
Jumaat, 18/04/2025 – Pelapor Khas PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin yang dijajah, Francesca Albanese, memberi amaran bahawa masa semakin suntuk untuk menyelamatkan orang awam Palestin di Semenanjung Gaza daripada penghapusan etnik yang juga semakin meluas ke Tebing Barat yang dijajah.
Beliau turut menegaskan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kini berpecah-belah dan lumpuh sepenuhnya dalam keupayaannya untuk berfungsi sebagai sebuah organisasi.
Albanese menyifatkan perang dan kehancuran yang dilakukan oleh Israel di Semenanjung Gaza kini sebagai yang paling sadis sejak berakhirnya Perang Dunia II pada 1945, dengan berpuluh-puluh dan ratusan orang terbunuh dalam tempoh satu jam, dimana “tiada sebarang tindakan yang diambil” turut berlaku.
Dalam temu bual dengan akhbar Al-Araby Al-Jadeed, pelapor PBB itu berkata, “Fakta-fakta di lapangan di Palestin adalah sangat tragis, dan perlanggaran penjajah Israel terhadap undang-undang dunia menjadi semakin jelas.”
Jelasnya lagi, salah satu perkara penting dalam kerjanya ialah menjelaskan kecenderungan yang diberikan kepada Israel oleh negara anggota, terutamanya negara Barat yang telah menimbulkan sedikit sensitiviti kepadanya, iaitu Jerman, Perancis, Kanada, Amerika Syarikat dan Belanda.”
Albanese juga menegaskan bahawa pakar bebas PBB adalah yang paling lantang mengutuk pencabulan undang-undang antarabangsa tahap teruk yang berlaku di wilayah Palestin yang dijajah.
Penterjemah : Halimah