Categories
Berita Semasa

Serangan Zionis Gegar Sana’a, Yaman.

Rabu, 01/10/2025 – Tentera Zionis menyerang pada petang Khamis yang didakwa sebagai sasaran ketenteraan dan keselamatan di ibu kota Yaman, Sana’a, sehari selepas dron yang dilancarkan oleh tentera Yaman mencederakan 22 orang di bandar Eilat, selatan Israel.

Beberapa letupan besar menggegarkan bandar Sana’a yang padat dengan penduduk, tetapi tiada laporan segera mengenai kematian muncul berikutan pencerobohan Zionis.

Dalam satu kenyataan, menteri perang Zionis Israel Katz mendakwa bahawa serangan kuat menyasarkan banyak tapak milik kumpulan Houthi di Sana’a, menyifatkan serangan itu sebagai “Operasi Hantar Bungkusan.”

“Serangan itu dilakukan berikutan serangan yang dilancarkan oleh rejim Houthi terhadap Negara Zionis, di mana dron dan peluru berpandu darat ke darat ditembak ke arah wilayah Israel,” kata tentera Zionis dalam satu kenyataan berasingan.

Lebih 22 warga Zionis cedera, termasuk dua parah, apabila dron berani mati yang dilancarkan oleh tentera Yaman meletup berhampiran pusat beli-belah utama bersebelahan laluan laluan utama Eilat pada petang Rabu.

Tentera udara Zionis dilaporkan membuka penyiasatan selepas dua peluru berpandu pemintas Iron Dome nampaknya gagal menjatuhkan dron itu.

Angkatan bersenjata Yaman di kawasan utara negara itu telah menembak peluru berpandu dan dron di tapak Israel sejak November 2023, mengatakan operasi mereka dijalankan untuk menyokong rakyat Palestin di Gaza, yang menghadapi perang genosida yang kejam.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

GMO: Tiada tempat kosong atau selamat bagi penduduk yang dipindahkan secara paksa daripada Gaza City

Rabu, 01/10/2025 – Pejabat Media Kerajaan (GMO) Gaza berkata bahawa ratusan ribu rakyat Palestin di seluruh  Gaza sekarang dipindahkan semula secara paksa oleh Israel, dan daerah tengah dan selatan Gaza, khususnya kawasan al-Mawasi, tidak mempunyai ruang untuk lebih ramai orang.

“Tiada lagi ruang kosong atau selamat untuk menerima penambahan perpindahan yang lebih ramai,” kata GMO dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa khemah penempatan sementara yang dibuka di kaki lima jalan tidak mampu memberikan keselamatan yang baik  “disamping  tidak dapat memenuhi keperluan minima untuk kehidupan manusiawi  yang bermaruah.”

GMO berkata tentera pendudukan Israel terus menghalang khemah yang disumbang oleh masyarakat antarabangsa daripada masuk ke dalam Gaza, manakala baki yang masih ada dijual di pasar pula harganya amat mahal, menyebabkan ramai terpaksa meneruskan kehidupan tanpa sebarang perlindungan daripada hambatan cuaca buruk. Ini adalah hasil daripada “dasar sistematik” pihak Israel yang disokong oleh pentadbiran US, tambahnya. GMO menyeru masyarakat antarabangsa bertindak untuk segera menyediakan perlindungan bagi penduduk Gaza yang terus ditekan dan dizalimi rejim pendudukan.

Penterjemah : Hj Fariz

Categories
Berita Semasa

GSF mendekati Yunani ketika aktivis menentang ancaman Israel untuk membatalkan percubaan mereka untuk memecahkan sekatan Gaza


Jumaat, 26/09/2025 – Flotila Global Sumud (GSF) yang belayar untuk memecah sekatan Israel ke atas Gaza sedang menghampiri perairan wilayah Yunani berhampiran Crete dan mereka menganggarkan flotila akan tiba di Gaza dalam tempoh enam hari lagi.

GSF, yang terdiri daripada berpuluh-puluh bot dan kapal yang membawa aktivis dari hampir 50 negara merupakan usaha maritim awam terbesar setakat ini untuk mencabar pengepungan Israel selama 18 tahun ke atas Gaza, di mana kebuluran telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 442 rakyat Palestin.

Penganjur melaporkan dron yang tidak dikenal pasti berlegar di atas beberapa kapal selama tiga malam berturut-turut merupakan satu perkembangan yang mereka kecam sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan dan memburukkan nama misi tersebut.

Mereka juga mengingatkan kembali insiden awal yang berlaku di Tunisia, di mana dua buah kapal flotila terkena serangan dron Israel di pelabuhan Sidi Bou Said. Israel sehingga sekarang tidak memberi respon mengenai serangan itu.

Ahli parlimen Perancis François Piquemal, yang menyertai flotila itu, menuduh Israel akan mencemarkan nama sesiapa sahaja yang bersuara menentang apa yang disifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai di Gaza secara sistematik. “Ini adalah inisiatif masyarakat madani dan kemanusiaan,” katanya kepada Anadolu Agency, sambil menegaskan bahawa peserta termasuk doktor, pekerja bantuan, ahli politik, wartawan, dan artis.

“Tuduhan seperti ini adalah taktik biasa sesebuah negara yang melakukan pembunuhan genosid,” kata Piquemal. Pope Francis baru-baru ini juga dituduh sebagai anti-Semit katanya lagi. Retorik sedemikian hanya bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada realiti keganasan sebenar.

Beliau menekankan bahawa misi itu digerakkan di atas tujuan kemanusiaan, bukan politik. Peserta flotila ini enggan berpeluk tubuh berdiam diri dan hanya melihat Gaza terus kebuluran. Mereka bertindak kerana menganggap masyarakat antarabangsa telah gagal melaksanakan tanggungjawab.

Penganjur menekankan bahawa usaha gerakan sivil dan aman mereka mematuhi semua undang-undang antarabangsa dan usaha menghantar bantuan melalui laut ke Gaza adalah hak yang diberikan perlindungan undang-undang. Mereka mengecam ancaman Israel terhadap flotila dan menyifatkannya sebagai cubaan haram untuk mengekalkan sekatan bantuan yang telah menyebabkan 2.4 juta rakyat Palestin berada di dalam tragedi kebuluran.

Sejak tarikh 2 Mac tahun ini, Israel telah menutup semua lintasan sempadan di Gaza dan menghalang trak makanan dan bantuan. Ia hanya membenarkan bantuan yang sangat terhad yang gagal memenuhi keperluan minimum untuk terus hidup. Pada waktu yang sama banyak trak juga telah ditahan dan dirompak oleh kumpulan yang dilindungi oleh tentera Israel.

Dengan sokongan daripada US, pembunuhan genosid Israel di Gaza telah membunuh lebih 65,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 166,000 sejak 7 Oktober 2023.

Penterjemah : Hj Fariz

Categories
Berita Semasa

Serangan Pendatang Di Ramallah: Warga Palestin Terbunuh Dan Lima Lagi Cedera

Jumaat, 26/09/2025 – Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan pada Selasa malam bahawa Saeed Murad Naasan, 20 tahun, terbunuh selepas ditembak oleh pendatang Yahudi di kampung Al-Mughayyir, timur laut Ramallah.

Sumber tempatan melaporkan sekurang-kurangnya lima orang awam Palestin cedera, seorang daripadanya parah, dalam serangan oleh pendatang Yahudi bersama pasukan tentera Israel di kampung tersebut.

Ameen Abu Alia, ketua majlis kampung Al-Mughayyir, berkata pendatang dengan perlindungan tentera Israel telah menyerang sebuah taman awam di bahagian tenggara kampung dan melepaskan tembakan ke arah orang awam. Lima orang cedera, seorang daripadanya terkena tembakan di bahagian dada dan disahkan meninggal dunia kemudian.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Israel Lancar Siri Serangan Udara di Selatan Lubnan

Rabu, 24/09/2025 – Israel melancarkan siri serangan udara yang menyasarkan pekan Meiss El Jabal di daerah Marjayoun, selatan Lubnan, sejam selepas mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk tempatan.

Menurut sumber, jet pejuang Israel menyerang sebuah rumah kediaman di Meiss El Jabal dan turut mengebom pekan Debbin di selatan Lubnan.

Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka telah memulakan siri serangan baharu ke atas sasaran yang didakwa sebagai tapak ketenteraan Hezbollah di Lubnan. Pada waktu malam, tentera Israel turut mengeluarkan arahan pemindahan terkini melibatkan pekan Al-Shuhabiya dan Bourj Qalaouiyeh di selatan.

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Hamas: Operasi Karama meluaskan lingkungan perjuangan menentang penjajahan fasis Israel

Rabu, 24/09/2025 – Gerakan Hamas berkata operasi Karama menghantar mesej yang jelas: polisi genosid rejim zionis di Gaza, penjajahan di Tebing Barat, dan keganasan yang semakin meningkat di wilayah Arab tidak akan dibiarkan.

Dalam satu kenyataan akhbar, Hamas menjelaskan yang operasi itu meluaskan lingkungan perjuangan menentang penjajahan fasis rejim zionis di Palestin dan wilayah Arab.

Hamas menyifatkan operasi itu sebagai terjemahan kemarahan yang dirasakan oleh bangsa Arab dan Muslim, terutamanya rakyat Jordan dan hero mereka yang berani, terhadap pembunuhan beramai-ramai dan jenayah oleh rejim ke atas rakyat Palestin, dan wilayah Arab secara amnya.

Penterjemah : Nuridawati

Categories
Berita Semasa

Pegawai Hamas mendedahkan butiran percubaan pembunuhan Israel di Doha

Rabu, 24/09/2025 – Ghazi Hamad, ahli Biro Politik Hamas, mendedahkan cubaan oleh pihak Zionist Israel untuk membunuh delegasi Hamas di ibu negara Qatar, Doha, minggu lalu semasa mereka menyemak cadangan AS dengan penasihat mereka.

Menurut Hamad, serangan itu berlaku tidak sampai sejam selepas mesyuarat bermula. Ketika delegasi mendengar bunyi peluru berpandu, ternyata mereka menjadi sasaran percubaan pembunuhan, dalam satu temu bual dengan Al Jazeera.

Hamad menyatakan bahawa delegasi, yang berpengalaman dengan serangan udara Israel, segera mengosongkan kawasan itu, yang terkena kira-kira 12 peluru berpandu dalam masa kurang seminit. Beliau menyifatkan keadaan itu amat berbahaya dan mengesahkan pemimpin yang disasarkan berjaya menyelamatkan diri.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Wartawan Palestin, Mohammad Al-Sawalhi Terbunuh Dalam Serangan Israel di Barat Gaza

Jumaat, 19/09/2025 – Wartawan, Mohammad Al-Sawalhi terbunuh pada petang Rabu lalu berikutan serangan udara Israel berhampiran Kompleks Perubatan Al-Shifa di barat Bandar Gaza.

Pesawat perang Israel telah menyasarkan orang awam ketika mereka melarikan diri dari Kota Gaza menuju ke bahagian selatan Semenanjung, khususnya di sekitar Kompleks Perubatan Al-Shifa. Serangan itu mengakibatkan lebih 10 orang awam terbunuh dan beberapa lagi cedera.

Dengan kematian wartawan Al-Sawalhi, jumlah wartawan yang terbunuh sejak permulaan serangan Israel ke atas Gaza telah meningkat kepada 250. Ini mencerminkan corak sasaran langsung kakitangan media Palestin di tengah-tengah ketidakpedulian antarabangsa mengenai jenayah Israel yang sedang berlaku.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

Hamas: Zionis Serang Orang Awam Sekitar Al-Shifa 

Jumaat, 19/09/2025 – Pergerakan Hamas menyatakan bahawa serangan udara yang dilakukan oleh Zionis petang ini, yang menyasarkan orang awam berhampiran Hospital Al-Shifa ketika mereka berpindah dari Kota Gaza dan mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 15 orang, merupakan “jenayah perang penuh”

Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan pada petang Rabu, Hamas berkata pembunuhan beramai-ramai ini “mendedahkan kebiadaban entiti Israel, yang memburu orang awam walaupun sedang berpindah,” menyifatkan ia sebagai sebahagian daripada “dasar sistematik pembunuhan beramai-ramai yang dijalankan terhadap rakyat Palestin selama hampir dua tahun dalam pandangan penuh dunia.”

Hamas menyatakan bahawa “pembunuhan beramai-ramai ini, bersama-sama dengan jenayah harian yang dilakukan di pelbagai bahagian di Semenanjung Gaza, berlaku kurang daripada 24 jam selepas laporan PBB mendokumentasikan tindakan Zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.” Pergerakan itu menyifatkan serangan itu sebagai “cabaran terang-terangan dan penghinaan yang mendalam terhadap masyarakat antarabangsa, dan pelanggaran berat terhadap undang-undang dan perjanjian antarabangsa.”

Hamas menyeru negara-negara Arab dan Islam, serta masyarakat antarabangsa yang lebih luas, untuk “bertindak segera dan serius untuk menghentikan jenayah ini,” dan menuntut agar pemimpin pendudukan bertanggungjawab di hadapan Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk memastikan mereka tidak terlepas daripada keadilan.

Pada awal petang, tentera Zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan terhadap sebuah keluarga yang dipindahkan di pintu masuk Kompleks Perubatan Al-Shifa di Bandar Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 13 orang dan mencederakan yang lain.

Sumber tempatan mengesahkan bahawa pesawat pejuang Zionis menyasarkan kenderaan awam yang membawa ahli keluarga ketika mereka cuba melarikan diri ke selatan, yang membawa kepada pembunuhan beberapa individu.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

GAZA: Usaha WHO menghantar bekalan bahan api ke hospital-hospital di Gaza dihalang tentera Israel

Jumaat, 19/09/2025 – Kementerian Kesihatan Palestin telah menuduh tentera pendudukan Israel dengan sengaja menghalang usaha Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membekalkan bahan api untuk hospital di Gaza.

“Pihak berkuasa pendudukan menyekat penghantaran bekalan bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan penjana elektrik di hospital Gaza dan ini akan menghentikan perkhidmatan kesihatan sepenuhnya,” kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan pada hari Rabu.

Kementerian memberi amaran bahawa krisis bahan api yang berterusan mengancam untuk menghentikan perkhidmatan perubatan di hospital, termasuk Hospital Al-Sahaba dan Hospital Bantuan Awam, sambil menyatakan bahawa ambulans dan stesen bekalan oksigen pusat dijangka berhenti operasi dalam masa beberapa hari lagi.

Ia merayu kepada semua pihak yang berkenaan untuk campur tangan segera dan memastikan penghantaran bahan api selamat yang diperlukan untuk operasi hospital di Gaza.

Penterjemah : Hj Fariz

Categories
Berita Semasa

Berpuluh-puluh syahid dalam pengeboman pendudukan Yaman

Rabu, 18/09/2025 – Kementerian kesihatan yang dikendalikan Houthi di Yaman mengumumkan kematian 35 orang dan kecederaan 131 yang lain akibat pencerobohan Israel ke atas Sanaa dan Al-Jawf. Mahdi al-Mashat, ketua Majlis Politik Tertinggi kumpulan itu, berikrar untuk bertindak balas terhadap pencerobohan itu, manakala Pihak Berkuasa Penyiaran Israel melaporkan penggunaan 30 bom dalam serangan ke Yaman, dijatuhkan sebanyak 10 pesawat pejuang pada 15 sasaran.

Media yang bergabung dengan kumpulan Ansar Allah melaporkan kematian dan kecederaan di Ibu Pejabat Bimbingan Akhlak di tengah ibu negara. Wartawan juga terbunuh dan cedera dalam serangan Israel pada 26 September dan akhbar Al Yaman.

Bangunan Status  Sivil di bandar Al-Hazm, Kegubernuran Al-Jawf, telah dikenakan tembakan Israel, menurut sumber yang sama.

Mahdi al-Mashat, ketua Majlis Politik Tertinggi Ansar Allah, berkata, “Pencerobohan Zionis terhadap negara kita telah gagal, dan tindak balas tidak dapat dielakkan.” Yahya Saree, jurucakap tentera kumpulan itu, juga menekankan bahawa “pencerobohan kejam tidak akan terlepas daripada hukuman.”

Bagi pihaknya, jurucakap tentera Ansar Allah menafikan dakwaan Israel menyasarkan pelancar peluru berpandu.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Puluhan rakyat Yaman dibunuh dalam serangan udara Israel

Rabu, 18/09/2025 – Kementerian Kesihatan Yaman yang bekerjasama dengan Ansar Allah (Houthis) mengumumkan yang 35 orang dibunuh dan 131 orang yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas Sana’a dan wilayah Al-Jawf.

Mengulas serangan itu, Mahdi al-Mashat, ketua Majlis Politik Tertinggi Ansar Allah, berjanji untuk membalas. Menurut penyiar Israel KAN, serangan itu melibatkan 30 bom yang dijatuhkan oleh 10 pesawat tentera, menyasarkan 15 tempat di seluruh Yaman.

Saluran media Houthi melaporkan terdapat kematian di Markas Bimbingan Tentera di pusat Sana’a. Serangan tersebut menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan wartawan, terutamanya di pejabat akhbar “26 September” dan “Al-Yemen”, yang turut menjadi sasaran.

Penterjemah : Nuridawati

Categories
Berita Semasa

Hamas: Pencerobohan Israel ke atas Yaman adalah lanjutan daripada ketegangan serantau  

Rabu, 18/09/2025 – Pergerakan Hamas telah mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan Israel ke atas Yaman, yang menyasarkan wilayah Sanaa dan Al-Jawf, mengakibatkan beberapa korban dalam kalangan orang awam.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada petang Rabu, Hamas menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan satu pencabulan terhadap kedaulatan Yaman, serta menyatakannya sebagai sebahagian daripada tindakan melulu Israel yang semakin meningkat di rantau ini.

Pergerakan itu menyatakan solidariti penuhnya bersama rakyat Yaman, serta memuji keteguhan dan keazaman pasukan bersenjata Yaman, khususnya sokongan berterusan mereka terhadap rakyat Palestin di Gaza di tengah-tengah kempen pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap wilayah yang sedang dikepung itu.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Peneroka Yahudi Bakar Tanah Pertanian Palestin Berhampiran Nablus

Khamis, 11/09/2025 – Sekumpulan peneroka Yahudi telah membakar tanah pertanian di kampung Yatma, selatan Nablus di utara Tebing Barat pada hari Isnin, manakala yang lain menebang lebih daripada 21 batang pokok zaitun di kampung Far’ata, barat Salfit.

Sumber setempat memetik Ahmed Abu Sanoubar, ketua Kampung Yatma, sebagai berkata bahawa sekumpulan peneroka turun dari sebuah bas di jalan utama utara kampung tersebut dan menyalakan api ke pokok zaitun di sepanjang tepi jalan, dan sebahagiannya terbakar sepenuhnya.

Dalam kejadian yang sama, peneroka juga telah membaling batu ke arah kenderaan Palestin yang melalui penempatan Yitzhar di selatan Nablus, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Hamas alu-alukan keputusan Sepanyol sekat penghantaran senjata ke Israel

Khamis, 11/09/2025 – Pergerakan Hamas mengalu-alukan keputusan Sepanyol untuk menutup pelabuhannya daripada penghantaran senjata yang ditujukan ke Israel, dengan menyifatkannya sebagai satu langkah politik dan moral yang penting ke arah menghentikan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran, dan pengusiran paksa oleh rejim Israel di Semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan rasmi, Hamas memuji langkah kerajaan Sepanyol yang melarang eksport senjata ke Israel dan menyekat kapal yang membawa senjata serta sistem ketenteraan daripada memasuki pelabuhan Sepanyol untuk kegunaan tentera Israel. Pergerakan itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai “sumbangan yang ketara kepada usaha antarabangsa” yang bertujuan menamatkan perang berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Hamas turut menggesa negara-negara pengeksport senjata lain supaya mencontohi langkah Sepanyol dan meningkatkan tekanan politik, ekonomi, serta undang-undang terhadap Israel bagi memaksa rejim itu menghentikan “pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan” ke atas orang awam.

Penterjemah : Norshuhada Samudin