Rabu , 12-08-2020 – Berpuluh-puluh pendatang haram Yahudi dengan diiringi anggota polis rejim Israel dilihat memasuki Masjidil al-Aqsa dan berkeliaran di sekitar perkarangannya.
Rabi pelampau, Yehuda Glick didapati turut serta bersama kumpulan pendatang mencemar kesucian masjid dengan mengadakan upacara sembahyang mengikut ajaran Yahudi di halaman sebelah timur.
Sejak akhir-akhir ini, Rabi Glick semakin kerap menceroboh masuk masjid tersebut dan giat memberi syarahan mendakwa di situlah tapak kuil Yahudi berada.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Rabu , 12-08-2020 – Regim Zionis Israel (IOF) malam tadi dan pada waktu subuh Isnin menculik beberapa warga Palestin, termasuk seorang lelaki tua, kebanyakannya semasa serbuan di kediaman di Tebing Barat.
Menurut sumber tempatan, IOF menyerbu selepas tengah malam di kampung Badui Umm al-Khair dekat bandar Yatta di selatan al-Khalil dan menculik seorang warganegara berusia 70-an yang bernama Suleiman al-Haddaleen dari rumahnya.
Tentera Israel juga menyerang Haddaleen semasa penahanannya di penempatan haram Carmel sebelum membebaskannya pada waktu subuh.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nor syuhada
Rabu , 12-08-2020 – Ketua Badan Urusan Tahanan dan Bekas Tahanan, Komandan Qadri Abu Bakr mengutuk serangan undang-undang dan paparan di peringkat antarabangsa yang dilakukan penjajah Israel terhadap hak tahanan dalam perjuangan, kemanusiaan dan nasional. Juga terhadap badan induk yang menaungi semua urusan mereka dan keluarga mereka; Iaitu Badan Urusan Tahanan dan Bekas Tahanan.
Menjawab laporan yang dikeluarkan harian Israel Hayom, Isnin (10/8) dalam kenyataannya, Abu Bakr menjelaskan bahawa anggota parlimen Israel Knesset dan sejumlah organisasi parlimen meminta Menteri Keamanan Beny Gants agar mengumumkan bahawa Badan Urusan Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin adalah organisasi teroris.
Abu Bakr menambah, penjajah Israel hari ini menyerang tahanan Palestin dengan segala bentuk kedengkian dan ekstrimisme, kejahatan dan terror. Tidak cukup dengan menggunakan cara represif dan penyiksaan serta melanggar hak-hak mereka dan harga diri mereka, selanjutnya Israel berusaha mempelbagaikan dimensi politik dan undang-undang terhadap tahanan sebagai isu pembebasan nasional.
Israel berusaha menelanjangi mereka dari status perjuangan melawan penjajahan dalam sejarah manusia moden.
Abu Bakr menekankan bahawa melanggar hak tahanan dan badan yang melayani mereka adalah tindakan terkutuk. “Kita tidak akan menerima pelanggaran ini dengan apa-apa alasan. Kita akan menjalankan tanggungjawab kita terhadap para pejuang dari tawanan dan keluarga mereka.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : osman
Selasa , 11-08-2020 – Satu laporan Palestin pada Sabtu memberi amaran tentang rancangan Israel untuk membina 1,000 unit penempatan pendatang di atas tanah yang dirampas dari perkampungan at-Tur, Anata, Eizariya dan Abu Dis di kawasan yang dikenali sebagai “E1” di timur Baitulmuqaddis.
Rancangan itu bertujuan meluaskan sempadan Baitulmuqaddis yang dijajah sebagai sebahagian projek Israel yang digelar “greater Jerusalem” serta ingin merampas sebahagian besar tanah Palestin.
Laporan itu yang dikeluarkan oleh Biro Perlindungan Tanah Kebangsaan (sekutu Pertubuhan Pembebasan Palestin, PLO) berkata, jika projek itu dilaksanakan, ia akan memenuhi sepenuhnya kawasan timur Baitulmuqaddis, sekitar Anata, at-Tur dan Hizma dengan unit pendatang dan menghalang kemungkinan sebarang peluasan bandar di Palestin pada masa akan datang.
Selasa , 11-08-2020 – Kereta kebal tentera Israel membedil kubu pejuang Palestin yang terletak di bahagian timur bandar Deir al-Balah, kawasan tengah Semenanjung Gaza, tengahari Ahad semalam.
Berita Palestinian Information Center (PIC) menyatakan, kereta kebal tentera rejim menembak beberapa peluru berpandu ke arah kubu pejuang di kawasan sebelah timur sempadan Deir al-Balah.
Dakwa tentera rejim, sesetengah kubu pejuang telah dibedil kerana membalas tembakkan pihak pejuang ke atas pengkalan tenteranya di Kissufim. Tiada kecederaan dilaporkan di pihak pejuang berikutan serangan tersebut.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Selasa , 11-08-2020 – Ketua Forum Komunikasi Eropah Palestin, Zaher al-Birawi, menegaskan bahawa visi mantan pemimpin Hamas Khaled Misy’al fokus pada menyatukan barisan nasional Palestin atas dasar landasan nasional, untuk menghadapi projek Israel yang bertujuan untuk menutup isu perjuangan Palestin, terutama adalah rancangan aneksasi dan kesepakatan abad ini (deal of century).
Dalam pernyataan kepada agensi berita, Arab Quds Press, Al-Birawi mengatakan bahawa visi tersebut adalah idea-idea yang mengekspresikan semangat persatuan nasional yang sangat diperlukan oleh rakyat Palestin ketika ini di bandingkan di masa lalu, terutama kerana penjajah Israel dan para sekutu antarabangasanya berusaha untuk menutup isu perjuangan Palestin.
Beliau menegaskan bahawa jika visi Misy’al ini tercapai dan berjaya, maka hal ini akan mengurangkan kekuatan penjajah Israel dan mencegah penjajah Israel melaksanakan rancangan mereka.
Birawi mengatakan, “Untuk mewujudkan hal itu, Misy’al menegaskan keperluan peringkat dasar. Di antaranya adalah mendefinisikan kembali prinsip-prinsip dan hak-hak nasional Palestin dengan cara yang menjamin konsensus semua komponen Palestin atas prinsip-prinsip dan hak-hak tersebut, serta mencegah terjadi sebarang hak yang terlepas darinya.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : osman
Selasa, 11-8-2020 – Pada subuh Ahad lalu rejim Zionis telah melancarkan serbuan besar-besaran di kawasan kediaman di Tebing Barat dan Baitulmaqdis dan telah menculik sejumlah warga Palestin.
Sumber tempatan mengatakan bahawa rejim Zionis telah menahan sekurang-kurangnya enam warga Palestin setelah memecah masuk kediaman mereka dan menimbulkan kacau-bilau ke atas mereka di Jenin, Tulkarem, al-Khalil, dan Baitulmaqdis.
Di Baitulmaqdis, rejim Zionis telah menyerbu kota al-Isawiya dan menyerang belia Palestin yang menentang serangan itu dengan peluru logam bersalut getah, gas pemedih mata, dan bom pegun.
Para belia Palestin bertindak balas dengan melemparkan bom botol koktel Molotov dan melancarkan bunga api. Tiada kecederaan dilaporkan.
Sementara itu, seorang warga Palestin cedera ketika sekumpulan peneroka haram Israel menyerang dengan batu beberapa kereta Palestin di jalanraya antara Nablus dan Qalqilya.
Beberapa kereta telah rosak dalam serangan tersebut dan seorang warga Palestin mengalami cedera ringan, menurut wartawan Pusat Maklumat Palestin.
Isnin , 10-08-2020 – Pasca insiden letupan Pelabuhan Beirut,Selasa (5/8) terjadi gelombang solidariti dan simpati spontan dari semua warga Palestin sama ada yang ada di dalam dan luar negeri. Warga Palestin menukar status di media sosial gambar peribadi kepada gambar bendera Lebanon dan ramai mengirimkan solidariti dan seruan sokongan akibat bencana yang luar biasa dahsyat.
Majoriti hantaran (posting) di media sosial tentang solidariti warga menegaskan bahawa Palestin dan Lebanon memiliki satu hati, satu luka dan satu nasib.
Kelmarin, ibukota Lebanon, Beirut terjadi ledakan besar yang dahsyat menggoncang kota tersebut, menyebabkan ratusan meninggal dunia dan ribuan orang tercedera. Banyak bangunan rosak teruk, kerosakan hartabenda yang besar, di kota pantai Beirut yang ketika ini berubah menjadi daerah yang dilanda bencana akibat ledakan yang masih disiasat punca sebenar.
Majoriti kumpulan-kumpulan Palestin menyatakan solidariti mereka terhadap Lebanon, sama ada rakyat mahupun pemerintah. Hamas menyampaikan belasungkawa yang tulus kepada mangsa ledakan.
Dalam kaitan ini, Hamas menyatakan solidaritinya terhadap Lebanon yang menghadapi keadaan sukar dengan segenap kemampuan di semua bidang.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : osman
Isnin , 10-08-2020 – Segerombolan peneroka haram Yahudi telah mencemari Masjid suci AlAqsa di Baitulmaqdis Yang Diduduki pada pagi Rabu, di bawah perlindungan ketat polis Israel.
Sumber tempatan mengatakan bahawa puluhan peneroka haram Yahudi telah memasuki Masjidil Aqsa dari Pintu Maghareba dan mengadakan lawatan ke kawasan timur tapak suci Islam tersebut, yang telah diisytiharkan sebagai zon tentera tertutup. Polis Israel juga telah menghalang penganut-penganut Islam untuk masuk.
Sumber-sumber tersebut memberitahu bahawa para peneroka haram, yang masuk secara berkumpulan, telah menjalankan acara Talmud sambil berjalan di dalam kawasan halaman Aqsa.
Peneroka haram memasuki laman suci Islam berkenaan setiap hari, kecuali hari Jumaat dan Sabtu. Jumlah mereka akan meningkat pada hari kebesaran Yahudi.
Isnin, 10-08-2020 – Pihak berkuasa pendudukan Israel pada pagi rabu yang lalu telah menrobohkan rumah dua keluarga rakyat Palestin dan memaksa keluarga ketiga untuk meroboh sendiri rumah mereka di Baitulmaqdis.
Sumber tempatan berkata, pihak berkuasa Israel telah meroboh dua rumah milik rakyat Palestin yang didiami oleh dua bersaudara iaitu Samer dan Sulaiman al-Qaq dan keluarga mereka di bandar Silwan di selatan kota Baitulmaqdis.
Manakala di bandar Beit Hanina yang berdekatan pula, pihak berkuasa Israel telah memaksa keluarga rakyat Palestin untuk meroboh rumah mereka sendiri diatas alasan pembinaan yang tidak berlesen.
Pusat maklumat Wadi Hilweh berkata, pemilik rumah harus merobohkan binaan mereka untuk mengelakkan denda atau dipenjarakan.
Sepanjang separuh tahun 2020, pihak berkuasa Israel telah menjalankan 74 operasi pembongkaran di Baitulmaqdis yang 30 darinya adalah penghuni dipaksa untuk merobohkan rumah mereka sendiri.
Khamis, 06-08-2020 – Tahanan Palestin Khalil Abu Aram telah memulakan mogok lapar di Ashkelon Prion, Persatuan Tahanan Palestin (PPS) berkata pada Isnin.
PPS menyatakan yang mogok ini adalah tindak balas kepada penangguhan secara oleh perkhidmatan penjara rejim dalam membenarkan Abu Aram untuk menemui anaknya Ahmad, yang telah ditahan sejak September 2019 di Penjara Negev.Menurut PPS, ini satu-satunya peluang Abu Aram, yang telah ditahan sejak 2002 dan sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup, untuk menemui anaknya yang tidak ditemui bertahun-tahun dan pembebasannya dijadualkan pada September depan.
Khamis, 06-08-2020 – Ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyah menghubungi Presiden Lebanon Michele Aon, dan PM Hasan Diyab, serta Ketua Parlimen, Nabih Berry untuk menyampaikan ucapan duka cita kepada mereka dan takziah kepada mangsa yang meninggal dunia serta doa kesembuhan kepada mereka yang tercedera.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Hamas, Haniyah menegaskan kepercayaan penuh bahawa Lebanon mampu melalui bencana ini dan bangsa Palestin memberikan sokongan penuh kepada Lebanon, keluarga dan rakyat Lebanon dalam melalui peristiwa yang memilukan ini.
Puluhan orang terkorban dan ratusan lainnya cedera akibat ledakan besar yang menggoncang ibukota Lebanon, Beirut.
Selasa petang semalam (4/8), ledakan menyebabkan kerosakan besar di pelabuhan Beirut. Gabenor Beirut menyatakan bahawa ibukota Lebanon dalam situasi bencana.
Ledakan besar terjadi di kawasan pelabuhan di pusat ibukota Lebanon, Beirut, yang menyebabkan ribuan mangsa. Pasukan keselamatan Lebanon menutup jalan menuju lokasi ledakan dan sejumlah hospital menyatakan keadaan darurat dan kesiapsagaan penuh.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : osman
Khamis, 06-08-2020 – Rejim Israel merampas lebih 200 dunum (ekar) tanah milik penduduk Palestin yang terletak di perkampungan Kisan, daerah Bethlehem, Tebing Barat.
Ketua Majlis Perkampungan Kisan, Ahmad Ghazal berkata, anggota tentera rejim datang ke kampung itu dengan jumlah yang ramai dan memagar lebih 200 dunum tanah persendirian dengan kawat duri.
Pihak tentera rejim turut memberi amaran kepada penduduk supaya menjauhi kawasan tersebut dan memberitahu mereka bahawa tanah di situ telah dirampas untuk “kegunaan ketenteraan”.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Khamis, 06-08-2020 – Kawasan besar tanah pertanian milik Palestin dibakar pada hari Isnin setelah pasukan penjajah Israel (IOF) melepaskan tembakan bom tangan pegun dengan kuat berhampiran bandar Hableh di daerah Qalqilya di Tebing Barat.
Sumber tempatan mengatakan bahawa api besar meletus setelah bom tangan pegun yang ditembak oleh tentera IOF mendarat di tanah ladang milik penduduk Palestin di Hableh.
Mereka melaporkan bahawa berpuluh-puluh dunum tanah pertanian mengalami kerosakan sebahagian atau keseluruhan dalam serangan itu.
Desa Hableh sentiasa menjadi sasaran serangan oleh peneroka dan tentera Zionis. Ia juga merupakan salah satu daerah Qalqilya yang paling teruk dilanda penyitaan tanah dan pengembangan penempatan haram.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ameen
Rabu, 05-08-2020 – Kapal terbang perang Israel melancarkan serangan di pelbagai tempat di utara Semenanjung Gaza selepas tengah malam pada Isnin.
Menurut sumber tempatan, serangan udara menyasarkan kawasan yang dimiliki pejuang Palestin di barat daya Deir al-Balah, satu kawasan lapang di Bandar al-Qarara timur Khan Yunis dan satu lagi tempat di Rafah.Ketika serangan udara itu, tentera laut rejim melepaskan tembakan ke arah lautan Khan Yunis.