Categories
Berita Semasa

Rejim Zions Angkut Penduduk Kem Tulkarem Ketika Cuba Selamatkan Barang Peribadi

Selasa, 08/07/2025 – Tentera penjajah Israel (IOF) mengangkut dan menghalang penduduk Kem Pelarian Tulkarem di utara Tebing Barat daripada mengambil barang-barang mereka, ketika mereka cuba masuk semula ke rumah masing-masing yang diancam pemusnahan.

Tindakan ini sebahagian daripada rancangan Israel untuk merobohkan 104 bangunan dalam kem atas alasan “kepentingan ketenteraan.”

Sumber tempatan memaklumkan bahawa IOF sengaja menyekat akses ke rumah dengan memeriksa kad pengenalan, menahan beberapa individu, dan menjalankan soal siasat dan pemeriksaan secara terbuka dalam suasana tegang.

Penduduk hanya diberi beberapa jam untuk menyelamatkan barang peribadi, dibantu oleh sukarelawan Bulan Sabit Merah Palestin. Dalam masa yang sama, IOF mengepung kawasan kem, menempatkan askar di pintu masuk, lorong-lorong sempit, dan mengambil alih rumah-rumah sebagai pos tentera. Mereka melepaskan tembakan hidup dan bom gegaran untuk menakutkan penduduk.

Malam sebelumnya, tentera Israel mengumumkan bahawa “kumpulan kedua” keluarga—yang tidak sempat keluar sebelum ini—dibenarkan masuk ke kem antara jam 2:30 petang hingga 6:30 petang untuk mengambil barang. Namun, ini hanya melibatkan 54 rumah daripada senarai pemusnahan.

Tiga laluan diumumkan: pintu masuk kejiranan Maqata’a, Dataran Hanoun, dan laluan bersebelahan Sekolah Perempuan Zanoubia ke sekolah UNRWA.

Kem Tulkarem telah dikepung dan diserang selama 161 hari berturut-turut. Penduduk berdepan pengusiran paksa, ugutan, dan pemusnahan kediaman. Puluhan rumah telah dimusnahkan sejak beberapa hari lalu.

Kem Nur Shams berdekatan turut dikenakan kepungan selama 148 hari. Tentera menutup laluan utama, menghancurkan jalan, dan memutuskan hubungan antara kawasan kejiranan.

Di bandar Tulkarem, kenderaan tentera meronda jalan utama termasuk Jalan Nablus, pasar, Dataran Thabet Thabet, dan Dataran Jamal Abdel Nasser. Tentera menyekat lalu lintas, memandu melawan arus, dan melanggar kenderaan orang awam.

Serbuan turut berlaku di Shuweika, Irtah, dan Dhanaba. Tentera mendirikan sekatan jalan mengejut dan menahan pemuda selepas memeriksa kad pengenalan mereka.

Jalan Nablus, yang menghubungkan Tulkarem dan Nur Shams, menjadi zon ketenteraan. Beberapa bangunan kediaman telah dirampas dan dijadikan pos tentera selama lebih empat bulan. Jentera berat digunakan secara berterusan. Jalan-jalan rosak teruk akibat halangan tanah dan sekatan tentera.

Setakat ini, serangan ini telah menyebabkan 14 rakyat Palestin terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak dan dua wanita—seorang daripadanya hamil lapan bulan. Puluhan cedera atau ditahan. Ratusan rumah, kedai dan kenderaan rosak atau musnah.

Lebih 5,000 keluarga—sekitar 25,000 orang—telah dipaksa keluar. Lebih 600 rumah musnah sepenuhnya, manakala 2,573 rosak sebahagian. Kedua-dua kem kekal terputus dan sunyi, dikelilingi halangan tanah dan kawalan tentera.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Peneroka haram meningkatkan serangan ke atas telaga air penting Palestin di Ramallah

Selasa, 08/07/2025 – Peneroka haram Israel sekali lagi menyerang infrastruktur air penting Palestin di kawasan Ein Samia, timur laut Ramallah, seterusnya mengancam  akses kepada air bersih untuk beribu-ribu penduduk di seluruh wilayah Ramallah dan Al-Bireh. Menurut laporan tempatan, peneroka haram menyerbu telaga No. 2 dan No. 3 di kawasan timur bandar Kafr Malik, merosakkan kamera pengawasan, memusnahkan bahagian stesen air, dan mencuri pintu pagar salah satu pusat loji air.

Pihak Berkuasa Air Jerusalem mengutuk serangan itu, memberi amaran tentang “akibat malapetaka” dan menyebutnya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terbuka.

Pihak Berkuasa menegaskan bahawa serangan berulang ini secara langsung mengancam bekalan air yang berterusan kepada berpuluh-puluh komuniti Palestin yang sudah menghadapi kekurangan air.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Perbandaran Gaza: Majoriti jalan raya Gaza rosak sepenuhnya atau sebahagian akibat pencerobohan

Isnin, 07/07/2025 – Majlis Perbandaran Gaza melaporkan  bahawa rangkaian jalan raya dan jalan raya di bandar itu telah mengalami kerosakan teruk akibat daripada kempen pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan yang dilakukan oleh pendudukan Israel di Semenanjung Gaza selama hampir dua puluh bulan.

Dalam satu kenyataan akhbar hari Selasa lepas, majlis perbandaran itu berkata rangkaian jalan raya di Gaza City menjangkau kira-kira 900 kilometer, tersebar di 3,659 jalan, termasuk jalan utama, jalan tepi dan lorong.

Ia menjelaskan bahawa rangkaian ini memberi manfaat kepada lebih sejuta penduduk bandar dan kawasan komuniti berdekatan, selain kira-kira 50,000 kenderaan yang menggunakan jalan raya bandar ini setiap hari.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

70 Terbunuh Dalam Serangan Israel Terhadap 25 Buah Rumah di Gaza

Isnin, 07/07/2025 – Pasukan Pertahanan Awam Palestin di Semenanjung Gaza mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 70 orang awam telah terkorban dalam siri serangan udara oleh tentera penjajah Israel yang menyasarkan lebih 25 buah rumah kediaman, termasuk lima kawasan tumpuan orang awam, sejak awal pagi tadi di Bandar Gaza.

Jurucakap Direktorat Agung Pertahanan Awam, Mahmoud Basal, memaklumkan bahawa antara mangsa yang syahid termasuk 11 individu yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan, 12 kanak-kanak, dan 14 wanita. Lebih daripada 200 mangsa turut mengalami kecederaan, sebahagiannya dalam keadaan parah dan kritikal.

Operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan, khususnya di rumah milik keluarga Abu Samra yang dibom petang tadi di Jalan Kashko, kawasan Al-Zaytoun, timur Gaza. Menurut laporan awal, lebih 30 orang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan enam tingkat tersebut.

Selain itu, lebih 25 orang awam, termasuk yang masih hidup dan yang telah terkorban, masih tertimbus di bawah runtuhan rumah milik keluarga Dahdah berhampiran Masjid Al-Joulani di kawasan Al-Tuffah, juga di timur Gaza. Bagaimanapun, pasukan penyelamat masih belum dapat mencapai lokasi tersebut akibat serangan berterusan oleh tentera Israel yang menyasarkan kawasan penyelamatan.

Serangan kejam ini merupakan sebahagian daripada siri pengeboman yang telah berlangsung selama 634 hari berturut-turut, menandakan fasa berpanjangan pembunuhan kejam terhadap penduduk awam Palestin. Serangan dilakukan secara terang-terangan, di siang hari, malah disiarkan secara langsung kepada dunia — namun masyarakat antarabangsa masih gagal mengambil tindakan bermakna bagi menghentikan keganasan ini.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

PMA menyeru campur tangan antarabangsa untuk menyelesaikan krisis pengumpulan syikal dalam bank

Rabu, 02/07/2025 – Pihak Berkuasa Kewangan Palestin (PMA) menggesa campur tangan antarabangsa untuk menyelesaikan krisis pengumpulan matawang shekel rejim Zionis  Israel dalam bank yang beroperasi di wilayah Palestin, memberi amaran tentang kesan ekonomi dan perbankan yang mengancam kestabilan sistem kewangan.

Ini timbul  semasa perbincangan yang diadakan oleh Gabenor PMA, Yahya Shunnar, dengan Konsul Jeneral British, Helen Winterton, di ibu pejabat Pihak Berkuasa di Ramallah, di Tebing Barat tengah, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PMA.

Kenyataan dari mesyuarat itu membincangkan “krisis pengumpulan lebihan shekel dalam bank yang beroperasi di Palestin dan kesannya terhadap keadaan ekonomi dan perbankan,” selain kesan lebihan mudah tunai terhadap keupayaan bank untuk memenuhi keperluan rakyat dan sektor ekonomi, terutamanya sektor komersial.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Gaza: 88 syahid, meningkat kepada 56,500

Rabu, 02/07/2025 – Dalam tempoh 24 jam yang lalu, hospital di Semenanjung Gaza menerima 86 syahid dalam serangan baru Zionis, bersama dengan dua orang lain yang syahid dilaporkan hilang dalam serangan sebelumnya.

Menurut kementerian kesihatan Gaza pada Ahad, 365 rakyat turut cedera berikutan serangan Israel dalam beberapa jam lalu.

Sehubungan itu, seramai 6,175 orang terbunuh dan 21,378 lagi cedera sejak tentera Zionis menyambung semula genosid ke atas Gaza pada 18 Mac 2025.

Kematian baharu itu meningkatkan angka kematian akibat perang genosid Zionis ke atas Gaza, yang bermula pada 7 Oktober 2023, kepada 56,500 syahid, kata kementerian kesihatan.

Kementerian menambah bahawa jumlah keseluruhan yang cedera juga meningkat kepada 133,419 orang.

Sekurang-kurangnya 18 pencari bantuan terbunuh dan lebih 41 cedera akibat tembakan Israel hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan orang terbunuh sejak Mei lalu di pusat pengedaran bantuan AS-Israel kepada 583, dengan 4,186 yang lain cedera.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Puluhan warga sivil dibunuh dalam serangan genosid yang berterusan

Rabu, 02/07/2025 – Tentera pendudukan Israel meneruskan serangan maut di pelbagai kawasan Jalur Gaza malam tadi dan pada hari Ahad, membunuh dan mencederakan berpuluh-puluh orang awam.

Menurut sumber media tempatan, tentera Israel juga meneruskan hari ini untuk meletupkan lebih banyak rumah serta mengusir keluarga di Jalur Gaza, yang semakin mendalamkan krisis kemanusiaan yang teruk apabila penduduk berdepan dengan kebuluran yang semakin teruk.

Menurut wartawan Pusat Maklumat Palestin (PIC) di Gaza, serangan Israel telah berterusan di seluruh Jalur Gaza, termasuk serangan Israel yang membunuh tiga orang di kawasan Mawasi di Khan Yunis.

Serangan lain ke atas perhimpunan warga di kawasan kejiranan at-Tuffah di Bandar Gaza membunuh dua orang daripada mereka.

Serangan artileri Israel juga membunuh tiga kanak-kanak dari keluarga Abu Warda di jalan Ahmed Fekri di kawasan Jabalia an-Nazla, utara Gaza.

Empat orang syahid, termasuk seorang kanak-kanak perempuan, berikutan serangan Israel ke atas sebuah rumah milik keluarga Al-Ashi di kawasan kejiranan al-Sabra di Bandar Gaza.

Lima orang juga terbunuh dan yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di kawasan kejiranan at-Tuffah.

Dua kanak-kanak terbunuh dan yang lain mengalami kecederaan dalam serangan Israel ke atas sebuah rumah milik keluarga Azzam di kawasan kejiranan az-Zeitoun di Bandar Gaza.

Puluhan orang juga syahid atau cedera dalam serangan Israel ke atas mereka yang mencari bantuan berhampiran pusat pengedaran yang disokong AS di selatan dan tengah Gaza.

Tentera Israel juga melancarkan serangan ke atas kawasan lain di Jalur Gaza malam tadi dan hari ini, membunuh dan mencederakan lebih ramai orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita.

Sementara itu, ramai penduduk Gaza disahkan meninggal dunia selepas mereka menghembuskan nafas terakhir akibat kecederaan yang mereka alami dalam serangan terbaru ini.

Penterjemah : Hj Fariz

Categories
Berita Semasa

Pihak Berkuasa Israel memberi tempoh 21 hari kepada penduduk Baitulmaqdis untuk Merobohkan Rumah Mereka Sendiri

Rabu, 02/07/2025 –Pihak berkuasa Israel telah mengeluarkan perintah untuk merobohkan rumah warga Palestin Mousa Nihad Badran di kejiranan Al-Bustan di Silwan, Baitulmaqdis.

Dia telah diperintahkan untuk merobohkan sendiri rumahnya dalam tempoh 21 hari, atau terpaksa menanggung keseluruhan kos perobohannya.

Sejak 7 Oktober 2023, lebih 33 rumah telah dirobohkan di Al-Bustan, sebagai sebahagian daripada dasar perpindahan sistematik yang mengancam berpuluh-puluh keluarga Palestin di kawasan itu.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

Hamas: Tindakan Mengosongkan Jemaah dari Al-Aqsa Usaha Zionis Untuk Kukuhkan Kawalan

Rabu, 02/07/2025 – Gerakan Hamas mengecam keras pencerobohan ke kawasan perkarangan Masjid Al-Aqsa yang diberkati oleh puluhan peneroka Yahudi, yang dilakukan di bawah perlindungan ketat polis penjajah Israel.

Selepas masjid dikosongkan daripada para jemaah Muslim, peneroka terbabit dilaporkan melakukan ritual Talmudik – satu tindakan yang disifatkan oleh Hamas sebagai eskalasi berbahaya serta pelanggaran terang-terangan terhadap kesucian Al-Aqsa. Hamas menyifatkan insiden ini sebagai “usaha terdesak Zionis untuk mengukuhkan kawalan” ke atas tapak suci tersebut.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada malam Ahad, Hamas menyeru rakyat Palestin di Baitulmaqdis yang diduduki, Tebing Barat, serta wilayah Palestin yang diduduki sejak 1948 agar berhimpun dan tetap teguh di Masjid Al-Aqsa bagi mempertahankannya daripada cubaan rejim penjajah untuk menjudaikan tapak suci Islam itu.

Hamas turut menggesa negara-negara Arab dan Islam agar segera mengambil tindakan tegas dan bermakna bagi melindungi kiblat pertama umat Islam daripada pencemaran serta usaha mengubah identiti dan statusnya.

Awal pagi semalam, puluhan peneroka Israel dilaporkan menceroboh masuk ke kawasan Masjid Al-Aqsa melalui Pintu Al-Magharibeh, dengan kawalan keselamatan ketat daripada polis Israel. Mereka kemudian melakukan doa dan ritual Talmudik di kawasan timur masjid.

Sepanjang insiden tersebut, polis Israel telah menghalang kemasukan jemaah Muslim ke dalam masjid bagi memberi laluan kepada para peneroka.

Sejak 7 Oktober 2023, tentera Israel telah melaksanakan sekatan ketat di sekitar Baitulmaqdis, termasuk mendirikan puluhan sekatan jalan di pintu masuk kampung dan kawasan kejiranan, serta melarang penduduk Tebing Barat daripada memasuki bandar itu dan menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Masjid Aqsa kembali dibuka selepas 12 hari ditutup rejim Zionis Israel.

Isnin, 30/06/2025 – Pihak berkuasa rejim Zionis  Israel membuka semula beberapa pintu Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis yang dijajah selepas penutupan selama 12 hari berikutan peningkatan serangan  dengan Iran baru-baru ini.

Pihak Pengurusan  Baitulmaqdis melaporkan bahawa pihak berkuasa rejim Zionis  Israel menarik balik keadaan darurat yang dikenakan hampir dua minggu lalu dan membuka semula Hitta, Silsila, dan Pintu Majlis untuk jemaah, menandakan sebahagian pelonggaran sekatan masuk ke Masjidil Aqsa.

Pintu Hitta adalah salah satu pintu masuk arah utara Masjid, yang menghadap ke kawasan kejiranan Sa’adiyya. Pintu Silsila terletak di sebelah barat berhampiran Pintu Magharibeh dan banyak digunakan oleh para penyembah. Pintu Majlis juga terletak di sebelah barat dan berfungsi sebagai salah satu pintu masuk utama pengunjung ke perkarangan Masjid.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Israel keluar 600 perintah penahanan pentadbiran dalam tempoh 2 minggu

Isnin, 30/06/2025 – Suruhanjaya bagi Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan serta Persatuan Tahanan Palestin (PPS) menyatakan bahawa perisikan Israel telah mengeluarkan lebih 600 perintah penahanan pentadbiran sejak dua minggu lalu, menambah kepada beribu-ribu perintah sedemikian yang dikeluarkan sejak permulaan perang genosid.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Selasa lalu, kedua-dua kumpulan itu berkata terdapat peningkatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam bilangan tahanan pentadbiran sejak bermulanya pembunuhan beramai-ramai, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Sehingga Jun, jumlah tahanan pentadbiran mencecah 3,562, termasuk sekurang-kurangnya 95 kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

516 Palestin Syahid di Zon Perangkap Maut

Isnin, 30/06/2025 – Pejabat Media Kerajaan di Gaza mengumumkan hari Selasa bahawa 516 rakyat Palestin telah terbunuh dan 3,799 cedera dalam apa yang disifatkannya sebagai “perangkap maut Zionis,as-Amerika” yang menyasarkan orang awam yang kelaparan yang cuba mencapai pusat bantuan kemanusiaan di Semenanjung yang dikepung. Tambahan 39 orang masih hilang, dikhuatiri mati di bawah runtuhan atau tidak dapat dikesan di tengah-tengah huru-hara.

Menurut kenyataan itu, pasukan pendudukan Israel telah berulang kali mengebom dan membedil tempat pengagihan bantuan—terutamanya di Rafah dan tengah Gaza—sejak beberapa hari lalu, menjadi zon pembunuhan. Mangsa kebanyakannya adalah orang awam yang miskin dan kehilangan tempat tinggal yang terdesak mencari makanan di wilayah yang dilanda kebuluran.

Sejak 7 Oktober 2023, Zionis telah melaksanakan apa yang disifatkan oleh pertubuhan hak asasi manusia dan badan perundangan antarabangsa sebagai genosida ke atas Gaza, membunuh atau mencederakan sekitar 180,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal. Lebih 11,000 masih tersenarai hilang, ramai yang tertimbus di bawah runtuhan rumah, tempat perlindungan dan talian bantuan yang musnah.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Rumah Penduduk Dijadikan Pos Tentera Dalam Serbuan Israel Di Nablus

Isnin, 30/06/2025 – Dua pemuda Palestin cedera selepas diserang pendatang Yahudi yang disokong tentera Israel di selatan Nablus malam tadi.

Menurut sumber tempatan, mereka dipukul dengan teruk di kawasan pergunungan Qamas, antara Beita dan Osrin. Keadaan mereka belum diketahui.

Dalam insiden berasingan, tentera Israel merampas sebuah rumah di Kampung Al-Lubban Al-Sharqiya dan menjadikannya pos tentera. Rumah milik Nael Owais itu diserbu, dijadikan berek, dan dikibarkan bendera Israel di atas bumbung.

Beberapa kenderaan tentera turut meronda kawasan kampung sambil mengganggu dan menyekat pergerakan penduduk.

Sejak kebelakangan ini, tentera Israel semakin kerap menukar rumah-rumah Palestin di Tebing Barat menjadi pos tentera. Penduduk diusir, harta dirosakkan atau dicuri, dan kawasan kediaman diisytihar zon tentera—langkah yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Rumah yang dirampas dijadikan pos kawalan, lokasi penembak tepat, atau tempat soal siasat. Ada juga bangunan apartmen penuh yang diubah menjadi kem tentera. Beberapa penduduk mendakwa mereka dipukul dan dihina semasa pengusiran. Ada yang kehilangan barangan peribadi, termasuk wang tunai, manakala isi rumah dirosakkan sepenuhnya oleh tentera.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Pertahanan Awam: Zionis Sekat Usaha Cari Mangsa Syahid

Rabu, 25/06/2025 – Pertahanan Awam Palestin menuduh tentera Zionis (IOF) menghalang usaha untuk mendapatkan semula rakyat Palestin yang syahid dalam genosida sebelum ini di barat laut Semenanjung Gaza, kerana keluarga mangsa masih tidak dapat mengebumikan orang tersayang mereka dengan bermaruah.

Dalam satu kenyataan akhbar pada hari Ahad, Pertahanan Awam berkata ia masih menunggu maklum balas daripada IOF berhubung permintaan rasmi kedua-yang dikemukakan melalui Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA)-untuk membenarkan pasukannya mengakses kawasan Al-Sudaniya dan mengambil baki mayat syahid.

Kawasan itu adalah lokasi genosida yang dilakukan oleh IOF terhadap berpuluh-puluh pemuda yang telah berkumpul dalam keadaan terdesak untuk mendapat bantuan kemanusiaan. Lima hari kemudian, Israel membenarkan pasukan penyelamat untuk mencari 15 mayat, tetapi sejak itu enggan memberikan akses untuk menyelesaikan operasi.

“Sehingga saat ini, IOF terus menafikan kami akses untuk mendapatkan syahid yang tinggal,” kata kenyataan itu.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Kerajaan Iran bakal tutup Selat Hormuz

Rabu, 25/06/2025 – Media rasmi kerajaan Iran mengumumkan Ahad bahawa parlimen Iran telah meluluskan usul untuk menutup Selat Hormuz, salah satu laluan perkapalan minyak yang strategik dan paling penting di dunia, sebagai tindak balas kepada serangan tentera AS ke atas tiga tapak nuklear di dalam Iran.

Bagaimanapun, keputusan itu kini menunggu kelulusan akhir daripada Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.

Komander Pengawal Revolusi Esmaeil Kousari menyatakan bahawa “pelaksanaannya adalah dalam agenda dan akan dilakukan sekiranya perlu.”

Selat Hormuz ialah salah satu laluan maritim paling kritikal di dunia, berfungsi sebagai pintu jalan masuk utama untuk eksport minyak dari rantau Teluk. Ianya terletak di antara Iran di utara dan Oman dan UAE di selatan. Ia merupakan laluan air yang sempit menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab. Kira-kira 20 peratus daripada bekalan minyak global, lebih 17 juta tong sehari, melalui selat strategik ini, menjadikannya penting untuk pasaran tenaga antarabangsa.

Terdahulu pada hari Ahad, presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa tentera Amerika melakukan apa yang disifatkannya sebagai “serangan yang sangat berjaya” ke atas kemudahan nuklear Iran di Fordo, Natanz, dan Isfahan.

Penterjemah : Hj Fariz