Categories
Berita Semasa

Amaran Terhadap Rancangan Pengusiran Khan Al-ahmar, Hamas Sifatkan Sebagai “Pembersihan Etnik”

Jumaat, 22/05/2026 – Pegawai dan pertubuhan Palestin memberi amaran terhadap implikasi langkah terbaharu Israel yang bertujuan mengusir komuniti Badwi di Khan al-Ahmar, timur Baitulmaqdis yang diduduki, selepas Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, menandatangani arahan berkaitan pemindahan penduduk kawasan tersebut. Pihak Palestin menyatakan langkah itu merupakan sebahagian daripada projek penempatan lebih besar yang bertujuan memisahkan Tebing Barat bahagian utara dan selatan serta mengukuhkan kawalan Israel ke atas Baitulmaqdis yang diduduki.

Ketua Suruhanjaya Palestin Menentang Tembok dan Penempatan, Moayad Shaaban, menyifatkan keputusan untuk mengosongkan Khan al-Ahmar sebagai peningkatan berbahaya dalam dasar pengusiran paksa Israel terhadap rakyat Palestin. Menurut beliau, tindakan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan sayap kanan Israel untuk meneruskan projek peluasan penempatan dan pengilhakan wilayah, selain memaksakan realiti baharu di lapangan secara kekerasan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari Selasa, Shaaban berkata sasaran terhadap Khan al-Ahmar merupakan sebahagian daripada pelan penempatan strategik jangka panjang yang memfokuskan kawasan timur Baitulmaqdis. Katanya, Israel berusaha mewujudkan kesinambungan wilayah sepenuhnya antara penempatan bagi memecahkan Tebing Barat yang diduduki kepada beberapa kawasan terpisah serta menggagalkan pembentukan negara Palestin yang berdaya maju dan mempunyai hubungan wilayah yang bersambung.

Beliau turut menyatakan bahawa Khan al-Ahmar telah menjadi simbol keteguhan rakyat Palestin dalam menghadapi dasar pengusiran dan peminggiran, selain membuktikan sifat penjajahan penempatan dalam projek Israel. Menurutnya, perkara itu menjelaskan mengapa Israel berulang kali cuba menghapuskan komuniti tersebut walaupun menerima bantahan antarabangsa yang meluas serta pelbagai amaran politik, kemanusiaan, dan undang-undang mengenai kesannya.

Shaaban berkata Mahkamah Jenayah Antarabangsa sebelum ini pernah menyatakan bahawa pengusiran paksa akibat dasar sedemikian boleh dianggap sebagai jenayah perang. Beliau menegaskan bahawa peluasan penempatan dan pemindahan paksa penduduk melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Konvensyen Geneva Keempat.

Beliau juga memberi amaran bahawa pelaksanaan arahan pemindahan itu boleh membuka jalan kepada pengusiran lebih banyak komuniti Palestin lain di sekitar Baitulmaqdis dan Lembah Jordan, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mengubah landskap geografi Palestin demi kepentingan peluasan penempatan Israel.

Sementara itu, Hamas menyifatkan keputusan Smotrich untuk mengarahkan pengosongan Khan al-Ahmar dan mengusir penduduknya sebagai “satu lagi jenayah” yang dilakukan kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki.

Dalam kenyataannya, Hamas berkata tindakan mengusir rakyat Palestin dan merampas tanah mereka untuk pembinaan ribuan unit penempatan, selain apa yang disifatkan sebagai “serangan sistematik” terhadap kewujudan rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki, merupakan bentuk “pembersihan etnik sistematik” yang berlaku secara terbuka di hadapan dunia tanpa tindakan antarabangsa yang serius untuk menghentikannya atau membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Hamas turut menyeru masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan institusi antarabangsa supaya tidak terus berdiam diri serta mengambil langkah untuk mempertanggungjawabkan pemimpin Israel, selain menghentikan sikap Israel yang mengabaikan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang menganggap penempatan Israel sebagai tidak sah.

Pergerakan itu juga menyatakan bahawa ancaman dan tindakan agresif Smotrich terhadap Pihak Berkuasa Palestin memerlukan perpaduan Palestin yang lebih kukuh serta pelaksanaan “program penentangan sebenar” bagi menghadapi dasar Israel di Tebing Barat, Baitulmaqdis, dan Gaza.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Amaran mengenai penurunan mendadak aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza

 

Jumaat, 22/05/2026 – Pejabat Media Kerajaan di Gaza pada hari Selasa memberi amaran tentang penurunan “mendadak dan berbahaya” dalam jumlah trak bantuan kemanusiaan yang dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza akibat sekatan yang dikenakan oleh pihak pendudukan Israel.

Ismail al-Thawabta, pengarah Pejabat Media Kerajaan, berkata angka yang direkodkan jelas menunjukkan skala penurunan tersebut serta kesinambungan dasar sekatan dan kepungan. Beliau menyatakan bahawa hanya 48,636 trak bantuan dibenarkan memasuki Gaza daripada 131,400 trak yang sepatutnya masuk sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Beliau menjelaskan bahawa tahap pematuhan Israel tidak melebihi 37%, bermakna lebih 63% keperluan asas kemanusiaan Gaza tidak dibenarkan masuk sejak gencatan senjata bermula pada Oktober 2025.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

76% Peralatan Pengimejan Perubatan Musnah Akibat Keruntuhan Sistem Kesihatan

Jumaat, 22/05/2026 – Sumber perubatan di Semenanjung Gaza mengesahkan bahawa perkhidmatan pengimejan diagnostik di hospital-hospital yang masih beroperasi kini berdepan cabaran kritikal susulan kemusnahan besar sistem kesihatan sepanjang perang.

Sumber itu memaklumkan bahawa Gaza telah kehilangan 76% peralatan pengimejan perubatannya, manakala baki 24% yang masih beroperasi terus digunakan dalam keadaan teknikal yang amat sukar ketika permintaan terhadap perkhidmatan meningkat dan penyelenggaraan serta alat ganti pula hampir tidak tersedia.

Mereka juga memaklumkan bahawa perkhidmatan MRI kini lumpuh sepenuhnya di seluruh Gaza selepas kesemua sembilan mesin MRI musnah, sekali gus melemahkan lagi keupayaan untuk menyediakan diagnosis serta rawatan kepada pesakit dan mangsa yang cedera.

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Rakaman mengejutkan mendokumentasikan serangan pasukan pendudukan ke atas Kapal Global Sumud Flotilla

Jumaat, 22/05/2026 – Beberapa rakaman video yang disiarkan menerusi kamera siaran langsung di atas Kapal Global Sumud Flotilla bagi memecahkan sekatan ke atas Gaza memaparkan detik-detik cemas ketika tentera laut Israel, termasuk unit komando, menyerbu kapal-kapal tersebut di perairan antarabangsa menggunakan bot laju serta teknologi gangguan komunikasi.

Rakaman itu turut menunjukkan operasi rampasan kapal dan penahanan puluhan aktivis antarabangsa yang berada di atas kapal berkenaan. Selain itu, kelihatan anggota tentera Israel menguasai kapal serta memindahkan para tahanan sebelum siaran langsung beberapa kapal terputus secara tiba-tiba.

Media Israel melaporkan bahawa operasi rampasan tersebut berlaku berhampiran pantai Cyprus, ratusan kilometer dari perairan wilayah Palestin. Sementara itu, laman berita “Walla” memaklumkan bahawa kira-kira 100 aktivis telah ditahan setakat ini.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Mogok umum di seluruh Itali sebagai solidariti terhadap Floatilla Sumud

Jumaat, 22/05/2026 – Itali menyaksikan mogok umum berskala nasional pada hari Isnin yang menjejaskan sektor pengangkutan, pendidikan dan logistik, susulan seruan kesatuan pekerja yang membantah program persenjataan semula ketenteraan, menolak genosid berterusan Israel di Gaza, serta menyatakan solidariti terhadap “Flotila Global Sumud” yang sedang berusaha memecahkan sekatan ke atas Semenanjung Gaza.

Mogok tersebut berlangsung serentak dengan demonstrasi di beberapa bandar di Itali di bawah slogan “Hentikan Segalanya” (“Stop Everything”), yang dianjurkan oleh kesatuan pekerja dan kumpulan masyarakat sivil bagi membantah peningkatan kos sara hidup, dasar ketenteraan, serta pertambahan perbelanjaan untuk senjata yang dianggap mengorbankan sektor kesihatan dan pendidikan. Para penunjuk perasaan juga menuntut agar dihentikan apa yang mereka sifatkan sebagai genosid terhadap rakyat Palestin serta menyatakan sokongan terhadap flotila yang menuju ke Gaza.

Di ibu negara, Rome, para penunjuk perasaan berhimpun di salah satu dataran utama bandar itu sambil membawa sepanduk yang menggesa kerajaan Itali agar tidak terus terlibat dalam apa yang mereka sebut sebagai “bersubahat dalam jenayah” bersama Israel.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Ribuan Pendatang Israel Sertai Perarakan Bendera Provokatif Di Baitulmaqdis Timur

Selasa, 19/05/2026 – Ribuan pendatang Israel menyertai perarakan “Flag March” yang bersifat provokatif pada petang Khamis di kawasan Pintu Damsyik, salah satu pintu masuk utama ke Kota Lama Baitulmaqdis yang diduduki, dengan kawalan ketat pihak polis Israel.

Perarakan tersebut turut dihadiri menteri dan ahli Knesset daripada gabungan pemerintah, termasuk Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir, serta Menteri Kewangan berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, selain pegawai kanan polis dan tentera Israel serta ahli Knesset lain yang berhaluan ekstrem.

Peserta perarakan mengibarkan bendera Israel dan membawa sepanduk dengan slogan berunsur perkauman yang menyeru kematian terhadap orang Arab, selain mengancam untuk membina “kuil yang didakwa” di tapak Masjid al-Aqsa. Mereka juga menyerang penduduk Palestin dan wartawan di lokasi dengan meludah, menghamburkan kata-kata kesat, serta menari sambil mengibarkan bendera.

Pasukan keselamatan Israel turut menempatkan penembak tepat di tembok Pintu Damsyik dan mengerahkan kehadiran besar-besaran di sekitar kawasan itu, termasuk jalan-jalan di Baitulmaqdis yang diduduki serta lorong-lorong Kota Lama, sehingga menjadikannya seolah-olah zon ketenteraan atas alasan mengawal keselamatan perarakan.

Polis Israel juga menghalang pergerakan bebas rakyat Palestin di Kota Lama dan memaksa peniaga menutup premis mereka, sambil memberikan perlindungan kepada pendatang.

Terdahulu pada hari yang sama, Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, sekali lagi melakukan pencerobohan ke dalam kompleks Masjid al-Aqsa, bertepatan dengan sambutan yang dikenali Israel sebagai “Hari Baitulmaqdis” serta menjelang perarakan tahunan tersebut, yang diadakan bagi memperingati pendudukan Baitulmaqdis Timur pada tahun 1967 menurut kalendar Ibrani.

Pentadbiran Gabenor Baitulmaqdis memaklumkan bahawa seramai 1,412 pendatang telah menceroboh kawasan halaman Masjid al-Aqsa dalam sesi pagi dan petang, dalam keadaan sekatan ketat dikenakan oleh pihak Israel terhadap jemaah dan penduduk Baitulmaqdis secara umum.

Sebelum ini, Hamas menyatakan bahawa serangan oleh “pendudukan Zionis jenayah” dan pendatangnya, termasuk pencerobohan serta perarakan bendera di Baitulmaqdis yang diduduki dan Masjid al-Aqsa, merupakan cubaan gagal untuk mengubah identiti “tanah suci kami,” yang menurutnya akan kekal sebagai milik Palestin, Arab, dan Islam walaupun berdepan dasar peng-Yahudian Israel.

Dalam kenyataan pada hari Khamis, Hamas menegaskan bahawa “pendudukan pengganas” tidak akan berjaya, walau sejauh mana ia meningkatkan tindakan, pencerobohan, dan sekatan terhadap penduduk Baitulmaqdis serta para jemaah dalam usaha menghapuskan kedudukan dan simbolik Baitulmaqdis serta Masjid al-Aqsa di hati rakyat Palestin atau melemahkan tekad mereka untuk mempertahankan tempat suci tersebut.

Menurut Hamas, tindakan sedemikian hanya akan menguatkan lagi keazaman rakyat Palestin untuk terus bertahan dan melawan, sambil menyifatkan Masjid al-Aqsa sebagai “soal akidah, jati diri, dan sejarah yang berakar umbi dalam jiwa rakyat serta umat Arab dan Islam.”

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Kanak-kanak Perempuan, Ibu Cedera Dalam Serangan Oleh Peneroka di Selatan Nablus

Selasa, 19/05/2026 – Seorang kanak-kanak perempuan dan ibunya cedera dalam serangan oleh peneroka ke atas sebuah rumah kediaman di pekan Burin, selatan Nablus, pada petang Rabu.

Saksi berkata bahawa para peneroka menghampiri rumah seorang warga Palestin, Bashir Qadous, dan menyerang penghuninya serta cuba mencuri kambing biri-biri milik keluarga tersebut, sehingga mencetuskan ketakutan dan panik di kalangan ahli keluarga itu.

Serangan itu mengakibatkan kanak-kanak perempuan tersebut mengalami kecederaan ringan di kepala, manakala ibunya mengalami tekanan dan kejutan yang teruk selepas menyaksikan kejadian yang turut menyasarkan anak-anaknya.

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Gabungan Flotilla Steadfastness melancarkan lima kapal dari Greece untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza

Selasa, 19/05/2026 – Gabungan Steadfastness Flotilla Coalition mengumumkan pada hari Rabu pelancaran lima kapal dari sebuah pulau Yunani, sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa yang lebih luas untuk memecahkan sekatan Israel yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza, dan untuk menghadapi apa yang digambarkannya sebagai keadaan bebas daripada hukuman yang membolehkan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan penghapusan sepenuhnya rakyat Palestin.

Gabungan itu menjelaskan dalam satu siaran akhbar bahawa lima kapal tersebut, iaitu: “Adala”, “Kyriakos X”, “Lena Nabulsi”, “Perseverance”, dan “Tinas Love Aqsa Bangladesh”, akan menyertai kira-kira 55 bot tambahan yang mengibarkan bendera Perancis, Itali dan Poland, yang berlepas dari Marmaris di Turki yang sarat dengan kuantiti simbolik makanan dan ubat-ubatan.

Gabungan itu menekankan bahawa “Steadfastness Flotilla” tidak mewakili organisasi bantuan, tetapi sebaliknya tindakan langsung untuk mencabar sekatan tentera laut, yang digambarkannya sebagai “kejam dan menyalahi undang-undang,” dan yang bertujuan untuk mengasingkan, memenjarakan dan menganiaya rakyat Palestin, selain menolak apa yang dianggapnya sebagai kegagalan antarabangsa untuk menghentikan jenayah Israel terhadap rakyat Palestin.

Beliau menyatakan bahawa sejak tahun 2010, beliau telah menganjurkan berpuluh-puluh pelayaran laut yang menentang sekatan Israel secara langsung, berdasarkan pengalaman yang telah dibuktikan oleh gerakan “Gaza Bebas”, yang berjaya memecahkan sekatan melalui laut buat kali pertama pada tahun 2008.

Gabungan itu menunjukkan bahawa penyertaan antarabangsa dalam inisiatif flotila berkembang dengan ketara selepas pelayaran kapal Madeleine pada Jun 2025, mencerminkan penolakan yang semakin meningkat oleh masyarakat sivil global terhadap kerajaan yang menormalkan sekatan dan pembunuhan beramai-ramai.

Beliau menyatakan bahawa fasa semasa misi itu berlaku selepas serangan Israel pada 29 April ke atas 22 kapal awam di luar pantai barat Greece, selain penculikan dan layanan buruk terhadap dua penganjur Flotilla Ketahanan Global.

Gabungan Flotilla Daya Tahan merangkumi organisasi masyarakat sivil dan inisiatif akar umbi dari beberapa negara di seluruh dunia, dan telah meneruskan usahanya sejak 2010 untuk mencabar sekatan Israel ke atas Gaza melalui laut.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Bagaimanakah Israel menggunakan isu jihad Syria untuk membentuk dasarnya terhadap Damsyik?

Selasa, 19/05/2026 – Dalam antara kajian Arab yang paling terperinci mengenai cara “Israel” meneliti perubahan di Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad, satu kajian penyelidikan yang diterbitkan oleh Pusat Al-Zaytouna untuk Kajian dan Perundingan bertajuk “Pemantauan Israel terhadap Isu Jihadisme dalam Sistem Negara Syria” mendedahkan bagaimana isu “jihadisme” telah menjadi alat utama dalam pemikiran politik, keselamatan dan media Israel terhadap Syria baharu.

Kajian ilmiah yang disediakan oleh Ibrahim Abdul Karim itu memaparkan gambaran menyeluruh mengenai tahap pemantauan rapi Israel terhadap perkembangan politik, ketenteraan, agama dan pendidikan di Syria sejak Hayat Tahrir al-Sham mengambil alih pemerintahan pada Disember 2024. Menurut kajian tersebut, institusi-institusi Israel melihat “jihadisme Syria” sebagai kunci utama untuk memahami masa depan Syria, selain dijadikan asas dalam menentukan pendekatan strategik terhadap negara itu.

Kajian itu turut menyatakan bahawa wacana Israel tidak banyak berubah walaupun kerajaan Syria baharu menunjukkan beberapa isyarat pragmatik, termasuk rundingan keselamatan tidak langsung dan pengumuman berulang kali dari Damsyik bahawa mereka tidak mahu berkonfrontasi dengan Israel. Namun begitu, Tel Aviv masih melihat kepimpinan Syria baharu melalui “lensa jihadisme”, sambil berusaha meneliti struktur pemikiran dan ideologi mereka serta memantau kemungkinan perkembangan dan pengaruhnya pada masa depan.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Gaza Memasuki Tahun Ketiga Tanpa Haji.

Selasa, 19/05/2026 – Beberapa tahun lalu, jalan-jalan di Semenanjung Gaza sering menyambut musim Haji dan Idul Adha dengan suasana yang penuh keceriaan. Pasar-pasar dipenuhi warga, suara pedagang terdengar bersahutan di pasar ternak, sementara anak-anak bermain riang di keliling kambing yang dihias menjelang hari raya. Sanak saudara berkumpul meraikan keberangkatan para calon haji dan mempersiapkan penyambutan mereka ketika kembali dari Tanah Suci.

Ketika bertahun-tahun pengepungan yang mencekik, suasana Idul Adha menjadi salah satu momen bersejarah yang mampu menghadirkan kebahagiaan bagi warga Gaza. Namun, semua itu kini hanya tinggal kenangan.

Untuk tahun ketiga berturut-turut, Semenanjung Gaza yang luluh lantak akibat perang, pelarian dan krisis kemanusiaan, kembali menjalani musim haji dan Idul Adha tanpa sukacita. Ritual ibadah kurban yang selama ini identik dengan solidariti, kebersamaan dan penghambaan kepada Tuhan, berubah menjadi simbol kehilangan dan ketidakberdayaan.

Di sebuah khemah pelarian, Abu Alaa, ayah dari dua syuhada, duduk memandang foto-foto lama keluarganya ketika Idul Adha beberapa tahun lalu. Dengan mata berkaca-kaca, beliau mengenang bagaimana anak-anaknya dahulu menyambut hari raya dengan penuh kegembiraan.

“Dulu kami selalu menunggu Idul Adha dengan gembira. Anak-anak bermain di sekitar haiwan korban beberapa hari sebelum penyembelihan dan seluruh keluarga berkumpul bersama. Tetapi sekarang tidak ada rumah, tidak ada haiwan korban, bahkan membeli satu kilogram daging pun kami tidak mampu,” ujarnya sedih kepada wartawan Pusat Informasi Palestina.

Beliau menambah bahawa gema takbir yang dahulu terdengar di setiap lorong kini nyaris menghilang, digantikan dengan suara pesawat tempur, ledakan bom dan ratapan keluarga yang kehilangan orang tercinta.

“Dulu suara takbir bergema di mana-mana. Sekarang hati dipenuhi rasa takut, kelaparan dan kehilangan,” katanya.

Kesedihan serupa dirasakan Umm Muhammad, seorang wanita pelarian yang kehilangan rumahnya di Kota Gaza. Baginya, penderitaan terbesar bukan hanya kehilangan tempat tinggal, melainkan ketidakmampuan menghadirkan suasana Idul Adha bagi anak-anaknya.

Beliau mengaku terus dihantui pertanyaan putaranya yang masih kecil mengenai alasan keluarga mereka tidak membeli haiwan korban seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Anak saya terus bertanya bila kami membeli kambing untuk Idul Adha. Saya tidak tahu perlu jawab apa. Bahkan jika ada haiwan ternak pun, kami tetap tidak mampu membelinya,” ujarnya dengan nada sedih.

Sebelum perang berkecamuk, masyarakat Gaza tetap mempertahankan tradisi korban meskipun hidup di bawah sekatan dan tekanan ekonomi yang berat. Banyak keluarga menabung selama berbulan-bulan demi untuk membeli seekor kambing atau lembu untuk disembelih ketika Idul Adha.

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

Menteri-menteri EU bersetuju mengenai sekatan yang menyasarkan peneroka ganas di Tebing Barat

Khamis, 14/05/2026 – Menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) mencapai persetujuan pada hari Isnin mengenai sekatan baharu yang menyasarkan penjajah Yahudi yang ganas di Tebing Barat yang diduduki secara haram.

Pakej sekatan tersebut hanya menyasarkan tiga pendatang haram Yahudi dan empat organisasi pendatang haram yang identitinya masih belum didedahkan kepada umum.

“Menteri-menteri Luar EU baru sahaja memberi lampu hijau untuk mengenakan sekatan terhadap pendatang haram Israel berikutan keganasan terhadap penduduk tempatan Palestin,” tulis diplomat tertinggi EU, Kaja Kallas, di platform X selepas mesyuarat majlis hal ehwal luar di Brussels berakhir.

Menteri luar Perancis, Jean-Noël Barrot, turut menggunakan nada yang tegas. “Ia telah diputuskan,” tulis beliau di X. “Kesatuan Eropah hari ini mengenakan sekatan terhadap organisasi-organisasi utama Israel yang didapati menyokong penjajahan ekstremis dan ganas di Tebing Barat, termasuk para pemimpinnya,” katanya sambil menambah bahawa “tindakan yang sangat serius dan tidak boleh diterima ini mesti dihentikan tanpa sebarang kelewatan.”

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Dua syahid dan dua mayat ditemui di Gaza ketika pendudukan terus melanggar gencatan senjata

Khamis, 14/05/2026 – Tentera Israel terus didakwa melanggar perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza menerusi serangan udara, tembakan serta sekatan berterusan, yang mengakibatkan dua rakyat Palestin syahid dan beberapa lagi cedera.

Menurut laporan, seorang rakyat Palestin syahid akibat ditembak tentera Israel di kawasan kejiranan Al-Zaytoun di tenggara Bandar Gaza, manakala seorang lagi terbunuh berhampiran bulatan Bani Suhaila di timur Khan Younis, selatan Gaza.

Sumber media turut melaporkan beberapa penduduk cedera selepas sebuah dron Israel jenis “Quadcopter” menggugurkan bom ke arah sekumpulan rakyat Palestin di Jalan Fattouh, timur kawasan Al-Zaytoun.

Penterjemah : Farah Najwa



Categories
Berita Semasa

Pusat komersial dan perindustrian di Al-Eizariya dirobohkan Rejim Zionis.

Khamis, 14/05/2026 – Pada petang Isnin, pasukan pendudukan Israel mula menjalankan operasi perobohan meluas yang menyasarkan berpuluh-puluh kemudahan perindustrian dan komersial di kawasan Al-Mushtal di bandar Al-Eizariya, tenggara Baitulmaqdis yang diduduki.

Sumber tempatan melaporkan bahawa jentolak pendudukan setakat ini telah merobohkan kira-kira 20 kemudahan perindustrian dan komersial, sementara operasi perobohan diteruskan di kawasan itu.

Bagi pihaknya, Gabenor Jerusalem berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa pasukan pendudukan meneruskan operasi perobohan meskipun terdapat perintah berjaga-jaga yang memihak kepada penduduk yang menetapkan penghentian perobohan kedai sehingga pertengahan Mei ini.

Pihak gabenor menambah bahawa pasukan pendudukan menjalankan operasi perobohan yang diiringi oleh kenderaan tentera, di tengah-tengah tembakan bom bunyi dan gas ke arah penduduk, selain menghalang lalu lintas di sekitar kawasan yang disasarkan.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pihak berkuasa pendudukan telah memaklumkan secara lisan kepada kira-kira 50 warga tentang keperluan untuk mengosongkan kedai dan premis komersial mereka di kawasan Al-Mushtal yang terletak di pintu masuk utama bandar, sebagai persediaan untuk melaksanakan perintah perobohan sebelumnya yang dikeluarkan terhadap mereka pada Ogos 2025.

Menurut data, langkah-langkah ini berada dalam rangka kerja pelan pendudukan penempatan yang dikenali sebagai “Fabric of Life”, yang merupakan aplikasi praktikal pelan pengilhakan Israel untuk kawasan yang diklasifikasikan sebagai “E1”.

Menurut data, projek ini bertujuan untuk mencapai kesempadanan geografi antara penempatan “Ma’ale Adumim” dan Baitulmaqdis yang diduduki, yang akan membawa kepada pemisahan Tebing Barat utara dari selatannya, dan pengilhakan kira-kira 3% daripada kawasan Tebing Barat dalam apa yang dipanggil pelan “Baitulmaqdis Raya”.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis melarang Sheikh Raed Salah, Sheikh Kamal Khatib dari Masjidil Aqsa

Khamis, 14/05/2026 – Pihak berkuasa Israel mengeluarkan perintah larangan terhadap Sheikh Raed Salah, ketua Gerakan Islam di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1948, serta Sheikh Kamal Khatib, ketua Jawatankuasa Kebebasan.

Perintah itu melarang kedua-dua tokoh berkenaan daripada memasuki Masjid Al-Aqsa selama seminggu, dengan laporan menyebut larangan tersebut berkemungkinan dilanjutkan sehingga enam bulan.

Menurut sumber, arahan panggilan itu bermula melalui panggilan telefon daripada polis Israel. Sheikh Kamal Khatib dilaporkan menerima ugutan penahanan selepas beliau meminta identiti pemanggil dikenalpasti.

Susulan itu, pasukan peguam bagi kedua-dua pemimpin berkenaan menyelaraskan supaya mereka hadir ke balai polis Nazareth untuk menerima perintah tersebut, tanpa perlu pergi ke Baitulmaqdis yang diduduki.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Hamas: Israel sengaja cetus kekacauan sistematik

Selasa, 12/05/2026 – Pergerakan Hamas pada hari Ahad mengecam tindakan berterusan Israel yang menyasarkan anggota polis di Semenanjung Gaza, sambil menyatakan bahawa dasar tersebut merupakan sebahagian daripada usaha sistematik untuk menggugat kestabilan sosial dan mencetuskan kekacauan.

Dalam satu kenyataan media, Hamas menyifatkan pembunuhan ketua bahagian siasatan polis Khan Yunis sebagai satu “tindakan pengecut dan jenayah,” serta menuduh Israel sengaja mensasarkan institusi kepolisan.

Menurut Hamas, serangan berterusan itu bertujuan mengekalkan keadaan tanpa undang-undang serta menggagalkan usaha memulihkan kehidupan normal dan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk dalam situasi sukar di Gaza.

Pergerakan itu turut mendedahkan angka terkini korban akibat serangan Israel sejak perjanjian gencatan senjata terbaharu berkuat kuasa, dengan menyatakan bahawa lebih 850 rakyat Palestin telah terkorban sejak Oktober lalu.

Hamas sekali lagi menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya pihak pengantara dan pihak yang menjamin perjanjian tersebut, agar segera campur tangan untuk menghentikan serangan berterusan Israel serta berusaha menyediakan perlindungan antarabangsa dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Penterjemah : Ezatul