan yang Timbalan Konsul Itali, Alessandro Totino, yang merupakan sebahagian perwakilan, dalam keadaan selamat.

Penterjemah : Nuridawati