Categories
Berita Semasa

Peace Now: Zionis Rampas Ratusan Dunum (puluhan ekar) Tanah Tebing Barat

Khamis, 19/06/2025 – Peace Now telah mendedahkan bahawa rejim Zionis di Tebing Barat yang dijajah merampas kira-kira 800 dunum tanah milik Palestin di sekitar pos haram Yahudi Malachei Hashalom antara Ramallah dan Nablus.

“Pentadbiran awam Zionis mengisytiharkan kira-kira 800 dunum sebagai tanah negeri di kawasan sekitar pos Malachei Hashalom, yang terletak di antara Ramallah dan Nablus,” kata Peace Now dalam laporan baru-baru ini.

Bagaimanapun, “pengisytiharan rasmi masih belum diterbitkan di laman web pentadbiran awam, tetapi peta yang dilampirkan pada laporan media menunjukkan bahawa kawasan berkenaan berkemungkinan termasuk sekitar 750 dunum yang terletak di antara kampung Duma dan Al-Mughair,” jelas Peace Now.

“Pada Februari 2023, kabinet Zionis Israel meluluskan penubuhan sembilan penempatan baharu, antaranya Malachei Hashalom. Sehingga kini, tanah di kawasan penempatan ini tidak dianggap sebagai ‘tanah negeri,’ dan pengisytiharan baharu ini membuka jalan kepada perancangan dan pembinaan lanjutan penempatan itu,” kata Peace Now.

Penterjemah : Ameen



Categories
Berita Semasa

Kementerian Kesihatan Gaza: Ancaman Berterusan boleh Menutup Hospital yang Berbaki

Selasa, 17/06/2025 – Kementerian kesihatan di Gaza telah memberi amaran bahawa ancaman pemindahan dan pengeboman yang berulang kali di sekitar hospital menyebabkan gangguan teruk kepada kerja pasukan perubatan dan mungkin menyebabkan penutupan sepenuhnya beberapa kemudahan penjagaan kesihatan yang masih berfungsi, di tengah-tengah situasi kemanusiaan dan kesihatan yang semakin merosot di Semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada Ahad lalu, kementerian itu berkata bahawa kakitangan perubatan, pesakit, dan yang cedera menderita kerana kekurangan koridor selamat untuk sampai ke hospital, meletakkan nyawa mereka dalam risiko dan menghalang penyediaan rawatan perubatan kecemasan.

Mereka menambah bahawa perkhidmatan kesihatan khusus yang disediakan di beberapa hospital berada di bawah sekatan yang menyesakkan dan menghadapi kekurangan bekalan perubatan yang kritikal, mengancam kemusnahan hospital pada bila-bila masa.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis menjadikan rumah Palestin sebagai tapak tentera di al-Khalil

Selasa, 17/06/2025 – Pasukan pendudukan Israel (IOF) memindahkan beberapa keluarga warga Palestin dan mengambil alih rumah mereka di Bandar al-Khalil dan menjadikannya sebagai penempatan dan pos tentera  sejak beberapa jam yang lalu.

Menurut sumber tempatan, IOF menyerbu kejiranan Universiti al-Khalil di bandar itu dan memaksa keluarga Takruri meninggalkan rumah mereka di bawah ancaman senjata, tanpa membenarkan mereka membawa barangan peribadi mereka.

Sumber itu menambah bahawa askar Israel merampas rumah keluarga tersebut dan mengubahnya menjadi pos tentera.

IOF juga mengambil alih rumah lain di bandar Idhna, barat bandar al-Khalil, dan memberitahu pemiliknya bahawa rumah mereka akan digunakan sebagai penempatan tentera selama beberapa hari.

Tentera Israel turut merampas rumah keluarga Shabana di kawasan Wadi al-Herya di Kota al-Khalil untuk tujuan yang sama. Beberapa hari lalu, jentolak IOF memusnahkan sepenuhnya 12 khemah dan rumah warga Palestin serta memindahkan secara paksa penduduk perkhemahan daripada kawasan Khilat al-Dabaa,Masafer Yatta yang berada di selatan bandar al-Khalil.

Penterjemah : Hj Fariz

Categories
Berita Semasa

11 warga Palestin termasuk kanak-kanak, mati syahid dalam serangan terbaru rejim Zionis Israel di Gaza.

Selasa, 17/06/2025 – Sebelas warga Palestin termasuk kanak-kanak, mati dibunuh manakala ramai lagi cedera pada petang Ahad selepas jet perang regim Zionis Israel melancarkan tembakan dua peluru berpandu berhampiran dengan Dabbaneh di timur Nuseirat, di tengah Semenanjung Gaza.

Sumber tempatan melaporkan mangsa telah dipindahkan ke Hospital Al-Awda. Antara dua syahid yang telah dikenal pasti adalah dua adik beradik.  Bangunan yang disasarkan didiami keluarga dari Ghrab, Al-Shabrawi, Abu Nar dan Shaheen.

Bangunan tersebut telah musnah dan menurut sumber tempatan, sebilangan besar para syahid dan mangsa yang hilang masih terperangkap di bawah runtuhan.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Lazzarini: Senario  “Hunger Games” tidak boleh menjadi realiti ngeri di Gaza

Selasa, 17/06/2025 – Philippe Lazzarini, Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), mengeluarkan amaran keras pada Khamis, mengecam mekanisme pengagihan bantuan yang disokong AS di Semenanjung Gaza, berkata ia gagal menangani krisis kelaparan yang semakin meruncing dan membahayakan nyawa rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di X, Lazzarini mengkritik model bantuan Yayasan Kemanusiaan Gaza yang beroperasi di bawah perlindungan pasukan pendudukan Israel (IOF) dan disokong oleh ratusan kontraktor keselamatan AS sebagai “memalukan, merendahkan, dan mengancam nyawa.”

“The Hunger Games” yang mengerikan tidak boleh menjadi realiti baharu, katanya.

Komen Lazzar ini datang di tengah-tengah kebimbangan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap penggunaan kebuluran sebagai senjata perang Israel semasa pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza, yang bermula pada 7 Oktober 2023.

Agensi PBB melaporkan hari Rabu bahawa lebih 2,700 kanak-kanak Palestin di bawah lima tahun telah didiagnosis dengan masalah kekurangan zat makanan kronik  setakat akhir Mei, akibat langsung daripada pengepungan dan sekatan makanan dan bantuan kemanusiaan. Kakitangan UNRWA menyifatkan situasi di Gaza berada di situasi “ketidakupayaan dan keletihan puncak” dan memberi amaran bahawa krisis “telah mencapai tahap keputus asaan yang belum pernah terjadi sebelumnya” di seluruh kawasan itu.

Penterjemah : Hj Fariz

Categories
Berita Semasa

Seorang syahid dan tiga cedera dalam serbuan Israel di selatan Lubnan

Selasa, 17/06/2025 – Seorang warga Lubnan terbunuh dan tiga lagi cedera pada petang Rabu minggu lepas dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan.

Kementerian Kesihatan Lubnan berkata bahawa seorang terbunuh dan tiga lagi cedera dalam serangan udara Israel di bandar Beit Lif di selatan Lubnan.

Kementerian Kesihatan telah mengumumkan semalam bahawa dua orang terbunuh dan seorang cedera pada hari Selasa apabila dron Israel menyasarkan kawasan Jan’am di bandar Shebaa di selatan Lubnan.

Pagi ini, sumber media Lubnan melaporkan bahawa pasukan pendudukan Israel “melanggar” pagar teknikal dan menyusup masuk ke wilayah Lubnan berhampiran bandar Blida dan Mays al-Jabal, pada waktu subuh. 

Tentera pendudukan Israel telah meneruskan pelanggaran perjanjian gencatan senjata di Lubnan sejak ia berkuat kuasa pada 27 November lalu, serta baru-baru ini meningkatkan serangannya dan mengancam untuk melancarkan operasi selanjutnya.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Seorang lelaki dibunuh, yang lain cedera dalam serangan ke atas Selatan Lubnan

Selasa, 17/06/2025 – Seorang warga Lubnan dibunuh dan tiga lagi cedera pada petang Rabu dalam serangan udara Israel ke atas Selatan Lubnan.

Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan yang seorang dibunuh dan tiga lagi cedera akibat serangan udara ke atas bandar Beit Lif di Selatan Lubnan.

Semalam, Kementerian mengumumkan kesyahidan dua warga dan seorang lagi cedera dalam serangan dron menyasarkan kawasan Jannam di bandar Shebaa, Selatan Lubnan.

Penterjemah : Nuridawati

Categories
Berita Semasa

Tentera Zionis Israel Cabut Pokok Zaitun di Nablus, Rampas Jentolak di Tubas

Jumaat, 13/06/2025 – Tentera Zionis Israel (IOF) telah mencabut beberapa batang pokok zaitun di kampung Odala, selatan Nablus, pada petang Rabu.

Menurut sumber tempatan, jentolak milik Israel telah mencabut pokok-pokok zaitun berhampiran jambatan Odala yang dimiliki oleh seorang penduduk bernama Ziyad Saeed Abdul Rahim.

Dalam masa yang sama, IOF turut merampas sebuah jentolak yang sedang beroperasi di kawasan Khirbet Yerza, timur Tubas.

Mokhles Masaeed, ketua majlis kampung Yerza, menyatakan bahawa tentera IOF telah menyerbu kawasan tersebut dan merampas jentolak milik penduduk tempatan, Mohammad Ali Masaeed.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis terus menutup pintu masuk timur ke Al-Lubban.

Jumaat, 13/06/2025 – Pada petang Rabu, untuk hari kelima berturut-turut, peneroka menutup pintu masuk utama ke kampung Al-Lubban Al-Sharqiya, selatan Nablus.

Sumber tempatan melaporkan bahawa berpuluh-puluh peneroka menyerbu pintu masuk utama ke kampung itu, dilindungi oleh pasukan pendudukan, dan melakukan ritual Talmud, menghalang pergerakan ke dan dari kampung itu. Sementara itu, pasukan pendudukan menutup pintu besi di pintu masuk utama.

Peneroka mengancam untuk menceroboh lebih 20 rumah di kampung itu, yang terletak di jalan utama yang menghubungkan bandar Nablus dan Ramallah.

Lewat petang Ahad, mereka menyiarkan di media sosial menyeru tentera pendudukan Israel untuk merobohkan rumah dan infrastruktur di jalan utama Al-Bun Al-Sharqiya. Mereka juga mengumumkan bahawa mereka akan berdemo setiap petang pada pukul 7:30 pagi di pintu masuk utama ke kampung itu, melakukan ritual Talmud dan menutup kampung sehingga perobohan selesai.

Peneroka itu turut menyelitkan hasutan terhadap penduduk kampung terutama murid-murid -sekolah yang terletak di jalan utama. Perlu diperhatikan bahawa peneroka menutup pintu masuk ke kampung itu sebanyak 7 kali sepanjang 12 hari lalu.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Perhimpunan berhampiran pelabuhan Gaza sebagai solidariti kepada kapal Madeleine

Khamis, 12/06/2025 – Beratus-ratus rakyat berhimpun pada hari Isnin dalam solidariti berhampiran pelabuhan Kota Gaza bagi menyokong kapal solidariti “Madeleine”, yang cuba memecahkan sekatan tentera laut yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza oleh pendudukan Israel.

Para peserta menaikkan bendera Palestin dan memegang sepanduk menyatakan rasa terima kasih dan penghargaan kepada penumpang kapal kerana menentang pendudukan dan menyatakan solidariti sebenar mereka dengan penduduk Semenanjung Gaza, yang telah menderita di bawah sekatan ketat selama lebih daripada 18 tahun, yang telah meningkat ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini semasa perang ke atas Gaza.

Dalam ucapannya kepada rakyat, jurucakap rasmi mereka berkata bahawa Madeleine mewakili sinar harapan yang besar bagi penduduk Semenanjung Gaza, menghidupkan semula dalam hati mereka perasaan bahawa dunia tidak melupakan penderitaan mereka. Dia menambah, “Kapal ini bukan hanya sekeping kapal, tetapi mesej hidup dari orang-orang yang bebas di dunia, mengesahkan bahawa Gaza tidak bersendirian, dan suaranya didengari walaupun terdapat tembok pengepungan, penindasan, dan penutupan.”

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Seorang wartawan dan tiga paramedik terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza.

Khamis, 12/06/2025 – Seorang wartawan dan tiga anggota paramedik terbunuh petang Isnin dalam serangan udara Israel ketika cuba menyelamatkan orang yang cedera dari kawasan stesen di Jalan Yaffa di kejiranan Tuffah di Bandar Gaza.

Sumber tempatan berkata, paramedik yang syahid ialah Hussein Muhaisen, Baraa Afana, dan Raed Al-Attar, selain wartawan Moamen Abu Auf, yang mengiringi mereka.

Tentera pendudukan Israel memperhebatkan serbuan dan serangan ke atas pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza petang ini, mengakibatkan berpuluh-puluh orang mati syahid dan cedera.

Sumber tempatan melaporkan bahawa sejumlah rakyat terbunuh dan cedera petang ini akibat pengeboman tentera pendudukan ke atas bangunan Al-Shaarawy dan Al-Haddad di kejiranan Al-Tuffah, timur Kota Gaza.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Hamas: Pusat Bantuan Dijadikan Perangkap Maut Secara Sistematik oleh Penjajah

Khamis, 12/06/2025 – Gerakan Hamas menyatakan bahawa pihak penjajah Israel telah menukar apa yang disebut sebagai “pusat bantuan Amerika-Israel” menjadi perangkap maut secara sistematik, memancing orang awam yang kelaparan hanya untuk disasarkan dengan tembakan.

Dalam kenyataan akhbar, Hamas menegaskan bahawa dasar-dasar kerajaan Benjamin Netanyahu yang melibatkan tindakan kelaparan, pembunuhan dan eksploitasi bantuan kemanusiaan merupakan jenayah perang dan tindakan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan secara terbuka di hadapan dunia.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai respons terhadap serangan tentera Israel awal hari ini yang menyasarkan puluhan orang awam berhampiran dua pusat pengagihan bantuan di barat Rafah dan selatan Bandar Gaza, mengakibatkan kematian 14 rakyat Palestin—satu pengulangan pembunuhan sistematik di bawah samaran kemanusiaan palsu.

Hamas menggesa supaya operasi di pusat pengagihan bantuan yang mencurigakan dan dikendalikan tentera ini dihentikan serta merta, dan bantuan diserahkan sepenuhnya kepada Pertubuhan Bangsa‑Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensinya sebagai badan sah dan berkecuali untuk menyalurkan bantuan ke Semenanjung Gaza.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Veto Amerika Syarikat menggagalkan resolusi PBB untuk gencatan senjata Gaza

Khamis, 12/06/2025 – Amerika Syarikat memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza pada petang Rabu, walaupun 14 anggota lain mengundi menyokong.

Kesemua 14 ahli majlis itu telah mengundi menyokong draf resolusi itu, yang menyeru untuk menamatkan pencerobohan Israel ke atas Gaza dan kemasukan bantuan kemanusiaan, tetapi bantahan Washington menghalang pelaksanaannya.

Resolusi itu dirangka oleh sepuluh ahli tidak tetap Majlis, yang telah berkhidmat selama dua tahun. Draf resolusi itu menggambarkan situasi kemanusiaan di Gaza sebagai “malapetaka” dan juga menyeru “mencabut segera dan tanpa syarat semua sekatan ke atas kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan memastikan pengedarannya selamat, tidak terhad, dan meluas, termasuk kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rakan-rakan kemanusiaannya.”

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Ansarullah mengumumkan menyasarkan Lapangan Terbang Ben Gurion dengan peluru berpandu balistik.

Khamis, 12/06/2025 – Yahya Sare’e, jurucakap Angkatan Tentera Yaman bagi kumpulan Ansarullah Yaman, mengumumkan pada hari Isnin bahawa kumpulan itu telah menjalankan operasi ketenteraan yang menyasarkan Lapangan Terbang Lod di wilayah Jaffa yang diduduki menggunakan peluru berpandu balistik Zulfiqar. 

Sare’e menjelaskan bahawa operasi itu berjaya mencapai matlamatnya, memaksa empat juta warga Israel mencari perlindungan dan menghentikan lalu lintas udara di lapangan terbang.

Dalam kenyataannya, Sare’e menegaskan bahawa kumpulan itu memantau dengan teliti perkembangan dalam pertempuran di Gaza, memuji “keteguhan dan pengorbanan penduduk Semenanjung Gaza,” dan menghulurkan salam ketenteraan dan jihad kepada puak-puak Palestin, terutamanya Briged Qassam dan Briged Al-Quds, dan semua yang disifatkannya sebagai “pembela mujahidin heroik bangsa.”

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Avila: Kami sedang dalam Misi Bersejarah untuk Memperbetulkan Sejarah

Selasa, 10/06/2025 – Thiago Avila, seorang aktivis Brazil yang berada di atas kapal Madleen, telah berkata bahawa pasukannya “dalam misi bersejarah untuk membetulkan sejarah di pintu gerbang Semenanjung Gaza.”

Dalam kenyataan akhbar baru-baru ini, Avila menyatakan kepercayaannya bahawa sejarah telah membuktikan bahawa semua ideologi berasaskan kebencian, seperti yang diterima pakai oleh negara pendudukan Israel, ditakdirkan untuk lenyap.

“Mesej yang saya ingin sampaikan kepada semua orang ialah: Jangan takut kebencian mereka atau keganasan mereka (merujuk kepada Israel). Jangan takut kuasa penindasan mereka, kerana sepanjang sejarah manusia, semua empayar telah jatuh, dan semua ideologi yang berasaskan kebencian – yang pernah kelihatan tidak dapat dikalahkan – juga tidak wujud lagi. Adalah menjadi kewajipan rakyat dunia untuk memenuhi tanggungjawab, membetulkan komitmen dan sejarah ini,” Kata Avila.

Penterjemah : Dr Nurul