Categories
Berita Semasa

Lima orang warga Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak dibunuh di Tebing Barat

Selasa, 17-10-2023 – Jumlah yang syahid di Tebing Barat pada Khamis meningkat kepada lima setelah tentera rejim zionis (IOF) membunuh seorang wanita dan kanak-kanak Palestin di Qalqilya dan Ramallah.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan yang seorang remaja berusia 17 tahun ditembak di belakang di bandar Jayyus, di Qalqilya, sebelum mengumumkan kematiannya di hospital.

Ketika memindahkan beliau ke hospital, tentera IOF menghentikan ambulans itu dan menghalangnya bergerak.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Nor idawati

Categories
Berita Semasa

Warga Palestin Dibunuh Selepas Menembak di Jerusalem

Selasa, 17-10-2023 – Seorang pejuang Palestin ditembak mati pada petang Khamis selepas dia melakukan tembakan di Kota Lama Baitulmaqdis yang Dijajah dan mencederakan dua pegawai polis.

Menurut sumber tempatan, seorang pemuda Palestin melepaskan tembakan ke arah balai polis Zionis di kawasan Bab as-Sahira di Kota Lama Baitulmaqdis dan mencederakan dua pegawai dengan seorang parah.

Seorang lagi pegawai polis di tempat kejadian membalas tembakan ke arah pemuda itu dan membunuhnya serta-merta.

Dalam konteks yang berkaitan, Briged Martir Abu Ali Mustafa, sayap bersenjata Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin, mengaku bertanggungjawab atas operasi menembak dan meratapi Khaled Muhtaseb, yang melepaskan tembakan ke arah anggota polis, menyifatkan beliau sebagai “wira. ”

Briged itu berkata bahawa operasi itu sebagai tindak balas terhadap jenayah kejam Zionis terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

1,537 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza

Selasa, 17-10-2023 – Lebih daripada 1,537 rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk lebih daripada 500 kanak-kanak dan 276 wanita, dalam serangan udara Israel ke atas Jalur Gaza, kata Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada malam Khamis.

Selain itu, 6,612 orang telah cedera dalam serangan udara Israel yang berterusan, termasuk 1,644 kanak-kanak dan 1,005 wanita.

Wanita dan kanak-kanak di Gaza membentuk kira-kira 60% daripada jumlah yang cedera yang disebabkan oleh pengeboman Israel yang masih berterusan di kawasan tersebut, menurut kementerian.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Hamas: Rancangan Israel untuk mengosongkan Gaza daripada rakyatnya akan gagal

Jumaat, 13-10-2023 – Gerakan Hamas berkata, rakyat Palestin di Semenanjung Gaza tidak akan meninggalkan tanah air mereka, dan menekankan yang rakyat Palestin dan perjuangannya akan menghentikan semua rancangan jahat Israel untuk mengosongkan Palestin daripada rakyat asalnya.

Dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa, Gerakan itu mengesahkan yang rakyat Palestin sedar tentang rancangan Israel untuk menghalau mereka daripada tanah air mereka.Gerakan itu menjelaskan yang rakyat Palestin tidak akan tergugat dengan seruan pemimpin rejim untuk menyeru rakyat Palestin agar meninggalkan rumah mereka.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Nor idawati

Categories
Berita Semasa

Serangan Taufan Al Aqsha Berlanjutan, Lebih 1000 Warga Israel Terkorban

Jumaat, 13-10-2023 – Operasi serangan Taufan Al-Aqsha memasuki hari keempat. Pertempuran dan siri tembakan pasukan Brigade Al-Qassam terus berlangsung. Pasukan pejuang Palestin berjaya menembusi kota-kota Israel termasuk serangan roket yang menewaskan dan mencederakan warga penjajah Israel.

Jurucakap Brigade Asy-Syahid Izzddin al-Qassam, Abu Ubaidah mengesahkan berlanjutnya pertempuran di beberapa wilayah penempatan penjajah Israel dan di wilayah jajahan tahun 1948. Israel gagal menamatkan situasi kalut yang dilakukan oleh serangan para pahlawan al-Qassam.

Menurut sumber yang sama, para pejuang Palestin mampu melakukan operasi pendaratan payung terjun di dalam lokasi penjajah di Semenanjung Gaza timur dan terlibat dalam pertempuran sengit.

Radio Israel melaporkan bahawa pertempuran bersenjata berlaku setelah pejuang Palestin menyusup ke penempatan Kfar Saad Jalur Gaza.

Siren terdengar pada Selasa pagi di beberapa penempatan di Semenanjung Gaza serta serangan roket baru dilancarkan.

sumber : https://melayu.palinfo.com
penterjemah : Osman

Categories
Berita Semasa

UNRWA: Kami sedang memberi perlindungan kepada kira-kira 74,000 penduduk Gaza

Rabu, 11-10-2023 – UNRWA mengumumkan pada hari Ahad bahawa hampir 74,000 penduduk Palestin di Gaza telah terpaksa berpindah dan mengambil perlindungan di 64 sekolah dan kemudahan yang dimilikinya.

Dalam satu kenyataan akhbar, UNWRA memberi amaran bahawa jumlah ini “kemungkinan akan meningkat apabila tembakan berat dan serangan udara terus berlanjutan, termasuk ke kawasan awam.”

UNRWA berkata satu daripada sekolahnya yang memberikan perlindungan kepada keluarga yang terpaksa berpindah di Gaza telah terkena secara langsung pada hari Ahad.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Gaza: Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga

Rabu, 11-10-2023 – Salama Maarouf, ketua media Kerajaan di Gaza, berkata bahawa tentera rejim zionis meningkatkan serangan pada malam semalam di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza. Mereka mengebom puluhan bangunan pangsapuri, rumah, masjid, sekolah yang dijadikan tempat perlindungan, dan kemudahan awam.

“Bertentangan dengan dakwaan rejim yang ia menyasarkan pejuang, tentera rejim sebennarnya melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap 15 keluarga selepas mengebom rumah mereka tanpa amaran, membunuh dan mencederakan puluhan orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak,” Maarouf mengesahkan dalam kenyataannya pada Isnin.

Pegawai Palestin itu menyatakan rejim zionis bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, dan menekankan kekejaman rejim memburukkan lagi situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Nor idawati

Categories
Berita Semasa

Pemuda Palestin syahid, 11 cedera dalam serangan rejim Zionis di timur Gaza.

Selasa, 26-09-2023 – Seorang pemuda Palestin telah ditembak mati pada petang Selasa selepas rejim Zionis Israel melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan.Jurucakap rasmi yang melaporkan pemuda Palestin, Yusuf Ridwan , 25, telah gugur syahid setelah penembak hendap menembak dengan peluru hidup di kepala, di timur bandar Khan Yunis.

Manakala 11 warga Palestin telah cedera setelah tentera rejim Zionis menembak ke arah warga Palestin yang berkumpul di sempadan Gaza menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Tentera rejim Zionis mengeluarkan 23 perintah henti kerja ke atas kediaman di Salfit.

Selasa, 26-09-2023 – Tentera rejim Zionis menghantar perintah henti-kerja pada hari Rabu ke atas 23 kediaman Palestin di bandar Qarawat Bani Hassan, di barat Salfit di bawah alasan pembinaan tanpa permit.

Menurut sumber tempatan, pekerja dari pentadbiran awam tentera rejim Zionis telah diiringi oleh tentera menyerbu bahagian utara bandar dan menyerahkan perintah henti kerja ke atas 23 rumah, dimana 9 rumah tersebut tidak didiami.

Dalam kejadian berasingan, tentera rejim Zionis menjadikan bumbung sebuah rumah kepada pos kawalan di kampung Jaibun.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Para pejuang serang pusat pemeriksaan IOF di Jenin

Selasa, 26-09-2023 – Para pejuang Palestin pada Rabu lepas menyasarkan pusat pemeriksaan Israel di Jenin, manakala tentera rejim zionis (IOF) menculik dua orang pemuda di Nablus dan Baitulmuqaddis.

Menurut laporan media Palestin, para pejuang melepaskan tembakan ke  pusat pemeriksaan Dotan di barat daya Jenin dan meninggalkan tempat itu.

Manakala IOF menculik seorang pemuda, penduduk bandar Qabatiya di Jenin, setelah menghalangnya di pusat pemeriksaan tentera dekat bandar Huwara di selatan Nablus.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Nor idawati

Categories
Berita Semasa

Hamas kecam keputusan Paraguay untuk buka semula kedutaa di Jerusalem Timur yang dijajah

Selasa, 26-09-2023 – Gerakan Hamas dengan tegas mengutuk keputusan Presiden Paraguay, Santiago Peña, untuk membuka semula kedutaan negara tersebut di Jerusalem Timur yang diduduki selepas penggantinya mengeluarkan langkah haram seperti itu pada tahun 2018.

Dalam kenyataan pada hari Rabu, jurucakap Hamas, Jihad Taha, menyeru presiden Paraguay yang baru untuk membatalkan keputusan salah dan tidak adil tersebut serta mengelak daripada menyokong negara penjajah Israel dalam pelanggarannya terhadap rakyat Palestin dan hak mereka.

Jurucakap Taha menekankan bahawa keadilan sejati memerlukan usaha untuk mengakhiri penjajahan Israel dan menyokong aspirasi rakyat Palestin untuk kebebasan dan penentuan nasib sendiri.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Hamas seru PA untuk hentikan penahanan politik

Khamis, 21-09-2023 – Gerakan Hamas menyeru pihak berkuasa Palestin (PA) dan pasukan keselamatannya agar memihak kepada pilihan rakyat Palestin, dan menghentikan menganiaya pejuang dan membebaskan tahanan politik dari penjara.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Hamas berkata, kempen tangkapan oleh PA terhadap pejuang dari pelbagai kumpulan, yang selaras dengan rejim, tidak akan berjaya melemahkan semangat rakyat Palestin dan kesatuan mereka dengan segala bentuk perjuangan yang sah bagi membebaskan tanah mereka dan hak untuk kembali. 

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Nor idawati

Categories
Berita Semasa

IOF, pendatang Yahudi perbaharui serangan di Nablus, Jericho

Rabu, 20-09-2023 – Pertelingkahan dilaporkan pada petang Ahad rentetan serbuan oleh tentera rejim zionis (IOF) di timur Nablus. 

Tentera IOF melepaskan tembakan bom setelah menyerbu kawasan al-Quneitra di kampung Beit Furik timur Nablus.

Pejuang Palestin melepaskan tembakan peluru hidup di pos pemeriksaan Beit Furik bagi membalas serangan Israel.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Nor idawati

Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis mengeluarkan notis henti-kerja ke atas kediaman Palestin di al-Khalil.

Isnin, 18-09-2023 – Rejim Zionis Israel pada hari Khamis lepas telah mengeluarkan notis henti kerja ke atas kediaman Palestin setelah menyerbu Masafer Yatta di selatan al-Khalil.

Notis henti kerja telah dikeluarkan ke atas rumah berkeluasan 100 meter persegi di Masafer Yatta milik warga Palestin,  Jibril al-Adrah. Pada masa yang sama, pertempuran dilaporkan di antara pejuang muda Palestin dan tentera rejim Zionis Israel di kem pelarian Arroub , di utara al-Khalil.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Tahanan Palestin Maher Al-Akhras tangguhkan mogok lapar

Isnin, 18-09-2023 – Tahanan Palestin Maher Al-Akhras pada Khamis menangguhkan mogok laparnya yang telah berlangsung selama 23 hari.

Al-Akhras mengakhiri mogok laparnya bagi memberikan peluang kepada peguamnya untuk berunding dengan pendakwa Israel setelah satu tuduhan dikenakan ke atasnya. Pihak berkuasa Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan mengesahkannya dalam satu kenyataan ringkas

Keputusan itu diambil setelah sesi perbicaraan dijadualkan pada 26 Oktober.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Nor idawati