Categories
Berita Semasa

Anak Palestin Syahid Sertai Bapa dan Kakaknya Selepas 2 Hari

Khamis, 11/06/2026 – Jumlah kematian akibat serangan Israel di Bandar Gaza meningkat pada petang Selasa selepas Malak Abdullah Qaddoum, seorang kanak-kanak Palestin, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dua hari sebelumnya dalam serangan di barat Bandar Gaza.

Sumber tempatan berkata Malak meninggal dunia akibat kecederaannya, menyertai bapa dan kakaknya, yang terkorban dalam serangan yang sama.

Dalam kejadian berasingan, lima orang cedera dan dibawa ke Hospital Al-Awda selepas tembakan menyasarkan sebuah kenderaan berhampiran jambatan Wadi Gaza di Jalan Salah al-Din di tengah Gaza.

Menurut laporan tempatan, tembakan itu dilakukan oleh individu yang digambarkan sebagai rakan sekutu dengan pasukan Zionis, mencederakan beberapa orang awam di dalam kenderaan itu.

Kempen genosid Zionis di Gaza telah membunuh hampir 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 172,000 orang, menurut angka Palestin.

Walaupun perjanjian gencatan senjata dicapai pada Oktober tahun lepas, pasukan Israel terus melancarkan serangan di pelbagai bahagian Gaza, sementara sekatan ke atas bantuan kemanusiaan, makanan, ubat-ubatan dan bekalan tempat tinggal masih berkuat kuasa.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Perancis kenakan sekatan terhadap peneroka Israel, larang Smotrich memasuki wilayahnya

Khamis, 11/06/2026 – Perancis pada hari Selasa mengumumkan pakej baharu sekatan yang menyasarkan pegawai dan peneroka Israel berhubung perluasan aktiviti penempatan haram serta keganasan peneroka di Tebing Barat yang diduduki, dengan penyelarasan bersama Britain, Kanada, Australia, New Zealand dan Norway.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot, berkata dalam satu hantaran di platform X bahawa keenam-enam negara tersebut telah bersetuju untuk mengambil tindakan bersama terhadap individu yang bertanggungjawab meningkatkan perluasan penempatan haram dan keganasan berkaitan di Tebing Barat.

Beliau menjelaskan bahawa Perancis telah mengenakan larangan memasuki negara itu terhadap Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, bersama empat pegawai yang mempunyai kaitan dengan organisasi penempatan haram dan 21 peneroka yang didakwa terlibat dalam tindakan keganasan.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

Zionis Paksa Dua Saudara Palestin Roboh Bangunan

Khamis, 11/06/2026 – Zionis pada hari Ahad memaksa dua beradik Palestin, Nabil Abu Juma dan Sami Abu Juma, untuk merobohkan sendiri sebuah bangunan kediaman yang mengandungi dua pangsapuri di bandar Al-Tur, timur Baitulmaqdis yang Dijajah.

Bangunan itu telah berdiri sejak tahun 2000. Selama bertahun-tahun, pemiliknya telah dikenakan denda dan pelanggaran berulang kali yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Israel kerana didakwa dibina tanpa permit Zionis.

Zionis telah menangguhkan perintah perobohan beberapa kali sebelum memberikan tarikh akhir kepada adik-beradik itu iaitu 26 Jun 2026, untuk merobohkan bangunan itu sendiri atau menghadapi denda tambahan dan hukuman.

Pihak berkuasa perbandaran Baitulmaqdis terus menyekat permit bangunan untuk rakyat Palestin dengan ketat sambil mempergiatkan perobohan rumah dan memaksa penduduk melakukan perobohan sendiri, satu dasar yang dilihat secara meluas sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk menekan rakyat Palestin dan mengehadkan kehadiran mereka di bandar itu.

Pertubuhan hak asasi manusia Palestin dan antarabangsa telah berulang kali menekankan sekatan diskriminasi yang dikenakan ke atas pembinaan Palestin di Baitulmaqdis yang dijajah, walaupun projek penempatan Zionis terus berkembang di seluruh bandar.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Kumpulan Hak Asasi Desak Siasatan Jenayah terhadap Dakwaan Serangan Seksual ke atas Wartawan Jerman di Penjara Israel

Khamis, 11/06/2026 – Pertubuhan hak asasi undang-undang, Adalah, menggesa pihak berkuasa Israel menjalankan siasatan jenayah segera berhubung dakwaan seorang wartawan wanita Jerman yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penderaan seksual, keganasan fizikal dan layanan yang menjatuhkan maruah ketika ditahan di Penjara Givon di Ramla.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, Adalah memaklumkan bahawa mereka telah mengemukakan aduan rasmi kepada Peguam Negara Israel, penasihat undang-undang Perkhidmatan Penjara Israel, unit yang bertanggungjawab menyiasat kakitangan penjara, serta pihak pengurusan Penjara Givon. Mereka menuntut siasatan menyeluruh dijalankan dan pihak yang bertanggungjawab diambil tindakan.

Kes ini bermula pada Oktober lalu apabila tentera laut Israel memintas beberapa kapal yang menyertai misi “Global Sumud Flotilla” di perairan antarabangsa. Misi tersebut melibatkan lebih 500 aktivis dan berlepas dari beberapa pelabuhan di Eropah dan Afrika dengan tujuan mencabar sekatan yang dikenakan ke atas Gaza.

Menurut Adalah, wartawan berkenaan yang hanya dikenali dengan inisial “A.L.” mendakwa beliau mengalami pelbagai bentuk penderaan sejak dipindahkan dari pelabuhan ke Penjara Ketziot di wilayah Negev. Antara dakwaan yang dibuat termasuk diikat dalam tempoh yang lama, ditutup mata, dicaci secara lisan, dipukul serta diugut.

Adalah turut menyatakan bahawa wanita tersebut mendakwa menerima layanan yang memalukan ketika ditahan di Penjara Givon. Keterangannya juga mengandungi dakwaan serangan seksual serta pelbagai pelanggaran hak asasi lain sepanjang tempoh tahanan.

Menurut pertubuhan itu, dakwaan yang serius ini memerlukan siasatan yang bebas, telus dan menyeluruh kerana ia mungkin melibatkan pelanggaran undang-undang Israel serta undang-undang antarabangsa. Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan peguam dan pakar undang-undang antarabangsa telah mengemukakan permohonan kepada International Criminal Court untuk memperluaskan siasatan berkaitan situasi di Palestin. Permohonan itu bertujuan memasukkan dakwaan penderaan yang dilaporkan oleh aktivis Global Sumud Flotilla semasa usaha mereka untuk memasuki Gaza.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Wanita dan Kanak-Kanak Terbunuh dalam Serangan Israel ke atas Khemah, Dua Lagi Meninggal Dunia Akibat Kecederaan di Gaza

Khamis, 04/06/2026 – Dua orang awam Palestin terbunuh dalam serangan Israel, manakala dua lagi meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam beberapa hari kebelakangan ini di Semenanjung Gaza pada hari Isnin.

Menurut media Palestin, satu serangan Israel yang menyasarkan sebuah khemah di kawasan al-Mawasi, Khan Yunis telah mengorbankan seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan serta mencederakan 17 orang lain, kebanyakannya kanak-kanak.

Sumber tempatan mengenal pasti kedua-dua syahid tersebut sebagai Hanan Mahmoud, 31 tahun, dan Manatallah Abu Labda, 6 tahun. Mereka dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel ke atas kem penempatan sementara Gheith di barat Khan Yunis.

Terdahulu, dua lagi rakyat Palestin disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan akibat serangan berasingan Israel yang berlaku baru-baru ini di Gaza.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Tentera AS menyasarkan bot Iran di selatan Pulau Larak

Khamis, 04/06/2026 – Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan bahawa pihaknya telah melancarkan beberapa serangan di selatan Iran pada Isnin, manakala media Iran melaporkan jet pejuang Amerika menyerang bot-bot Iran di selatan Pulau Larak di Selat Hormuz selepas kedengaran bunyi letupan pada waktu malam.

Jurucakap CENTCOM berkata, tentera Amerika melaksanakan serangan tersebut dengan mendakwa ia menyasarkan platform peluru berpandu serta bot Iran yang didakwa cuba menanam periuk api di kawasan berkenaan. Sementara itu, seorang pegawai Amerika memberitahu Al Jazeera bahawa Iran didakwa cuba menyerang pasukan AS sepanjang tempoh 24 jam lalu. Namun, beliau menyatakan serangan Iran itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan dalam kalangan anggota tentera Amerika.

Dalam perkembangan berkaitan, saluran “Fox News”, memetik seorang pegawai kanan Amerika, melaporkan bahawa tentera AS turut mengebom sebuah lokasi sistem peluru berpandu darat ke udara jenis SAM di Bandar Abbas selepas ia didakwa menyasarkan jet pejuang Amerika.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Amaran Terhadap Rancangan Pengusiran Khan Al-ahmar, Hamas Sifatkan Sebagai “Pembersihan Etnik”

Jumaat, 22/05/2026 – Pegawai dan pertubuhan Palestin memberi amaran terhadap implikasi langkah terbaharu Israel yang bertujuan mengusir komuniti Badwi di Khan al-Ahmar, timur Baitulmaqdis yang diduduki, selepas Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, menandatangani arahan berkaitan pemindahan penduduk kawasan tersebut. Pihak Palestin menyatakan langkah itu merupakan sebahagian daripada projek penempatan lebih besar yang bertujuan memisahkan Tebing Barat bahagian utara dan selatan serta mengukuhkan kawalan Israel ke atas Baitulmaqdis yang diduduki.

Ketua Suruhanjaya Palestin Menentang Tembok dan Penempatan, Moayad Shaaban, menyifatkan keputusan untuk mengosongkan Khan al-Ahmar sebagai peningkatan berbahaya dalam dasar pengusiran paksa Israel terhadap rakyat Palestin. Menurut beliau, tindakan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan sayap kanan Israel untuk meneruskan projek peluasan penempatan dan pengilhakan wilayah, selain memaksakan realiti baharu di lapangan secara kekerasan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari Selasa, Shaaban berkata sasaran terhadap Khan al-Ahmar merupakan sebahagian daripada pelan penempatan strategik jangka panjang yang memfokuskan kawasan timur Baitulmaqdis. Katanya, Israel berusaha mewujudkan kesinambungan wilayah sepenuhnya antara penempatan bagi memecahkan Tebing Barat yang diduduki kepada beberapa kawasan terpisah serta menggagalkan pembentukan negara Palestin yang berdaya maju dan mempunyai hubungan wilayah yang bersambung.

Beliau turut menyatakan bahawa Khan al-Ahmar telah menjadi simbol keteguhan rakyat Palestin dalam menghadapi dasar pengusiran dan peminggiran, selain membuktikan sifat penjajahan penempatan dalam projek Israel. Menurutnya, perkara itu menjelaskan mengapa Israel berulang kali cuba menghapuskan komuniti tersebut walaupun menerima bantahan antarabangsa yang meluas serta pelbagai amaran politik, kemanusiaan, dan undang-undang mengenai kesannya.

Shaaban berkata Mahkamah Jenayah Antarabangsa sebelum ini pernah menyatakan bahawa pengusiran paksa akibat dasar sedemikian boleh dianggap sebagai jenayah perang. Beliau menegaskan bahawa peluasan penempatan dan pemindahan paksa penduduk melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Konvensyen Geneva Keempat.

Beliau juga memberi amaran bahawa pelaksanaan arahan pemindahan itu boleh membuka jalan kepada pengusiran lebih banyak komuniti Palestin lain di sekitar Baitulmaqdis dan Lembah Jordan, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mengubah landskap geografi Palestin demi kepentingan peluasan penempatan Israel.

Sementara itu, Hamas menyifatkan keputusan Smotrich untuk mengarahkan pengosongan Khan al-Ahmar dan mengusir penduduknya sebagai “satu lagi jenayah” yang dilakukan kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki.

Dalam kenyataannya, Hamas berkata tindakan mengusir rakyat Palestin dan merampas tanah mereka untuk pembinaan ribuan unit penempatan, selain apa yang disifatkan sebagai “serangan sistematik” terhadap kewujudan rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki, merupakan bentuk “pembersihan etnik sistematik” yang berlaku secara terbuka di hadapan dunia tanpa tindakan antarabangsa yang serius untuk menghentikannya atau membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Hamas turut menyeru masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan institusi antarabangsa supaya tidak terus berdiam diri serta mengambil langkah untuk mempertanggungjawabkan pemimpin Israel, selain menghentikan sikap Israel yang mengabaikan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang menganggap penempatan Israel sebagai tidak sah.

Pergerakan itu juga menyatakan bahawa ancaman dan tindakan agresif Smotrich terhadap Pihak Berkuasa Palestin memerlukan perpaduan Palestin yang lebih kukuh serta pelaksanaan “program penentangan sebenar” bagi menghadapi dasar Israel di Tebing Barat, Baitulmaqdis, dan Gaza.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Amaran mengenai penurunan mendadak aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza

 

Jumaat, 22/05/2026 – Pejabat Media Kerajaan di Gaza pada hari Selasa memberi amaran tentang penurunan “mendadak dan berbahaya” dalam jumlah trak bantuan kemanusiaan yang dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza akibat sekatan yang dikenakan oleh pihak pendudukan Israel.

Ismail al-Thawabta, pengarah Pejabat Media Kerajaan, berkata angka yang direkodkan jelas menunjukkan skala penurunan tersebut serta kesinambungan dasar sekatan dan kepungan. Beliau menyatakan bahawa hanya 48,636 trak bantuan dibenarkan memasuki Gaza daripada 131,400 trak yang sepatutnya masuk sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Beliau menjelaskan bahawa tahap pematuhan Israel tidak melebihi 37%, bermakna lebih 63% keperluan asas kemanusiaan Gaza tidak dibenarkan masuk sejak gencatan senjata bermula pada Oktober 2025.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

76% Peralatan Pengimejan Perubatan Musnah Akibat Keruntuhan Sistem Kesihatan

Jumaat, 22/05/2026 – Sumber perubatan di Semenanjung Gaza mengesahkan bahawa perkhidmatan pengimejan diagnostik di hospital-hospital yang masih beroperasi kini berdepan cabaran kritikal susulan kemusnahan besar sistem kesihatan sepanjang perang.

Sumber itu memaklumkan bahawa Gaza telah kehilangan 76% peralatan pengimejan perubatannya, manakala baki 24% yang masih beroperasi terus digunakan dalam keadaan teknikal yang amat sukar ketika permintaan terhadap perkhidmatan meningkat dan penyelenggaraan serta alat ganti pula hampir tidak tersedia.

Mereka juga memaklumkan bahawa perkhidmatan MRI kini lumpuh sepenuhnya di seluruh Gaza selepas kesemua sembilan mesin MRI musnah, sekali gus melemahkan lagi keupayaan untuk menyediakan diagnosis serta rawatan kepada pesakit dan mangsa yang cedera.

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Rakaman mengejutkan mendokumentasikan serangan pasukan pendudukan ke atas Kapal Global Sumud Flotilla

Jumaat, 22/05/2026 – Beberapa rakaman video yang disiarkan menerusi kamera siaran langsung di atas Kapal Global Sumud Flotilla bagi memecahkan sekatan ke atas Gaza memaparkan detik-detik cemas ketika tentera laut Israel, termasuk unit komando, menyerbu kapal-kapal tersebut di perairan antarabangsa menggunakan bot laju serta teknologi gangguan komunikasi.

Rakaman itu turut menunjukkan operasi rampasan kapal dan penahanan puluhan aktivis antarabangsa yang berada di atas kapal berkenaan. Selain itu, kelihatan anggota tentera Israel menguasai kapal serta memindahkan para tahanan sebelum siaran langsung beberapa kapal terputus secara tiba-tiba.

Media Israel melaporkan bahawa operasi rampasan tersebut berlaku berhampiran pantai Cyprus, ratusan kilometer dari perairan wilayah Palestin. Sementara itu, laman berita “Walla” memaklumkan bahawa kira-kira 100 aktivis telah ditahan setakat ini.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Mogok umum di seluruh Itali sebagai solidariti terhadap Floatilla Sumud

Jumaat, 22/05/2026 – Itali menyaksikan mogok umum berskala nasional pada hari Isnin yang menjejaskan sektor pengangkutan, pendidikan dan logistik, susulan seruan kesatuan pekerja yang membantah program persenjataan semula ketenteraan, menolak genosid berterusan Israel di Gaza, serta menyatakan solidariti terhadap “Flotila Global Sumud” yang sedang berusaha memecahkan sekatan ke atas Semenanjung Gaza.

Mogok tersebut berlangsung serentak dengan demonstrasi di beberapa bandar di Itali di bawah slogan “Hentikan Segalanya” (“Stop Everything”), yang dianjurkan oleh kesatuan pekerja dan kumpulan masyarakat sivil bagi membantah peningkatan kos sara hidup, dasar ketenteraan, serta pertambahan perbelanjaan untuk senjata yang dianggap mengorbankan sektor kesihatan dan pendidikan. Para penunjuk perasaan juga menuntut agar dihentikan apa yang mereka sifatkan sebagai genosid terhadap rakyat Palestin serta menyatakan sokongan terhadap flotila yang menuju ke Gaza.

Di ibu negara, Rome, para penunjuk perasaan berhimpun di salah satu dataran utama bandar itu sambil membawa sepanduk yang menggesa kerajaan Itali agar tidak terus terlibat dalam apa yang mereka sebut sebagai “bersubahat dalam jenayah” bersama Israel.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Ribuan Pendatang Israel Sertai Perarakan Bendera Provokatif Di Baitulmaqdis Timur

Selasa, 19/05/2026 – Ribuan pendatang Israel menyertai perarakan “Flag March” yang bersifat provokatif pada petang Khamis di kawasan Pintu Damsyik, salah satu pintu masuk utama ke Kota Lama Baitulmaqdis yang diduduki, dengan kawalan ketat pihak polis Israel.

Perarakan tersebut turut dihadiri menteri dan ahli Knesset daripada gabungan pemerintah, termasuk Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir, serta Menteri Kewangan berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, selain pegawai kanan polis dan tentera Israel serta ahli Knesset lain yang berhaluan ekstrem.

Peserta perarakan mengibarkan bendera Israel dan membawa sepanduk dengan slogan berunsur perkauman yang menyeru kematian terhadap orang Arab, selain mengancam untuk membina “kuil yang didakwa” di tapak Masjid al-Aqsa. Mereka juga menyerang penduduk Palestin dan wartawan di lokasi dengan meludah, menghamburkan kata-kata kesat, serta menari sambil mengibarkan bendera.

Pasukan keselamatan Israel turut menempatkan penembak tepat di tembok Pintu Damsyik dan mengerahkan kehadiran besar-besaran di sekitar kawasan itu, termasuk jalan-jalan di Baitulmaqdis yang diduduki serta lorong-lorong Kota Lama, sehingga menjadikannya seolah-olah zon ketenteraan atas alasan mengawal keselamatan perarakan.

Polis Israel juga menghalang pergerakan bebas rakyat Palestin di Kota Lama dan memaksa peniaga menutup premis mereka, sambil memberikan perlindungan kepada pendatang.

Terdahulu pada hari yang sama, Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, sekali lagi melakukan pencerobohan ke dalam kompleks Masjid al-Aqsa, bertepatan dengan sambutan yang dikenali Israel sebagai “Hari Baitulmaqdis” serta menjelang perarakan tahunan tersebut, yang diadakan bagi memperingati pendudukan Baitulmaqdis Timur pada tahun 1967 menurut kalendar Ibrani.

Pentadbiran Gabenor Baitulmaqdis memaklumkan bahawa seramai 1,412 pendatang telah menceroboh kawasan halaman Masjid al-Aqsa dalam sesi pagi dan petang, dalam keadaan sekatan ketat dikenakan oleh pihak Israel terhadap jemaah dan penduduk Baitulmaqdis secara umum.

Sebelum ini, Hamas menyatakan bahawa serangan oleh “pendudukan Zionis jenayah” dan pendatangnya, termasuk pencerobohan serta perarakan bendera di Baitulmaqdis yang diduduki dan Masjid al-Aqsa, merupakan cubaan gagal untuk mengubah identiti “tanah suci kami,” yang menurutnya akan kekal sebagai milik Palestin, Arab, dan Islam walaupun berdepan dasar peng-Yahudian Israel.

Dalam kenyataan pada hari Khamis, Hamas menegaskan bahawa “pendudukan pengganas” tidak akan berjaya, walau sejauh mana ia meningkatkan tindakan, pencerobohan, dan sekatan terhadap penduduk Baitulmaqdis serta para jemaah dalam usaha menghapuskan kedudukan dan simbolik Baitulmaqdis serta Masjid al-Aqsa di hati rakyat Palestin atau melemahkan tekad mereka untuk mempertahankan tempat suci tersebut.

Menurut Hamas, tindakan sedemikian hanya akan menguatkan lagi keazaman rakyat Palestin untuk terus bertahan dan melawan, sambil menyifatkan Masjid al-Aqsa sebagai “soal akidah, jati diri, dan sejarah yang berakar umbi dalam jiwa rakyat serta umat Arab dan Islam.”

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Kanak-kanak Perempuan, Ibu Cedera Dalam Serangan Oleh Peneroka di Selatan Nablus

Selasa, 19/05/2026 – Seorang kanak-kanak perempuan dan ibunya cedera dalam serangan oleh peneroka ke atas sebuah rumah kediaman di pekan Burin, selatan Nablus, pada petang Rabu.

Saksi berkata bahawa para peneroka menghampiri rumah seorang warga Palestin, Bashir Qadous, dan menyerang penghuninya serta cuba mencuri kambing biri-biri milik keluarga tersebut, sehingga mencetuskan ketakutan dan panik di kalangan ahli keluarga itu.

Serangan itu mengakibatkan kanak-kanak perempuan tersebut mengalami kecederaan ringan di kepala, manakala ibunya mengalami tekanan dan kejutan yang teruk selepas menyaksikan kejadian yang turut menyasarkan anak-anaknya.

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Gabungan Flotilla Steadfastness melancarkan lima kapal dari Greece untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza

Selasa, 19/05/2026 – Gabungan Steadfastness Flotilla Coalition mengumumkan pada hari Rabu pelancaran lima kapal dari sebuah pulau Yunani, sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa yang lebih luas untuk memecahkan sekatan Israel yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza, dan untuk menghadapi apa yang digambarkannya sebagai keadaan bebas daripada hukuman yang membolehkan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan penghapusan sepenuhnya rakyat Palestin.

Gabungan itu menjelaskan dalam satu siaran akhbar bahawa lima kapal tersebut, iaitu: “Adala”, “Kyriakos X”, “Lena Nabulsi”, “Perseverance”, dan “Tinas Love Aqsa Bangladesh”, akan menyertai kira-kira 55 bot tambahan yang mengibarkan bendera Perancis, Itali dan Poland, yang berlepas dari Marmaris di Turki yang sarat dengan kuantiti simbolik makanan dan ubat-ubatan.

Gabungan itu menekankan bahawa “Steadfastness Flotilla” tidak mewakili organisasi bantuan, tetapi sebaliknya tindakan langsung untuk mencabar sekatan tentera laut, yang digambarkannya sebagai “kejam dan menyalahi undang-undang,” dan yang bertujuan untuk mengasingkan, memenjarakan dan menganiaya rakyat Palestin, selain menolak apa yang dianggapnya sebagai kegagalan antarabangsa untuk menghentikan jenayah Israel terhadap rakyat Palestin.

Beliau menyatakan bahawa sejak tahun 2010, beliau telah menganjurkan berpuluh-puluh pelayaran laut yang menentang sekatan Israel secara langsung, berdasarkan pengalaman yang telah dibuktikan oleh gerakan “Gaza Bebas”, yang berjaya memecahkan sekatan melalui laut buat kali pertama pada tahun 2008.

Gabungan itu menunjukkan bahawa penyertaan antarabangsa dalam inisiatif flotila berkembang dengan ketara selepas pelayaran kapal Madeleine pada Jun 2025, mencerminkan penolakan yang semakin meningkat oleh masyarakat sivil global terhadap kerajaan yang menormalkan sekatan dan pembunuhan beramai-ramai.

Beliau menyatakan bahawa fasa semasa misi itu berlaku selepas serangan Israel pada 29 April ke atas 22 kapal awam di luar pantai barat Greece, selain penculikan dan layanan buruk terhadap dua penganjur Flotilla Ketahanan Global.

Gabungan Flotilla Daya Tahan merangkumi organisasi masyarakat sivil dan inisiatif akar umbi dari beberapa negara di seluruh dunia, dan telah meneruskan usahanya sejak 2010 untuk mencabar sekatan Israel ke atas Gaza melalui laut.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Bagaimanakah Israel menggunakan isu jihad Syria untuk membentuk dasarnya terhadap Damsyik?

Selasa, 19/05/2026 – Dalam antara kajian Arab yang paling terperinci mengenai cara “Israel” meneliti perubahan di Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad, satu kajian penyelidikan yang diterbitkan oleh Pusat Al-Zaytouna untuk Kajian dan Perundingan bertajuk “Pemantauan Israel terhadap Isu Jihadisme dalam Sistem Negara Syria” mendedahkan bagaimana isu “jihadisme” telah menjadi alat utama dalam pemikiran politik, keselamatan dan media Israel terhadap Syria baharu.

Kajian ilmiah yang disediakan oleh Ibrahim Abdul Karim itu memaparkan gambaran menyeluruh mengenai tahap pemantauan rapi Israel terhadap perkembangan politik, ketenteraan, agama dan pendidikan di Syria sejak Hayat Tahrir al-Sham mengambil alih pemerintahan pada Disember 2024. Menurut kajian tersebut, institusi-institusi Israel melihat “jihadisme Syria” sebagai kunci utama untuk memahami masa depan Syria, selain dijadikan asas dalam menentukan pendekatan strategik terhadap negara itu.

Kajian itu turut menyatakan bahawa wacana Israel tidak banyak berubah walaupun kerajaan Syria baharu menunjukkan beberapa isyarat pragmatik, termasuk rundingan keselamatan tidak langsung dan pengumuman berulang kali dari Damsyik bahawa mereka tidak mahu berkonfrontasi dengan Israel. Namun begitu, Tel Aviv masih melihat kepimpinan Syria baharu melalui “lensa jihadisme”, sambil berusaha meneliti struktur pemikiran dan ideologi mereka serta memantau kemungkinan perkembangan dan pengaruhnya pada masa depan.

Penterjemah : Farah Najwa