Categories
Berita Semasa

Israel enggan bebaskan banduan tamat tempoh tahanan

Isnin, 23-08-2022 – Pentadbiran penjara rejim Israel pada hari Khamis enggan membebaskan tahanan Palestin, Ahmad Abu Jazar walaupun selepas dia menamatkan tempoh hukuman penjara selama 19 tahun.

Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan, Israel memutuskan untuk melanjutkan penahanan Abu Jazar sehingga 24 Ogos untuk siasatan lanjut selepas menuduhnya menyerang pegawai penjara Israel.

Suruhanjaya melabelkan keputusan Israel itu sebagai satu provokasi perasaan ke atas keluarga Palestin yang bertujuan menghalang mereka daripada meraikan pembebasan anak lelaki mereka, menyeru institusi antarabangsa dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa untuk berusaha ke arah membebaskan tahanan tersebut.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Amrul Azmi Mizan

Categories
Berita Semasa

Gadis Palestin Yang Tercedera ke Türkiye Untuk Rawatan

Jumaat, 19-08-2022 – Seorang gadis Palestin berusia 11 tahun, Rahaf Salman dan abangnya berusia 13 tahun, yang kedua-duanya cedera dalam serangan Israel baru-baru ini di Semenanjung Gaza, meninggalkan wilayah itu pada hari Rabu untuk rawatan di Türkiye.

Keluarga Palestin itu meninggalkan Semenanjung Gaza melalui persimpangan Rafah ke Mesir, di mana mereka akan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke Türkiye.

Pada 6 Ogos, Rahaf dan Mohammed cedera terkena serpihan peluru berpandu Israel ketika serangan ke atas bandar Jabalia di utara Semenanjung Gaza. Kaki dan tangan kanan Rahaf terpaksa dipotong.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Neina Mukhtar

Categories
Berita Semasa

IOF serang nelayan dan petani di Gaza

Jumaat, 19-08-2022 – Tentera rejim zionis (IOF) pada pagi Rabu menyerang nelayan dan petani Palestin di barat dan timur Semenanjung Gaza.

Menurut sumber tempatan, bot bersenjata Israel menyerang nelayan dan bot mereka menggunakan peluru hidup dan Meriam air ketika berada dalam lingkungan beberapa batu nautika di utara perairan Gaza, menyebabkan mereka terpaksa kembali ke pantai.

Tiada yang dilaporkan cedera dalam serangan IOF itu.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Nor idawati

Categories
Berita Semasa

Dua keluarga Palestin dipaksa robohkan rumah

Jumaat, 19-08-2022 – Pihak berkuasa Israel telah memaksa dua buah keluarga warga Palestin di Baitulmuqaddis yang diduduki untuk merobohkan sendiri rumah mereka kerana didakwa dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa Israel.

Ahli keluarga Shweiki kehilangan tempat tinggal selepas diarah merobohkan sendiri rumah mereka di kawasan kejiranan Al-Thawri yang menghadap masjid Al-Aqsa pada hari Rabu.

Keluarga Abu Raya juga terpaksa merobohkan sendiri sebahagian daripada rumah mereka di kampung Al-Sharafat, selatan Baitulmuqaddis yang diduduki.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Amrul Azmi Mizan

Categories
Berita Semasa

Israel mengaku membunuh lima kanak-kanak dalam keganasan terbaru di Gaza

Khamis, 18-08-2022 – Setelah sebelum ini menyalahkan pejuang Jihad Islami, pegawai tentera rejim mengaku pada Selasa yang serangan udara Israel bertanggungjawab ke atas pembunuhan lima kanak-kanak Palestin pada hari terakhir serangan terbaru di Semenanjung Gaza.

Menurut laman sesawang akhbar Haaretz, beberapa sumber tentera mengesahkan yang satu soal siasat ketenteraan dilakukan terhadap kejadian itu, yang berlaku pada 7 Ogos di perkuburan Fallujah, timur Jabalia, merumuskan yang kanak-kanak itu memang terbunuh dalam serangan udara rejim Israel.

Pada masa kematian mereka, beberapa pegawai kanan mendakwa yang lima kanak-kanak itu kemungkinan besar dibunuh oleh roket Jihad Islami yang tersalah ditembak.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Nor idawati

Categories
Berita Semasa

Mardawi: Perjuangan dan Sokongan Rakyat Meningkat Di Tebing Barat

Khamis, 18-08-2022 – Tokoh Hamas Mahmud Mardawi menegaskan bahawa pejuang Palestin terus melakukan aksi yang didokong oleh segenap masyarakat di seluruh kota Tebing Barat.

Saluran berita, Hurieh News mengutip pernyataan Mardawi bahawa para pejuang perlawanan di Jenin, Tulkarm dan Nablus mula beralih dari keadaan terbuka kepada tertutup dengan sokongan segenap rakyat untuk terus menyerang para penduduk dan tentera zionis.

Para pejuang menghadapi penduduk Israel yang bertebaran di kawasan bukit dan di sejumlah kawasan Tebing Barat. Tindakan ini menimbulkan kesukaran kepada pihak militan Israel untuk berhadapan dengan dua front iaitu di Utara dan Selatan.

Mardawi menyatakan bahawa perlindungan rakyat adalah keutamaan dan mengirimkan pesan bahawa bangsa Palestin komited pada pilihan perjuangan memikul senjata, sebagai satu-satunya pilihan membebaskan diri dari penjajahan.

sumber : https://melayu.palinfo.com
penterjemah : Osman

Categories
Berita Semasa

Delegasi Eropah melawat Gaza untuk menilai keadaan kemanusiaan

Khamis, 18-08-2022 – Satu delegasi diplomat Eropah tiba pada pagi Selasa di Semenanjung Gaza untuk bertemu dengan pegawai dari UNRWA dan organisasi lain serta melawat kawasan yang dibom.

Delegasi itu, termasuk duta dan diplomat dari negara Eropah yang berbeza, akan diberi taklimat mengenai situasi kemanusiaan di Gaza berikutan pendedahannya kepada pencerobohan Israel baru-baru ini.

Delegasi itu akan bertemu dengan pegawai UNRWA dan wakil pertubuhan masyarakat sivil, dan membuat beberapa lawatan lapangan untuk bercakap dengan saudara-mara mangsa dan pemilik rumah yang dibom.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Mahkamah Israel Lanjut Tempoh Kurungan Seorang Diri Manasra

Khamis, 18-08-2022 – Mahkamah Israel di Beersheba memutuskan untuk melanjutkan tempoh tahanan bersendirian Ahmad Manasra selama enam bulan lagi pada sesi mahkamah hari Selasa, lapor Pejabat Media Asra.

Menurut peguam Khaled Zabarqa, lanjutan tempoh kurungan seorang diri Manasra bermula pada 21 Mei 2022 dan akan berakhir pada 21 November 2022, walaupun keadaan mentalnya semakin merosot.

Peguam Zabarqa meminta Israel bertanggungjawab terhadap keadaan kesihatan mental Manasra yang semakin teruk berikutan pelanjutan tahanan sendiriannya di samping pengabaian perubatan oleh Israel.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Neina Mukhtar

Categories
Berita Semasa

Tahanan pesakit kanser, Abu Hamid berisiko tinggi maut

Khamis, 18-08-2022 – Kanser telah merebak ke bahagian lain badan banduan, Nasser Abu Hamid termasuk otak, lapor Persatuan Banduan Palestin (PPS), sambil menambah bahawa dia berisiko tinggi untuk mati.

“Kami menjangkakan bahawa ini akan berlaku kepada Abu Hamid memandangkan komplikasi kesihatannya yang serius,” kata PPS dalam satu kenyataan akhbar pada hari Selasa.

PPS mengesahkan bahawa Abu Hamid tidak lagi mampu menjalani sesi kemoterapi, sambil menegaskan keadaan kesihatannya yang semakin merosot memerlukan dia dibebaskan secepat mungkin.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Amrul Azmi Mizan

Categories
Berita Semasa

Hamas Ucap Takziah Kepada Mesir Atas Kejadian Kebakaran Gereja Coptic di Giza

Rabu, 17-08-2022 –Gerakan Hamas menyampaikan ucapan takziah kepada Mesir atas kematian warganya dalam kebakaran yang berlaku di gereja Coptic Abu Sifin di kejiranan Imbaba di Giza pada hari Ahad.

“Semoga Allah memberi kesembuhan kepada mereka yang cedera dan melindungi rakyat Mesir daripada segala bahaya,” kata Gerakan itu dalam satu kenyataan akhbar. Awal pagi itu, 41 rakyat Mesir maut manakala 55 lagi cedera, empat daripadanya cedera parah, selepas kebakaran berlaku di kawasan Imbaba.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Neina Mukhtar

Categories
Berita Semasa

Hamas: Operasi Baitulmuqaddis adalah tindak balas semula jadi terhadap jenayah Israel

Rabu, 17-08-2022 – Gerakan Hamas menyifatkan operasi tembakan yang berlaku pada subuh Ahad di Baitulmuqaddis sebagai berani dan menggambarkan aktiviti penentangan berterusan di kota suci itu.

“Kami rakyat Palestin sedar bahawa penentangan adalah satu-satunya cara untuk melindungi tanah suci untuk memberi tekanan kepada rejim,” jurucakap Hamas Fawzi Barhoum berkata dalam kenyataan akhbar pada pagi Ahad.

“Operasi berani itu adalah reaksi normal terhadap jenayah dan kekacauan yang dilakukan oleh rejim dan pendatang pada setiap hari  ke atas rakyat, tanah kami, dan tapak suci Islam juga Kristian, serta pencemaran berterusan di Masjid Aqsa,” tambah Barhoum.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Nor idawati

Categories
Berita Semasa

Penceroboh Yahudi serbu tapak purba Masoudiya di Nablus

Rabu, 17-08-2022 – Penceroboh Yahudi yang dilindungi oleh tentera rejim Israel menyerbu kawasan Masoudiya di utara bandar Nablus, Tebing Barat pada hari Ahad.

Menurut media Palestin, lebih 20 orang penceroboh Yahudi yang diiringi pemandu pelancong menyerbu kawasan Masoudiya berhampiran bandar Burqa dan Sebastia.

Penceroboh Yahudi melawat kawasan Masoudiya pada setiap minggu dalam usaha untuk mengawalnya, mendakwa ia adalah sebahagian daripada apa yang dipanggil Taman Negara Bible.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Amrul Azmi Mizan

Categories
Berita Semasa

Mahkamah Israel Lanjut Tempoh Tahanan Ketua Jihad Islam

Isnin, 15-08-2022 – Mahkamah tentera Israel di Ofer melanjutkan perintah tahanan komander Jihad Islam Bassam al-Saadi selama enam hari untuk siasatan lanjut pada Khamis. Menurut radio tentera Israel, Al-Saadi hadir ke mahkamah dan mendapat liputan akhbar oleh media Hebrew dan media asing

Peguamnya mengesahkan bahawa Saadi telah dipukul dan diserang dengan teruk semasa dalam tahanan, sambil menegaskan bahawa apa yang telah dilakukan terhadap Saadi memerlukan perintah mahkamah untuk membebaskannya.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Neina Mukhtar

Categories
Berita Semasa

IOF sasarkan nelayan dan petani di Gaza

Isnin, 15-08-2022 – Tentera rejim zionis (IOF) menyasarkan petani dan nelayan Palestin ketika bekerja di Semenanjung Gaza dan perairannya pada pagi Khamis.

Sumber akhbar menyatakan tentera IOF melepaskan tembakan ke arah petani Palestin yang sedang bekerja di tanah mereka, di timur Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, memaksa mereka meninggalkan tanah mereka kerana bimbangkan nyawa terancam.Mereka menambah yang bot bersenjata Israel turut melepaskan tembakan ke arah bot nelayan Palestin di perairan barat laut Gaza dan mengejar mereka sehingga memaksa mereka kembali ke pantai. 

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Nor idawati

Categories
Berita Semasa

Angka kematian pencerobohan Israel ke atas Gaza meningkat semula

Isnin, 15-08-2022 – Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan udara Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 48 selepas seorang gadis Palestin berusia 9 tahun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya semasa serangan pada pagi Khamis.

Lian Al-Shaer mengalami kecederaan serius di kepala selepas terkena serpihan Israel di Semenanjung Gaza.

Lian menjalani pembedahan perubatan di kepalanya sebelum dipindahkan ke Hospital Al-Makassed di Jerusalem yang dijajah, di mana dia disahkan meninggal dunia.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Norshuhada Samudin