
Isnin, 19/10/2026 – Pakar hal ehwal Masjid Al-Aqsa, Ziad Abuhays, memberi amaran mengenai usaha Israel untuk membuka Masjid Al-Aqsa bagi membolehkan pencerobohan peneroka Yahudi pada setiap hari Sabtu. Beliau menyifatkan langkah itu sebagai ancaman terhadap Masjid Al-Aqsa yang berpotensi menjadikan hari Sabtu sebagai hari keagamaan mingguan bagi peneroka Yahudi di dalam masjid berkenaan, seumpama hari Jumaat bagi umat Islam. Menurutnya, tindakan itu boleh membuka ruang kepada usaha mengubah status quo di masjid berkenaan serta mengehadkan kebebasan umat Islam untuk mengunjunginya bagi menunaikan ibadah.
Abuhays berkata, tempoh yang ditetapkan Mahkamah Agung Israel kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, untuk memberikan maklum balas terhadap tuntutan pertubuhan-pertubuhan Kuil agar Masjid Al-Aqsa dibuka bagi pencerobohan pada hari Sabtu, berakhir pada Khamis, 15 Oktober 2026. Beliau berkata, perkara itu susulan sesi pendengaran yang diadakan mahkamah pada 17 September lalu bagi meneliti petisyen yang dikemukakan berhubung tuntutan berkenaan.
Menurut Abuhays, mahkamah kini menunggu pendirian Netanyahu selepas Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, menyokong tuntutan pertubuhan-pertubuhan Kuil itu. Ben-Gvir dilaporkan telah mengemukakan maklum balas pada 14 September lalu yang menggesa supaya Masjid Al-Aqsa dibuka untuk pencerobohan Yahudi pada setiap hari Sabtu, bermula dengan musim perayaan semasa.
Penterjemah : Farah Najwa













